Rabu, 4 Mei 2011

Antara Tee Keat dan Soi Lek

BILA bercakap tentang MCA dan pengundi Cina tidak banyak tumpuan diberikan pada batang tubuh Presidennya, Datuk Dr. Chua Soi Lek, yang sebelum ini terpalit dengan isu video seks melibatkan dirinya.

Apa yang menarik, Dr. Chua telah mengaku secara terbuka dan memohon maaf di atas apa yang berlaku. Lebih mengejutkan lagi, dalam pertandingan jawatan Presiden MCA, beliau telah menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, dengan majoriti yang kecil.

Dr Chua Soi Lek

Banyak pemerhati politik tidak menyangka beliau yang terlibat dalam skandal itu boleh menang jawatan Presiden. Kerana Tee Kiat, masa itu sebagai Menteri Pengangkutan, telah menunjukkan prestasi dan rekod yang baik sebagai pemimpin MCA dan wakil rakyat.

Ong Tee Kiat ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen dan seorang yang fasih berbahas dalam bahasa Malaysia. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab membongkar skandal PKFZ yang melibatkan penyelewengan berjuta ringgit. Sehingga kes tersebut telah mengheret dua tokoh MCA ke mahkamah.

Ramai meramalkan faktor kejatuhan Ong Tee Keat, ada kaitan dengan kes ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebilangan ahli MCA.

Dan berita terkini ada desas-desus membayangkan Ong Tee Keat, akan digugurkan sebagai calon MCA dalam PRU 13 nanti. Jika ini benar, inilah realiti politik di negara kita di mana pemilihan calon bukan lagi berdasarkan trek rekod berkhidmat, tetapi lebih pada klik atau puak.

Ong Tee Keat

Bagaimanapun, Ong Tee Keat, kini seorang kolumnis di akhbar Sinar Harian, telah menulis dalam kolumnya baru-baru ini bahawa beliau tetap akan mempertahankan kerusi parlimennya di Pandan, walaupun tidak terpilih.

Beliau menegaskan lagi, sekiranya MCA menggugurkan namanya beliau akan bertanding atas tiket Bebas. Kerana beliau yakin seluruh pengundi di kawasan Pandan akan tetap memilihnya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan khidmat yang telah ditunjukkannya.

Justeru itu bolehkah kita menganggap kes pengundi Cina lari ke parti pembangkang ada kaitan dengan kes-kes seperti ini?

Agak terkedu juga bila memikirkan bagaimana seorang yang terlibat dalam skandal boleh dipilih menjadi pemimpin sebuah organisasi besar mewakili suatu kaum. Tetapi perlu diingat, pemilihan pemimpin MCA hanya ditentukan oleh seribu atau lebih ahli dan bukan keseluruhan masyarakat Cina.

Jadi, kalau masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan dengan MCA, maka parti itu haruslah berusaha memperbaiki imejnya sebagai sebuah parti yang bersih dari pemimpin yang mempunyai skandal.

Ong Tee Keat telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang mempunyai imej yang bersih, malah seorang tokoh muda yang berwibawa.

Apakah ahli MCA telah buat pilihan yang silap?

. ..

Selasa, 3 Mei 2011

Melayu bersatu jika terancam

BEGITULAH tajuk di atas seperti yang tersiar dalam Sinar Harian, 3 Mei 2011. Dalam berita tersebut dilaporkan, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata orang melayu hanya akan bersatu sekiranya ada isu atau masalah yang mengancam kedudukan mereka di negara ini.

Menurut Ku Li lagi, ramai di kalangan orang melayu berada di luar parti politik dan majoritinya tidak menyertai mana-mana parti.

"Sebab itu saya katakan, kalau ada isu besar yang menggembarkan kedudukan orang melayu, saya percaya mereka akan bersatu, pada masa itulah mereka akan mencari pemimpin," katanya.

Tidak pasti apakah Ku Li telah membuat kajian dan selidik sebelum beliau mengeluarkan kenyataan itu atau sekadar pandangannya secara rambang.

Sekiranya ada benarnya pandangan ini., maka tentu ia melegakan orang-orang melayu. Lebih-lebih lagi suasana politik orang melayu kini di tahap kritikal. Dua parti melayu terbesar- UMNO dan PAS belum boleh bersemuka sehingga sekarang disebabkan berlainan ideologi.

UMNO kelihatan bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan PAS. Setakat ini PAS menolak bulat-bulat kemungkinan bersatu dengan UMNO yang dicapnya sebagai kebangsaan dan tidak Islamik.

Memang menjadi rahsia umum bahawa ada sebilangan pemimpin PAS yang melihat secara positif kerjasama ini, tetapi dihalang sebahagian pemimpin yang di kepalai Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz. Sehingga suatu ketika Tok Guru telah memberi amaran secara terbuka pada tiga pemimpin tertinggi PAS iaitu Nasharuddin Mat Isa, Datuk Mustapa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali agar keluar parti dan masuk UMNO.

Di atas kebijaksanaan para pemimpin terbabit, isu ini telah reda dan dikawal sepenuhnya, seolah-olah ianya telah selesai. PAS telah berjaya menutup isu ini agar ia tidak kelihatan berpecah dari dalam . Apa benar ia berpecah atau tidak , kenalah tunggu muktamar parti itu Jun ini.

Tetapi riak-riak menjelang muktamar parti sudah terbayang dengan kemungkinan ada pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Apakah golongan ulamak dapat mengatasi kumpulan profesional yang cuba menguasai parti?

Kesan dan implikasi dari muktamar ini akan dikenal pasti ke arah mana haluan parti, lebih-lebih lagi dalam isu kerjasama dengan UMNO yang menjadi agenda cukup penting pada pada umat melayu dan Islam.

Bagaimanapun, harapan orang-orang melayu agar kedua parti terbesar ini akan menemui titik pertemuan demi kelangsungan survival bangsa melayu dan Islam yang kini semakin diasak dan diserang pelbagai penjuru.

Seperti apa yang di ucap Tengku Razaleigh tadi sekurang-kurangnya menjadi penawar dan pengharapan agar ia menjadi kenyataan bila tiba masanya nanti. Apatah lagi ianya diluahkan oleh seorang yang berdarah raja dan kalangan istana.

DAP dan kuasa politik

LEBIH kurang 20 tahun dulu semasa saya berada di Kuala Lumpur bekerja sebagai wartawan sambilan di akhbar Mingguan Islam, di bawah pimpinan Mohd Sayuti Omar (MS0), seorang penulis politik dan blogger terkenal, saya sempat hadir dan mendengar ceramah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, di sebuah hotel terkenal ibukota.

Semasa di Kuala Lumpur saya menumpang di rumah MSO yang terletak di Wangsa Maju. Kami berdua menaiki kereta dan kadang-kadang menaiki bas ke pejabat. Banyak pengalaman suka dan duka bersama MSO masa itu saya simpan. Saya akan cerita dalam catatan yang lain.

Biasanya selepas waktu pejabat kami akan terus pulang ke rumah. Tetapi pada suatu petang, saya mendapat berita ada satu ceramah politik akan diadakan sebelah malam di Federal Hotel. Saya buat keputusan untuk ke sana manakala MSO tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen lain. Jadi saya pun pergi sendirian.

Bila saya sampai di situ orang penuh di bahagian lobby. Saya memberanikan diri memasuki dewan ceramah. Ramai yang hadir berbangsa Cina. Ada beberapa kerat melayu termasuk saya , hanya saling memandang tanpa bercakap hatta tersenyum. Barangkali, dalam hati masing-masing tertanya-tanya gerangan apa kehadiran kami di situ? Ahli DAP atau seorang pemberita?

Di muka pintu dewan kami diberikan satu risalah parti dalam pelbagai bahasa. Ketika saya mula masuk dewan, saya lihat dewan penuh sesak dan ketika itu Tan Sri Lee Lam Thye, Setiausaha Agung DAP sedang berucap dalam bahasa Inggeris. Saya berada di barisan belakang dan saya nampak ramai tokoh DAP berada di atas pentas.

Tiba-tiba dalam dewan kecoh dan bising dan semua orang bangun serta bertepuk tangan. Mula-mula saya tidak pasti apa yang berlaku. Setelah beberapa minit, barulah saya sedar dan nampak yang Lim Kit Siang, baru tiba sambil melambai-lambai tangannya pada para penyokong. Lee Lam Thye, yang sedang berucap pada masa itu terpaksa berhenti ucapannya sementara.

Selepas Lim Kit Siang, mengambil tempatnya di atas pentas, Lee Lam Thye menyambung balik ucapannya tadi. Tanpa mengambil masa yang panjang, Lam Thye, terus menjemput Kit Siang untuk membuat ucapan.

Lim Kit Siang, telah membuat ucapan pembukaannya dalam bahasa Cina. Nadanya cukup berapi dengan suara yang tinggi membuatkan yang hadir bersorak dan bertepuk tanpa henti. Saya tidak faham apa yang dicakapkan oleh Kit Siang. Tetapi mujurlah selang beberapa ketika beliau telah berucap dalam bahasa Inggeris pula. Saya bukan mahir sangat bahasa tersebut, tetapi saya dapat memahami dengan jelas apa yang beliau sampaikan.

Kebetulan masa itu UMNO sedang menghadapi perpecahan antara team A dan B. Team A diterajui Dr. Mahathir dan Ghaffar Baba, manakala team B, Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam.

Antara ucapan Kit Siang, yang saya masih ingat, beliau mengatakan beliau tidak peduli Team A atau B. Baginya apa yang penting dan prioriti utama ialah DAP akan memerintah negara ini. Saya petik perkataannya dalam bahasa Inggeris, "We don't care, as long DAP rule the country".

Kini poltik semasa pertembungan antara UMNO dan PAS semakin tajam. Team A dan B sudah selesai. Apakah impian Lim Kit Siang dan DAP telah lenyap begitu saja? Atau inilah agendanya pada masa mendatang?

Renung-renunglah.

Isnin, 2 Mei 2011

Semakin berserabut dan celaru

SELEPAS upacara angkat sumpah Datuk T dan keenganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran agar bersumpah sama berdepan dengan mereka yang menuduhnya telah menimbulkan berbagai reaksi dari seluruh lapisan masyarakat.

Setiap golongan bermula dari peringkat Mufti, ulamak, pemimpin politik, orang kebanyakan dan sebagainya telah memberi pandangan mereka masing-masing. Banyak pro dan kontranya, berbagai hujah termasuk dari segi hukum dan syariat Islam.

Bagi mereka yang arif tentang hukum hakam akan menilai dengan tenang. Manakala yang kurang reti dan kurang tahu akan terkial-kial kebingungan dan keliru. Semakin dibacanya sajian berita di akhbar-akhbar, semakin bertambah keliru dan bercelaru.

Dalam konteks ini, suatu masa dulu kita pernah membaca satu kajian yang dibuat di negara ini, melaporkan bahawa majoriti rakyat negara ini tidak suka membaca bahan-bahan yang serius dan bercorak ilmiah. Mereka lebih berminat membaca bahan-bahan ringan atau bercorak misteri, dongeng, cerita-cerita hantu dan sebagainya. Lebih-lebih lagi berita-berita tentang gossip artis, rumahtangga mereka hinggalah ke tempat tidur mereka.

Justeru itu buku-buku novel cinta, hantu jembalang, bomoh misteri dan seumpamanya begitu laris di pasaran. Buku-buku ilmiah kebanyakannya kurang sambutan dan lebih banyak memerap di gudang atau setor.

Sasterawan Negara, A. Samad Said, pernah merungut yang novel karyanya amat susah untuk diulang cetak. Kalau dicetak, paling tinggi jumlahnya lima ribu nashkah setahun!  Berbanding novel-novel karya cinta karya penulis-penuilis muda yang diulang cetak mencecah 100 ribu nashkah.

Begitu juga dalam bidang perfileman. Filem-filem bercorak hantu pontianak, misteri dan fantasi mendapat sambutan luar biasa. Sehingga kutipan tiket mencecah jutaan ringgit. Dan kini semua pengarah muda lebih suka menghasilkan filem-filem bercorak seram.

Itulah fenomena masyarakat kita terkini. Mereka lebih cenderung dan dahaga bahan-bahan seperti ini. Apakah kita mahu menyalahkan mereka?

Mereka tidak bersalah kerana mereka sudah bosan dan muak dengan segala isu dan cerita politik yang tidak berkesudahan. Mereka mencari sesuatu yang boleh menghiburkan dan melapangkan fikiran mereka, setelah setiap hari dibebani dengan berbagai rencah kehidupan yang meletihkan jiwa dan minda.

Isu-isu politik menambah beban fikiran mereka, lebih-lebih lagi isu yang kabur, keliru dan membingungkan. Menjadi tanggungjawab setiap pemimpin masyarakat mencari kejernihan dan kebersihan dalam minda masyarakat kita agar iklim kehidupan kita lebih cerah, bersih dan murni bukan dipenuhi dengan perkara-perkara kotor dan jijik.

Peranan media cukup penting kerana semua yang tertulis akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. .

Ahad, 1 Mei 2011

Kaum Cina: Pilih kerajaan atau pembangkang?

DATUK Seri Najib Tun Razak ketika membuat ucapan di Trengganu kelmarin telah menasihatkan pada kaum Cina di negara ini agar membuat pilihan yang bijak demi masa depan mereka.

Mereka mesti membuat pilihan sama ada mengundi kerajaan atau pembangkang? Ini adalah ekoran dari kenyataan Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek, bahawa MCA tidak akan berada dalam kabinet atau negeri sekiranya ia tidak mendapat sokongan dari kaum Cina.

Kaum Cina tidak boleh menyokong pembangkang, tetapi dalam masa yang sama mahu penyertaan wakil mereka dalam kerajaan. Mereka tidak mungkin memperolehi keduanya.

Kaum Cina mesti buat pilihan. Kerajaan telah banyak membantu orang-orang Cina di negara ini dengan berbagai dasar yang dijalankan termasuk bidang pendidikkan, ekonomi, budaya dan sebagainya. Walaupun kerajaan pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang pro bumiputera, namun kaum-kaum lain tetap dilindungi dan dilayan sama rata.

Mereka seharusnya melihat dan membuat perbandingan kehidupan kaum Cina di Indonesia, misalnya. Di sana kaum Cina telah mengalami suatu proses asmilisasi, di mana identiti mereka sebagai satu bangsa hampir hilang. Sebutan nama dan paras rupa beransur-ansur bertukar menjadi satu bangsa Indonesia.

Di Malaysia kaum Cina tetap dengan identitinya . Malah ada yang tidak tahu pun berbahasa Malaysia. Tetapi mereka tetap dilayan sebagai warganegara. Sekolah Cina masih wujud, budaya mereka bebas diamalkan tanpa apa-apa gangguan dari mana-mana pihak.

Orang-orang Cina patut berterima kasih pada kerajaan. Barangkali, ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Tetapi kita perlu ingat tidak ada satu bangsa pun di negara ini yang berpuas hati dengan kerajaan termasuklah orang-orang melayu yang populasinya lebih 60 peratus di negara ini.

Orang Cina tidak boleh terus dipengaruhi oleh DAP yang sentiasa memainkan isu-isu perkauman yang boleh membawa padah pada negara seluruhnya. Orang Cina cukup arif yang DAP tidak mungkin dapat memerintah negara ini tanpa sokongan dari orang-orang melayu.

Dan majoriti melayu tidak menyokong DAP. Jalan paling selamat bagi kaum Cina ialah memastikan mereka tetap ada suara atau wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan segala permasalahan yang melibatkan kepentingan mereka.

Kita percaya mereka tidak akan memperjudikan nasib masa depan mereka dengan terus berada di dalam kerajaan agar usaha kerajaan untuk membina satu bangsa Malaysia akan tercapai.

Peristiwa 13 Mei seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran berguna . Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan peristiwa hitam itu tidak berulang.

Sabtu, 30 April 2011

Fatah dan Hamas berdamai

DALAM akhbar Utusan Malaysia, 29 April lalu melaporkan, kumpulan pejuang Palestin , Fatah dan Hamas telah pun berdamai setelah sekian lama bermusuhan sesama sendiri. Rundingan itu diadakan di Mesir.

Berita ini tentulah disambut penuh gembira oleh seluruh dunia Arab dan umat Islam seluruhnya. Sebelum ini mereka telah bermusuhan sehingga membunuh sesama sendiri. Ini sungguh mengecewakan umat Islam kerana perjuangan membebaskan Palestin dari cengkaman Yahudi telah menemui jalan buntu.
Abbas dan Ismail Haniyeh

Fatah lebih pro barat. Sedangkan Hamas tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Dengan perkembangan ini sudah tentu ianya tidak disenangi rejim Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu. Netanyahu begitu dendam dengan Hamas, lebih-lebih lagi, Ismail Haniyeh.

Pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas, sebelum ini begitu rapat dengan Israel termasuk mengadakan beberapa perjanjian dengan rejim tersebut. Seperti yang diketahui, semua perjanjian yang dicapai sering dicabuli oleh pihak Israel. Kelihatan kumpulan Fatah sering dipermainkan dalam setiap rundingan yang telah dipersetujui.

Dengan langkah Fatah bersatu kembali dengan Hamas , sudah tentu ianya memberi pukulan yang hebat pada Israel. Mahmoud Abbas tentu sudah bosan dan jemu dengan sikap Israel yang di sokong kuat oleh Amerika, membuli rakyat Palestin sekian lama.

Sebenarnya, Fatah dan Hamas telah berdamai beberapa tahun dahulu di Arab Saudi. Tetapi perdamaian itu tidak kekal lama , sehingga mereka melakukan serangan sesama sendiri.

Apakah kali ini mereka akan bersatu untuk jangka masa yang lama? Atau mereka akan berperang sesama sendiri sekali lagi?

Apa yang jelas, Benjamin Netanyahu, telah memberi amaran pada Abbas agar tidak meneruskan niatnya berdamai dengan Hamas. Kerana baginya, Hamas adalah sebuah pertubuhan pengganas. Justeru itu kemerdekaan sebuah negara Palestin tidak akan berjaya dicapai.

Bagi Abbas pula, Netanyahu telah mempersiakan segala rundingan dan tolak ansur yang telah dicapai dengannya. Bertahun-tahun segala proses rundingan menjadi sia-sia gara-gara sikap Israel yang sering mungkir janji dan mencabulinya.

Kini dengan langkah Abbas berganding semula dengan Ismail Haniyeh, harap-harap perjuangan rakyat Palestin akan kembali kuat dan padu. Gandingan ini sepatutnya telah lama berlaku. Tetapi sayang perjuangan rakyat Palestin telah menghabiskan masa begitu lama dengan sia-sia kerana bercakaran sesama sendiri.

Ibarat dalam perjalanan, Israel telah melangkah seratus langkah. Palestin pula baru melangkah setapak. Jauh sekali jaraknya untuk dikejar. Tetapi bak kata pepatah, dalam setiap perjalanan sebelum sampai ke tempat yang dituju, dimulakan dengan langkah pertama.

Semoga Abbas dan Haniyeh tidak akan berpatah balik.. .

Khamis, 28 April 2011

Anwar Ibrahim.......bersumpahlah

KES liwat dan video seks yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim , cukup keliru dan membingungkan ramai orang. Apakah ianya suatu kes politik atau memang sah kebenarannya?

Saya sebenarnya tidak begitu cenderung untuk memperkatakan tentang kes ini. Dari segi hukum ia amat berat, lebih-lebih lagi bagi pihak yang membuat tuduhan. Saya bersetuju dan sokong kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz, bahawa beliau tetap akan mempertahankan Datuk Seri Anwar, selagi tidak ada bukti.

Cuma apa yang meresahkan saya ialah sikap Datuk Seri Anwar, tidak begitu bersungguh-sungguh membersihkan namanya yang sudah tercemar. Fokus beliau lebih tertumpu pada soal-soal politik dan bukan masalah peribadinya.

Sedikit masa lalu, bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, telah mengesa agar Anwar mengundurkan diri supaya barisan pembangkang diberi nafas baru dan perubahan. Menurutnya lagi, rakyat sudah jemu dan bosan dengan isu-isu "selak kain".

Dr. Mohd Asri juga telah menggesa agar Anwar bersumpah bagi membersih peribadinya. Sekurang-kurangnya dengan langkahnya bersumpah dapat membuktikan yang beliau tidak bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, juga menyambut baik sekiranya Datuk Seri Anwar, ingin bersumpah mubahalah iaitu sumpah laknat. Katanya, beliau gembira sekiranya ini terjadi kemungkinan ia dapat menyelesaikan satu perkara besar yang sekarang membebani fikiran umat Islam.

Berita terkini pula melaporkan salah seorang dari Datuk T yang membuat tuduhan tentang video seks itu akan bersumpah laknat pada hari Jumaat, 29 April ini selepas solat Jumaat di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan. Mereka juga telah mencabar Datuk Seri Anwar agar bersumpah bersama mereka.

Salah seorang dari Datuk T, iaitu Datuk Eskay Abdullah, telah menyatakan bahawa beliau amat faham kesan dan balasan yang akan diterimanya di akhirat nanti atas sumpahnya itu.

Bak kata pepatah, berani kerana benar. Justeru itu Datuk Seri Anwar haruslah menyambut cabaran itu tanpa berdolak-dalik. Kesanggupan beliau untuk bersumpah, sekurang-kurangnya dapat merungkai segala yang tersimpul dan berbelit-belit.

Barangkali, dengan bersumpah tidak dapat menyelesaikan masalah. Tetapi sekurang-kurangnya ada keberanian daripada beliau bagi membuktikan tuduhan beliau bahawa semua ini adalah fitnah dan konspirasi politik.

Datuk Seri Anwar mesti bersumpah sekiranya beliau ingin memulihkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin , apatah lagi sebagai calon "The Prime Minister in Waiting".

Pemain import beraksi kembali

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membenarkan kemasukan pemain import beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Keputusan ini memang ditunggu-tunggu semua peminat bolasepak tanahair.

Dengan kembalinya para pemain import Liga M akan kembali meriah dan suasana pertandingan akan semakin kompetitif. Di samping itu ianya akan menarik lebih ramai para penonton membanjiri semua stadium yang kini masih banyak ruang kosong,

Dalam rantau ASEAN hanya negara kita sahaja yang tidak menggunakan pemain import dalam Liga tempatan. Masa dahulu kita pernah membenarkan pemain import, tetapi setelah prestasi pasukan kebangsaan kita merosot begitu teruk, maka banyak pandangan mengatakan puncanya ialah dari kebanjiran para pemain import.

Kehadiran pemain import seolah-olah telah menutup peluang pemain tempatan. Berbagailah pro dan kontranya. Polemik isu ini terus berpanjangan tanpa kesudahan.

Siapa tidak lupa nama-nama seperti Karel Stromsik, bekas penjaga gol dunia pasukan Cechz, Tony Cotee, bekas penyerang West Ham, Ervin Boban, Abbas Saad, Juan Manuel Aristegui dan lain-lain. Kehadiran mereka telah memeriahkan lagi suasana pertandingan.

Kalau dikira pemain tempatan boleh banyak mempelajari dan menambah lagi ilmu dari para pemain berkenaan.

Cuma FAM dan persatuan negeri mesti berhati-hati dalam mengambil dan memilih pemain import. Jangan berulang peristiwa lalu di mana kebanyakannya ditipu oleh ejen-ejen yang membekalkan para pemain yang tidak berkualiti dan mempunyai masalah kecederaan.  Akhirnya, persatuan negeri terpaksa menanggung segala risikonya.

Lebih teruk lagi ada persatuan negeri yang diperdaya oleh ejen dengan hanya menilai dan memilih pemain import berdasarkan rakaman video yang ditunjukkan para ejen. Kes ini berlaku dulu di negeri sebelah utara.

Kali ini semua persatuan negeri mestilah berhati-hati agar kes sedemikian tidak berulang. Dan tidak kurang penting, masalah gaji para pemain tidak tertunggak, sebagaimana pernah timbul masalah gaji pemain yang tidak dibayar akibat masalah kewangan persatuan negeri - menyebabkan FAM terpaksa masuk campur.

Pendek kata, semua persatuan negeri mestilah mencongak dulu kantong kewangan mereka sebelum mengambil mana-mana pemain import. Tidak ada gunanya membeli pemain import dan kemudiannya tidak dapat melunaskan elaun mereka dan sebagainya.  Ini sudah tentu akan menjejaskan nama baik  FAM dan negara khasnya

Semoga dengan kembalinya pemain import musim depan, Liga M akan semakin meriah, tajaan semakin bertambah dan para penonton pun semakin berlipatganda. Dan yang paling penting, mutu dan kualiti pasukan negara juga semakin baik dan cemerlang.

Ayuh...  Harimau Malaya!

Rabu, 27 April 2011

Hosni Mubarak: Hari penuh suram

SELAMA 30 tahun memerintah penuh dengan kebanggaan dan akhirnya tidak sampai sebulan krisis melanda, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tersungkur menyembah bumi.

Tidak terlintas di fikirannya dipenghujung tempoh pemerintahannya bala menimpa. Cita-citanya untuk melihat anak lelakinya, Gamal, sebagai pewaris pemerintahannya hancur luluh.

Sungguh malang dalam usia 80an, suatu peringkat penghujung saki baki usianya, beliau terpaksa menerima hakikat segala-galanya hancur musnah. Keluarga, harga diri dan maruah tidak lagi dapat dipertahankan.

Semuanya angkara lalai dan selesa selama 30 tahun sehingga rakyat lebih 80 juta itu diabaikan. Tidak ada perancangan ekonomi  dan peluang pekerjaan disediakan. Rakyat terbanyak terus dicengkam kemiskinan dan pengangguran.

Sungguh tragis, Mesir adalah sebuah negara yang sumber kekayaan begitu banyak. Selain minyak dan gas, kutipan hasil dari kapal-kapal yang merentasi Terusan Suez dianggar berbillion dollar setahun. Semua hasilnya dibolot oleh sang pemerintah dan kroni-kroninya. Tidak cukup dengan itu, mereka mengumpul dan menimbun segala harta dalam dan luar negara.

Anehnya,  setiap kali pilihanraya Presiden, Hosni, telah mencapai kejayaan hampir 98 peratus undi popular. Ada tuduhan setiap kali pemilihan berlaku penipuan.

Lebih mengecewakan rejim Mesir sentiasa tunduk dengan zionis Israel sehingga segala bantuan luar yang dihulurkan kepada Palestin disekat menghampiri sempadan Mesir. Terbongkar rahsia, Mesir mempunyai perjanjian dengan Israel menghantar gas melalui saluran paip ke negara zionis itu.

Kini Hosni tenat diserang sakit jantung dan berada di penjara . Anak lelakinya, Aala dan Gamal ditahan dipenjara tentera sementara menunggu perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Isterinya, Suzanne, terus derita dan sengsara melihat apa yang menimpa mereka yang suatu masa dulu begitu kebal dan terhormat.

Apa yang menarik tentang Hosni ialah beliau tidak melarikan diri ke luar negara seperti yang dilakukan oleh Zen Abiden Bin Ali di Tunisia. "Saya akan mati di bumi Mesir", katanya. Sedangkan beliau mampu berbuat demikian.

Hosni Mubarak, barangkali, begitu mencintai tanahairnya Mesir sehingga dia tidak sanggup meninggalkan tanahairnya, walaupun dia tahu nyawa terancam bila dia sudah tidak berkuasa lagi.

Episod ini harus menjadi teladan pada semua bahawa kehidupan ini kita tidak boleh terlalu berada di zon selesa senantiasa. Semua yang berkuasa dan berkedudukan mesti keluar dari zon selesa sebelum bala menjelma.

Hosni telah pergi. Kini yang menunggu penuh debaran ialah Ali Abdullah Salleh di Yemen, Gaddafi di Libya, Assad di Syria  dan sekitar rantau Timur Tengah.

Masih adakah lagi rejim yang masih tidur?

Pemilihan dalam parti PAS

MUKTAMAR PAS akan berlangsung pada bulan Jun ini dengan menyaksikan kemungkinan  berlakunya pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Setakat ini belum ada pengesahan, cuma ura-ura dan pencalonan dari bahagian-bahagian tertentu.

PAS Bukit Bintang telah mencalonkan Datuk Husam Musa bagi jawatan Presiden. Tetapi pencalonan ini telah ditolak Husam atas alasan kepimpinan Ustaz Hj.Hadi Awang masih diperlukan. Bagi jawatan no.2 pula ada yang mencalonkan Mohamad Sabu bertanding menentang Nasharuddin Mat Isa. Mat Sabu telah menyatakan yang beliau akan buat keputusan sebelum 16 Mei.

Naib Presiden sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah menolak cadangan agar beliau bertanding jawatan no.2.

Sebenarnya, Husam dan Mat Sabu adalah calon yang kalah dalam pertandingan jawatan no.2 semasa muktamar yang lalu. Mereka berdua tewas kepada Nasharuddin Mat Isa dalam pertandingan tiga penjuru . Tetapi kali ini nama mereka muncul lagi.

Kadang-kadang terfikir juga tidak ada calon lainkah dalam PAS sekarang? Mereka berdua tidak keterlaluan sekiranya di cap sebagai calon "recycle". Ahli-ahli PAS sepatutnya mencalonkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa dan mempunyai imej yang sesuai dengan PAS sebagai parti harakah.

Tidak keterlaluan sekirannya saya katakan bahawa , Husam dan Mat Sabu tidak layak untuk duduk di kerusi no.2 parti. Mereka berdua hanya paling sesuai dan cocok untuk berada ditahap Naib Presiden sahaja.

Ramai lagi tokoh dalam PAS yang lebih layak. Sebagai contoh nama-nama seperti, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin, Ustaz Harun Taib , umpamanya, mereka lebih layak. Malah Dr. Harun Din pun lebih sesuai untuk jawatan no.2 parti. Jawatan Dr. Harun Din sekarang sebagai Timbalan Mursyidul tidak begitu terserlah kerana banyak dibayangi oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dr. Harun Din sepatutnya diberi peranan yang lebih menonjol agar PAS dapat diberi nafas baru dan dinamik. Tidak tahu pula apa yang ada dalam fikiran ahli-ahli PAS. Kalau hendak dibuat perbandingan antara tokoh-tokoh yang disebut tadi dengan Husam dan Mat Sabu, ibarat jauh panggang dari api.

Maaf cakap, saya bukan ingin merendah-rendahkan kebolehan kedua calon tersebut. Realitinya, mereka belum lagi sampai ke peringkat Timbalan Presiden. Kalau dibuat ukuran secara kasar, Datuk Mustapha Ali, lebih layak berbanding Husam dan Mat Sabu.

Sekurang-kurangnya sebagai rekod, semasa PAS dalam Barisan Nasional, Datuk Mustapha Ali telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri. Sedangkan pada masa itu Datuk Husam Musa masih berada di bangku sekolah.

Semoga para ahli PAS dapat memilih calon yang lebih sesuai dan berwibawa- sesuai dengan imej parti.