Sabtu, 11 Februari 2012

Ustaz Azhar Idrus tidak jadi calon

USTAZ Azhar Idrus, pendakwah
yang popular tanahair menafikan
bahawa beliau akan masuk menjadi
calon PAS dalam PRU13 ini.

"Saya bukan ahli PAS", katanya.

Beliau menegaskan akan meneruskan
kerjanya sebagai pendakwah. Dan
tidak akan terlibat dalam mana-mana
parti politik.

Sehingga kini berpuluh-puluh video
klip kuliahnya dimuat turun menerusi
laman Youtube.

Menurut Ustaz Azhar, dia menerima
semua jemputan semua pihak termasuk dari parti PAS dan UMNO.  Cuma kadang-kadang orang melihat
beliau sebagai ahli PAS kerana aliran yang dibawanya selari dengan parti itu.

Pendirian beliau amatlah baik dan sesuai dengan suasana politik dalam negara kini. Banyak peranan
dan sumbangan beliau boleh lakukan untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Bukan semua perkara
mesti dilakukan melalui saluran parti politik.

Malah banyak terbukti orang-orang seperti Ustaz Idrus sebelumnya telah hanyut dan hilang kewibawaannya setelah menjadi ahli politik. Misalnya, Ustaz Badrul Amin Baharom, pendakwah dan
bekas pensyarah di UIA yang kini terlibat dengan PKR. Yang terbaru pula ialah Datuk Dr. Hasan Ali,
seorang pendakwah dan pakar motivasi yang kini bergelut dengan sepak terajang politik parti.

Alangkah sayangnya tokoh-tokoh agama seperti ini bergelumang dengan permainan politik dan terdedah
pada cercaan dan penghinaan secara peribadi dan sebagainya.

Tidak salah untuk berpihak dan menyatakan kebenaran. Tetapi harus dibuat secara hikmah dan bijaksana demi masalahat ummah. Sebenarnya, peranan dan sumbangan Ustaz Azhar lebih politik dari orang-orang politik.

*Ilustrasi: Dunia.Pisyek.Com



Jumaat, 10 Februari 2012

Fabio Capello letak jawatan

PENGURUS England dari Itali, Fabio Capello
akhirnya meletakkan jawatan setelah hampir
empat tahun mengemudi pasukan "The Three
Lions" itu.

Tidak banyak pencapaian diperolehi sepanjang
beliau menjadi pengurus. Keputusannya berundur
agak mengejutkan sedangkan Kejohanan Eropah
(Euro) 2012 hanya tinggal empat bulan sahaja lagi.

Tindakan Capello ini ada kaitan dengan perasaan
tidak puas hatinya terhadap langkah FA England
menyingkirkan John Terry dari menjadi Ketua
pasukan England berkait dengan kes perkauman
yang melibatkan pemain Chelsea itu.

Biasanya, nasib seseorang pengurus dipecat atau
berundur ada kaitan dengan prestasi pasukan tersebut.
Tapi tidak pada Capello. Dia meletakkan jawatan
kerana tidak puas hati gara-gara lilitan kapten pada
Terry dilucutkan.

Capello bukanlah pengurus asing pertama England.
Sebelum ini kerusi itu dipegang oleh Sven Goran
Ericson dari Sweeden. Pun begitu pasukan England tidak dapat mara lebih jauh dalam kejohanan
Euro dan Piala Dunia.

Banyak orang mempersoalkan mengapa England harus mengambil pengurus dari luar sebagai
pengurus pasukan kebangsaannya. Tidak ada calon lainkah yang sesuai di England ?

Dengan Capello sudah angkat kaki ramai pihak berpendapat sudah sampai masa England
diurus oleh calon dari warganya sendiri. Justeru itu timbul nama-nama calon seperti pengurus
Tottenham, Harry Redknapp sebagai orang yang paling layak.

FA England perlu memastikan calon pengurusnya bukan lagi tokoh dari luar. Agak janggal England
sebagai salah satu kuasa bola sepak dunia dengan populariti Liga Perdana Inggerisnya masih bergantung
pada tenaga import bagi mengurus pasukan kebangsaannya.

Harry Redknapp terpaksa membuat pilihan antara Tottenham Hotspurs atau The Three Lions.

Khamis, 9 Februari 2012

Pak Lah pertahan Kepala Batas ?

"PRU 13: Pak Lah serah kepada PM", begitulah tajuk berita kecil dalam akhbar Utusan Malaysia, Khamis, 9 Feb. 2012.

Dalam berita itu antara lain melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan sama ada beliau akan bertanding dalam PRU 13 ini dan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas.

Dengan kenyataan itu jelaslah Pak Lah belum lagi bersara dari arena politik. Dia cuma letak jawatan sebagai PM semasa menyerahkan jawatan nombor satu itu kepada Najib.

Letak jawatan dan berundur adalah berbeza dengan bersara terus. Ertinya, kedudukan Pak Lah tidak sama dengan Dr. Mahathir atau Tun Musa Hitam yang sah telah bersara dari dunia politik.

Kalau Pak Lah terpilih menjadi calon lagi dalam PRU 13 nanti, maka dia akan menjadi
mantan PM yang pertama terus bertanding sebagai calon selepas berundur dari jawatan
Perdana Menteri.

Orang yang paling tidak gembira dengan berita ini tentunya ialah Dr. Mahathir. Salah satu
faktor dan punca Pak Lah terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM dulu adalah kerana
tekanan dan kritikan bertali arus dari Dr. Mahathir yang menganggap Pak Lah sebagai
Presiden UMNO yang paling lemah dalam sejarah parti itu.

Kemungkinan Najib memilih semula Pak Lah bagi mempertahankan kerusi Kepala Batas
memang ada. Apakah sebab dan faktornya hanya Najib sahaja yang tahu.

Bagi Pak Lah sekiranya berjaya sekali lagi ke Parlimen beliau akan menjadi rakan mantan
orang lama UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah sebagai tokoh veteran yang masih berkhidmat
sebagai wakil rakyat.

Rabu, 8 Februari 2012

Syria tidak sama dengan Libya

KEDUDUKAN negara Syria tidak sama dengan Libya; di mana Pakatan NATO telah berjaya melakukan serangan udara bagi melumpuhkan tentera yang setia pada Muammar Gaddafi.

Dengan bantuan dan serangan udara itulah membantu pihak pemberontak menggulingkan rejim Gaddafi dan tentera yang setia padanya.

Libya yang meliputi banyak dan luas kawasan berpadang pasir serta jumlah penduduk yang kecil berbanding keluasan wilayahnya.

Tidak begitu dengan Syria; mempunyai penduduk yang padat dan tidak berpadang pasir. Ini tentunya menyukarkan pihak tentera NATO melakukan serangan seperti mana mereka lakukan di Libya. Sekiranya serangan udara dilakukan terhadap Damsyik, banyak nyawa orang awam akan terkorban.

Inilah beberapa faktor yang menjadi pertimbangan pihak NATO dalam menentukan sama ada serangan
udara akan menjadi pilihan dalam menjatuhkan kerajaan Bashar Al Assad.

Satu lagi cara ialah dengan memberi segala bantuan pada puak penentang dan menjadikannya barisan yang kuat dalam usaha mengalahkan tentera yang setia pada kerajaan. Kini pun telah banyak tentera kerajaan yang telah berpaling tadah menyertai orang awam menuntut Bashar meletakkan jawatan.

Bagi Bashar beliau telah pergi terlalu jauh dan tidak mungkin menoleh ke belakang lagi. Jika beliau tewas maka nasibnya akan dihitung di mahkamah antarabangsa di atas tuduhan jenayah yang dilakukan terhadap rakyatnya sendiri.

Negara barat cetak matawang

DR.MAHATHIR Mohamad menulis dalam entri terbaru dalam blognya menjelaskan bagaimana
negara-negara barat termasuk Amerika dan Britain telah mencetak matawang mereka bagi mengatasi
krisis hutang dan ekonomi yang mereka hadapi.

Hutang negara-negara ini telah mencecah satu trillion. Dan sebenarnya mereka telah hampir muflis.
Dengan mencetak matawang mereka sendiri dengan harapan menyambung terus talian hayat ekonomi
mereka yang ternyata tidak produktif.

Dengan skim gaji dan elaun yang tinggi diperolehi oleh para pengurus dan eksekutif dalam syarikat-syarikat korporat sebenarnya mereka telah berbelanja melebihi dari pendapatan.

Inilah beberapa faktor punca kemelesetan ekonomi yang sedang melanda dan berjangkit ke seluruh
Eropah, terutamanya Greece yang kini telah bangkrap.

Menurut Dr.Mahathir, sekiranya negara-negara Asia termasuk Malaysia mengambil langkah sama
dengan mencetak matawang mereka sudah tentu ini akan mendapat kecaman dan kritikan dari barat.

Selasa, 7 Februari 2012

Politik dari kacamata kartunis

KATA orang sekeping gambar boleh menceritakan seribu perkataan. Dengan
lakaran kartunis di atas mampu memberi gambaran suasana politik tanahair sekarang.

Isnin, 6 Februari 2012

Bashar Al Assad menghitung hari

SUDAH hampir sebelas bulan Syria di bawah pimpinan
Presiden Bashar Al Assad terus bergolak dan telah mengorbankan
banyak orang awam akibat pertempuran dengan tentera
kerajaan.

Rakyat terus berdemo di jalan-jalanraya mendesak agar
Bashar meletakkan jawatan. Pada awalnya kelihatan pihak
tentera berjaya mengawal keadaan.

Tetapi kini penentangan semakin kuat dan ramai tentera
kerajaan telah berpaling tadah. Ini mengakibatkan pertempuran
bersenjata semakin sengit dan telah meragut nyawa kedua
pihak yang terus meningkat setiap hari.

Liga Arab telah berusaha memainkan peranannya dengan
merangka pelan agar Bashar berundur dan menghentikan
pertumpahan darah, terutamanya orang awam yang tidak
berdosa.

Namun inisiatif Liga Arab telah menemui kegagalan. Kini Amerika
bersama sekutunya dengan mendapat sokongan Liga Arab telah membuat resolusi di PBB untuk
mengenakan sekatan antarabangsa terhadap Syria. Sekatan ini sebagai tindak balas terhadap
kerajaan Syria yang dituduh melakukan pembunuhan saban hari terhadap rakyatnya sendiri.

Bagaimanapun, resolusi ini gagal dilaksanakan akibat bantahan dari dua kuasa besar yang
mevetokannya; iaitu Russia dan China. Bagi kedua kuasa besar ini resolusi PBB yang di ketuai
Amerika adalah berat sebelah dan tidak mengambil kira beberapa faktor termasuk anasir-anasir
luar yang menyusup masuk dalam Syria bagi tujuan memporak-perandakan negara itu.

Amerika berang dengan sikap dan pendirian Russia dan China dalam menangani isu Syria.
Bagi negara Uncle Sam itu langkah kedua negara tersebut telah mengecewakan masyarakat
dunia dalam usaha menamatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam di Syria yang
dilakukan oleh pihak tentera.

Kedudukan Bashar Al Assad kini semakin tertekan. Penentangan dari rakyat semakin
meningkat dan bertambah kuat. Tidak ada jalan suasana ini akan mengendur. Apa yang
membimbangkan ialah tercetusnya perang saudara yang memberi laluan pada campurtangan
asing dengan berbagai taktik seperti "no fly zone" dan seterusnya membawa Syria ke arah
kehancuran.

Nasib Bashar kini boleh dihitung. Mungkin beliau akan mengikut jejak Hosni Mubarak,
Muammar Gaddafi dan Ali Abdullah Salleh yang kini tersungkur dari kebangkitan rakyatnya.

Sundramoorthy resah

JURULATIH Lions XII, V.Sundramoorthy resah dengan kedudukan pasukannya yang kini berada di tangga ke tujuh Liga Super.

Dari lima perlawanan dengan menang dua, seri satu dan kalah dua di tempat sendiri tidaklah memberi gambaran sebenar kekuatan Lions yang dibarisi pemain-pemain kebangsaan.

Kekalahan pada Kelantan 2-1 dan Trengganu 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura sedikit tercalar imejnya sebagai sebuah pasukan yang sukar ditewaskan digelanggang sendiri, lebih-lebih lagi dengan pasukan negeri dalam Liga.

Dalam sejarah penglibatan pasukan Singa itu dalam Liga Malaysia ia adalah sebuah pasukan yang sukar ditumpaskan; apa lagi dengan sorakan "Kallang roar" di Stadium Nasional yang boleh dibanjiri penonton sehingga 80,000.

Tetapi kini sorakan "Kallang" sudah tiada kerana stadium tersebut masih dalam proses perubahan. Mereka sekarang menggunakan Stadium Jalan Besar yang hanya mampu menampung para penonton sekitar tujuh hingga lapan ribu orang sahaja.

Pada Rabu ini Lions XII akan turun menentang Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Ini adalah perlawanan penting bagi kedua pasukan. Selangor yang berada ditangga kelima mempunyai rekod pertemuan kurang memberansangkan bila bertemu dengan pasukan Singa itu.

Sejak akhir-akhir ini pertemuan kedua pasukan ini lebih memihak pada pasukan Singapura. Irfan Bakti sebagai jurulatih baru Selangor tentu berazam mengubah rekod perlawanan dengan mencapai kemenangan Rabu ini.

Bagi V.Sundramoorthy pula pasukannya tidak boleh menerima kekalahan lagi kerana ini akan menyukarkan lagi kedudukan mereka di tangga Liga. Lions XII pasti akan turun "all out" bagi menewaskan Selangor dan membaiki kedudukannya yang sedikit ke bawah Liga.

Khamis, 2 Februari 2012

Safee Sali kekal di Pelita Jaya

STRIKER kebangsaan Safee Sali sah terus menjadi milik kelab Pelita Jaya FC bila
dia menyambung kontrak dengan kelab Indonesia itu selama dua tahun. Khabarnya,
nilai kontraknya bernilai RM2 juta termasuk berbagai kemudahan dan insentif.

Sebelum ini khabar angin bertiup kencang mengatakan Safee telah menerima banyak
tawaran dari dalam dan luar negara. Ada berita melaporkan dia akan ke Kelantan
atau Johor.

Keputusannya untuk terus kekal di Jakarta adalah tepat dan baik untuk dirinya dan
masa depannya dalam pasukan kebangsaan. Kini Safee adalah antara penyerang
sensasi di rantau Asia dan kebanggaan negara.

Beliau juga kini mendapat perhatian dari para peminat Indonesia yang cukup fanatik
dalam sukan ini. Kehadiran Safee dalam Liga Super republik itu tentunya bukan sekadar
sebagai pemain atau atlet, malah sebagai wakil atau duta negara dalam mengharmoniskan
lagi hubungan kedua negara yang sensitif dan kadang kala tegang.

Sikap 'permusuhan' yang ditunjukkan rakyat republik itu terhadap atlet negara dalam
Sukan SEA di Jakarta baru lalu perlu dikikis. Fenomena ini terus berlarutan dalam
bidang apa sahaja yang membabitkan kedua negara.

Dengan Safee yang mempunyai peminat dan penyokongnya sendiri di sana, mungkinkah
ia dapat menjadi katalis dalam meredakan suasana tegang yang sering muncul tidak
tentu masa.

Barangkali agak mustahil dengan faktor Safee Sali mampu meredakan segala yang tergugat
dan tergigit yang melibatkan kedua negara serumpun. Tetapi sekurang-kurangnya penerimaan
dan sambutan dari para peminat Safee di sana memberi sedikit harapan hubungan kedua
negara sebangsa kembali pulih.

Selasa, 31 Januari 2012

Misi Rajagopal dan Harimau Malaya

HARIMAU MALAYA berkumpul dan menjalani latihan bulanan di Wisma FAM
minggu ini di bawah kelolaan jurulatih Datuk K. Rajagobal. Ini adalah latihan pertama
sejak Liga Malaysia bermula.

Beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sedang diatur FAM bagi mengekal
dan meningkatkan prestasi pasukan dalam menghadapi Piala Asia dan misi mempertahankan
kejuaraan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini.

Coach Rajagopal pasti menyedari cabaran dan tanggungjawabnya memastikan pasukan
Harimau memperolehi kejayaan dalam dua kejohanan tersebut.

Kita mempunyai ramai pemain-pemain yang berbakat dan berpotensi. Dalam kerancakan
Liga M sekarang sudah tentu Rajagopal mempunyai peluang memilih beberapa lagi pemain
baru yang difikir perlu diisi dalam menguatkan barisan yang sedia ada.

Sebenarnya Rajagopal tidak mempunyai banyak masalah tentang para pemain. Cabarannya
hanya bagaimana beliau memilih pemain yang tepat, mengadun dan mencorakkannya menjadi
satu unit pasukan yang berkesan.

Dia juga tidak boleh terlepas pandang satu atau dua pemain kuda tua yang tentunya boleh
membantu pasukan dengan pengalaman mereka. Membariskan hanya para pemain muda
sahaja dalam kejohanan seperti Piala Asia dan AFF bukanlah satu pilihan yang bijak.

Kadang-kadang pemain bertaraf kuda tua boleh banyak membantu dan melengkapkan
lagi sesebuah pasukan. Rajagopal tentu lebih arif tentang senarai pemain-pemain kategori
ini.

Lagipun, tugas Rajagopal kali ini bukan mudah dan akan menjadi perhatian semua pihak
termasuk majikannya, FAM dan seluruh penyokong Harimau Malaya.

Kegagalan dan kekecewaan pasukan dalam mengharungi kejohanan tersebut tentu akan
memberi kesan besar tentang kedudukannya sebagai jurulatih kebangsaan. Hanya kejayaan
dan kemenangan sahaja menjadi taruhan.

Raja sendiri tahu sekiranya pasukan Harimau gagal, jawatannya sebagai jurulatih akan
menjadi persoalan dan beliau perlu melepaskan jawatan itu. Namun semua orang percaya
Rajagopal adalah seorang jurulatih yang bagus dan berwibawa.

Beliau mempunyai kemampuan untuk membawa kejayaan buat Harimau sebagaimana
beliau buktikan semasa Piala AFF di Jakarta lalu.

Seronok dengar lagu - Selamanya Harimau Malaya!