Sanggup jadi kuda PKR dan DAP
SIKAP Karpal Singh terhadap PAS secara terbuka tentang negara Islam dan hukum hudud seharusnya membuka mata sekalian orang-orang melayu dan Islam di negara ini.
Bukan sekali, malah berkali-kali Karpal membidas pendirian PAS tentang rancangannya mahu melaksanakan hukum Islam bila berkuasa nanti.
Yang terbaru Karpal Singh mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak membisu dalam isu ini dan menyatakan pendiriannya sebenar.
Parti PAS bagaikan tidak bermaruah setiap kali Karpal membantah bila ada pemimpinnya menyuarakan hasrat parti itu ingin melaksanakan hukum Islam.
Memang benar seperti kata Karpal, "Langkah mayat saya dulu," berkenaan hasrat dan cita-cita parti itu.
Para pemimpin UMNO dan ahlinya perlu berterima kasih pada Karpal kerana sikap dan pendirian tegasnya itu telah mendedahkan wajah sebenar PAS dalam isu ini yang jelas tidak berani menyanggah dengan DAP. Sedangkan ia adalah salah satu anggota dalam Pakatan Rakyat yang ingin menawan Putrajaya.
PAS lebih rela dipermainkan dan diperlekehkan oleh DAP daripada bekerjasama dengan UMNO. Hanya satu sahaja sebab kedua parti melayu ini tidak dapat bersatu ialah kerana sifat "dendam" PAS terhadap UMNO tentang kisah masa lampau.
PAS mahu UMNO ditumbangkan dengan apa cara sekalipun tanpa mengira apakah ia mampu menjadi alternatif pada UMNO ? Pilihanraya belum lagi dan kerajaan pusat Pakatan Rakyat tidak ada bayangan lagi, namun lihatlah gelagat DAP dan PAS dalam isu negara Islam. Bagaimana pula dalam isu-isu lain yang mana masing-masing mempunyai kepentingan ?
Tentang parti PKR tidak payah disebut kerana parti itu hanya mahu jawatan Perdana Menteri hatta lain-lain kepentingan dan keselamatan nasional tergugat dari percaturan politik Pakatan Rakyat.
Dengan senario yang berlaku Pakatan Rakyat tidak ada kredibiliti dan integriti bagi menggantikan Barisan Nasional dalam mengemudi negara ke ambang 2020 sebagai sebuah negara maju dan makmur.
Rakyat negara ini berada dipersimpangan jalan dalam menentukan arah tuju negara dan masa depannya. PRU 13 akan menjadi medan penentu. Yang tentunya rakyat perlu berfikir secara matang dan tidak membenarkan sekali-kali emosi menguasai diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan