Isnin, 6 Februari 2012

Bashar Al Assad menghitung hari

SUDAH hampir sebelas bulan Syria di bawah pimpinan
Presiden Bashar Al Assad terus bergolak dan telah mengorbankan
banyak orang awam akibat pertempuran dengan tentera
kerajaan.

Rakyat terus berdemo di jalan-jalanraya mendesak agar
Bashar meletakkan jawatan. Pada awalnya kelihatan pihak
tentera berjaya mengawal keadaan.

Tetapi kini penentangan semakin kuat dan ramai tentera
kerajaan telah berpaling tadah. Ini mengakibatkan pertempuran
bersenjata semakin sengit dan telah meragut nyawa kedua
pihak yang terus meningkat setiap hari.

Liga Arab telah berusaha memainkan peranannya dengan
merangka pelan agar Bashar berundur dan menghentikan
pertumpahan darah, terutamanya orang awam yang tidak
berdosa.

Namun inisiatif Liga Arab telah menemui kegagalan. Kini Amerika
bersama sekutunya dengan mendapat sokongan Liga Arab telah membuat resolusi di PBB untuk
mengenakan sekatan antarabangsa terhadap Syria. Sekatan ini sebagai tindak balas terhadap
kerajaan Syria yang dituduh melakukan pembunuhan saban hari terhadap rakyatnya sendiri.

Bagaimanapun, resolusi ini gagal dilaksanakan akibat bantahan dari dua kuasa besar yang
mevetokannya; iaitu Russia dan China. Bagi kedua kuasa besar ini resolusi PBB yang di ketuai
Amerika adalah berat sebelah dan tidak mengambil kira beberapa faktor termasuk anasir-anasir
luar yang menyusup masuk dalam Syria bagi tujuan memporak-perandakan negara itu.

Amerika berang dengan sikap dan pendirian Russia dan China dalam menangani isu Syria.
Bagi negara Uncle Sam itu langkah kedua negara tersebut telah mengecewakan masyarakat
dunia dalam usaha menamatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam di Syria yang
dilakukan oleh pihak tentera.

Kedudukan Bashar Al Assad kini semakin tertekan. Penentangan dari rakyat semakin
meningkat dan bertambah kuat. Tidak ada jalan suasana ini akan mengendur. Apa yang
membimbangkan ialah tercetusnya perang saudara yang memberi laluan pada campurtangan
asing dengan berbagai taktik seperti "no fly zone" dan seterusnya membawa Syria ke arah
kehancuran.

Nasib Bashar kini boleh dihitung. Mungkin beliau akan mengikut jejak Hosni Mubarak,
Muammar Gaddafi dan Ali Abdullah Salleh yang kini tersungkur dari kebangkitan rakyatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan