Selasa, 23 April 2013

Pemimpin sekular dan beragama

TAN Sri Muhammad Muhd Taib masuk parti Pas boleh diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba oleh para pemimpin dan penyokong parti itu. Ia bagaikan satu peristiwa besar dan penyuntik semangat buat Pas dalam menghadapi PRU 13.

Dengan latarbelakangnya sebagai bekas Menteri Besar Selangor, menteri kabinet, Naib Presiden Umno dan bekas calon Timbalan Presiden Umno yang tewas pada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Mat Taib adalah pemimpin tertinggi pernah menyertai parti Pas dalam sejarah.
Mat Taib serah borang Pas pada Hj.Hadi

Dalam kenyataan media, Mat Taib memberi hujah penyertaannya dalam Pas kerana parti itu mempunyai roh Islam. Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan keadaan sosial masyarakat di negara ini yang muda mudinya tidak menutup aurat dan bebas.

Mat Taib dari pengakuannya sendiri mengaku bahawa akhir-akhir ini beliau baru "mempelajari" Islam setelah ia tidak lagi memegang apa-apa jawatan. Ertinya, sebelum ini beliau tidak reti apa-apa tentang Islam dan baru memahaminya setelah dia pencen dan tidak diberi perhatian dari parti asalnya.

Pas tentulah berbesar hati menerima Mat Taib sebagai bekas pemimpin besar Umno menyertainya dalam saat PRU 13 di ambang pintu. Bodohlah Pas jika tidak menghebahkannya dan tidak dijadikan bahan kempen untuk menolak Umno.

Mat Taib bukanlah seorang ustaz jauh sekali bertaraf ulama. Begitulah juga dengan bekas rakan-rakannya dalam Umno seperti Tan Sri Kader Sheikh Fadzil dan Tamrin Ghafar yang lebih dulu keluar dari Umno. Tamrin masuk Pas, manakala Kader daftar parti baru.

Mereka ini semua berpendidikan sekular. Tetapi Tuhan telah "membuka" hati mereka untuk menyertai Pas dan meninggalkan Umno.

Namun apa yang berlaku sebaliknya pada tokoh-tokoh seperti Datuk Dr. Hasan Ali, Datuk Muslim Othman, Hassan Basri dan lain-lain yang telah keluar dari Pas kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar parti itu yang mereka anggap telah tergelincir dari dasar perjuangan Islam Pas yang sebenar.
Ustaz Nasharuddin

Dr Hasan, Datuk Muslim dan Hasan Basri adalah pemimpin yang mempunyai latarbelakang pendidikan Islam yang tidak boleh dipertikaikan jika dibandingkan dengan Mat Taib, Kader dan Tamrin. Ini belum dikira lagi bekas Naib Presiden Pas dan Setiausaha Agungnya, Ustaz Nakhaei Ahmad yang bertaraf ulama telah pun meninggalkan perjuangan Pas lebih dari dua dekad lalu. Nakhaei kini adalah ahli Umno.

Dan usah terlepas pandang dengan nasib Ustaz Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas yang kini nasibnya dalam Pas seperti telur di hujung tanduk. Dipecat pun tidak, mesra parti pun tidak juga. Nasharuddin jelas tidak bersetuju dalam banyak dasar parti itu yang dianggapnya sudah tergelincir dari perjuangan Pas sebenar.

Nasharuddin adalah anak didik mantan Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor. Dia bertaraf ulama. Kini dia masih ahli Pas dan belum dipecat kerana tindakan-tindakannya yang bercanggah dengan pucuk pimpinan Pas.

Namun Nasharuddin mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan khasnya. Beliau berikrar akan terus berjuang mengembalikan perjuangan Islam Pas yang sebenar. Malah beliau pernah menyarankan agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat kerana tidak sanggup melihat DAP terus memperalatkan Pas untuk kepentingan politik cauvinis parti itu.

Dalam konteks politik kini, amatlah janggal tokoh politik sekular masuk Pas dan menolak Umno. Dalam masa yang sama tokoh-tokoh Pas yang bertaraf ulama menolak perjuangan Pas. Sekiranya ada yang belum lagi masuk Umno seperti Dr. Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin, namun mereka menyokong dan mesra Umno.

Yang terbaru pula Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya yang dikaitkan dengan parti Pas dan PKR sebelum ini secara berterus terang mengakui tetap akan mengundi Barisan Nasional kerana yakin Umno telah berjaya memertabatkan Islam di negara ini. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan