Isnin, 8 April 2013

Antara Tun Musa Hitam dan Datuk Zaid Ibrahim

TUN Musa Hitam dan Datuk Zaid Ibrahim adalah antara personaliti yang berpengaruh dan berada di sisi Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Tun Musa boleh dianggap sebagai Penasihat tidak rasmi pada Pak Lah. Datuk Zaid pula dipilih dan dilantik secara payung terjun menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi melakukan perubahan dalam bidang perundangan dan kehakiman negara.
Tun Musa....kempen iklan pembangkang

Secara kebetulan atau tidak, Tun Musa dan Datuk Zaid merupakan dua tokoh yang memang tidak sehaluan dengan bekas PM Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun Musa sehingga hari ini seolah menyimpan buku lama hubungannya dengan Dr. Mahathir yang menyebabkannya menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak jadi Perdana Menteri.

Datuk Zaid pula walaupun ketika itu Menteri Kabinet Umno, namun segala langkah dan tindakannya seperti memenuhi aspirasi dan agenda Majlis Peguam yang lebih memihak parti DAP.

Sekiranya dikaji selidik faktor kejatuhan Pak Lah dan tsunami politik yang dihadapi Umno dan BN pada PRU 12, 2008 ia akan menjadi senarai yang panjang. Namun ia tidak boleh kesampingkan faktor sekitar dua tokoh ini yang membayangi Pak Lah. Tambah lagi Pak Lah suka mengantuk dan tidur.

Tun Musa dalam satu forum Dialog bulan lepas ada memberi pandangan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak akan bangkrap. Zaid pula dalam satu kenyataan kelmarin menyeru rakyat memberi peluang Pakatan Rakyat memerintah dalam PRU 13 ini.

Tun Musa masih ahli Umno. Beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan berasal negeri Johor. Kini Pakatan Rakyat sedang menggempur negeri Johor untuk menawannya dalam pilihan raya ini. Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub akan bertanding di situ.

Setakat ini belum kelihatan dan kedengaran Tun Musa kembali ke negerinya untuk berkempen mempertahankan Umno dan BN. Tetapi Tun Dr. Mahathir telah pun mengadakan ceramah di Johor baru-baru ini bagi melawan dakyah Pas dan DAP.
Datuk Zaid Ibrahim

Sudah tentu rakyat ahli Umno Johor berbesar hati jika Tun Musa turut serta turun berkempen mendokong Umno dan BN. Dr. Mahathir berkata dia berkempen sebagai membalas budi Umno dan kerajaan yang telah meletakan dirinya seperti yang ada sekarang.

Tidak seperti Datuk Zaid, dia bukan lagi ahli Umno. Selepas dipecat dia menyertai PKR. Kemudian Zaid keluar dari PKR kerana tidak berpuas hati dengan cara pengundian ketika dia menentang Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Setelah Zaid keluar dari PKR dia menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Dalam KITA dia buat masalah lagi sehingga dia keluar dan kini tanpa parti dan hanya menumpukan bidang perniagaannya.

Kini semua ahli Umno terutama orang Johor sedang menanti langkah Tun Musa. Apakah beliau akan mengambil sikap berdiam diri dan membisu dalam pilihan raya kali ini. Atau bagi Tun Musa sudah memadai dengan kenyataannya baru-baru ini bahawa negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Mungkin Tun Musa mahu orang ramai terus membaca maksud kenyataannya itu dalam berbagai segi. Kini pun kenyataannya itu telah dijadikan papan iklan besar bersama gambarnya sebagai bahan kempen pembangkang, khasnya di Pulau Pinang.

Tun Musa seharusnya menunjukkan semangat Umno yang tulen dan bukannya seperti belut sukar dipegang licin. Atau memang dia sedang merancang untuk buat kejutan menjelang hari pengundian ? Kalau dia terus membisu dengan tidak bersuara secara terbuka menyokong sebelah sini atau sebelah sana, maka orang akan bertanya; apakah beliau masih sayangkan Umno lagi ?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan