Rabu, 16 Oktober 2013

Naib Presiden lebih kanan dari Ketua Pemuda dan Wanita

DATUK Seri Zahid Hamidi dijangka tidak menghadapi masalah besar memenangi dan mempertahankan kedudukannya sebagai salah seorang Naib Presiden Umno. Yang dua lagi menjadi perhatian. Adakah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal mampu mengekalkan kedudukan ?

Tidak seperti Zahid; peluang Hisham dan Shafie tidak secerah Menteri Dalam Negeri itu yang dikira lebih popular. Ini ditambah dengan penyertaan Datuk Mukhriz Mahathir yang dianggap calon kedua popular disamping Zahid.

Ternyata Hisham dan Shafie terpaksa bekerja keras bagi memastikan kemenangan mereka. Lebih-lebih lagi Hisham yang sedikit terjejas imejnya ekoran prestasinya sebagai menteri dan pemimpin parti dipersoalkan banyak pihak.

Tetapi mesej yang diterima dari pucuk pimpinan parti seolah ketiga penyandang Naib Presiden perlu dikekalkan. Ini bererti ada pihak dalaman parti belum boleh menerima kehadiran Mukhriz.

Dengan kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda dan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita telah menguatkan lagi gerakan agar Mukhriz tidak terpilih. Dengan itu memberi peluang pada Hisham dan Shafie mengekalkan kedudukan mereka.

Harapan dua calon lagi iaitu Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad tidaklah mengancam sebagaimana ancaman dari Mukhriz.

Bagi kalangan parti yang tidak suka pada Mukhriz sudah tentu akan memastikan dia tidak terpilih dalam tiga Naib Presiden tersebut. Terutamanya bagi para penyokong kuat Khairy dan Shahrizat kerana kemenangan Mukhriz sebagai Naib Presiden boleh mengerhanakan kedudukan Ketua Pemuda dan Wanita itu dalam parti dan kerajaan.

Walau pun kedudukan Ketua Pemuda dan Wanita itu bertaraf Naib Presiden namun kerusi Naib Presiden lebih kanan dan berada di barisan ketiga selepas Presiden dan Timbalan Presiden.

Oleh itu sekiranya Mukhriz menang dan terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden- dia lebih atas dan lebih kanan dari Khairy dan Shahrizat dalam pimpinan tertinggi Umno.

Justeru tidak menghairankan jika ada kempen-kempen dari kalangan calon yang telah terpilih baru-baru ini mahu memastikan Mukhriz gagal. Barangkali, inilah mesej yang tersebar kononnya dikekalkan status quo pada tiga jawatan Naib Presiden tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan