Khamis, 15 September 2011

Pendirian Amerika diuji



Putera Turki Al Faisal

BEKAS Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Putera
Turki Al Faisal telah menyatakan sekiranya Amerika
menggunakan kuasa veto untuk menghalang usaha Palestin
mengisytiharkan negara merdeka - hubungan AS- Arab Saudi
akan melalui perubahan besar.

Menurut Putera Saudi itu, Arab Saudi merupakan sekutu rapat
AS di Timur Tengah dan sentiasa bekerjasama serta mempunyai
banyak persamaan dalam banyak isu antarabangsa.

Tetapi dalam isu Palestin kali ini Arab Saudi akan mengambil
pendirian tegas menyokong wujudnya sebuah negara Palestin
merdeka tanpa tolak ansur dan sanggup menghadapi risiko
hubungan kedua negara.

AS sudah tentu akan menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan
usaha Palestin dan negara-negara Arab lain. Dan ini akan
meningkatkan lagi sentimen anti AS dikalangan negara Arab yang
kini sedang mengalami - The Arab Spring.

AS dan Israel sering menyeru agar Palestin kembali
ke meja rundingan. Namun bagi Palestin semua rundingan
selama ini adalah sia-sia kerana sepanjang rundingan selama
lebih tiga dekad rakyat Palestin tidak mencapai apa-apa
kemajuan, malah tanah mereka semakin lama semakin
dicerobohi.

Menurut setengah pemerhati sekiranya AS menggunakan kuasa
vetonya, maka AS tidak layak menjadi orang tengah dalam
rundingan Israel-Palestin pada masa akan datang.

Kalau AS jujur dalam mencari penyelesaian konflik
Israel-Palestin ia perlu menyokong inisiatif negara anggota
menjadikan Palestin sebuah negara merdeka.

Dari situ AS boleh memainkan peranannya sebagai
orang tengah mendamaikan kedua pihak untuk hidup aman
sebagai dua negara berjiran.

AS telah memainkan peranan dan menyokong kuat
pergerakkan demokrasi di negara-negara Arab yang
sedang bergolak sekarang. Mengapa ia tidak boleh
lakukan perkara yang sama dalam soal Palestin ?

Dengan perubahan yang berlaku di Mesir dan
kebangkitan Turki sebagai kuasa baru di kalangan
negara Islam; AS-Israel perlu mengkaji semula
dasarnya di Timur Tengah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan