Khamis, 7 Disember 2017

PRU14 : Kepala Bapak Tiada Pilihan

Umno akan menghadapi PRU14 ini dalam suasana yang maha berat seperti yang diakui para pemimpinnya sendiri sebagai ibu segala pilihanraya.

Sudah dua kali PRU 12 dan 13, Umno/BN telah hilang kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen.  Malah kehilangan undi popular di kalangan rakyat.

Umno/BN tidak mungkin dapat menerima keputusan seperti itu buat kali ketiga.

Tugas Umno amat berat bukan sahaja perlu mengembalikan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi perlu merampas kembali Selangor yang telah ditawan pembangkang selama dua penggal.

Pertama : majoriti dua pertiga.
Kedua.    : Selangor mesti dirampas kembali.

Kedua matlamat itu mesti dicapai sekaligus.  Sekiranya salah satu dicapai dan satu lagi gagal ia dianggap sebagai satu kegagalan dan kelemahan.  Ertinya, Umno tiada pilihan melainkan mencapai matlamat keduanya.

Sekiranya gagal bukan sahaja Umno akan menerima malapetaka bahkan Presiden parti merangkap Perdana Menteri tiada pilihan selain berundur dan meletakkan jawatan.

Tidak mungkin Presiden parti akan kekal sekiranya senario itu berlaku.  Pertama ia adalah soal prinsip dan maruah. Kedua ahli-ahli parti akan menuntut pengunduran serta memberi laluan pada pimpinan baru.  Dan ini adalah pasti kecuali ahli-ahli parti telah dirasuk dan disumbat dedak hingga ke hidung.

Justeru itu Kepala Bapak tidak mempunyai banyak pilihan.  Dia mesti mencapai matlamat serampang dua mata tersebut.  Sekiranya gagal dia boleh ucapkan selamat tinggal Putrajaya.

Kepala Bapak akan berusaha berhabis-habisan dan bermati-matian bagi mencapai kejayaan dengan apa cara sekali pun.  Kerana PRU14 ini akan menentukan bukan sahaja nasib masa depan Umno tetapi yang maha penting kedudukan kepala bapak sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Semoga PRU14 ini akan berlangsung secara adil dan telus dan bukannya ditentukan oleh tangan-tangan ghaib yang bergerak dibelakang tabir secara tersirat bukan tersurat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan