TUN MUSA HITAM semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah memberi kata dua kepada Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan masa itu agar membuat pilihan sama ada mahu jadi ahli politik atau ahli perniagaan.
Selepas Tun Musa menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah(Ku Li) dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO buat kali kedua, Dr. Mahathir telah mengekalkan terus Tengku Razaleigh dalam kabinet dengan melantiknya sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Sebaliknya Menteri Kewangan; jawatan yang dipegang Ku Li diserahkan pada Tun Daim. Kebetulan Ku Li dan Daim adalah rakan rapat.
Keputusan Dr. Mahathir membawa Tun Daim dalam kabinet tidak menyenangkan Tun Musa. Apatah lagi Ku Li kekal berada di dalam kabinet.
Menurut perkiraan Tun Musa setelah dia berjaya menewaskan Ku Li sebanyak dua kali bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1981 dan 1983, Dr. Mahathir akan menggugurkan Ku Li dari kabinet.
Tun Musa sebenarnya mempunyai calonnya sendiri bagi jawatan Menteri Kewangan. Beliau ialah Dr. Nawawi Mat Awin, bekas Pengerusi Bank Bumiputera pada tahun 80an.
Bagi Tun Musa, kemasukkan Daim dalam kabinet mengancam kedudukannya dari segi politik UMNO dan menguatkan Dr. Mahathir serta menyelamatkan hayat politik Ku Li.
Suasana politik ini bertambah keruh dengan kehadiran Anwar Ibrahim yang pada ketika itu sedang meningkat naik dan popular di kalangan ahli parti. Hubungan Anwar dengan Musa pula pada masa itu agak masam-masam manis.
Dengan faktor Ku Li, Daim dan Anwarlah, Tun Musa merasakan dirinya tersisih - walaupun dia adalah Timbalan Presiden parti.
Disinilah punca bibit-bibit keretakan hubungan Mahathir-Musa yang masa itu lebih dikenali sebagai kerajaan 2M.
Kemuncak ketidakpuas hati Tun Musa ini telah diluahkan dalam satu ucapannya semasa merasmikan persidangan Pemuda dan Wanita UMNO.
Dalam ucapan tersebut Tun Musa dengan tidak menyebut nama orang tertentu telah memberi amaran pada pemimpin tertinggi UMNO agar memilih sama ada mahu menjadi ahli politik atau ahli korporat. Kerana menurut Musa, politik dan perniagaan tidak boleh dicampuradukkan.
Tun Musa Hitam melihat Tun Daim bukan sebagai ahli politik tetapi lebih sebagai tokoh korporat.
Kehadiran Daim, Ku Li dan Anwar dalam kabinet Mahathir terus menghantui Musa sehinggalah dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Namun perletakkan jawatannya itu bukanlah satu titik noktah. Dia cuba ' come back ' dengan berpakat dengan Ku Li menentang kepimpinan Dr. Mahathir.
Strategi Musa semasa itu ialah seperti kata pepatah Inggeris ' killing two birds with one stone '.
Seterusnya apa yang berlaku telah menjadi sejarah hitam dalam politik negara dan UMNO khususnya.
Yang dimaksudkan pepatah Inggeris ' two birds ' itu - bukanlah terjadi pada Mahathir, sebaliknya menimpa Musa dan Ku Li. Khalas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan