Ahad, 11 September 2011

Sebuah Palestin merdeka



PIHAK berkuasa Palestin kini sedang berusaha
mengisytiharkan sebuah negara Palestin merdeka
melalui PBB dan menjadi anggotanya yang ke 194.

Presidennya, Mahmoud Abbas berusaha keras melobi
dan mencari sokongan dikalangan negara anggota
bagi mencapai matlamat penubuhan sebuah Palestin
merdeka.

Usaha ini telah ditolak Amerika dan Israel kerana
ianya bersifat "unilateral". Ertinya, kewujudan sebuah
negara Palestin tidak mungkin tercapai tanpa persetujuan
pihak Israel.

Presiden Barack Obama menegaskan Amerika akan
menghalang usaha ini dan meminta Mahmoud Abbas
kembali ke meja rundingan dengan Israel.

Pihak Palestin pula kelihatan sudah bosan meneruskan
rundingan dengan negara Yahudi itu. Setelah hampir
tiga dekad, bermula dengan Camp David, Perjanjian Oslo
dan sebagainya, nasib bangsa Palestin tidak berubah, malah
terus ditindas.

Lebih memburukkan lagi keadaan, Israel terus dengan
dasarnya mendirikan penempatan haram semasa proses
rundingan berjalan.

Dasar Israel ini dikecam Amerika, namun seperti biasa
negara Yahudi itu tidak menghiraukan segala bantahan
dari sekutu kuatnya malah dari negara-negara dunia.

Justeru itu pihak Palestin yang terbahagi dua kumpulan
yang berpengaruh; Fatah dan Hamas telah mengambil
pendirian bergabung bagi mencapai matlamat menubuhkan
negara Palestin.

Fatah dan Hamas sebelumnya tidak boleh bersemuka
dan bermusuh sehingga pernah berperang saudara dan
berbunuhan sesama sendiri akibat mempunyai pendirian
berbeza dalam konflik Israel.

Israel tidak mengiktiraf Hamas dibawah pimpinan
Ismail Haniyeh dan menganggapnya sebagai sebuah
pertubuhan pengganas.

Tetapi dengan sikap Israel yang sering mencabuli
perjanjian yang dipersetujui dengan Fatah; membuatkan
Mahmoud Abbas tidak ada pilihan melainkan bersatu
dengan Hamas dan menggerakkan inisiatif menubuhkan
Palestin merdeka tanpa penglibatan Israel.

Dalam konteks ini, Israel harus dipersalahkan kerana
telah mensia-siakan kesediaan Abbas yang lebih sederhana
dalam mencapai persetujuan dalam rundingan.

Berbeza dengan Haniyeh yang tidak mengiktiraf kewujudan
Israel. Apa lagi berunding dengan rejim Yahudi iu.

Langkah pihak Palestin membawa isu ini ke PBB ini
adalah satu pilihan yang ada setelah kecewa dengan
sikap Israel dan Amerika yang sering memberi sokongan
yang kuat padanya.

Palestin tidak boleh mengharap sokongan dari Amerika
dalam mencapai tujuannya, lebih-lebih lagi Amerika akan
menghadapi pilihanraya Presiden tahun depan.

Seperti biasa Barack Obama yang akan mempertahankan
jawatannya buat penggal kedua memerlukan pelobi-pelobi
Yahudi bagi mempastikan beliau akan terus berada di Rumah
Putih.

Dan sudah tentu Obama akan terus menjalankan dasar
yang akan menguntungkan negara Yahudi itu dan mengambil
hati para pengundi Yahudi kerana mereka mempunyai
pengaruh yang besar dalam menentukan kedudukan calon
di White House.




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan