Khamis, 12 April 2012

UMNO lebih demokratik


TENGKU Razaleigh Hamzah menegaskan tidak siapa
perlu mempertikai kesetiaannya pada Umno dan BN.
Beliau orang lama dalam Umno dan akan terus kekal
setia pada parti.

Isu kesetiaan Ku Li timbul ekoran banyak isu nasional
dan pendirian beliau agak tidak selari dengan Umno.
Umpamanya, kes tuntutan royalti minyak Kelantan oleh
Kerajaan Pas negeri.

Kes ini dalam proses mahkamah untuk dibicarakan.
Ku Li sebagai bekas Pengerusi Petronas ketika perjanjian
itu dimeterai antara kerajaan Pusat dan Negeri bersependapat
dengan sikap Pas dalam tuntutan ini.

Sebagai ahli Umno tentulah pendiriannya agak bertentangan
dengan pendirian rasmi pucuk pimpinan parti. Dan yang
terkini pula Ku Li telah menyatakan pendiriannya menyokong
perhimpunan Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan
pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Ku Li sebelum ini juga telah menubuhkan sebuah badan NGO
yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah.
Beliau menjadi Pengerusinya dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir
yang telah isytihar keluar dari Umno menjadi Timbalannya.

Menurut Ku Li, Amanah yang terdiri dari bekas-bekas pemimpin
kerajaan dari berbagai kaum bertujuan memastikan hak-hak dan
kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Semua langkah Ku Li ini tidak disenangi kebanyakan para
pemimpin tertinggi parti. Namun setakat ini tidak ada apa-apa
tindakan dikenakan padanya.

Ini memberi gambaran bahawa Ku Li agak bebas dan tidak terikat
sehingga beliau boleh menyatakan apa sahaja pendiriannya, walaupun
pendiriannya itu adalah selari dengan parti pembangkang.

Dari satu sudut, nampaknya Umno lebih demokratik berbanding dengan
parti Pas yang baru-baru ini telah memecat bekas Pesuruhjayanya di Selangor,
Dr. Hasan Ali yang mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan
pucuk pimpinannya.

Dr. Hasan dipecat dari Pas kerana agak berbeza pendiriannya dengan
parti. Tetapi Ku Li dari awal hingga akhir mempunyai pendiriannya
yang tersendiri, malah terbaru beliau memberi sokongan perhimpunan
Bersih 3.0 yang ditaja parti pembangkang. Malah dia menggesa para
ahli Amanah turut serta turun menghadiri perhimpunan itu.

Umno tidak mengambil tindakan apa-apa terhadapnya. Presiden Umno
sendiri hingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau
mengulas pendirian Ku Li itu.

Nasib Ku Li lebih baik dari Dr. Hasan Ali.

Selasa, 10 April 2012

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Sentuhan seorang politikus veteran

DR. Mahathir Mohamad mengakui kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya 2008 - salah satu faktornya adalah berpunca dari kritikan dan kecamannya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Kecamannya secara terbuka sedikit sebanyak telah mempengaruhi ahli-ahli UMNO. Jelas dalam pilihanraya tersebut banyak ahli UMNO telah mengundi calon parti pembangkang.

Tindakannya itu bukanlah dari hasrat beliau untuk membalas dendam terhadap sesiapa. Ia dilakukan berdasarkan situasi politik ketika itu yang baginya Pak Lah Badawi telah gagal menerajui UMNO dan BN dilandasan yang betul.

Dalam konteks keputusan pilihanraya umum 2008 yang telah memberi tamparan hebat pada UMNO dan BN; kemenangan besar pembangkang bukan hasil dari kekuatan mereka yang sebenar.  Banyak ahli-ahli UMNO telah berpaling tadah sebagai protes terhadap kepimpinan Pak Lah dan menyokong secara senyap pendirian serta sikap Dr. Mahathir membabitkan banyak isu.

Bagi Dr. Mahathir, apa yang dilakukannya itu bukan sebagai tanda sokongan pada parti pembangkang. Tetapi ia dilakukan sebagai usaha menyelamatkan UMNO dan BN dari terus hilang sokongan rakyat akibat dari beberapa keputusan kerajaan masa itu yang tidak begitu popular.

Walaupun BN hilang banyak kerusi serta beberapa negeri terlepas ketangan pembangkang, Pak Lah terus ingin menjadi Perdana Menteri dan enggan berundur. Usaha Dr. Mahathir berjaya menempelak Pak Lah sebagai orang nombor satu negara, namun gagal mendorongnya berundur.

Justeru itu Dr. Mahathir telah membuat keputusan nekad dengan tindakannya keluar dari UMNO. Langkah politik itu sebagai satu tekanan pada Pak Lah yang seolah tidak dapat membaca isyarat dari ahli akar umbi.

Dengan kedudukan Dr. Mahathir yang masih berpengaruh dikalangan ahli parti, tindakannya itu telah memberi lebih tekanan pada ahli untuk turut mendesak Pak Lah berundur. Langkah itu berjaya dan Pak Lah terpaksa akur.

Dari peristiwa itu dapat dilihat betapa berkesannya sentuhan beliau sebagai politikus veteran memainkan peranan dalam mencorak kepimpinan parti dan negara. Walaupun dalam suasana tertentu beliau diboikot dan dipinggirkan sebahagian besar media perdana yang dikuasai kuncu-kuncu Pak Lah.

Dr. Mahathir telah bertindak berdasarkan prinsip dan keyakinannya bagi menyelamatkan parti yang baginya telah hilang arah dan merudum di bawah Pak Lah. Tindakannya mengkritik secara terbuka dan langkah akhir dengan keluar dari menjadi ahli UMNO telah memberi kesan besar terhadap Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh politikus lain. Tetapi bagi Dr. Mahathir sebagai ahli politik veteran, langkah dan tindakannya sering diluar jangkaan.

Isu PTPTN

Satu janji politik yang populis

PEMIMPIN Pakatan Rakyat berkempen sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat mereka akan menghapuskan pinjaman pendidikan atau PTPTN.

Ertinya, semua pelajar di negara ini tidak perlu membuat pinjaman dan akan belajar secara percuma di institiut pengajian tinggi dan universiti.

Sudah tentulah di mana-mana sahaja perkataan percuma adalah suatu perkara yang menarik perhatian ramai. Siapakah yang akan menolak benda percuma ?

Tetapi seringkali benda percuma atau free adalah sesuatu yang tidak berkualiti dan tidak berharga nilainya. Orang politik akan lakukan apa sahaja untuk meraih undi, apatah lagi setiap kali menjelang pilihanraya.

Setakat berjanji dengan hanya menggunakan air liur; mereka boleh berjanji apa sahaja termasuk bulan dan bintang. Di sudut ekonomi dan pengurusan kewangan negara apakah ianya sesuatu yang logik dan praktikal ?

Kita perlu ingat orang yang berjanji bukanlah seorang pakar ekonomi dan pentadbir yang cekap selok-belok pengurusan dan pentadbiran. Mereka hanyalah politikus yang terdesak bagi meraih sokongan rakyat untuk mengekal kerusi masing-masing.

Tidak cukup lagikah segala kemudahan dan bantuan kerajaan selama ini ? Dengan berbagai agensi kerajaan yang ditubuhkan demi kemudahan rakyat; itupun ada yang mensia-siakan segala peluang dan kemudahan yang diberi.

Apakah belajar dengan percuma satu jaminan dapat melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan berhemah tinggi ? Sudah tentu tidak. Kalau datang secara percuma, hasil akhirnya percuma jugalah !

Pinjaman pendidikan bukan bertujuan menggalakan para pelajar berhutang. Namun ia adalah satu tanggungjawab dan latihan pada mereka sebelum memasuki alam kehidupan sebenar selepas belajar. Pengurusan wang dan ekonomi tidak diajar di sekolah-sekolah. Bila mereka dapat pinjaman mereka seharusnya menggunakannya dengan baik dan memulangkannya setelah mereka berjaya dan tamat belajar.

Itupun kerajaan bagi istimewa lagi, selepas belajar dan dapat pekerjaan baru bayar balik pada kerajaan. Mereka yang belum dapat pekerjaan boleh berunding dan tangguh dahulu pembayaran balik.  Bukankah itu sudah satu pertolongan ?

Dunia sekarang nak masuk tandas awam pun kena bayar 10sen atau 30sen. Inikan mahu belajar di menara gading. Namun kerajaan bagi segala kemudahan bagi meringankan beban ibu bapa. Tetapi orang politik, terutamanya pembangkang mengambil kesempatan menawarkan sesuatu yang payah orang hendak tolak.

Berjanji bukan sebarang janji, tetapi biarlah realistik dan menasabah.

Isnin, 9 April 2012

Dr. Hasan Mohamed Ali

Anwar punca segalanya

BILA Dr. Hasan Ali dipecat dari parti PAS beliau menganggap para pemimpin pro Anwar dalam parti mempengaruhi pemecatannya itu.

Ini ekoran tindakan dan langkahnya semasa menjadi Exco Negeri Selangor tidak disenangi PKR dan DAP.

Dan kelmarin Dr. Hasan menuduh Anwar Ibrahim adalah orang yang memainkan peranan dan mempengaruhi dasar perjuangan parti PAS dari negara Islam bertukar menjadi negara kebajikan.

Dr. Hasan sudah tidak dapat menerima lagi Anwar sebagai pemimpin dan meraguinya dalam banyak perkara. Dari soal prinsip perjuangan hingga pada masalah peribadi bekas rakannya itu.

Sedangkan Anwarlah juga merupakan faktor utama Dr. Hasan mencebur dan melibatkan diri dalam politik sepenuh masa dengan menyertai PAS.

Sebelum melibatkan diri dengan politik siasah, Dr. Hasan hanya seorang pakar motivasi dan penceramah agama yang popular di kaca tv. Tetapi setelah berlakunya peristiwa pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan meletusnya era reformasi beliau telah menerjunkan dirinya dalam membela nasib Anwar yang dianggap telah dianiaya.

Dr. Hasan adalah di antara penceramah setiap malam di rumah Anwar di Bukit Damansara pada awal tempoh laungan reformasi bergema. Pada masa itu beliau begitu nekad dan bulat mempertahankan Anwar dan telah mengkritik hebat segala dasar kerajaan.

Seperti biasa dalam kamus politik tidak ada musuh yang kekal dan kawan yang setia. Kini Dr. Hasan merupakan musuh nombor satu tokoh yang pernah dipertahankannya.

Siapa dipihak yang benar tidak penting. Tetapi senario politik Dr. Hasan cukup menarik. Dia masuk politik kerana Anwar. Dia dipecat juga kerana Anwar.

Ahad, 8 April 2012

Datin Seri Rosmah Mansor

Imej dan penampilan menjadi perhatian

SEBAGAI isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terus mendapat tumpuan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat.

Seorang personaliti dan figura utama negara tentulah akan diteropong dari dekat dan jauh segala gerak-geri dari sekecil-kecil hinggalah sebesarnya. Tidak akan ada ruang kosong yang tidak dicelah.

Apa lagi dalam suasana masyarakat negara ini cerita yang panjang seinci boleh jadi sedepa. Malah yang tidak ada cerita boleh diolah menjadi bahan cerita yang menarik.

Itu belum lagi dikira segala tohmahan dan fitnah yang sudah menjadi satu amalan biasa bagi sesetengah golongan. Justeru tuan punya badan perlulah menjaga agar tidak mudah menjadi mangsa dan ruang pada golongan yang sentiasa menunggu peluang.

Dengan suasana politik negara yang banyak menumpu pada soal-soal peribadi kadang-kadang ia boleh mempengaruhi para pengundi. Sebagai orang yang bukan memegang jawatan dan ahli politik seharusnya berada dalam low profile dan tidak terlalu menonjol. Bak kata orang jangan lebih sudu dari senduk.

Apa yang berlaku semasa era Pak Lah Badawi tidak sepatutnya berulang dengan kisah menantunya, Khairy Jamaluddin yang begitu berpengaruh dan memberi imej negatif pada kerajaan. Hingga ada yang menggelar sebagai budak di tingkat 4. Gambaran yang dibayangkan masa itu seolah Pak Lah dikuasai oleh Khairy; termasuk dalam soal pemilihan calon.

Ceciter...ceciter begini walaupun tidak seratus peratus sahih kebenarannya, namun telah memberi kesan besar terhadap corak pengundian dalam pilihanraya.

Dalam konteks PRU 13 perkara sama boleh berulang tetapi dalam konteks tokoh atau figur yang lain pula. Dalam politik setiap pihak lawan akan terus mencari mangsa untuk dikambinghitamkan tanpa belas kasihan. Yang penting undi.

Sharbinee Allawee

Buat silap lagi...
TERENGGANU dibelasah teruk oleh Selangor 6-1 di Stadium Kelana Jaya dalam perlawanan Liga Super malam tadi.

Sang Penyu mendahului satu gol diawal minit ke 9 menerusi Ismail Faruqi dalam separuh masa pertama.

Selepas itu semua pemain Terengganu kelihatan longlai dan keletihan bermain di atas padang yang basah.

Kesilapan dan kelemahan dibarisan pertahanan Penyu telah memberi ruang pada Selangor menghukum dengan jaringan demi jaringan dalam separuh masa yang kesudahan Selangor mendahului 4-1.

Pemain yang paling kesal semalam ialah penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee yang juga pemain kebangsaan. Tidak kurang dari dua atau tiga gol yang bolos adalah hasil kesilapan beliau. Sama ada kesilapan itu berpunca dari kedudukan atau posisinya yang salah dan cara dia menangkap atau menumbuk bola itu kurang kemas.

Inilah kesilapan sama yang sering berulang pada Sharbinee sama ada bermain untuk Terengganu, malah semasa mewakili pasukan Harimau Malaya. Pada final Piala Malaysia 2011 ketika menentang Negeri Sembilan - di mana Terengganu tewas, beliau telah meminta maaf di atas kesilapannya melepaskan gol mudah pada pihak lawan.

Begitu juga semasa bermain untuk Harimau Malaya di Kejohanan Piala Suzuki AFF di Jakarta bila kita tewas mudah pada Indonesia 5-1 di peringkat awal. Kesilapan sama berulang bila dia melepaskan banyak gol mudah di Singapura dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia. Sejurus itu posisinya telah diambil alih Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, keseluruhan prestasi Sharbinee tidaklah seburuk yang digambarkan. Cuma masalah dengan penjaga gol ini ialah prestasinya tidak pernah menentu. Dia boleh bermain dengan baik dengan formnya yang luarbiasa. Tetapi kadang-kala dia boleh bermain seburuk mungkin.

Bukti jelas dalam perlawanan terakhir baru-baru ini bila Terengganu berjaya menyingkirkan Lions XII dalam perlawanan suku akhir Piala FA. Dan Terengganu juga setakat ini mempunyai rekod bersih tanpa kalah bila bermain di Stadium Jalan Besar, Singapura. Mereka berjaya menewaskan kelab dari Singapura, Tampines Rovers 1-0 dalam Piala AFC baru-baru ini. Sebelum itu berjaya menundukkan Lions XII 1-0 dalam Liga Super.

Memang benar dalam permainan bolasepak adalah permainan berpasukan. Kesebelasan pemain perlu memikul segala kelemahan dan kesilapan dan tidak mencari pemain yang perlu dikambinghitamkan. 

Namun kecuaian dan kesilapan Sharbinee, terutamanya dalam perlawanan malam tadi tidak harus berlaku lebih-lebih lagi dia adalah penjaga gol berpengalaman.

Sekiranya jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagopal masih mahu menyenaraikan lagi Sharbinee dalam skuad kebangsaan - beliau perlu sanggup menghadapi risikonya.

Jumaat, 6 April 2012

Tengku Razaleigh Hamzah

Masih diperlukan UMNO

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) masih menganggap beliau adalah calon pilihan jawatan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri.

Bapa Datuk Seri Najib, Allahyarham Tun Razak adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik parti dan kerajaan dalam usianya masih muda.

Pada suatu ketika Ku Li adalah Naib Presiden UMNO paling kanan berbanding Dr.Mahathir Mohamad dari ketiga orang Naib Presiden, termasuk Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Ku Li sentiasa mengira bahawa Tun Razak sedang mempersiapkan dirinya sebagai pewaris kepimpinan UMNO. Tun Razak pula menganggap Ku Li sebagai putera raja dari istana tentunya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Abdul Rahman Putera AlHaj yang juga berdarah raja.

Tetapi bila Tun Razak meninggal dunia secara mengejut, penggantinya Tun Hussein Onn telah memilih Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri melangkaui kedudukan Ku Li dalam parti. Faktor Tun Hussein memilih Dr.Mahathir ialah kerana pada masa itu Ku Li masih muda.

Tiada protes dari Ku Li dengan perlantikan Dr.Mahathir sebagai TPM merangkap Timbalan Presiden parti. Kerana bagi beliau sekiranya nanti Dr. Mahathir menjadi PM, beliaulah calon utama jawatan TPM.

Namun bila Tun Hussein meletakkan jawatan dan Dr. Mahathir mengambilalih menerajui parti dan negara, beliau tidak memilih calon TPM seperti dilakukan Tun Hussein. Sebaliknya, Dr. Mahathir telah menyerahkan pada ahli-ahli UMNO menentukan melalui proses demokrasi iaitu pertandingan jawatan nombor dua parti.

Justeru itu Tun Musa Hitam, salah seorang Naib Presiden telah menawarkan dirinya bertanding menentang Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Maka berlakulah pertandingan satu lawan satu pada tahun 1981.

Akhirnya, Ku Li tewas pada Musa Hitam dengan 200 undi. Ada beberapa faktor mempengaruhi kekalahan Ku Li. Antaranya, Dr. Mahathir secara terbuka memilih dan menyokong Tun Musa Hitam sebagai calon pilihannya. Dan kedua Ku Li gagal menonjolkan dirinya sebagai seorang tokoh ultra nasionalis melayu yang tinggi berbanding Musa Hitam di kalangan para ahli UMNO.

Bagaimanapun semuanya telah menjadi sejarah. Kini adalah era Najib Razak. Pun begitu Ku Li masih menyimpan hasrat dan harapan sebagaimana semasa Tun Razak membawanya masuk dalam parti satu masa dahulu.

Namun Ku Li tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat pusat atau majlis tertinggi. Beliau hanya gah di Gua Musang; kubunya paling kental yang sukar ditembusi sesiapa. Harapan dan impiannya terlalu sukar dan penuh ranjau. Apa pun Ku Li tetap menjadi aset penting dan masih diperlukan UMNO lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihanraya umum 13 ini.

Tarikh pilihanraya umum

Strategi dan percaturan politik

SUDAH menjadi satu tradisi sejak merdeka di negara ini bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan bila tarikh pilihanraya umum dan pembubaran Parlimen.

Ianya menjadi satu teka-teki dan kejutan pada semua orang, terutamanya parti pembangkang.

Pihak pembangkang seringkali mempertikai cara ini dan menuntut agar kerajaan memberi notis lebih awal agar persiapan rapi dapat diadakan.

Walau apapun tindakan Perdana Menteri merahsiakan tarikh keramat itu tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara. Cuma langkah ini dilihat sebagai tidak adil buat parti pembangkang yang mahu ianya diumum lebih awal sebagaimana diamalkan disetengah negara.

Bila Parlimen akan dibubarkan dan tarikh pilihanraya umum hanya Datuk Seri Najib Razak seorang sahaja yang tahu dalam dunia ini. Barangkali, jika ditanya pada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun beliau tidak dapat menjawabnya dengan pasti.

Pihak Pakatan Rakyat tidak boleh komplen dengan langkah teka-teki Najib dalam hal ini. Kerana negeri-negeri yang ditadbir pembangkang kecuali Kelantan belum sepakat untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing seiring dengan pembubaran Parlimen.

Selangor dan Pulau Pinang dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung untuk mengadakan pilihanraya negeri secara berasingan. Mereka berdua mahu menghabiskan tempoh mandat sehingga tahun depan.

Manakala Kelantan dibawah Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu pilihanraya diadakan serentak. Alasan Nik Aziz jika pilihanraya dibuat berasingan banyak 'hantu-hantu' yang akan datang menyerang Kelantan. Tidak mampu hendak lawan dan tepis, kata orang tua itu. Di Kedah pula Datuk Seri Azizan Razak seperti biasa menyerahkan bulat-bulat pada PAS pusat. Dia ikut saja.

Justeru itu Najib sendiri agak serba salah. Kalau diadakan pilihanraya pada April atau Jun ini, tetapi Selangor dan Pulau Pinang enggan bubar DUN mereka, bagaimana ? Yang pening kepala dan terpaksa bekerja dua kali disamping peningkatan kos ialah SPR.

Tarikh pilihanraya sama ada rahsia atau tidak bukan lagi satu isu besar. Pihak kerajaan mahu pun pembangkang; mereka telah berkempen sepanjang masa, sepanjang bulan dan tahun tanpa henti sejak selesai pilihanraya umum pada 2008 lagi. Tidak cukup lagikah berkempen dan berceramah ?

Di Malaysia politik berjalan tanpa henti dan bukan empat atau lima tahun sekali. Ia adalah proses sepanjang masa tanpa henti. Itu pun belum dikira entah berapa kali pilihanraya kecil terpaksa diadakan.
Orang Malaysia terlalu banyak politiking !



 

Khamis, 5 April 2012

A. Samad Said

Dari sasterawan ke pentas politik

SASTERAWAN Negara, A.Samad Said adalah pengerusi bersama Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan 28 April ini di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi dan satu pilihanraya bersih.

Pak Samad ialah bekas pengarang akhbar dan seorang novelis. Sejak akhir ini Pak Samad lebih tertumpu pada bidang puisi dan lukisan.

Beliau pernah melancarkan 'mogok seni' suatu masa dahulu sebagai bantahan terhadap layanan dan masalah honorariumnya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mogok seninya itu bermaksud beliau berhenti dari berkarya atau menulis apa-apa karya sehinggalah masalah ketidakpuashatiannya diselesaikan.

Selepas itu Pak Samad merajuk lagi dengan kerajaan seolah beliau sebagai sasterawan Negara tidak mendapat perhatian dan layanan sewajarnya. Pak Samad bercita-cita untuk mendapat sebuah arkib bagi menyimpan dan menghimpun segala khazanah karya seninya untuk warisan bangsa.

Namun bagi Pak Samad hasratnya itu tidak diberi perhatian dari kerajaan, terutamanya kementerian penerangan. Lalu khabarnya, Pak Samad ingin memindahkan segala karya seninya keluar negara. Dilaporkan negara New Zealand bersedia untuk membantu memenuhi hasrat dan impian Pak Samad mendirikan sebuah arkib untuk tujuan itu.

Sehingga ini tidaklah pasti apakah projek ini berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun itulah Pak Samad yang sebelum ini begitu 'setia' dengan dunia seninya dan tidak mengambil pendirian dalam soal siasah. Beliau pernah dikecam hebat dan berpolemik dalam media cetak dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Shahnon telah mengkritik sikap dan pendirian beliau dalam banyak isu. Dan Shahnon ketika itu seorang anti-establishment dan orang kuat parti PAS.

Tetapi kini Shahnon yang agak uzur telah mengecam pula parti yang didokongnya kerana bekerjasama dengan DAP. Jelas kini Shahnon telah bersikap lebih lunak dalam soal politik dan persepsinya terhadap kerajaan.

Kalau dahulunya Shahnon Ahmad agak kritikal terhadap kerajaan kini beliau telah berpusing beberapa darjah. Ironinya, Pak Samad kini mengisi pula kekosongan yang ditinggalkan Shahnon.

Namun apakah Pak Samad akan bersikap lebih lunak terhadap kerajaan diakhirnya sepertimana Shahnon yang kini agak mengendur.

@Ehsan Kartun Rossem.