Rabu, 26 September 2012

Jam Omega


                             
                             Sayang Che Anwar pergi ke surau
                             Tertinggal Omega bersama sikat
                             Bagaimana Tok Guru tidak terpukau
                             Syaitan boleh menyerupai malaikat

Pantun ini dipetik dari entri terbaru blog Zamkata.
Terima kasih daun keladi...Zam
Kalu buleh buatlah lagi...

Selasa, 25 September 2012

Anwar naik jet

DI NEGARA ini selain dari Yang Di Pertuan Agong, VIP yang layak menggunakan jet kerajaan adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Lain-lain kenamaan akan menaiki pesawat biasa.

 Bila pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menaiki jet ke Sabah baru-baru ini ianya telah menjadi satu isu besar. Isunya sama ada jet itu dipinjam atau disewa ?

Sewa atau pinjam tidak banyak bezanya. Apa yang perlu diingat ialah lebih kurang 13 tahun dahulu Anwar semasa menjadi TPM telah pun menggunakan kemudahan jet untuk bergerak ke seluruh negara dalam menjalankan tugasnya.

Dia yang begitu ghairah mahu menjadi PM setelah begitu hampir untuk menggantikan Dr. Mahathir telah tersungkur hampir digarisan penamat akibat kes salah guna kuasa dan liwat. Pengalaman menaiki jet tentu menyeronokkan sepanjang menjadi TPM. Barangkali, inilah kali pertama merasai keselesaan dan kemewahan jet setelah hampir 13 tahun berada di luar kerajaan.

Kalau tidak silap, setelah dia dipecat, Anwar buat bising seluruh negara menuduh Dr. Mahathir membazirkan wang rakyat dengan membeli sebuah jet baru bagi kegunaan rasmi negara. Namun Dr. Mahathir menjawab pembelian itu perlu bagi menggantikan jet yang sudah lama dan memastikan ia selamat. Yang pentingnya ia bukan untuk kepentingan peribadi tetapi bagi urusan rasmi kerajaan.

Tetapi Anwar seperti biasa hanya pandai mencari salah orang lain dan dia akan melakukan perkara yang sama. Sekiranya dia berjaya menjadi PM; apakah dia tidak akan menggunakan jet yang dibeli Dr. Mahathir itu ? Atau dia lebih rela sebagai pemimpin berjiwa rakyat menaiki jet yang disewa atau dipinjamkan oleh orang-orang tertentu yang mempunyai kepentingan ?

Seperti juga dengan puak-puak PAS yang satu masa dulu mahu lelong Putrajaya jika dapat memerintah negara ini. Tetapi kini siang malam duk angan-angan dan mimpi akan mendiami Putrajaya.

Pendek kata puak-puak pembangkang ini memang karut. Sebelum berkuasa mereka akan berjanji apa sahaja untuk mendapatkan undi. Sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak - bukan menjadi prioriti. Yang pertama; menang pilihanraya dan berkuasa.

Rakyat perlu bijak memilih kerajaan yang mampu dan terbukti kebolehannya dalam mentadbir urus negara dengan cekap dan berkesan. Bukannya yang bercakap kontradik di atas isu yang sama pada masa lepas dan hari ini.
  


Selasa, 18 September 2012

Filem Innocence of Muslims

FILEM barat "Innocence of Muslims" telah mendapat bantahan keras dari umat Islam seluruh dunia. Filem tersebut jelas telah menghina Nabi Muhammad SAW dan menyentuh sensitiviti seluruh umat Islam.

Sehingga kini tindak balas dari api kemarahan itu telah mengorban dan meragut banyak nyawa. Tidak kurang berlakunya kemusnahan dan kerosakkan harta benda.

Ada pandangan mengatakan; apakah wajar umat Islam bertindak ganas sebagai tindakan balas terhadap kebiadapan filem tersebut ?

Walau apa pun alasan dan kewajaran di atas segala respons dan tindak balas itu sekurang-kurangnya memberi peringatan pada Barat dan kumpulan anti Islam supaya berwaspada agar ia tidak berulang. Setidaknya dari peristiwa ini umat Islam telah tunjuk dan buktikan bahawa mereka boleh bersatu di seluruh dunia di atas isu menyentuh Nabi dan agama mereka.

Sedangkan pada umum umat Islam dikenali sebagai golongan yang sering bertelingkah sesama sendiri dan memang payah untuk bersatu. Mereka berada dalam berpecah belah kerana isu-isu politik dan fahaman yang berbeza.

Namun dalam kes seperti menghina Nabi SAW dalam filem tersebut umat Islam telah memberi tindak balas yang sewajarnya sepadan dengan niat jahat pengarah filem tersebut yang bertujuan menghina dan menyakiti hati umat Islam.

Barangkali, tindak balas secara ganas ini agak melampau dan tidak bertamaddun. Tetapi kadang-kadang cara lembut dan berdiplomasi dengan dunia barat tidak memberi sebarang kesan. Sekali sekala perlu diberi tindakan yang boleh memberi keperitan pada mereka berkenaan.





Sabtu, 15 September 2012

Anuwar Berahi

Sekadar renungan...
DALAM blog Zamkata pada 15 September, 2012 seorang pembaca Anonymous telah memberi komen yang ringkas, padat dan menarik tentang Anwar Ibrahim.

Beliau menulis, " Anuwar Berahi akan dikenang dalam lipatan sejarah politik Malaysia sebagai pencipta politik wang, saudagar janji tapi tidak ditepati, pengkhianat bangsa melayu, kuda tunggangan kuasa barat, mantan menteri kewangan yang gagal menguruskan ekonomi, mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat kerana salah guna kuasa dan pelakon filem aksi bertajuk China Doll" .

Gambar Anwar sedang berjoget

Isnin, 10 September 2012

PAS akan terus dihantui Nasharudin

PARA pemimpin dan penyokong Pas mengira keputusan Majlis Syura Ulama tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Nasarudin Mat Isa telah mengecewakan Umno.

Mereka beranggapan Umno akan gembira jika Nasha dipecat atau dikenakan sebarang tindakan yang boleh membawa perpecahan dalam parti Pas.

Sebenarnya, persepsi ini adalah tidak benar dan meleset. Nasha adalah ahli Pas. Apa yang berlaku terhadap dirinya tidak ada kena mengena dan memberi kesan pada Umno.

Cuma Pas sendiri berada di dalam dilema dalam isu Nasha yang telah menyarankan agar Pas mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat dan hubungannya dengan DAP. Parti itu tidak berani mengambil tindakan kerana bimbang ia boleh membawa masalah pada parti lebih-lebih lagi PRU 13 sudah hampir.

Namun apa pun keputusan parti terhadap Nasha; bekas Timbalan Presiden itu tetap akan menjadi seperti pisau mata dua belah atau duri dalam daging pada parti itu. Apakah jaminan Nasha tidak akan bersuara secara lantang dan memberi pandangan berbeza dari pucuk pimpinan parti pada masa depan ?

Apa yang jelas Nasha mendapat sokongan kuat dari golongan ulama parti dan tidak disukai oleh golongan Anwarinas seperti Dr. Zulkifli Ahmad, Khalid Samad dan lain-lain. Dan Nasha bersikap lebih terbuka dan pragmatik dalam menjalin hubungan dengan para pemimpin Umno. Dia bersikap positif dalam mewujudkan perpaduan antara dua parti melayu terbesar di negara ini.

Tidak seperti Nik Aziz Nik Mat dan para pemimpin muda pro Anwar Ibrahim yang lebih bersifat dendam dan jumud dalam konteks membina perpaduan dan kesatuan umat Islam di negara ini.

Bagi Umno keputusan Pas terhadap Nasha sudah tentu akan memberi tanda positif dan harapan pada kerajaan kerana ia tahu Nasha akan terus memainkan peranan dan memberi sumbangan di dalam Pas agar cita-cita kerajaan perpaduan yang ditimbulkan pada 2010 akan menjadi kenyataan.

Nasha bukanlah seorang pengecut sebagaimana telah beliau buktikan dengan beraninya menyanggah Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud. Sedangkan para pemimpin Pas lain sering berdiam diri bila sahaja pemimpin DAP itu menentang setiap kali Pas bersuara mengenai hukum itu.

Bagi Umno ia lebih suka Nasha terus berada dalam Pas. Kini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin mempunyai hubungan yang baik dengan Nasha dan mereka boleh bertemu bila-bila masa.

Apa yang Pas nak buat sekiranya Nasha terus lantang bersuara ? Saya percaya dia akan terus konsisten dalam isu berkaitan kepentingan melayu dan Islam, lebih-lebih lagi hubungan dengan parti cauvinis DAP.





   



Rabu, 5 September 2012

Anwar Ibrahim dalam berbagai wajah

RAKYAT negara ini perlu berhati-hati dengan pemimpin yang begitu bernafsu untuk menjadi Perdana Menteri. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan cita-citanya tercapai.

Apakah akan jadi pada negara dan rakyatnya bukan menjadi perhitungan utama. Yang penting kuasa.

Seluruh rakyat perlu menilai dan mempertimbangkan tokoh ini yang begitu petah bercakap dan boleh menjelma dalam berbagai rupa.

Dia mampu berkhutbah dan bertazkirah di dalam masjid pada satu masa dan pada masa yang lain pula dia boleh menari tanpa segan silu.

Ada ketika dia muncul sebagai seorang "Islamis", kemudian boleh bertukar menjadi nasionalis dan liberalis mengikut keperluan politiknya.

Anwar Ibrahim adalah politikus yang pernah digelar sebagai pelakon terbaik dan layak menerima hadiah Oscar seperti di Hollywood.

Apakah ini calon yang akan mengemudi Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya ? Bukti jelas sepanjang dia berada dalam kerajaan dan Umno; apakah sumbangan dan jasanya ? Tidak ada. Cuma dia mengaku projek Universiti Islam, Bank Islam dan sebagainya adalah datang darinya. Sedangkan hakikat sebenar semua itu adalah dari ilham dan usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad. Anwar cuma tumpang sekaki.

Semasa menjadi Menteri Kewangan dalam menghadapi krisis kewangan di Asia pada 1997-98, dialah orang yang paling ghairah mengambil resipi IMF sebagai jalan penyelesaian. Sebagai Menteri Kewangan ketika itu caranya mengendalikan ekonomi negara keadaan menjadi bertambah teruk.

Orang yang menyelamatkan negara dari jatuh ke tangan IMF dan memulihkan ekonomi negara adalah Dr. Mahathir bukan Anwar. Anwar hanya bijak berteori dan retorik. Mahathir telah buktikan dia adalah pemimpin yang realis dan praktikal.

Kini Najib Razak adalah warisan dan anak didik Dr. Mahathir dan akan meneruskan agenda bangsa dan negara. Najib lebih layak menjadi pemimpin negara ini berbanding Anwar.









Isnin, 3 September 2012

Tukar Jalur Gemilang

Hukum mereka yang terlibat
PIHAK polis tidak perlu mengambil masa yang lama bagi menangkap pihak yang terlibat menghina bendera Jalur Gemilang oleh segelintir golongan yang bengong dan terpesong.

Tindakan mengibarkan bendera asing selain bendera kebangsaan adalah satu penderhakaan pada negara. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kelak nanti akan menjadi ikutan dan amalan pada masa hadapan.

Jelas mereka yang terlibat terdiri dari anak-anak muda yang tidak reti apa-apa dan fikiran mereka telah diracuni para pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

Mereka bukan sahaja bengong, keliru, malah telah tersesat jalan dan terpesong jauh. Dan paling biadap ialah sikap mereka yang memijak gambar Perdana Menteri.

Inilah gambaran akhlak para pemimpin pembangkang dan para penyokongnya yang kini sedang bercita-cita menuju ke Putrajaya.

Gesaan PM Datuk Seri Najib Razak agar menyekat kemaraan pembangkang ke Putrajaya terbukti kebenarannya. Mereka tidak layak dan jika diberi beri peluang mereka akan hancurkan segala apa yang telah dibina dan diasaskan selama 55 tahun.

Belum lagi berkuasa, bendera kebangsaan sudah hendak diganti dengan yang lain. Pemimpin negara tidak dihormati. Dan bukan mustahil sekiranya diberi kuasa, institusi Raja yang menjadi payung negara akan diganti dengan republik.

Golongan derhaka ini adalah terdiri dari mereka yang telah diracuni fikiran mereka dan telah tersesat jalan. Bukan mudah untuk membawa mereka ke pangkal jalan. Tidak semudah memerangi anasir komunis secara bersenjata di hutan.

Akta ISA telah dimansuhkan. Kerajaan mesti bertindak keras ke atas kumpulan ini dengan undang-undang yang ada bagi memastikan ia tidak akan memusnahkan segala institusi yang telah diasaskan yang menjadi benteng kekuatan negara.





Rabu, 29 Ogos 2012

Isu Nasharudin Mat Isa

Ulama lawan Anwarinas
MASALAH parti Pas kini yang berkait dengan bekas Timbalan Presidennya yang secara terbuka mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti - bukanlah baru.

Ia bermula sejak 2010 bila Nasharudin Mat Isa ketika itu sebagai orang nombor dua parti telah berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan Umno. Ia disebut sebagai kerajaan perpaduan.

Dua orang tokoh lagi yang terlibat dalam usaha ini ialah Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Ali. Diberitakan telah berlaku pertemuan sulit antara dua pihak.

Menurut Nasharudin usaha ini dijalankan setelah mendapat izin dari Majlis Syura. Pada peringkat awal ia dikatakan mendapat restu dari Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Namun usaha ini mendapat tentangan dari kem Anwarinas, terutamanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nasha pernah membuat kenyataan bahawa Nik Aziz tidak mengetahui hal ini ekoran Tok Guru itu sering tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Syura kerana sering uzur. Jadi Nik Aziz tidak mendapat gambaran jelas apa yang telah dipersetujui.

Justeru itu Nik Aziz menjadi orang yang paling kuat menentang kerjasama atau kerajaan perpaduan itu. Sehingga dia memberi amaran pada Nasha, Mustafa dan Dr. Hasan agar keluar Pas dan masuk Umno. Nik Aziz tidak keseorangan kerana ia disokong kuat kumpulan Anwarinas atau pro Anwar Ibrahim.

Pada Muktamar Pas 2011 telah berlaku pertandingan jawatan dalam parti yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden parti. Nasha sebagai penyandang jawatan ditentang dua calon lain; Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Nasha dan Tuan Ibrahim adalah calon dari kumpulan pro ulama. Manakala Mat Sabu dari golongan Anwarinas. Sebelum pertandingan tidak ada siapa yang menjangka calon seperti Mat Sabu akan terpilih menjadi Timbalan Presiden. Tetapi itulah yang berlaku. Para ahli parti telah membuat keputusan dengan Mat Sabu menang dalam pertandingan tiga penjuru itu dengan majoriti yang tipis.

Apa yang menarik dua hari sebelum pertandingan itu, Timbalan Mursyidul Pas, Datuk Dr. Haron Din telah menggesa para perwakilan agar memilih calon Timbalan Presiden dari golongan ulama. Walaupun dia tidak menyebut nama secara khusus, namun jelas Nasha atau Tuan Ibrahim adalah calon yang dimaksudkannya kerana mereka berdua adalah bertaraf ulama.

Saranan Dr. Haron Din itu adalah munasabah. Tidak mungkin orang seperti beliau dan para pemimpin lain seperti Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Hj. Ahmad Awang dan lain-lain ulama dalam parti dapat berketuakan pemimpin seperti Mat Sabu.

Tetapi oleh kerana para ahli telah membuat pilihan secara demokrasi, maka mereka terpaksa menerimanya untuk kepentingan parti. Sedangkan pada hakikatnya sebahagian besar ulama dalam parti tidak dapat menerima Mat Sabu sebagai orang nombor dua.

Dalam konteks ini Dr. Hasan Ali yang dipecat dari parti adalah mewakili suara senyap golongan ulama dalam parti yang tidak sanggup bersuara demi menjaga keutuhan parti. Ertinya, Dr. Hasan telah menjadi korban dalam pertembungan antara pro ulama dan pro Anwarinas.

Walaupun Dr. Hasan berada diluar parti, namun jelas Nasha berada dan bersama menyokongnya dalam isu-isu kepentingan Islam dan perpaduan umatnya. Kelebihan Nasha ialah ia tidak keluar parti dan berikrar akan bersama Pas dan tidak akan sertai Umno. Cuma pendiriannya terus konsisten dalam isu perpaduan  dan maslahat ummah.

Nasha bukan tokoh sebarangan. Dia adalah bekas Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden parti. Dan dia bertaraf ulama. Hubungan baik dan penampilannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno lain dalam statusnya masih ahli Majlis Syura Pas adalah satu tamparan pada Pas dan Tok Guru Nik Aziz.

Nasha bukan tokoh sejenis Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir atau Tamrin Ghafar yang sudah tidak terpakai lagi dalam Umno. Sokongan terbuka Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan beberapa ulama lain terhadap Nasha dalam isu terbaru mengesahan adanya pertembungan antara dua golongan itu dan betapa pentingnya Nasha sebagai pemimpin masa depan Pas.

 







 







Khamis, 23 Ogos 2012

Manchester United tercicir mata

Permulaan yang kurang menarik
KALAH pada Everton dalam perlawanan pertama dengan jaringan satu gol memberi tamparan pada Manchester United dalam saingan Liga EPL yang baru bermula.

Pengurus Alex Ferguson tentu tidak dapat menerima kekalahan ini, apatah lagi beliau begitu gah dengan kehadiran penyerang barunya, Robin Van Persie yang baru dibelinya dari kelab Arsenal.

Kehadiran Van Persie yang digandingkan dengan Wayne Rooney tidak memberi sebarang kesan dalam perlawanan pertama itu. Ferguson menyalahkan para pemainnya kerana tidak mengguna sepenuhnya kehadiran Van Persie.

Dalam Liga yang sengit saingannya seperti EPL keciciran satu atau dua mata boleh memisahkan juara dan naib juara. Inikan tiga mata hilang setelah tewas dengan Everton 0-1.

Pada musim lepas Man. U diperingkat awal telah mendahului carta Liga dalam tempoh yang panjang, namun akibat tercicir mata dalam beberapa perlawanan terakhir ia dapat dipintas oleh Manchester City. Man. City berjaya menjadi juara Liga EPL mengatasi United hanya dengan perbezaan gol setelah kedua pasukan mengutip mata yang sama.

Ferguson mengakui salah satu punca kegagalan mereka musim lepas ialah keputusan perlawanan terakhir mereka dengan Everton yang berkesudahan seri 4-4 yang memberi laluan pada Man.City merangkul juara Liga.

Yang menariknya kali ini Everton juga sekali lagi mengecewakan mereka dalam perlawanan sulung musim ini. Bagi Ferguson, tiga mata memang amat berharga apa lagi saingannya terdekat seperti Man.City dan Chelsea telah pun mengutip tiga mata dalam perlawanan masing-masing.

Perjalanan Liga masih jauh. Tetapi gagal mengutip mata penuh pada perlawanan pertama seakan memberi petanda kurang baik pada Man.U. Kegagalan mempertahankan juara Liga musim lepas dengan hanya perbezaan gol adalah suatu yang memedihkan. Ia seakan mahu melupakan episod itu.

Tiga mata mampu memisahkan bakal sang juara!

Selasa, 14 Ogos 2012

Tamrin Ghafar keliru

TAMRIN Ghafar anak pejuang tulen Umno, Tun Ghafar Baba telah isytihar dirinya sebagai ahli Pas dan meninggalkan Umno - parti yang mempunyai sejarah tersendiri penglibatan bapanya sebagai pemimpin kanan.

Tetapi sebagai orang politik Tamrin tidaklah begitu menonjol dan berjaya jika dibandingkan dengan kejayaan bapanya, Tun Ghafar yang pernah menjadi Naib Presiden Umno paling lama dan seterusnya menjadi Timbalan Presiden.

Tamrin setakat pernah menjadi Exco Pemuda Umno dan Pengerusi MARA. Tidak ada jawatan atau peranan penting lain pernah beliau pegang sepanjang kariernya sebagai orang politik dan sebagai anak Tun Ghafar.

Hakikatnya beliau seolah terpinggir dan disisihkan dalam arus perdana parti. Mungkin dia kecewa dan kecil hati. Dan mungkin juga beliau seorang yang keliru.

Pada satu masa dahulu Tamrin pernah dikaitkan dengan pertubuhan Al Arqam yang diharamkan. Beliau dikatakan begitu kagum dengan pemimpin pertubuhan itu Ustaz Ashaari Muhammad dan mempunyai hubungan yang baik dengan para pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu. Malah di satu ketika beliau hampir menyertainya sebagai ahli jemaah Arqam.

Tetapi setelah apa yang berlaku terhadap Ustaz Ashaari yang didakwa membawa ajaran salah, cerita Tamrin dengan Arqam hilang begitu sahaja. Hinggalah terakhir ini beliau dikaitkan dengan parti Pas pula. Boleh jadi Tamrin kini kekosongan dan keliru tentang platformnya dalam politik.

Oleh kerana Umno tidak memberi perhatian padanya, maka pilihannya hanya Pas. Tamrin tidak mungkin akan menyertai PKR kerana beliau tentu tidak akan lupa sepanjang hayatnya bagaimana nasib bapanya yang diaibkan dan diperbuat seperti kain buruk ketika cuba mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Orang itu tidak lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu ghairah untuk bertanding jawatan nombor dua Umno. Anwar telah berjaya mempengaruhi perwakilan Umno dengan politik wang sehingga beliau berjaya menyingkirkan Tun Ghafar dari jawatan Timbalan Presiden Umno dan seterusnya jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sedangkan sebelum itu Anwar telah berkali-kali menyatakan dia tidak akan menentang Tun Ghafar. Namun akhirnya Tun Ghafar terpedaya dan berada dalam keadaan tidak bersedia bila Anwar telah pun bergerak secara senyap bagi menjatuhkan orang tua itu.

Pada masa itu Tun Abdullah Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid antara pemimpin yang menyokong Tun Ghafar dan menentang keras hasrat Anwar itu. Oleh kerana Anwar lebih licik dan mengamalkan politik wang nasib Tun Ghafar tidak dapat diselamatkan.

Tidak ada dalam sejarah Umno seorang pemimpin yang begitu setia dan berjasa pada parti diberi jalan keluar secara "biadab" sebagaimana yang telah dilakukan Anwar terhadap Tun Ghafar.

Kini Tamrin sebagai ahli Pas dan berada dalam Pakatan Rakyat seharusnya tidak lupa sejarah yang berlaku terhadap ayahandanya dan tokoh yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab menamatkan karier politik ayahnya yang juga seorang wira yang tidak didendangkan.