STRIKER kebangsaan Safee Sali sah terus menjadi milik kelab Pelita Jaya FC bila
dia menyambung kontrak dengan kelab Indonesia itu selama dua tahun. Khabarnya,
nilai kontraknya bernilai RM2 juta termasuk berbagai kemudahan dan insentif.
Sebelum ini khabar angin bertiup kencang mengatakan Safee telah menerima banyak
tawaran dari dalam dan luar negara. Ada berita melaporkan dia akan ke Kelantan
atau Johor.
Keputusannya untuk terus kekal di Jakarta adalah tepat dan baik untuk dirinya dan
masa depannya dalam pasukan kebangsaan. Kini Safee adalah antara penyerang
sensasi di rantau Asia dan kebanggaan negara.
Beliau juga kini mendapat perhatian dari para peminat Indonesia yang cukup fanatik
dalam sukan ini. Kehadiran Safee dalam Liga Super republik itu tentunya bukan sekadar
sebagai pemain atau atlet, malah sebagai wakil atau duta negara dalam mengharmoniskan
lagi hubungan kedua negara yang sensitif dan kadang kala tegang.
Sikap 'permusuhan' yang ditunjukkan rakyat republik itu terhadap atlet negara dalam
Sukan SEA di Jakarta baru lalu perlu dikikis. Fenomena ini terus berlarutan dalam
bidang apa sahaja yang membabitkan kedua negara.
Dengan Safee yang mempunyai peminat dan penyokongnya sendiri di sana, mungkinkah
ia dapat menjadi katalis dalam meredakan suasana tegang yang sering muncul tidak
tentu masa.
Barangkali agak mustahil dengan faktor Safee Sali mampu meredakan segala yang tergugat
dan tergigit yang melibatkan kedua negara serumpun. Tetapi sekurang-kurangnya penerimaan
dan sambutan dari para peminat Safee di sana memberi sedikit harapan hubungan kedua
negara sebangsa kembali pulih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan