Ahad, 31 Julai 2011

Catatan sebelum sahur


ALLAH S.W.T. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185,
                         
                                 "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran."


Rasulullah s.a.w. bersabda,

                                  "Apabila tiba bulan Ramadan, segala pintu rahmat dibuka, pintu neraka
                                   ditutup dan diikat segala syaitan."
                                                                                         - Bukhari dan Muslim


                                   "Umrah pada bulan Ramadan kelebihannya menyamai mengerjakan
                                     haji bersama ku.
  
                                  
                                   "Apabila tiba Ramadan kerjakan ibadah umrah kerana satu umrahnya
                                     menyamai satu haji."

                                  
                                   "Sembahyang lima waktu, sembahyang dari Jumaat ke Jumaat dan bulan
                                     Ramadan ke Ramadan menghapuskan dosa antara dua tempoh itu apabila
                                     meninggalkan dosa besar."

                                   
                                   "Dijauhkan daripada rahmat Allah kepada sesiapa yang berada dalam bulan
                                     Ramadan, lalu tidak mendapat peluang keampunan Allah kerana tidak beribadat."


                                   "Sekiranya hama-hamba Allah mengetahui kelebihan yang ada pada Ramadan,
                                     pasti umatku mengharapkan tahun seluruhnya menjadi Ramadan."


  Nabi s.a.w. bersabda lagi;                               
                              
                                    "Lailatul Qadar itu berlaku dalam bulan Ramadan pada sepuluh yang akhir
                                      iaitu malam ke 21, ke 23, ke 25, ke 27. ke 29 atau malam terakhir Ramadan.
                                      Sesiapa yang bangun beribadat dengan niat yang ikhlas pasti diampunkan
                                      dosanya yang terdahulu dan yang kemudian."














                                  

Sabtu, 30 Julai 2011

Fadilat membaca selawat Nabi s.a.w.


SAID bin Umar Al-Anshari r.a seorang yang menyertai di dalam perang Badar, berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa membaca selawat untukku satu kali dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi selawat (rahmat) untuknya sepuluh dan diangkat ke sepuluh tingkat dan diampunkan baginya sepuluh dosa.

Amr bin Dinar dari Abu Jaafar berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang lupa membaca selawat kepadaku maka bererti dia telah keliru (tersesat) dari jalan ke syurga.

Abu Buraidah dari ayahnya berkata : Nabi s.a.w.bersabda : Empat macam dari kekecewaan :
1.  Jika seorang kencing sambil berdiri
2.  Seorang yang terburu-buru mengusap dahinya sebelum selesai sembahyang.
3.  Seorang yang mendengar azan lalu tidak mengikuti suara muazzin.
4.  Seorang yang mendengar namaku disebut lalu dia tidak membaca selawat untukku.

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang membaca selawat untukku satu kali, maka Allah memberi selawat untuknya sepuluh kali dan dihapuskan sepuluh dosa-dosa.

Jika engkau ingin mengetahui betapa besarnya selawat itu dari lain-lain ibadah, maka perhatikan dan renungkan ayat : Dalam semua perintah ibadah, langsung Allah menyuruh hamba beribadah, adapun dalam ibadah selawat, maka Allah menyatakan bahawa Allah sendiri yang memulai selawat, kemudian disambung oleh malaikat, kemudian diwajibkan pada kaum muslimin untuk membacakan selawat untuk Nabi s.a.w.. Maka dengan ini nyatalah bahawa selawat itu afdhal dari lain-lain ibadat.

Kata Imam Ad-Dinauri : Barangsiapa membaca selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang sebelas kali dijadikan dia wirid nescaya tiada berkeputusan rezekinya (selawat Tafrijiyyah) dan menjampi ia akan martabat yang tinggi. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap lepas sembahyang Subuh tiap-tiap hari empat puluh satu kali mencapai ia akan kehendaknya. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap hari seratus kali hasil "mathlubnya" lebih daripada kehendaknya.

Kata Imam Al-Qurthubi : Barangsiapa mengekali atas selawat ini tiap-tiap hari empat puluh satu kali atau seratus kali atau lebih, diangkat oleh Allah Ta'ala akan dukacitanya dan mudharatnya dan luaskan rezekinya dan dibukakan baginya segala pintu kebajikan dan diluaskan kalimahnya dan diamankan dia daripada datang Hawadits Az-Zaman dan daripada papa dan dicampakkan baginya kasih segala hati manusia akan dia dan dimustajabkan permintaannya.

Wallahu "alam.

Rujukan: AL-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub, Asy Syeikh Ali Bin Abdul Rahman Al-Kalantani.
            : 444 Peringatan Untuk Umat MUHAMMAD S.A.W., Hj. Ismail Abdullah.
            : Penerbit: Jahabersa.com.my
            : Dicetak oleh : BIN HALABI PRESS, Pattani, Thailand.
             








Pemain import kekuatan Singapura


"KALAH bermaruah" begitulah antara tajuk berita akhbar harian tempatan ekoran kekalahan pasukan negara ditangan Singapura secara agreget 4-6 sekaligus menafikan peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2014.

Bermaruah, barangkali dalam ertikata pasukan Harimau Malaya terdiri dari pemain-pemain muda dan 100% Malaysian berdepan dengan pasukan Singa yang jelas bergantung penuh pada pemain-pemain importnya seperti Alexander Duric (Serbia), Mustafic Fahrudin (Bosnia), Daniel Bennett (England), Qiu Li dan Shi Jiayi (China).

Merekalah merupakan aktor dan faktor sebenar merobekkan benteng pertahanan Malaysia. Kesemua enam gol yang dijaringkan adalah sumbangan mereka. Di tambah pula dengan Radojko Avramovich, jurulatih dari Serbia.

Kita perlu berbangga dengan persembahan Harimau yang bermain bersungguh-sungguh dan sedaya upaya, namun apakan daya pasukan lawan lebih bagus. Tetapi perjuangan belum selesai dan banyak lagi cabaran menanti pemain-pemain muda kita yang mempunyai potensi besar bagi menghadapi Piala Asia dan mempertahankan kejuaraan Piala AFF tahun depan.

Pemain seperti Khairul Fahmi, Muslim Ahmad, Fadli Shas, Mahali Jasuli, Assaruddin Omar, Gurusamy, Aidil Zafuan, dan ramai lagi, mereka semua masih dalam lingkungan 20an berbanding dengan sebahagian besar pemain Singapura yang telah berusia dan lebih berpengalaman.

Kita tewas dari segi pengalaman dan ini akan menjadi satu pelajaran bagi para pemain muda kita untuk bangkit dan menebus kembali maruah bolasepak negara. Dan apa yang penting sekali membalas sokongan yang telah ditunjukkan oleh seluruh peminat tanahair yang telah membanjiri stadium mencecah 90,000; satu rekod dalam sejarah perlawanan bolasepak tanahair sejak zaman Mokhtar Dahari.

Sambutan dan sokongan para peminat terhadap Harimau Malaya adalah luar biasa dan hebat. Ini semua memberi petanda positif pada masa depan sukan nombor satu di negara ini..

Lebih mengharukan, walaupun tewas para peminat dan penyokong setia ini terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi. Kini giliran Harimau Malaya pula membalas segala sokongan yang telah diberikan dengan tidak mengecewakan mereka dengan mencipta satu kebangkitan baru dalam kejohanan akan datang.












Jumaat, 29 Julai 2011

Bolasepak : Malaysia tersingkir


AKHIRNYA Singapura menunjuk jalan keluar pada pasukan negara dari kelayakan Piala Dunia 2014.

Malaysia hanya sekadar seri 1-1 dengan Singapura sebentar tadi menjadikan kita tewas secara aggreget 6-4. Ramai yang menjangkakan Harimau Malaya akan menang besar malam ini, namun segalanya meleset.

Dalam separuh masa pertama corak permainan pasukan negara tidak begitu menyengat dan gambaran awal sudah terbayang yang pasukan negara akan menghadapi kesukaran setelah gagal menghasilkan sebarang gol.

Bila masuk separuh masa kedua tekanan semakin memuncak kerana bukan mudah untuk menghasilkan dua gol, lebih-lebih lagi bahagian serangan kurang menjadi. Singapura pula hanya memburu satu gol bagi mematikan rentak pasukan negara.

Begitulah apa yang berlaku setelah Safee Sali berjaya menjaringkan gol tunggal dan Singapura tidak mengambil masa yang lama bagi menyamakan kedudukan.

Dalam perlawanan itu jelas Singapura berjaya bermain mengikut "game plannya" dengan bermain secara tenang dan tidak ghairah kerana dari segi psikologinya mereka sedang mendahului dengan dua gol. Mereka hanya perlu bermain secara rilek dan berhati-hati.

Menurut K.Rajagopal, kecederaan Aidil Zafuan di minit-minit awal telah merencatkan taktikal pasukan negara. Manakala bahagian serangan gagal berperanan dan hilang kreativiti. Nasib baik penjaga gol Khairul Fahmi bermain dengan cemerlang dan telah menyelamatkan banyak percubaan dari penyerang Singapura yang boleh menghasilkan gol.

Apa yang menjadi persoalan ialah tindakan K.Rajagopal yang sering menurunkan Ahmad Fakri Saarani berbanding dengan Ashari Samsudin. Fakri yang masuk menggantikan Abdul Hadi Yahya jelas tidak berkesan, malah telah dilayang kad merah dan di arah keluar padang.

Sebagaimana dalam perlawanan lalu Fakri hanya berlari dan berlegar di atas padang sahaja tanpa gerakan-gerakan menarik. Manakala orang tidak lupa peranan dan sumbangan Ashaari Samsudin yang telah berjaya melorong bola ke arah Safee Sali yang telah menghasilkan gol memusnahkan harapan Indonesia di final Piala AFF di Jakarta yang lalu.

Bagaimanapun, seperti pandangan umum bahawa K.Rajagopal, sebagai jurulatih pasti lebih memahami para pemainnya dalam menentukan siapa yang patut berada dalam kesebelasan utama.

Walaupun tewas pasukan negara perlu bangkit dan menganggap kekalahan ini sebagai ikhtibar dan pengajaran berguna bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

FAM pula perlu mengekalkan skuad yang ada untuk tempoh jangka waktu yang lama lagi. Mereka tidak perlu dihukum akibat kekalahan ini. Cuma perlu ada sedikit rombakan beberapa orang pemain.

 .

















Khamis, 28 Julai 2011

Wacana ilmu dalam bahasa Inggeris ?


WACANA anjuran Karangkraf bertajuk, "Apa Selepas 9 Julai" yang lalu telah memberikan pelbagai reaksi. Dihadiri dua tokoh penting iaitu Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar. Panel ketiga ialah tokoh intelektual UKM, Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Usaha Karangkraf mengadakan wacana ini harus dipuji dan diharap program seperti ini akan berterusan untuk percambahan ilmu.

Kesanggupan Datuk S. Ambiga dan Datuk Wan Ahmad bersemuka memberi hujah masing-masing harus dipuji. Tetapi seperti biasa dalam apa pun perbahasan atau forum tentang sesuatu isu ia tidak akan memberi sebarang penyelesaian. Namun sekurang-kurangnya ia dapat membuka skop topik itu lebih luas.

Khabarnya, dalam wacana tersebut suara hadirin lebih kuat dan bising dari suara para panel. Berbagai soalan diajukan sehingga suasana kecoh dan hangat. Sehingga apa yang ingin disampaikan ahli panel tidak didengari dan jelas.

Ini memburukkan lagi keadaan dengan para panel bercakap dalam bahasa Inggeris yang menyukarkan sebahagian hadirin untuk memahaminya. Bagaimana dalam wacana seperti itu boleh menggunakan bahasa Inggeris ?

Apa yang pasti Datuk S. Ambiga ialah seorang yang tidak fasih bercakap dalam bahasa kebangsaan. Tetapi dua lagi panel, Datuk Wan Ahmad dan Prof Shamsul terpaksa ikut rentak Pengerusi Bersih itu dengan menggunakan bahasa penjajah. Satu sikap tolak ansur di tahap tinggi.

Kalaulah wacana itu diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan, agak macam mana Ambiga akan menyampaikan hujah-hujahnya ? Barangkali, penjelasannya akan berbelit-belit dan lintang pukang.

Sebagai Pengerusi Bersih dan memperjuangkan isu paling "terhangat" yang melibatkan negara serta hampirnya sambutan kemerdekaan negara yang ke 54, ketidakupayaan Ambiga bertutur bahasa rasmi amat menyedihkan.

Di harap Sasterawan Negara, Pak Samad Said yang kebetulan salah seorang pemimpin penting Bersih dapat menegur Datuk S. Ambiga tentang penguasaannya dalam bahasa kebangsaan itu. Apatah lagi Pak Samad adalah orang yang paling kuat menentang penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Agak janggal bagi orang seperti Pak Samad dan lain-lain pemimipin berketuakan seorang yang tidak menguasai bahasa rasmi negaranya sendiri.
















Selasa, 26 Julai 2011

Sikap "double standard" pembangkang


ISU kematian Teoh Beng Hock telah menjadi senjata ampuh pembangkang menyerang SPRM dan kerajaan dalam tempoh yang panjang. Berbagai tuduhan dan tekanan ke atas kerajaan sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan menyiasat punca kematiannya.

Setelah kerajaan akur dengan permintaan semua pihak bagi penubuhan Suruhanjaya tersebut yang menelan belanja begitu besar, pihak pembangkang telah menolak hasil keputusan laporan Suruhanjaya tersebut begitu sahaja.

Alasan adalah mudah kerana keputusan Suruhanjaya itu yang mengesahkan bahawa Teoh Beng Hock tidak dibunuh, malah ia adalah kes bunuh diri. Keputusan ini sudah tentu tidak mengembirakan parti pembangkang, di mana sebelum ini ianya telah dimanipulasi sepenuhnya untuk menyerang kerajaan.

Pihak pembangkang telah menunjukkan sikap bahawa mereka tidak dapat menerima apa saja keputusan jika ianya tidak menyebelahi mereka. Sedangkan penubuhan Suruhanjaya tersebut adalah hasil permintaan mereka sendiri.

Jika Suruhanjaya itu ditolak, apa lagi ? Nampaknya semua perkara hendak dipolitikan.

Begitu juga dalam semua 16 pilihanraya kecil yang telah diadakan selepas PRU 12 lalu. Di mana pembangkang telah memenangi lapan kerusi dan Barisan Nasional juga menang lapan kerusi.

Bila pembangkang menang mereka akan mengatakan bahawa kemenangan itu adalah pertolongan dari "langit" dan rakyat menolak kerajaan sekarang. Tetapi bila kerajaan menang, mereka menuduh pula kerajaan guna wang dan menggunakan pengundi hantu. Dan bermacam-macam tuduhan dilemparkan.

Taktik pembangkang hanyalah untuk menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Kini institusi polis pula menjadi sasaran. Segala-galanya tidak ada yang kena.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan merbahaya. Sekiranya tugas pihak keselamatan dan institusi perundangan sudah tidak dihormati, maka sistem demokrasi yang kita amalkan tidak akan memberi erti. Apa yang membimbangkan ialah ia boleh menimbulkan suasana anarki.

Bila situasi anarki wujud tidak ada sesiapa yang akan rasa selamat dan masing-masing akan berada dalam ketakutan dan tidak selamat.  Inikah yang menjadi matlamat pihak-pihak tertentu ?

Sesebuah negara bila berada dalam kacau bilau dan tidak stabil ianya mudah mengundang pihak-pihak luar yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh dengan mencampuri urusan dalaman negara tersebut. Contoh apa yang telah berlaku di negara-negara Islam cukup banyak dan tidak perlu dihuraikan lagi.

Negara kita tanggungjawab kita. Bukan tanggungjawab "demo". Moto ini harus disematkan pada setiap anggota masyarakat kita agar negara kita akan terus aman dan stabil.

Tidak ada sesuatu paling bernilai dalam kehidupan sesebuah negara melainkan keamanan dan kestabilan. Jangan sampai nikmat itu hilang sekelip mata kerana belum tentu kita akan memperolehinya setelah ia hilang.













Isnin, 25 Julai 2011

Tan Sri Sanusi Junid masuk wad


BEKAS Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta setelah mengadu sakit dada. Beliau kini semakin sihat dan boleh bercakap. Tan Sri Sanusi akan terus berada di hospital untuk rawatan lanjut.

Sanusi Junid adalah antara tokoh penting dalam UMNO dan kerajaan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan salah seorang dari tiga Naib Presiden UMNO bersama dua tokoh lagi iaitu Tun Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim.

Pada satu ketika beliau kelihatan berpotensi menjadi bakal calon Timbalan Presiden UMNO. Sanusi Junid ialah seorang politikus yang kreatif dan banyak idea. Semasa menjawat sebagai Menteri Pertanian, beliau banyak melakukan pembaharuan, termasuk kempen minum air kelapa, minuman koko dan sebagainya.

Ideanya banyak, kreatif dan kadang-kadang melucukan. Sanusi adalah satu-satunya menteri yang fasih bercakap dalam banyak bahasa termasuk Mandarin, Tamil, Urdu dan lain-lain. Beliau juga seorang gemar membaca dan disifatkan sebagai ulat buku.

Ini diterjemahkan melalui usahanya melahirkan sebuah kampung buku di Kedah yang kini tidak tahu bagaimana keadaannya setelah beliau tidak lagi berada dalam kerajaan. Di Kuala Lumpur salah sebuah rumah miliknya telah dijadikan perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku miliknya. Khabarnya, Tan Sri akan menghabiskan masanya membaca sebagai aktiviti hariannya. Menurutnya lagi, habis semua buku di perpustakaan itu dibacanya.

Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tun Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO,  Sanusi bersama dengan Pak Lah adalah antara pemimpin yang kuat menentang hasrat Anwar itu. Beliau dan Pak Lah telah berkempen seluruh negara bagi memberi sokongan pada Tun Ghaffar.

Usaha beliau gagal kerana angin dan gelombang Anwar masa itu terlalu kuat. Selepas Anwar berjaya menyingkirkan Tun Ghaffar, hubungan beliau dan Anwar menjadi dingin, malah menjadi seteru politik pula.

Bila kes pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi gawat, Sanusi telah tampil membantu Dr. Mahathir dan UMNO bagi mempertahankan tindakan parti dan kerajaan.

Sepanjang beliau aktif dalam politik, beliau adalah seorang penyokong kuat nombor wahid pada pimpinan Dr. Mahathir. Beliau begitu setia dan tidak pernah "derhaka" dalam situasi apa pun. Kini terbukti beliau dan Dr. Mahathir merupakan penyokong kuat Perkasa.

Hubungan beliau dengan Dr. Mahathir adalah lebih dari seorang pengikut dan mentor, malah seperti sahabat dan rakan yang setia. Ianya tak terpisahkan.

Sanusi Junid adalah seorang politikus unik dan kreatif pernah UMNO lahirkan. Peranan dan sumbangannya banyak untuk parti dan kerajaan. Namun detik hitam yang tidak mungkin dilupakan Sanusi ialah bila mana UMNO telah diharamkan oleh mahkamah semasa beliau menjawat sebagai Setiausaha Agungnya.














Harimau Malaya mesti positif


KEKALAHAN 3-5 di Singapura perlu dilupakan sementara waktu dan para pemain negara mesti positif dan fokus pada perlawanan kedua Khamis ini di Kuala Lumpur.

Apa yang positifnya dalam perlawanan itu ialah pemain kita mampu bangkit dan menjaringkan dua gol setelah ketinggalan 1-4 dalam separuh masa pertama menjadikan kedudukan 3-4 satu ketika. Tetapi gol kelima Singapura merencatkan sedikit suasana.

Harimau Malaya boleh menewaskan Singapura Khamis ini sekiranya mereka bermain bermati-matian dan mengelak dari melakukan kesilapan. Tugas dan beban pemain Harimau lebih berat jika dibandingan dengan pemain Singapura.

Singapura dengan kelebihan dua gol hanya perlu mencari satu gol awal bagi memusnahkan impian pasukan negara. Sedangkan Harimau Malaya mesti mendapatkan kelebihan dua gol dan memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Kelima gol Singapura Sabtu lalu dijaringkan oleh empat tenaga importnya, terdiri dari Alexander Duric, Qiu Li, Mustafic Fahruddin dan Shi Jiayi. Mereka semua cukup berbisa dan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar berbanding pemain negara.

Kalau mereka berjaya membolosi gawang kita dengan dua gol, bermakna pemain negara perlu mencari empat gol dari segi aggreget. Begitulah seterusnya, semakin banyak jumlah gol dijaringkan Singapura, maka semakin bertambahlah tekanan ke atas pasukan negara.

Suasana tertekan adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana kini Harimau Malaya sudah pun tertekan. Bagaimanapun, tekanan itu masih berada di tahap berada dalam kawalan.

Justeru Harimau Malaya mesti positif dan fokus Khamis ini bagi menebus kekecewaan dalam perlawanan lalu. Maruah negara berada di pundak mereka. Hanya kemenangan selesa sahaja dapat mengubati luka yang tercalar itu.

Bagi K.Rajagopal, jangan terlepas pandang pemain seperti Khairul Fahmi, Amirul Hadi, Abdul Hadi Yahya serta Ashaari Samsuddin pada perlawanan Khamis ini.

Selamat berjuang. Dan menerkamlah seperti harimau !












Ahad, 24 Julai 2011

Bolasepak: Malaysia hadapi tugas berat


MALAYSIA tewas 3-5 pada Singapura beberapa jam yang lalu dalam perlawanan Pra Kelayakan Piala Dunia di Stadium Jalan Besar. Separuh masa pertama Malaysia ketinggalan 1-4.

Dengan keputusan ini pasukan negara perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai ini. Harapan pasukan negara masih ada, tetapi menghadapi tugas yang berat berdasarkan perlawanan sebentar tadi.

Sekiranya Malaysia berjaya menghasilkan dua gol dan Singapura pula mampu mendapatkan hanya satu gol, maka pasukan negara akan tersingkir dari kelayakan Piala Dunia.

Berdasarkan perlawanan tadi penyerang Singapura begitu berbisa dan mudah membolosi barisan pertahanan Malaysia. Mereka boleh lakukan sekali lagi bila pertemuan di Kuala Lumpur nanti.

Benteng pertahanan pasukan negara begitu rapuh sebagaimana yang dibayangi sebelum ini. Dan ianya terbukti sekali lagi bila mudah dibolosi dengan lima gol.

Prestasi penjaga gol Sharbini Allawee juga menimbulkan keraguan. Dia sudah pasti tidak akan diturunkan pada 28 Julai ini. Jurulatih K.Rajagopal juga ada melakukan sedikit kesilapan dalam menyenaraikan kesebelasan pemainnya.

Pemain seperti Ismail Faruqi dan Ahmad Fakri Saarani tidak sepatutnya berada dalam barisan utama. Ini terbukti  bila mereka dikeluarkan dan digantikan dengan Amirul Hadi Zainal dan Abdul Hadi Yahya dalam separuh masa kedua.

Kemasukan Amirul dan Hadi telah menukar corak serangan Malaysia dalam separuh masa kedua dan Abdul Hadi telah berjaya menjaringkan satu gol. Lagipun Abdul Hadi adalah penjaring gol terbanyak dalam Liga Malaysia. Bagaimana Rajagopal boleh utamakan Ahmad Fakri Saarani dari Abdul Hadi ?

Begitu juga Amirul Hadi lebih banyak bermain berbanding Ismail Faruqi. Rajagopal perlu berhati-hati dalam pemilihan para pemainnya. Dia mesti perbetul dan perbaiki kelemahan ini menjelang perlawanan kedua nanti.

Peluang pasukan negara masih terbuka, namun dalam masa yang sama mereka menghadapi tugas berat dan sukar memandangkan Singapura telah mempamerkan satu permainan yang berkesan.

Setelah kita juara Piala AFF, ini adalah ujian paling getir dihadapi pasukan negara. Apakah kita mempunyai kualiti yang sebenar sebagai juara ? Kita mempunyai satu lagi ujian pada 28 Julai ini untuk membuktikan bahawa kejuaraan Piala AFF yang kita menangi bukanlah nasib atau satu kebetulan.

Jika Singapura mampu menyingkirkan Malaysia dari Kelayakan Piala Dunia, maka imej kita akan tercalar dan Singapura pula boleh mendabik dada ia sebagai  jaguh sebenar di Asia Tenggara.

Kini harapan berada dibahu para pemain negara untuk bermain habis-habisan bagi mencuci arang yang terconteng di muka mereka setelah tewas 3-5.

Malaysia hanya perlukan dua gol dan pastikan Singapura tidak menjaringkan sebarang gol untuk layak ke pusingan seterusnya.













Jumaat, 22 Julai 2011

UMNO dan "winnable candidates"


KETUA UMNO Jerantut dan ahli parlimen kawasan itu, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya akan datang dan bersedia memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berkelayakan.

Tengku Azlan ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan dan telah menjadi wakil rakyat Jerantut selama tiga penggal sejak 1999.

Keputusan beliau ini telah mendapat pujian banyak pihak dan menjadi contoh kepada para pemimpin lainnya yang telah lama berkhidmat, tetapi masih lagi melobi dan berkempen agar dipilih semula sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Kesediaan beliau mengundur diri adalah sebagai menyambut kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan calon-calon UMNO terdiri dari calon "winnable" sahaja yang terpilih.

UMNO tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada 2008, di mana banyak kesilapan berlaku dalam pemilihan calon-calon yang bertanding. Malah ada calon tidak mendapat restu dari Ketua Bahagian dan cawangan.

Calon yang mempunyai ciri-ciri "winnable" ini tidak semestinya Ketua Bahagian atau cawangan, tetapi ia mestilah mendapat sokongan majoriti penduduk dan bukan hanya sebilangan ahli UMNO.

Di sinilah penting peranan ahli-ahli UMNO bersatu dan menyokong siapa saja yang terpilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon. Tidak ada gunanya terpilih sebagai calon, tetapi parti kalah.

Khabarnya, ramai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan sekarang sedang "kepanasan" akan peluang mereka menjadi bakal calon. Sudah ada sesetengahnya mula bergerak menjelajah dan mendekati rakyat dalam usaha menawan hati mereka.

Difahamkan calon yang akan dipilih tidak semestinya dari bahagian tertentu, malah ia boleh datang dari luar kawasan asalkan calon tersebut mempunyai peluang untuk menang.

Usaha ini adalah salah satu dari transformasi UMNO bagi menghadapi PRU 13. Pendekatan ini adalah  baik sekiranya mendapat sokongan dan kerjasama ahli-ahli UMNO. Tetapi sekiranya penyakit lama  seperti "cah keting" sesama sendiri berlaku lagi, maka UMNO akan menerima padah.

Langkah Tengku Azlan berundur memberi syarat pada para pemimpin yang sudah lama berkhidmat tetapi masih lagi mahu bertanding, walaupun sudah tidak popular, agar memberi laluan pada calon-calon yang lebih muda dan berwibawa. Kepentingan parti mengatasi lain-lain kepentingan.