Selasa, 22 Oktober 2013

Anwar tidak akan berjaya melalui pembangkang


Dari kiri Anwar, Setiausaha Agung Umno, Mustafa Jabar dan Dr Mahathir

FOTO di atas adalah peristiwa lebih 30 tahun dahulu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja menyertai Umno telah bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dan terus berjaya menewaskan penyandang jawatan Datuk Hj. Suhaimi Kamarudin dengan kelebihan 10 undi.

Umumnya semua mengetahui bahawa Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden parti ketika itu telah memberi sokongan pada Anwar melalui kempen Setiausaha Politik nya, Allahyarham Megat Junid Megat Ayub.

Datuk Hj Suhaimi yang juga anak saudara kepada bekas pemimpin Umno, Allahyarham Datuk Harun Idris dikatakan tidak bertegur sapa dengan Dr Mahathir selepas kekalahannya itu.

Anwar pula sejak kemenangan itu terus bertapak kukuh dalam parti sehingga berjaya melangkah ke jawatan Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden.

Suasana politik Umno ketika itu adalah jelas dan terang bahawa Anwar lah tokoh yang akan mewarisi dan menggantikan Dr Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Ini terbukti bila Dr Mahathir bercuti selama dua bulan, Anwar telah memangku jawatan Perdana Menteri. Bak kata, Anwar hanya menunggu saat dan ketika sahaja bagi mengesahkan kedudukannya sebagai pengganti kepimpinan parti dan negara.

Namun segalanya musnah sekelip mata dan hancur luluh dek surat yang mendedahkan cerita peribadinya. Sehingga ia meleret-leret dan mengheret peribadinya ke jurang yang lebih tajam !

Akhirul kalam, Anwar tiada rezeki. Itu sudah menjadi ketentuan Nya.

Tapi Anwar seolah tidak putus asa dan mahu mencapai apa yang hampir dimilikinya lebih sedekad lalu. PRU 13 telah pun berlalu. Dia gagal memenuhi impiannya. PRU 14 ? Tempoh masih panjang dan perjalanan masih jauh.

Apakah harapan dan impiannya semakin tipis ? Atau ia hanya mampu terlaksana dengan kembalinya ke pangkuan Umno semula ? Ia seperti sesuatu yang mustahil berlaku. Tapi dunia politik ia serba mungkin. Cuma yang pasti Anwar tidak akan berjaya melalui pembangkang !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan