Isnin, 25 Februari 2013

Anwar bersumpahlah

TUN Dr. Mahathir Mohamad dalam entri terbaru blognya mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersumpah sekiranya beliau benar tidak terlibat dalam kes liwat. Berani kerana benar, takut kerana salah, Tun mengakhiri tulisannya.

Anwar angkat sumpah di Parlimen
Cabaran pada Anwar agar dia bersumpah bagi membersihkan imejnya bukanlah baru. Anwar seperti memekakkan telinga dan tidak pernah menyahut cabaran itu. Seperti kata Tun, mengapa takut sekiranya dia tidak bersalah.

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin satu ketika dulu pernah meminta Anwar agar bersumpah bagi meleraikan kekeliruan masyarakat terhadap segala tuduhan pada dirinya. Bersumpah tidak salah, ia sekurang-kurangnya bukti dia berani dan menepis segala tuduhan.

Dengan hampirnya pilihan raya umum ke-13, adalah tepat sekali jika Anwar mengambil langkah bagi membersihkan dirinya sekaligus memberi keyakinan pada orang yang masih was-was dengannya. Kini bukan  hanya rakyat yang sangsi dengannya, malah sebahagian para pemimpin ulama Pas, terutama Dr. Haron Din tidak dapat menerima beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Khabar Majlis Syura Ulama Pas menolak pencalonan Anwar sebagai PM Pakatan Rakyat bukan rahsia lagi.  Ini membuktikan ada yang tidak kena dengan Anwar sebagai orang yang akan memimpin negara ini.

Ada aktivis Pas memberi pandangan jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya, akan berlaku satu sejarah di mana Anwar sebagai PM baru memberi ucapan pertamanya di Masjid Negara melalui khutbah Jumaat yang disiarkan secara langsung di TV.

Senario itu tidak mustahil berlaku. Namun adakah moleknya sebelum Anwar diangkat sebagai PM dan sebaik saja Parlimen dibubarkan dia terlebih dahulu naik di atas mimbar Masjid Negara atau mana-mana masjid pilihannya dan melafazkan sumpah... Wallahi, Wabillahi, Watallahi.. saya..dot..dot..bersumpah...

Sekiranya ini benar berlaku, maka habislah Datuk Seri Najib Razak dan segala kerajaannya bagi mempertahankan Putrajaya dari dikuasai pembangkang.

Peluang ini terbuka buat Anwar dan dia boleh lakukan sekiranya dia mahu memastikan imejnya kembali bersih dan memulihkan keyakinan orang terhadapnya. Sebagai pemimpin dia bukan sahaja perlu bersih tetapi juga kelihatan bersih.

Adalah sesuatu yang menghairankan jika Anwar tidak sanggup melakukannya dengan berbagai alasan sedangkan ini adalah satu-satunya kaedah yang akan menjernihkan segalanya yang tersimpul. Dan paling utama mencerahkan peluangnya memenuhi impian menjadi Perdana Menteri ke-7.

Ahad, 24 Februari 2013

Nazri tidak minat jadi MB

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz menafikan spekulasi kononnya dia adalah salah seorang menteri kabinet yang teringin menjadi Menteri Besar, Perak yang baru. Dua lagi yang disebut-sebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Nazri Aziz
Menurut Nazri, dia tidak berminat dengan jawatan MB itu yang baginya lebih rendah dari jawatan menteri kabinet. Sekiranya dia dilantik menjadi MB, itu bermakna dia telah diturunkan pangkat. Ertinya, jawatan menteri kabinet adalah lebih senior dari seorang MB.

Bagi Nazri, dia mengharapkan Datuk Seri Najib Razak akan terus mengekalkannya di kerusi Parlimen seterusnya memegang jawatan dalam kabinet.

Dalam konteks parti Umno, Nazri bukanlah orang baru. Dia pernah dipilih menjadi Exco Pemuda Umno pada tahun 1978 lagi. Pada tahun 1993 dia dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dan selepas itu memangku jawatan Ketua Pemuda sehingga 1996. Nazri juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno dari 1990 hingga sekarang.

Dari segi senioriti dan karakter sebagai seorang pemimpin, Nazri lebih lincah dan mempunyai karismatik berbanding ketiga Naib Presiden Umno sekarang iaitu Zahid, Hishamuddin dan Shafie Afdal. Ternyata sejak 1978 lagi Nazri sudah pun berada dalam exco pemuda sedangkan ketiga Naib Presiden sekarang belum ada nama lagi dalam kancah politik ketika itu.

Apa yang pelik dengan sikap Nazri ialah dia tidak pernah menunjukkan minat untuk memegang jawatan tinggi dalam parti. Dia tidak pernah mencuba nasibnya bertanding dalam jawatan Naib Presiden sebelum ini. Dan dia pernah tidak bertanding dalam sebarang jawatan tertinggi parti ketika semua calon lain sibuk berkempen dan mengidam jawatan tertentu parti.

Sayugia jawatan ahli MKT yang dipegangnya sekarang adalah perlantikan dari kuasa Presiden. Sedangkan sekiranya dilihat rekod dan pengalamannya dalam parti selama ini melayakkan dia bertanding di kerusi Naib Presiden.

Saya tidak berniat memperkecilkan kebolehan ketiga Naib Presiden sekarang seperti Zahid, Hisham dan Shafie, namun ketiganya tidaklah ada yang lebih sangat berbanding Nazri.

Cuma masalahnya Nazri tidak pernah tunjuk yang dia adalah seorang yang 'ambitious' dalam mengejar jawatan tinggi parti. Kalau hendak dikira Nazri pernah bersama Najib dalam barisan exco pemuda dulu. Dan ini memungkinkan dia berada di kedudukan lebih tinggi dalam parti sekarang.

Umno akan mengadakan perhimpunan parti tahun ini selepas PRU 13 ini yang telah ditangguh beberapa kali ekoran memberi tumpuan pada pilihan raya umum. Perhimpunan kali ini akan menyaksikan pertandingan dalam banyak jawatan parti.

Apakah jawatan yang akan ditandingi Nazri kali ini ? Apakah dia akan mengambil sikap sama seperti terdahulu dengan tidak merebut apa-apa jawatan hatta sebagai ahli MKT ?

Sekiranya dia mahu, jawatan paling layak untuknya ialah Naib Presiden.


Jumaat, 22 Februari 2013

Antara Najib dan Anwar

POLITIK adalah satu seni yang serba mungkin. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada sahabat yang abadi.

Najib(kiri) Anwar(tengah) dan Tamrin(kanan sekali) meraikan Ketua Pemuda
Begitulah jika dikaitkan dengan dua tokoh yang akan bertarung dalam PRU ke-13 yang diibarat sudah berada dicelah kerongkong dan dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang.

Pada 9 September 1982, Anwar Ibrahim berjaya menewaskan Datuk Hj.Suhaimi Kamarudin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dengan majoriti 10 undi. Ketika itu Najib adalah penyandang jawatan Naib Ketua Pemuda.

Peringkat awalnya Najib kelihatan kurang selesa mempunyai ketua baru. Namun dia telah menunjukkan kematangannya dengan memberi sokongan dan kerjasama penuh pada Anwar yang dikira orang baru dalam Umno.

Hubungan keduanya terus mantap dan kukuh sehingga menjadi harapan ahli parti dan rakyat sebagai pemimpin muda masa hadapan. Anwar dan Najib telah memperlihatkan persahabatan dan keserasian mereka dalam pimpinan parti. Tiada klu-klek dan curiga mencurigai antara mereka.

Anwar dan Najib...politik teh tarik
Apabila Anwar melepaskan jawatan Ketua Pemuda dan menyerahkan tugas itu pada Najib; proses peralihan itu berlaku dalam suasana ceria dan harmonis. Najib sebagai Ketua Pemuda pula mengisytiharkan sokongan terbuka hasrat Anwar bertanding jawatan Naib Presiden.

Setelah Anwar menang salah satu kerusi dari tiga Naib Presiden dan Najib sebagai Ketua Pemuda, ikatan dan kerjasama antara mereka bertambah erat. Dan ini terus berlanjutan sehingga Anwar berjaya naik satu lagi anak tangga menjadi Timbalan Presiden. Dalam masa yang sama Najib juga naik lagi satu tangga menjadi salah seorang Naib Presiden.

Berdasarkan urutan peristiwa itu dari sejak Anwar menyertai Umno pada 1982 sehingga menjadi orang nombor dua parti, Najib berada di bawah satu anak tangga belakang Anwar dalam hieraki parti.

Kini Najib sebagai Perdana Menteri berada di kedudukan lebih atas dari Anwar. Mereka akan bertembung mengepalai kabilah mereka masing-masing bagi menentukan untuk kesekian kalinya siapa yang akan berada di atas dalam masa 60 hari terakhir ini.

Apakah Najib akan meneruskan kesinambungan dan tradisi kepimpinan negara sejak 55 tahun merdeka itu dan Umno sebagai tunjangnya ? Atau adakah Anwar berjaya memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri  dan membawa satu era baru dalam sejarah politik negara ?

Hanya rakyat yang dapat menentukan hala tuju negara dan nasib masa depan dua tokoh yang masing-masing punya kelebihan dan kekurangan.


Khamis, 21 Februari 2013

Bo La Wei...


Dipetik dari poster-infografik.blogspot.com

Selasa, 19 Februari 2013

Anwar dalam berbagai wajah

DATUK Seri Anwar Ibrahim, calon Perdana Menteri ke 7 sudah diketahui umum mempunyai berbagai wajah dan imej dalam penampilannya sebagai seorang pemimpin. Semasa era ABIM dan menjadi Ketua Pemuda Umno serta Timbalan Presiden, dia membawa imej pemimpin Islamis.

Anwar...memukau hadirin
Anwar mampu bertazkirah di masjid dan membaca khutbah Jumaat. Dia boleh mengeluarkan ayat satu dua dalam penyampaiannya. Tetapi hakikatnya, Anwar bukan bertaraf ustaz, apatah lagi seorang ulamak. Ilmu agamanya adalah hasil dari pembacaan dan pergaulannya dengan harakah Islam dalam dan luar negeri.

Kini imej Islam itu sudah tiada pada dirinya setelah dipecat dari Umno dan kerajaan. Sebagai calon PM yang disokong kuat parti DAP, Anwar kini menampilkan diri sebagai pemimpin liberal dan pluralis. Imej sebagai pemimpin Islam haraki sudah hilang.

Dia sendiri sekarang sudah menganut politik ala machiavelli atau politik sekular - menyesuaikan diri dengan suasana bagi mencapai matlamat politik iaitu kuasa. Seperti kata Tun Dr. Mahathir, Anwar hanya fikir jawatan Perdana Menteri - yang lain dia tak kira dah !

Sikap dan kelakuannya kadang-kadang boleh membingungkan. Dia boleh menghadirkan diri dalam majlis ilmu bersama para tok guru dan alim ulama. Dan di waktu yang lain pula dia boleh dan tanpa rasa segan silu menari dan menyanyi di atas pentas hanya mahu menarik sokongan orang ramai.

Anwar bersama Al Gore
Kehebatan Anwar di atas pentas memang cukup hebat dan memukau. Dalam bab ini Dr. Mahathir dan Najib ketinggalan jauh dari apa yang mampu dilakukan Anwar. Perhatikan semasa dia berada dipentas, caranya memegang mikrofon sambil bergerak sekeliling setiap penjuru pentas sambil berlawak persis seperti seorang penghibur hebat.

Bagi Pengerusi DAP, Karpal Singh, hanya Anwar calon PM yang boleh diterima Pakatan Rakyat sekiranya Putrajaya dapat ditawan. Lain-lain calon tertolak termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pendirian Karpal Singh ini memang ada kebenarannya. Setakat ini belum ada tokoh dalam pakatan yang mempunyai karismatik dan aura seperti Anwar.

Namun mereka yang berada di luar pakatan, apa yang menjadi penghalang besar untuk menerima Anwar sebagai pemimpin ialah imej dan skandal seksnya yang masih belum padam. Walau pun mahkamah membebaskannya ia seolah tidak ada penghujung dan muktamad.

Sudah ada cerita para pengikut akar umbi Pas tidak dapat menerima Anwar sebagai calon PM. Ini lantaran orang mulai sangsi dengan kisah peribadinya. Bagi sesetengah pula telah mula mempersoalkan siapa sebenarnya Anwar Ibrahim ? Dia seorang Islamis kah ? Atau nasionalis, liberalis atau pluralis ?

Yang paling penting jika dia jadi Perdana Menteri, dia bukan seorang pemimpin boneka atau alat kuasa asing yang sentiasa mencemburui Malaysia dan khasnya rantau ini; demi kepentingan politik kuasa besar barat dan zionis.




Ahad, 17 Februari 2013

Ulama : Agama atau parti ?

DUA orang ulama muda dijangka akan menyertai PRU 13 ini dengan menjadi ahli parti yang akan diputuskan masing-masing. Mereka ialah Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr. Juanda Jaya.

Dr. Asri
Dr. Asri, bekas Mufti Perlis dan kini pensyarah di Universiti Sains Malaysia, dilaporkan akan membuat keputusan akhir bulan ini sama ada menjadi calon bertanding dan parti manakah yang akan disertainya. Begitu juga dengan Dr. Juanda yang kini sebagai Mufti Perlis akan mengesahkan pendiriannya sebagaimana yang dilaporkan.

Dr. Asri telah dikaitkan dengan parti Pas. Dr. Juanda pula dikatakan akan menjadi calon PKR. Sehingga kini tidak ada pengesahan dari keduanya. Cuma desas-desus dan jangkaan para pemerhati politik. Bukan satu perkara mustahil jika kedua ulama ini menolak untuk terlibat dalam politik.

Tetapi sekiranya mereka membuat keputusan menerjunkan diri dalam politik parti, maka semua pihak perlu akur dan menghormatinya. Mereka berdua tentunya mempunyai alasan dan hujah sendiri untuk menjadi ahli politik penuh masa dan bukan lagi sebagai ahli akademik dan ilmuan.

Apakah betul dan bijak sekiranya mereka membuat keputusan untuk terlibat dengan parti politik ? Sudah pasti bila menjadi ahli sesuatu parti, segala pandangan dan pendirian dalam apa sahaja isu akan terikat dengan dasar parti. Sebagai orang berparti, ia perlu taat dan setia pada parti dan tidak boleh derhaka.

Dr. Badrul
Kalau mereka tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti, maka nasib akan menimpa seperti yang berlaku terhadap Dr. Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Dalam keadaan tertentu kepentingan parti itu lebih tinggi dan penting dari segalanya.

Lihat sahaja dalam isu kalimah Allah; dalam saf pimpinan Pas, hanya Dr. Haron Din dan Harun Taib terkial-kial mempertahankan pendirian melarang penggunaannya dikalangan bukan Islam. Sehingga Dr. Harun berkata dia tidak redha jika kalimah itu digunakan bukan Islam.

Lain-lain ulama dalam parti mempunyai sikap berbeza dalam isu ini kerana kepentingan parti itu lebih utama dalam mengejar kuasa. Ada yang terus membisu dari memberi sebarang komen. Inilah masalah dan cabaran yang perlu dihadapi para ulama yang terikat dengan parti politik. Mana lebih utama; parti atau agama ?

Ini belum diambil kira lagi soal berbagai fahaman mempengaruhi dalam parti Pas seperti Syiah, Wahabi dan Khawarij. Apakah ada ulama dalam parti itu berani mendedahkannya ? Haron Din yang dilihat tegas pun sehingga kini tidak berani untuk memperkatakan tentang isu mazhab ini.

Dr. Juanda
Ini semua kerana muslihat parti itu lebih utama dari kepentingan agama. Di sinilah pincangnya ulama politik yang terpaksa menelan segala pahit demi keuntungan politik pilihan raya dan mendapat kuasa. Adakah benar pandangan mengatakan seorang ulama tulen dan sejati tidak akan masuk politik parti ?

Apa yang berlaku terhadap Dr. Badrul Amin Bahron, bekas pensyarah UIA dan pendakwah terkenal satu masa dahulu yang kini telah menyertai PKR ? Begitu juga Dr. Hasan Ali yang lebih berjaya sebagai pendakwah dan pakar motivasi sebelum menyertai Pas. Keduanya dikira gagal sebagai ahli politik. Mereka lebih berjaya dalam profesion ilmuan mereka yang asal.

Kepada Dr. Asri dan Dr. Juanda, apa sahaja pilihan dan keputusan mereka; semoga ia akan memberi manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada masyarakat bahkan pada diri mereka sendiri. Semoga apa yang berlaku pada Dr. Hasan dan Dr. Badrul tidak akan berulang pada mereka.




Ahad, 10 Februari 2013

Husam tidak perlu campur tangan

NAIB Presiden Pas, Datuk Husam Musa telah menyarankan pada Umno agar memberi peluang kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bertanding di mana-mana kerusi yang dikira sesuai untuknya dalam PRU 13 ini.

Menurut Husam, Umno wajar memberi peluang pada Nasharudin bertanding atas tiket BN kerana bekas ahli Majlis Syura yang baru dipecat itu sering membelakangkan parti dan bekerja untuk kepentingan Umno.

Husam...tak usah sibuk
Nasharudin kini adalah wakil rakyat di kawasan Bachok.

Masalah Nasharudin bertanding atau tidak ia bukan masalah Umno. Dia masih ahli Pas. Dan dia berhasrat akan terus berjuang mengembalikan perjuangan Pas ke landasan sebenar walau pun sebagai ahli biasa.

Sehingga kini Pas belum memecat dia dari parti. Tetapi bagi Mursyidul Pas, Nik Aziz Nik Mat, setelah Nasharudin dipecat dari Majlis Syura, keahliannya gugur dengan sendirinya. Namun lain pula pandangan beberapa pemimpin lain seperti, Ketua Dewan Ulama, Harun Taib yang mengesahkan Nasharudin masih ahli Pas.

Husam sendiri dalam kenyataannya menggesa agar Nasharudin membuat rayuan di atas pemecatannya itu dari Majlis Syura. Dan ia bersyarat iaitu mesti hadir mesyuarat dan tidak bekerja untuk kepentingan Umno.

Dari segi lain pula Husam tidak perlu sibuk dan cuba campur tangan masalah dalaman Umno seperti menentukan calon dan sebagainya. Ini masalah Umno dan ia lebih tahu apa yang baik untuk parti itu. Dan Umno bukanlah parti yang ketandusan calon-calon yang berkualiti.

Dalam konteks Nasharudin, Umno sentiasa mengamalkan dasar terbuka menerima sesiapa sahaja yang ingin memberi kerjasama untuk kebaikan bangsa dan agama. Kalau Nasharudin sering kelihatan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak bererti dia dengan mudah boleh jadi calon, apatahlagi dia masih ahli Pas.

Kepada Husam, tidak usahlah sibuk campur urusan Umno. Tumpu dan jagalah masalah dalaman Pas itu dulu. Apakah dia sudah yakin bahawa Kelantan akan terus kekal ditangan Pas ?

Dengan angin gelombang biru dan merah bertiup kencang dan sejarah keputusan pilihan raya 90an yang memisahkan hanya dua kerusi antara Pas dan BN - tidak mustahil simbol bulan akan gerhana kali ini.

Iranian Cartoon

Presiden Mahmoud Ahmadinejad

Presiden Iran

Rabu, 6 Februari 2013

BN kini lebih bersedia

AHLI Umno dan penyokong kerajaan perlu berterima kasih pada dua tokoh; mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana mereka berdualah yang memainkan peranan besar mendorong Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan PM pada 2009.

Dr. Mahathir
Pada PRU 12, 2008, BN hilang majoriti dua pertiga dan Umno kalah banyak kerusi dibeberapa buah negeri.   Selangor, negeri paling kaya jatuh ke tangan PKR. Pun begitu selepas keputusan PRU 12, Tun Abdullah tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah, malah terus berdegil ingin meneruskan jawatannya sebagai PM.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak menunjukkan beliau cuba mengambil kesempatan mahu menjatuhkan Tun Abdullah. Najib telah membuktikan beliau seorang Timbalan yang setia. Sedangkan suasana ketika itu memperlihatkan majoriti ahli Umno mahu Tun Abdullah mengundurkan diri ekoran prestasi buruk Umno dan BN.

Dr. Mahathir adalah orang pertama yang menyerang dan mengkritik kepimpinan Pak Lah dan menggesanya meletakkan jawatan. Ini dikuti menteri kabinet, Tan Sri Muhyiddin. Keduanya telah menggerakkan usaha secara terbuka agar Pak Lah berundur segera bagi menyelamatkan parti Umno dan BN.

Pak Lah pada peringkat awalnya berasa kecil hati dengan sikap Muhyiddin yang dianggapnya sebagai orang kepercayaannya. Namun pendirian Muhyiddin jelas ia mahu bersama Dr. Mahathir bagi menyelamatkan Umno/BN.

Kemuncak tekanan terhadap Pak Lah agar berundur menjadi kenyataan bila Dr. Mahathir membuat keputusan keluar dari Umno dan berikrar akan menyertainya semula setelah Pak Lah meletakkan jawatannya. Langkah Dr. Mahathir itu telah memberi kesan.

Sehingga Pengerusi DAP, Karpal Singh dan beberapa pemimpin pembangkang lain mengecam Dr. Mahathir dan memberi sokongan pada Pak Lah. Ini dapat difahami kerana pihak pembangkang lebih suka Pak Lah kekal sebagai PM dan ini memudahkan peluang pembangkang memenangi pilihan raya lantaran kelemahan Pak Lah sebagai ketua kerajaan.

Tindakan pantas Dr. Mahathir yang dibantu Tan Sri Muhyiddin boleh dikira telah menyelamatkan Umno/BN dari terus lemah dan diambil kesempatan parti pembangkang. Kini terbukti jelas selepas Pak Lah menyerahkan jawatan pada Najib; keadaan parti semakin pulih dan kuat - tidak seperti pada 2008.

Walau apa pun ramalan tentang keputusan PRU 13 nanti, kedudukan Umno/BN lebih kuat dan sempurna jika dibanding semasa Pak Lah mengepalai parti menghadapi PRU 12 dahulu. Sekiranya ditakdirkan kerajaan hari ini masih dibawah Pak Lah, maka kerajaan hanya menunggu masa akan tumbang dan memberi laluan pada Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Langkah dan tindakan Dr. Mahathir terhadap Pak Lah membuktikan beliau seorang politikus berpandangan jauh demi parti dan negara. Ia juga sebagai pukulan maut pada pembangkang yang menunggu mengambil kesempatan di atas kelemahan Pak Lah.

Harapan dan peluang BN dalam PRU 13 ini lebih baik dan cerah berbanding dengan tahun tsunami politik 2008 itu.




Selasa, 5 Februari 2013

Nasib melayu di Pulau Pinang

ORANG melayu di Pulau Pinang mesti bersatu dibelakang Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 ini sekiranya mahu nasib mereka terus dibela dan tidak menjadi pelarian ke tanah besar akibat dasar kerajaan DAP, Lim Guan Eng yang merugikan mereka.

Lim Guan Eng
Kini sudah ramai orang melayu yang bersungut tentang polisi kerajaan negeri yang lebih menumpukan projek rumah kos tinggi yang mereka tidak mampu membelinya. Projek rumah kos rendah tidak menjadi keutamaan  pimpinan Ketua Menteri, Guan Eng.

Lain-lain projek kerajaan negeri semuanya bersifat kos tinggi seolah parti yang berkuasa di negeri itu, DAP sengaja mahu mengenepikan orang-orang melayu. DAP tahu kebanyakan orang melayu di negeri itu terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah. Dengan itu pengusiran orang melayu dari Pulau Pinang ke negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan lain-lain akan berlaku dengan otomatisnya.

Dasar dan polisi begini telah berjaya dilakukan di Singapura oleh Lee Kuan Yew. Sehingga bangsa melayu di republik itu semakin berpecah dan mengecil. DAP yang merupakan anak lahir dari PAP tentunya akan ikut jejak langkah Lee itu yang asalnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Dasar itu diteruskan oleh DAP hingga sekarang.

Jika DAP terus diberi peluang memerintah sepenggal lagi selepas PRU 13 ini nasib dan kedudukan orang melayu akan bertambah teruk. Orang melayu perlu sedar mereka tidak boleh mengharapkan Pas untuk membela nasib masa depan mereka. Pas tidak akan mampu, malah hanya akan menjadi alat DAP bagi meraih sokongan orang melayu di negeri itu.

Pas sendiri dalam Pakatan Rakyat sering mengalah dan bertolak ansur dengan DAP dalam banyak perkara termasuk isu-isu pokok yang menjadi keutamaan orang melayu dan agama Islam. Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak pernah tunduk dengan Pas dan sentiasa tegas dalam memperjuangkan pendirian parti itu.

Sekiranya orang-orang melayu tidak mahu terus terpinggir tanpa pembelaan sewajarnya, mereka perlu bersatu dan menyokong Umno dan BN dalam pilihan raya umum ini. Hanya Umno berkemampuan memperjuangkan nasib masa depan mereka.

Tidak ada apa yang boleh Pas sumbangkan di Pulau Pinang melainkan memecahbelahkan bangsa melayu yang semakin mengecil itu.

Rakyat Pulau Pinang terutama orang melayu perlu membuat keputusan bijak dalam menentukan bakal kerajaan yang akan ditubuhkan kelak. Kalau tersalah pilih kali ini nasib orang melayu akan bertambah parah di bawah DAP untuk lima tahun lagi.