Isnin, 14 Mei 2012

Muzakarah UMNO-PAS

Hasrat Hadi dibantah
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melakukan kejutan dengan membuka pintu muzakarah pada UMNO bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini.

Kenyataan itu dibuat semasa persidangan akhbar di ibu pejabat parti itu yang dihadiri semua pemimpin tertinggi parti.

Inilah kali kedua Abdul Hadi menunjukkan sedikit keterbukaannya dalam isu muzakarah dan mengadakan pertemuan dengan UMNO bagi kepentingan dan perpaduan umat Islam.

Namun usaha yang digerakkan dahulu menemui jalan mati setelah dibantah keras oleh kumpulan Anwarinas di dalam parti serta campurtangan dari Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang begitu berdendam dengan layanan UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional dulu.

Kali ini Abdul Hadi Awang membuka kembali ruang dan kesediaan parti bagi bertemu dan berdialog dengan UMNO bagi kepentingan ummah. Beliau adalah presiden parti yang dipilih secara demokrasi oleh para ahli parti. Tidak ada orang yang lebih autoriti dan berhak selain beliau dalam membuat kenyataan tersebut.

Tetapi belum apa-apa lagi, salah seorang Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar telah membantah secara spontan dengan mencelah dalam sidang akhbar itu dengan menyebut "kecuali UMNO". Ertinya, kata Mahfuz, PAS sanggup bermuzakarah dengan sesiapa sahaja tetapi bukan dengan UMNO.

Bila ditanya pihak media bagi mengesahkan kenyataannya itu, Mahfuz telah menafikannya. Namun wartawan Sinar Harian mengesahkan mempunyai rakaman membuktikan beliau ada mencelah dan menyebut perkataan itu.

Begitulah nasib Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; beliau bukan sahaja tidak dihormati, malah diperlekeh oleh Naib Presidennya sendiri. Abdul Hadi ibarat seperti seorang Presiden yang tidak berkuasa dan patah kuku.

Barangkali inilah antara faktor mendorong beliau ingin berundur dan tidak mahu bertanding dalam PRU 13 seperti dinyatakannya sedikit masa dahulu. Alasan diberikan ialah beliau mahu memberi peluang kepada calon-calon yang lebih muda.

Ini baru bantahan dari Mahfuz. Tok Guru Nik Aziz belum lagi bersuara. Orang tua itu cukup pantang bila sebut sahaja UMNO - apa lagi bermuzakarah !

Abdul Hadi, sebagai Presiden PAS sering diherdik pemimpin DAP, Karpal Singh dalam Pakatan Rakyat. Dalam parti sendiri pula beliau tidak diendahkan oleh puak Anwarinas. Tidak ada cara yang paling bermaruah bagi beliau sebagai seorang pemimpin melainkan berundur dan meletakkan jawatan. 

Hasrat beliau yang murni untuk bermuzakarah dengan UMNO tidak akan menjadi kenyataan kerana ada pihak dalam parti yang akan menggagalkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan