Rabu, 31 Ogos 2011

Gaddafi masih bersembunyi



LIBYA sekarang sudah jatuh sepenuhnya di tangan
tentera pemberontak. Nasib pemimpin Muammar Gaddafi
tidak diketahui.

Ada laporan mengatakan Gaddafi dan keluarganya telah
melarikan diri ke Algeria. Tetapi berita ini tidak dapat
disahkan.

Jurucakap NATO, bagaimanapun berkeyakinan bekas pemimpin
itu masih bersembunyi dan berada di Libya.

Kini tentera pemberontak dan dibantu oleh komando SAS British
dan Perancis telah meningkatkan operasi memburu bekas pemimpin
itu dibeberapa wilayah, terutamanya di tempat kelahirannya Sirte.

Anak ketiga Gaddafi, Saadi, sebagaimana laporan Al Jazeera, telah
menghubungi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk menyerah
diri.

Pengerusi NTC Mustafa Abdul Jalil, telah mengeluarkan amaran
agar Gaddafi dan pengikutnya menyerah diri dalam waktu terdekat ini.
Kerana mereka (NTC) tidak akan menunggu dalam tempoh yang panjang.

Sekiranya Gaddafi tidak menyerah diri mereka akan memburunya sehingga
tertangkap. Pihak tentera pemberontak berkeyakinan mereka dapat menawan
Gaddafi dalam masa terekat ini.

Jika benar Gaddafi masih berada di Libya, peluangnya untuk meloloskan
diri adalah tipis. Apatah lagi dengan bantuan NATO serta teknologi satelit
peluang bekas pemimpin itu untuk terus bersembunyi adalah terbatas.

Justeru itu nasib Gaddafi dan anaknya Saif  bakal menerima nasib
yang sama seperti bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein. Saddam
telah digantung mati setelah ia dibicarakan di mahkamah di atas
segala perbuatannya semasa ia berkuasa.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga telah mengeluarkan
waran tangkap terhadapnya di atas tindakannya membunuh orang awam
dalam usahanya menangkis kebangkitan rakyat menentangnya.

Gaddafi telah berikrar akan mempertahankan dirinya hingga ke titisan
darah terakhir. Apakah beliau akan mengotakan ikrarnya itu ? Atau
beliau akhirnya akan menyerah diri atau ditawan ?

Sebenarnya, Muammar Gaddafi tidak banyak pilihan dan
harapannya untuk hidup semakin nipis. Dia perlu buat pilihan
sama ada mati secara terhormat atau bersedia menghadapi
perbicaraan oleh rakyatnya sendiri.
















Selasa, 30 Ogos 2011

Sambutan Aidil Fitri : Dulu dan sekarang



SUASANA menyambut Aidil Fitri sekarang dengan suasana
dahulu amat jauh berbeza sekali.

Kalau dahulu selepas sahaja selesai solat di masjid kebanyakannya
akan bergegas menziarah kubur, membaca doa dan sebagainya.
Sesudah itu bermulalah program mengunjungi rumah ke rumah
sekitar kampung terdekat.

Biasanya ia dilakukan secara kumpulan sehingga 20 orang mengunjung
dari satu rumah ke satu rumah berdekatan. Mereka akan berjalan beramai-
ramai penuh dengan riuh-rendahnya.

Dan kalau tempatnya agak jauh mereka akan berkenderaan secara
konvoi. Dalam kunjungan ini tidak ada rumah yang ketinggalan. Semuanya
dipastikan akan dikunjungi oleh rombongan ini.

Acara ini akan terus berlanjutan sehingga ke petang. Kalau ahli
rombongan ini berjumlah 20 orang, maka dipastikan kesemuanya
dikunjungi. Begitulah sekiranya ahli rombongan mencecah 30 orang
ia akan berlanjutan ke lewat petang. Yang pentingnya semua rumah
ahli rombongan dilawati.

Tradisi ini adalah satu amalan yang baik dan menyeronokkan. Ia
menimbulkan suasana ukhwah dan kemesraan di dalam kehidupan
masyarakat setempat dan sekitarnya.

Barangkali, amalan seperti ini kurang mendapat perhatian masyarakat
sekarang. Zaman sudah berubah. Masyarakat semakin moden dan amalan
berkunjung ini tidak lagi menjadi satu budaya, terutama generasi muda -
generasi Facebook, Twitter dan laman sosial lain.

Masing-masing sekarang berperap di rumah "menunggu" dan menghadap
ke kaca televisyen yang penuh dengan sajian pelbagai hiburan yang
mengasyikkan.

Sebagai ahli masyarakat kita perlu memainkan peranan menghidupkan
kembali tradisi dan budaya murni ini agar ianya menjadi satu amalan
di hari mulia ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.











Isnin, 29 Ogos 2011

Sathia bakal berhijrah ?

B.Sathianathan


BEKAS jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, telah pun selesai
mengakhiri tempoh pergantungannya oleh FAM selama enam
bulan.

Tempoh itu tamat Julai lalu. Sathia digantung gara-gara mengkritik
badan induk itu. Selepas  digantung dia dilantik sebagai Ketua
Pegawai Eksekutif Akademi Bolasepak Al Hambra Red Warrior
atau ARMY di Kelantan.

Kini Sathia telah menerima banyak tawaran dari dalam dan luar
negeri sebagai jurulatih. Antaranya dari Indonesia dan Myanmar.

Keputusan sama ada beliau menerima atau tidak bergantung pada
perbincangannya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa,
sebagai orang yang bertanggungjawab membawanya ke Kelantan.

Menurut Sathia, beliau masih sayangkan pasukan Kelantan dan para
penyokong The Red Warriors kerana dengan pasukan inilah dia
telah mencipta sejarah sebagai jurulatih yang berjaya merampas
Piala Malaysia ke Kelantan dalam masa 89 tahun.

Tetapi tidak siapa dapat menghalang Sathia sekiranya dia
mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain.

Jika ini berlaku Kelantan akan kehilangan seorang jurulatih
yang berkualiti dan mempunyai masa depan cerah.

Apakah tidak mungkin Tan Sri Anuar Musa akan berusaha
mengabungkan jurulatih sekarang Datuk M.Karathu dengan
Sathia sebagai satu unit demi masa depan kelansungan kejayaan
pasukan Kelantan, lebih-lebih lagi bagi menghadapi kempen
Piala Malaysia selepas raya ini.

Tentunya Karathu dan Sathia boleh duduk semeja, apatah lagi
kehadiran Karathu di Kelantan adalah dari usaha dan cadangan
dari Sathia sendiri.

Kalau ini berlaku The Red Warriors tentu beruntung kerana
mempunyai dua pakar dalam keahlian masing-masing dalam usaha
mempertahankan Piala Malaysia buat kali kedua.

Namun keputusan berada di tangan Sathia kerana beliau
berhak menentukan masa depan kariernya sebagai jurulatih
profesional.

Tetapi sekiranya mereka boleh bekerjasama dalam membimbing
Kelantan ianya sudah tentu memberi perkhabaran gembira buat para
penyokong setia negeri itu. Ia bagaikan satu mimpi indah.










Jumaat, 26 Ogos 2011

Subky Latiff : Kolumnis yang prolifik



SUBKY LATIFF dalam tulisannya yang terbaru dalam Harakah Daily,
ada menyebut tentang usahanya menyiapkan memoirnya berbentuk jilid.

Jilid pertama sudah lama siap, tapi belum diterbitkan lagi. Jilid kedua,
menurutnya, baru sahaja siap. Dan kini jilid ketiga baru bermula. Sekiranya
tidak ada keuzuran beliau akan menyiapkan jilid ketiga ini.

Subky seorang kolumnis yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam
dunia kewartawanan dan persuratkhabaran tanahair. Bermula sebagai
pemberita Utusan Melayu di Pulau Pinang sehinggalah menjadi salah
seorang pengarang kanan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Beliau pernah bekerja di bawah Melan Abdullah dan Osman Abadi.
Subky juga pernah bertugas bersama dengan Ishak Haji Muhammad atau
Pak Sako ketika di Utusan.

Beliau juga adalah bekas pengarang majalah Mastika dan diberi
tugas mengisi atau menulis dalam ruangan pojok Awang Selamat; yang
dahulunya dikenali dengan Awang Sulung.

Ketika di Utusan Melayu jugalah beliau dihantar ke Jerman untuk
mengikuti kursus kewartawanan selama setahun di Institiut Of Berlin.
Subky juga salah seorang wartawan yang mengikut rombongan Allahyarham
Tun Razak ke Beijing bagi mengadakan era diplomatik dengan China.

Setelah berada di Utusan selama 12 tahun beliau mengambil
keputusan meninggalkannya atas soal prinsip. Selepas keluar
dari Utusan beliau menerbitkan akhbarnya sendiri iaitu Suara Rakyat
dan Suara Merdeka.

Namun usia kedua akhbar tersebut tidak panjang dan hanya
sempat setakat 12 keluaran dan ia diharamkan KDN.

Justeru itu bermulalah beliau sebagai seorang wartawan tanpa
akhbar. Subky adalah orang pertama menerokai buku-buku
politik. Buku politiknya, Siapa selepas Tun Razak dan Suka
duka politik Tun Razak mendapat ramai perhatian, terutama
orang-orang melayu.

Pada era Tun Hussein Onn, Subky bersama Allahyarham Tan Sri
Khir Johari mengasaskan akhbar Watan dengan beliau menjadi
pengarangnya yang pertama.

Semenjak itu Subky tidak pernah kering dengan tulisan-tulisannya
yang bercorak kritikal dan sinis tentang pergolakan politik
tanahair. Sehingga kini beliau terus menulis tanpa henti dalam
kolum-kolum tetapnya seperti dalam Harakah, Siasah dan Buletin
Rakyat.

Tidak siapa dapat menafikan Subky adalah satu-satunya kolumnis
yang paling konsisten dalam penulisannya. Beliau bukan sahaja
konsisten dalam menulis bahkan paling banyak menghasilkan bahan
penulisan.

Ramai penulis kolum lain di negara ini (tidak perlu sebut nama)
sekejap timbul dan sekejap tenggelam. Ada sesetengah itu terus
tenggelam dan tidak muncul-muncul.

Tetapi Subky sejak tahun 1963, tahun pertama ia berjinak dengan
dunia kewartawanan hingga hari ini, tulisan-tulisannya terus terbit
dan tidak pernah kering dengan ideanya.

Oleh itu bila Subky mendedahkan bahawa beliau kini sedang
menyiapkan memoirnya sehingga tiga jilid, ianya bukanlah sesuatu
yang mengejutkan. Bahkan begitulah sepatutnya, dengan banyaknya
penulisannya dan luasnya pengalaman dalam bidang kewartawanan,
memoir beliau itu akan menjadi satu bahan yang amat berharga
buat peminatnya, lebih-lebih lagi pada para penuntut dalam bidang
yang berkaitan.

Seperti kata Subky, dalam dunia ini hanya satu kerja sahaja yang
beliau tahu iaitu menulis. Lain-lain kerja dia tidak tahu dan tidak
pernah buat.

Subky mengimbau kembali peristiwa lalu, di mana dia sering tewas
dalam pilihanraya semasa menjadi calon PAS. Beliau pernah kalah
dalam pilihanraya di Perak, Selangor dan Trengganu.

Katanya, itu semua adalah takdir Allah mahu dia kalah. Kalau dia
menang dan menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau tidak akan menulis
dan mempunyai masa.

Jadi takdir Allah mahukan dia terus menulis kerana hanya menulis
sahaja kerja yang beliau tahu.


























Khamis, 25 Ogos 2011

Syria : NATO tidak guna tentera



AMERIKA dan NATO telah mengambil keputusan tidak
akan menggunakan kekuatan ketenteraan menghadapi kemelut
di Syria.

Ternyata keadaan pergolakan di Damsyik berbeza dengan apa
yang berlaku di Tripoli, di mana pihak NATO banyak memainkan
peranan dan membantu puak pemberontak.

Di awal pertempuran antara tentera pro Gaddafi dan pihak pemberontak
telah menunjukkan tentera pemberontak telah berjaya disekat,
sehinggalah NATO membantu dengan melakukan serangan-serangan
udara ke kubu kuat tentera Gaddafi.

Faktor ini banyak membantu memperkukuhkan kedudukan pemberontak
dan melemahkan tentera kerajaan. Lebih-lebih lagi NATO juga mendapat
bantuan dan kerjasama  tentera elit dari Qatar dan Jordan.

Penglibatan dua negara ini bersama NATO telah berjaya menyelaraskan
dan menyatukan kedudukan tentera pemberontak sehingga kini berjaya
menawan kubu dan kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli.

Tetapi di Syria pihak Amerika dan NATO telah mengambil pendekatan
berbeza dengan mengambil langkah sekatan antarabangsa terhadap rejim
Bashar Al Assad. Mereka menolak menggunakan taktik serangan udara.

Ini kerana kekuatan tentera Syria lebih "superior" berbanding tentera Libya.
Tentera Libya tidak mempunyai pengalaman berperang jika dibandingkan
dengan tentera Syria yang terlibat dalam kancah peperangan dengan Israel
dalam Perang 1967 yang mengakibatkannya kehilangan Bukit Golan.

Dan faktor penting ialah pihak pemberontak di Syria tidak tersusun dan
"organise" seperti di Libya.

Amerika dan NATO juga telah banyak belajar dengan apa yang berlaku
di Iraq dan Afghanistan, di mana tentera bersekutu telah terlibat secara
langsung baik darat dan udara - namun terus mendapat tentangan sengit
hingga kini yang turut mengorbankan ramai tenteranya.

Inilah yang cuba dielakkan NATO dalam menangani situasi di Syria itu.
Mereka akan tunggu dan lihat perkembangannya, di samping sentiasa bersedia
masuk campur bila keadaan mengizinkan dan selepas itu "cuci tangan" seperti
apa yang berlaku di Libya kini.

Seperti kata Perdana Menteri Britain, David Cameron, beliau berbangga
kerana dapat memainkan peranan sama dalam memulihkan demokrasi dan
menumbangkan rejim Gaddafi di Libya dengan restu PBB.























Selasa, 23 Ogos 2011

Antara Arsenal dan Arsene Wenger

Arsene Wenger


ARSENAL atau The Gunners sudah enam tahun tidak
memenangi sebarang trofi. Kekalahannya ditangan Liverpool
2-0 baru-baru ini telah menambah tekanan terhadap pengurusnya,
Arsene Wenger.

Penghijrahan penyerang sensasi Cesc Fabregas ke Barcelona telah
melemahkan sedikit pasukan tersebut. Menurut Fabregas, keputusannya
meninggalkan Arsenal disebabkan pasukan itu tidak punya potensi
memenangi apa-apa trofi pada masa mendatang.

Dia dan beberapa pemain lain pernah menyuarakan agar Wenger
dapat membeli beberapa pemain bintang bagi melengkapkan
pasukan The Gunners itu.

Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, banyak pemain handalan
berhijrah ke kelab lain. Contohnya, penyerang Adebayor yang
telah berpindah ke Manchester City dan kemudian dipinjamkan
ke Real Madrid.

Kini yang terbaru, penyerang lincah Samir Nasri pula meluahkan
hasratnya untuk meninggalkan pasukan Arsenal. Spekulasi bertiup
kencang bahawa Nasri akan ke Manchester City. Ada juga mengatakan
dia berminat untuk ke Old Trafford. Sehingga kini tiada pengesahan.

Tetapi apa yang menghairankan semua pihak ialah sikap
Arsene Wenger yang tidak mahu berbelanja untuk mendapatkan
pemain-pemain handalan bagi menggantikan pemain yang telah
berhijrah.

Pengurus England, Fabio Capello, baru-baru telah melahirkan rasa
peliknya sikap Wenger yang tidak ghairah mendapatkan para pemain
baru bagi mengisi kekosongan itu. Capello juga mengingatkan Wenger,
jika dia tidak melakukan sesuatu, Arsenal bakal menghadapi musim
ini dengan prestasi terburuk.

Namun kejayaan Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal selama ini
ialah beliau berjaya membarisi rata-rata pemain muda dalam kesebelasan
The Gunners dan dalam masa yang sama berjaya menerapkan permainan
cantik di antara pasukan elit di EPL.

Tetapi dalam bolasepak permainan cantik sahaja tidak memadai jika
tidak dapat memenangi sebarang kejuaraan atau trofi. Enam tahun tanpa
sebarang kejayaan adalah satu tempoh yang lama bagi para penyokong
The Gunners.

Mereka dahagakan kejayaan dan kemenangan. Apakah mereka boleh
bersabar dengan Wenger ? Bagi Arsene Wenger, dia tidak merasa tekanan
buat masa ini dan masih berkeyakinan Arsenal mampu melakukan kejutan.

Ataupun apakah sudah sampai masa Arsenal mempunyai seorang pengurus
baru ?












Anwar bela diri



KES liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah mengambil
masa lebih tiga tahun. Kes ini juga telah tertangguh sebanyak
lebih 60 kali di atas permohonan pihak pembela.

Pada 22 Ogos kes ini bersambung dan sebelum ini hakim telah
memberi amaran bahawa beliau tidak membenarkan sebarang
penangguhan lagi, serta meminta keterangan pembelaan diteruskan.

Tetapi pada hari tersebut, DSAI telah mengejutkan semua pihak
bila beliau mengambil keputusan membela diri dengan tidak
bersumpah dan tidak boleh di soal balas oleh pendakwa.

Dalam pembelaannya DSAI mempunyai tiga pilihan; pertama :
memberi keterangan secara bersumpah dan pihak pendakwa boleh
menyoal balas. Kedua : memberi keterangan tidak bersumpah dan
tidak boleh di soal balas pendakwa. Ketiga : tertuduh hanya perlu
berdiam diri.

Di sudut mahkamah pilihan kedua dan ketiga merupakan pilihan
yang lemah dan hakim akan mengambil kira pilihan tersebut di akhir
perbicaraan.

Dan pilihan pertama adalah pilihan pembelaan yang kuat dan lebih
"credible". DSAI telah memilih pilihan kedua.

Dalam ucapannya selama hampir dua jam setebal 30 muka surat,
DSAI telah memberi hujah dan alasannya tentang pilihan pembelaannya itu.
Antaranya, beliau menganggap mahkamah tidak akan memberi
keadilan padanya setelah banyak permohonannya untuk mendapatkan
dokumen penting ditolak. Juga tentang saksi-saksi yang gagal
ditemubual peguamnya.

Secara keseluruhannya beliau mendakwa pertuduhan ini adalah satu
konspirasi politik yang mahu membunuh karekter dan kariernya sebagai
ahli politik.

Menurut pendakwa, ucapan DSAI itu tidak lebih dari satu ceramah atau
ulasan. Ianya tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap perbicaraan kelak.

Sayugia, DSAI sepatutnya berhujah dan memberi segala keterangan setelah
bersumpah dan di soal balas pihak pendakwa kerana langkah sedemikian
lebih telus dan jelas.

Namun beliau telah membuat pilihan dalam pembelaannya. Dan pilihannya
adalah satu pilihan yang lemah dan meragukan.











Ahad, 21 Ogos 2011

Gaddafi dipenghujung jalan



BERITA Al-Jazeera melaporkan kini tentera pemberontak
sudah memasuki ibu kota Tripoli. Bandar-bandar lain telah
pun dikuasai para penentang Muammar Gaddafi beberapa hari lalu.

Gaddafi yang tidak memberi sebarang kenyataan selama tiga minggu
lalu, telah berucap menerusi radio hari ini menyeru rakyat Libya
bangkit menentang pengkhianat negara dan kuasa barat yang telah
merosakkan negaranya ke arah kehancuran.

Dalam ucapannya ke seluruh negara itu beliau kedengaran agak
tertekan dengan situasi yang berlaku sekarang. Lebih-lebih lagi
bekas orang kanannya, Abbdessalam Jalloud, telah menyeru rakyat
Libya agar menyokong para pemberontak.

Jalloud ialah bekas orang nombor dua selepas Gaddafi suatu masa
dahulu. Beliau juga pernah memainkan peranan penting mematahkan
percubaan membunuh Gaddafi dalam tahun 80an dan 90an.

Dengan tindakan bekas orang kepercayaannya ini kedudukan
Gaddafi semakin goyah. Menurut kenyataan rasmi kerajaan di Tripoli,
kejayaan puak pemberontak kini adalah kerana didalangi pihak NATO.

NATO telah banyak membantu dari semua aspek termasuk pembiayaan
dan peralatan logistik pada pihak pemberontak. Tanpa bantuan, menurut
jurucakap kerajaan, pihak penentang tidak akan berjaya ke tahap ini.

Menurut jurucakap Gaddafi lagi, mereka tetap akan mempertahankan
ibukota Tripoli dari jatuh ke tangan tentera pemberontak. Kerana kini
terdapat lebih 1,000 orang tentera profesional yang akan melindungi
Muammar Gaddafi dan setiap inci kubu mereka di ibukota tersebut.

Apakah Gaddafi akan selamat ? Atau beliau akan menerima nasib
yang sama menimpa Saddam Hussein dan Hosni Mubarak ? Apakah
Gaddafi juga akan dibicarakan dan dihukum oleh rakyatnya sendiri ?

Berdasarkan perkembangan terkini, kejayaan para pemberontak memasuki
Tripoli, harapan Gaddafi mempertahankan kedudukannya hampir tiada.

Beliau hanya ada satu pilihan; melarikan diri dan mendapat perlindungan
politik di negara yang selamat buatnya.

Jika tidak nyawanya terancam dan beliau bakal diadili oleh rakyatnya
sendiri.
















PRU 13: Najib berteka-teki ?



KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa
Pilihan Raya Umum (PRU) 13 boleh diadakan bila-bila masa dari
sekarang telah menaikkan kembali suhu politik mengenai tarikh
keramat itu.

Selepas peristiwa Bersih pada 9 Julai lalu yang telah menimbulkan
sedikit ketegangan ramai pemerhati meramalkan tarikh PRU 13 akan
sedikit tertunda.

Tetapi selepas mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru
ini Datuk Seri Najib telah memberi "hint" bahawa tarikh PRU itu
tidaklah terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat.

Inilah keistimewaan yang ada pada Perdana Menteri negara ini, beliau
seorang sahaja yang tahu bila masa yang sesuai pilihanraya dapat
diadakan.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013. Kalau hendak
dikira masa masih panjang dan berbagai perkara boleh berlaku.

Di sinilah peranan Perdana Menteri yang akan bermain teka-teki dengan
tarikh itu dan dalam masa yang sama ia merupakan satu strategi
parti pemerintah dalam menghadapi parti pembangkang.

Parti pembangkang memang dari dahulu lagi tidak berpuas hati dengan
"hak" penentuan tarikh yang ada pada Perdana Menteri itu. Mereka menggesa
ianya diubah dengan menentukan lebih awal terlebih dahulu.

Bagaimanapun, perkara ini telah menjadi satu tradisi sejak dulu lagi
dan ia tidak pula menyalahi undang-undang.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya bermain
teka-teki ini sehingga membuat pihak pembangkang tidak dapat meneka
dengan tepat bila Parlimen akan dibubarkan.

Dalam konteks ini, Tun memang pintar dalam menimbulkan suasana
suspen dan thrill; membuat semua pihak menunggu-nunggu tarikh keramat
itu. Ada suatu masa bendera parti PAS sampai lusuh dan koyak; dek menunggu
parlimen dibubarkan - namun pilihanraya tidak juga berlaku.

Tidak seperti zaman Pak Lah Badawi, sebulan sebelum parlimen dibubarkan
semua pihak termasuk parti pembangkang sudah dapat menghidu hari
bersejarah itu. Malah rakyat kebanyakan pun dapat menelah dan meneka
dengan tepat bila pilihanraya akan diadakan.

Ini kerana memang sifat Pak Lah yang tidak ada unsur suspen dan thrill;
semua langkahnya dapat dibaca. Di tambah pula Pak Lah adalah seorang
Perdana Menteri yang lurus bendul.

Kini giliran Najib pula sebagai orang yang akan menentukan hari bersejarah
itu. Dia perlu mengambil iktibar dari Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Apakah Najib akan terus berteka-teki atau lurus bendul ?














Jumaat, 19 Ogos 2011

Negara Islam terus bergolak


DALAM bulan ramadan ini negara dan umat Islam terus dirundung
malang. Sebahagian besar negara terus bergolak dan bermandi darah.

Di Pakistan dalam wilayah Khyber, satu letupan bom di sebuah masjid
semasa solat Jumaat mengakibatkan 40 kematian.

Keadaan di Somalia tidak perlu diceritakan lagi; hampir 20,000 kanak-kanak
mati kebuluran akibat kekurangan zat makanan dan kemarau yang panjang.
Hingga kini dilaporkan hampir 2 juta penduduk Somalia diancam kebuluran,
sekiranya bantuan tidak disalurkan segera.

Terbaru di Gaza, Palestin, ramai termasuk kanak-kanak cedera akibat serangan
balas rejim Israel di wilayah itu kerana membalas dendam di atas kematian
tujuh tentera Yahudi di sebuah kawasan bernama Eilat.

Dalam serangan itu selain askarnya terbunuh, 10 orang cedera dalam serangan
ke atas sebuah bas. Hamas menafikan ia bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Serangan balas Israel ini ibarat tindakan "tit for tat" terhadap para pejuang Hamas.

Manakala di Syria keadaan semakin meruncing bila tentera kerajaan menembak
ke arah para perusuh. Setakat ini kematian orang awam telah meningkat ke angka
2,000 orang setelah empat bulan kebangkitan rakyat menentang pemimpin
Bashar Al Assad.

Kelmarin Presiden Amerika, Barack Obama, telah menggesa Assad berundur
dan memberi laluan pada proses demokrasi mengikut tuntutan majoriti rakyat.
Obama juga telah mengistiharkan tindakan sekatan antarabangsa terhadap Syria.

Tindakan sekatan ini ditentang oleh Rusia, Turki dan Iran. Mereka menganggap
"sanction" ini tidak akan berkesan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Iran
dahulu. Malah jika sekatan ini berkuatkuasa, rejim di Syria tidak akan tergugat.
Sebaliknya, rakyat terbanyak akan menerima kesannya.

Iran, Turki dan Rusia lebih cenderung memberi ruang dan masa pada Assad
bagi melakukan perubahan dan reform.

PBB pula kini bersiap menghantar satu pasukan ke Damsyik bagi menyiasat
tentang hak-hak perlanggaran kemanusiaan yang dilakukan rejim Assad terhadap
rakyatnya.

Begitu juga nasib Afghanistan yang terus dihujani letupan bom oleh puak
Taliban yang telah mengorbankan ramai pemimpin dan sekutu Hamid Karzai.

Dan semuanya semakin jauh dari penyelesaian dan umat Islam terus menjadi
korban.