Rabu, 7 September 2011

Antara makanan dan kesihatan


SOMALIA adalah sebuah negara termiskin di dunia.
Dianggarkan hampir sejuta orang mati akibat kekurangan
makanan.

Yang paling banyak menjadi mangsanya ialah kanak-kanak.
Segala kemudahan infrastruktur negara itu hancur musnah
akibat konlflik politik dan perang saudara yang telah memakan
masa lebih 10 tahun.

Lebih menyedihkan segala bantuan makanan dan kemanusiaan
dari negara luar telah disekat oleh kumpulan militan yang
bersengketa iaitu Al Shabab.

Begitulah gambaran Somalia, bukan sahaja rakyatnya
tidak punya makanan untuk disuap, malah kedudukan
negaranya hancur musnah.

Berbagai pertubuhan antarabangsa telah merayu pada PBB
agar melakukan tindakan segera dalam membantu menyalurkan
bantuan makanan dan lain-lain keperluan bagi mengelak
berlakunya tragedi dahsyat dalam abad ini.

Berlainan pula dengan suasana di negara kita yang serba
mewah dengan segala macam jenis makanan dan masalah
pembazirannya. Di sini sisa-sisa makanan yang terbuang,
kalau dikumpulkan, boleh mencecah ber tan-tan banyaknya.

Di negara kita, makan dan makanan secara berlebihan sudah
menjadi "pembunuh secara senyap" berjuta penduduknya.

Buktinya, rakyat negara kita adalah pengidap penyakit buah
pinggang tertinggi di dunia. Dan angka ini terus meningkat
dari setahun ke setahun. Itu belum kira lagi dengan masalah
obesiti dan lemak di badan yang berlebihan.

Semuanya berpunca dari tabiat pemakanan dan ini tentunya
berkait dengan makan berlebih-lebihan, terutamanya kegunaan
gula dan garam, sesedap rasa !

Barangkali, di Somalia mereka "makan untuk hidup" dan kita
di sini "hidup untuk makan".

Kerana kebanyakan kita hidup untuk makan, maka ada yang
baru berusia 30an dan 40an sudah pun "boroi" dan badan ibarat
sebuah tempayan.

Saya tertarik dengan filosofi negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad,
84 tahun, yang mengamalkan tabiat makan sedikit dan berhenti sebelum
kenyang. Dan beliau tidak "boroi".

Manakala menurut cerita, Seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin,
76 tahun, yang kelihatan masih sihat dan kuat, tidak menyentuh ayam
dan daging dalam menunya. Beliau hanya makan ikan dan sayur.
Dia juga tidak "boroi".

Makan tidak boleh sebarang makan dan ikut selera nafsu.
Ada pepatah mengatakan, orang yang makan sedikit lebih
panjang usianya dari orang yang makan ikut nafsu !















Tiada ulasan:

Catat Ulasan