Ambil langkah sekatan dan rundingan
BARACK Obama kekal untuk penggal kedua di Rumah Putih sebagai Presiden Amerika dengan harapan seluruh dunia tidak akan berlaku peperangan dengan Iran tentang isu senjata nuklear.
Dasar Obama terhadap isu senjata nuklear Iran telah menimbulkan rasa tidak puas hati pihak parti Republikan dan sekutunya Israel.
Bagi mereka Obama terlalu berlembut dalam menangani isu ini. Republikan dan Israel mahu tindakan lebih keras ke atas Iran sebelum terlambat. Antara pilihan ialah menggunakan kuasa ketenteraan dengan menyerang negara yang menguasai Teluk Hormuz itu.
Semasa kempen pilihanraya Presiden baru-baru ini calon Republikan, Mitt Romney telah berjanji akan mengenakan dasar lebih ketat bagi menggagalkan usaha Iran menjadi kuasa nuklear. Dan Israel kelihatan lebih menyenangi Romney berbanding Obama.
Obama pula lebih cenderung untuk membawa Amerika keluar dari kancah peperangan yang telah memberi kesan besar terhadap ekonomi kuasa besar itu. Dia tidak sanggup lagi mengheret Amerika ke dalam satu lagi peperangan yang mungkin memberi kesan dan risiko besar bukan saja pada AS tetapi juga seluruh dunia.
Namun pentadbiran Obama terus mempertingkatkan sekatan ekonomi terhadap Iran dengan harapan regim Tehran akan lumpuh dan seterusnya memberi laluan kebangkitan rakyat menentang kerajaan atau apa yang disebut sebagai 'regime change'.
Kini pun kesan dari sekatan sudah pun mulai dirasai seluruh rakyat Iran dengan nilai mata wang Iran jatuh merosot dan semua barangan keperluan naik melambung. Rakyat kini mula merasa bahangnya. Ada sebahagian rakyat mula menunjuk perasaan di jalanraya bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara kerajaan menangani isu ekonomi ini.
Pilihanraya Presiden Iran akan berlangsung tidak beberapa lama lagi. Apakah akan berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan negara itu dan seterusnya membawa haluan baru dalam hubungan AS - Iran lebih-lebih lagi dalam isu senjata nuklear yang boleh mengancam dunia ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan