Ahad, 25 Januari 2015

Pas masih relevan dalam Pakatan Rakyat ?

Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Phahrolrazi
ORANG PAS cukup gembira melihat Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PasMa (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) Datuk Phahrolrazi Nawawi duduk semeja dalam satu majlis di Kuala Kedah baru-baru ini.

Sebelum ini hubungan Pas dan PasMa seperti musuh seteru. Pada hal semua pemimpin yang menyertai badan NGO itu terdiri dari ahli-ahli Pas.

Pas melalui Majlis Ulama dan AJK pusat pernah mengeluarkan arahan melarang para pemimpin dan ahli Pas menyertai program yang dianjurkan PasMa.

PasMa ditubuhkan menurut pemimpinnya, Phahrolrazi, bagi menyelamatkan parti Pas agar terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR.

Ini ekoran peristiwa Langkah Kajang yang telah menimbulkan krisis hubungan antara Pas dengan DAP dan PKR.

Sehingga kini hubungan antara tiga parti ini belum pulih seperti sediakala. Abdul Hadi pula tidak pernah menghadiri mesyuarat majlis tertinggi PR. Dan beliau tidak pernah kelihatan duduk bersama dengan para pemimpin PR seperti Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng dari sejak timbul krisis hubungan ini.
Lim Guan Eng

Dari Langkah Kajang hingga masalah perlaksanaan hukum hudud dan terbaru masalah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang ianya tidak menunjukkan sebarang harapan hubungan terutamanya Pas dan DAP akan kembali kukuh.

DAP tidak bersetuju dengan hukum hudud Pas. Dan Pas tidak boleh menerima niat DAP untuk mengadakan pilihan raya PBT. Kini perang mulut secara terbuka di media antara dua parti ini sudah tidak terkawal. Masing-masing memberi hujah dan alasan dan enggan tunduk.

Sekali imbas betulkah Pas dan DAP masih berada dalam gabungan PR ? Pas sering menggunakan istilah tahaluf siyasi sebagai hujah untuk bersama DAP ke Putrajaya. Tetapi nampaknya kini tahaluf siyasi dah bertukar menjadi tahaluf bahalol.

Dengan perbalahan secara terbuka kedua parti itu; apakah masih relevan Pas dan DAP duduk bersama dalam PR ?

Seperti kata Phahrolrazi, wujudnya PasMa bagi memastkan Pas akan terus bersama DAP dalam PR. Namun langkah dan gerak geri Presiden Pas, Abdul Hadi lebih ke arah berkonfrontasi terus dengan DAP dalam isu hudud dan pilihan raya PBT.

Jadi pada para penyokong Pas, kehadiran Hadi dan Phahrolrazi duduk semeja dalam satu majlis seakan bertambah celaru dan kelabu tentang masa depan Pas bersama DAP dan PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan