Khamis, 11 April 2013

Kerusi Putrajaya : Husam mengaku tidak ada harapan

CALON Pas di Putrajaya, Datuk Husam Musa mengakui harapannya untuk menewaskan calon BN Tengku Adnan Tengku Mansor adalah tipis dalam PRU 13 pada 5 Mei ini.  Husam berkata demikian pada media bukannya dari Utusan atau TV3 tetapi dari portal berita Pas, Harakah Daily.

Menurut Harakah Daily lagi, Husam berkata, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno/BN telah menjalankan khidmat yang baik selama menjadi wakil rakyat dua penggal di Putrajaya. Dia menjangka Tengku Adnan tidak akan lari ke kawasan lain untuk bertanding kali ini.
Datuk Husam Musa

Hari penamaan calon ialah pada 20 April dan mengundi 5 Mei. Tetapi Husam telah memberi gambaran awal yang dia tidak begitu yakin boleh menang di situ. Mungkin dia cuba berdiplomasi atau main psikologi dari kenyataannya itu, namun dalam hati kecilnya dan hakikat sebenar itulah kenyataan yang disedarinya.

Tetapi dia terus berangan di bawah sedar dan kontradik dengan mengatakan pula peluangnya adalah 45 peratus dan Tengku Adnan 55 peratus. Hanya jurang 5 peratus ! Husam cuba memujuk hati kecilnya.

Apakah dia ke Putrajaya dari kemahuan dan keyakinan dirinya ? Atau ada pimpinan Pas yang mahu dia bertanding di situ ?

Apa pun keputusannya bertanding diluar Kelantan tidak menjamin negeri Cik Siti Wan Kembang itu akan terus berada dalam genggaman Pas. Senario politik di negeri itu sekarang telah berubah. Pas tidak boleh mendabik dada boleh menguasainya dengan mudah. Saingan dari Umno dan BN kali ini adalah sengit.

Bahang gelombang biru dan merah boleh dirasakan di seluruh ceruk Kelantan. Orang ramai sudah mula sedar dan berfikir secara rasional dan tidak emosi dengan mengikut secara membuta tuli. Mereka tidak terpengaruh dengan fatwa-fatwa songsang atas nama agama untuk memancing undi.

Jangan terkejut selepas PRU 13, Kelantan akan mempunyai seorang Menteri Besar yang baru. Dan harap Nik Aziz Nik Mat boleh menerima kenyataan yang beliau akan mengambil alih kerusi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan