Ahad, 30 Julai 2017

Najib dan Zahid Habis Modal Guna Isu Kaum!!

PEMIMPIN tertinggi Umno kelihatan semakin terdesak dan panik bila sanggup guna isu kaum dan keturunan bagi mencemar dan menjatuhkan pihak lawan.  Umno sering guna isu perkauman dan rasis dengan tujuan menarik sokongan orang melayu.

Bulan lalu Najib Razak menempelak Dr Mahathir sebagai seorang berketurunan India tetapi tidak melakukan apa-apa kemajuan untuk kaum itu sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata lagi sekiranya dibandingkan dengan beliau yang lebih banyak memperjuangkan nasib kaum itu di negara ini.

Dan hari ini Timbalannya,  Zahid Hamidi sekali lagi menimbulkan isu dengan mendedahkan nama Dr Mahathir dalam kad pengenalannya sebagai Mahathir Iskandar Kutty.  Ini hanya bertujuan mengaitkan isu keturunan dan baka negarawan itu.

Soalnya dunia semua tahu fakta itu. Kenapa begitu rendah sekali Najib dan Zahid bermain isu perkauman?  Sudah ketandusan modal ke?  Tidak ada isu lain ke hendak jawab terutama isu yang melibatkan kehidupan rakyat?

Kalau ya pun kenapa Umno dan orang melayu sanggup dipimpin seorang keturunan India selama 22 tahun?  Tidak malu ke?  Di mana maruah bangsa melayu?

Apakah Najib dan Zahid sedar majoriti pemimpin dan ketua dalam kerajaan sekarang terdiri daripada mereka berketurunan India?  Apakah mereka berdua menghina orang-orang yang berkhidmat di dalam kerajaan dan parti yang mereka anggotai?

Tan Sri Ali  Hamsa, Ketua Setiausaha Negara,  Irwan Siregar, Ketua Perbendaharaan, Shahrizat Abdul Jalil,  Ketua Wanita,  Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim dan IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar - mereka semuanya ada darah India.

Tan Sri Ali Hamsa

Tan Sri Irwan Siregar

Datuk Azeez Abdul Rahim

Ketua Umum Pakatan Harapan,  Anwar Ibrahim juga berketurunan India.

Alahai... Najib dan Zahid,  apa isunya??
Dah panik dan menggelabah ke?

Umno kini amat tertekan bagi menghadapi Pru14. Depa dah tak dak modal lagi dah.  Selain memburukkan DAP Cina mereka burukkan Mahathir yang berdarah India.

Umno memang rasis dan perkauman!

Dalam Pru14 ini rakyat perlu pilih Pakatan Harapan yang mewakili semua kaum. Tolak parti yang sering adu domba antara kaum!

Jumaat, 28 Julai 2017

Tarikh PRU14 : Najib Razak Dalam Dilema

PM Najib Razak berada dalam dilema sama ada mengadakan Pru14 tahun ini atau menangguhnya sehingga awal tahun depan.

Saya melalui pengalaman enam kali Pru sejak 1981 semasa pimpinan Dr Mahathir sehingga Pru13 pada 2013. Tidak pernah saya lihat dan alami suasana kini dimana kerajaan Umno-BN begitu banyak menghadapi masalah dan belum bersedia menghadapi pilihanraya umum.

Mungkin banyak penganalisis dan ahli akademik meramalkan Najib akan terus berkuasa selepas Pru14. Namun perlu diakui hakikatnya pandangan seperti ini biasanya sengaja disensasikan bagi mempengaruhi pandangan umum. Lebih-lebih lagi pandangan arus perdana.

Sekiranya Najib benar yakin dan bersedia, kenapa dia kelihatan belum pasti dalam membuat keputusan.  Ada sosek-sosek kedengaran para punahsihatnya lebih cenderung mengadakan Pru14 tahun ini juga. Tetapi Najib kelihatan mahu mengheretnya lagi hingga awal tahun depan.

Faktor ia mahu diadakan tahun ini juga bersabit kedudukan Pakatan Harapan yang kini baru mendaftar dengan RoS secara rasminya.  Belum lulus lagi. Dan ada beberapa perkara yang perlu ditunaikan sebelum ia diluluskan pendaftarannya secara rasmi.

Secara logiknya sekiranya belum lulus lagi macam mana Pakatan Harapan mahu bergerak secara tersusun seperti mahu mencetak logo, poster,  t-shirt etc dalam menghadapi Pru14.

Apakah jaminan pihak RoS tidak main kayu tiga dengan melengahkan kelulusan dan meminta syarat yang bukan-bukan?

Faktor ia perlu diadakan awal tahun depan memandangkan terlalu banyak isu pokok seperti isu Felda, 1MDB yang semakin hari semakin melebar dan isu kos sara hidup yang banyak beri kesan pada kehidupan rakyat.

Najib kelihatan tiada upaya menangkis isu-isu berbangkit.  Dan seperti biasa solusinya hanyalah dengan cara "Cash Is King" sebagai gula-gula bagi menawan hati rakyat.

Contohnya dalam isu masalah yang dihadapi para peneroka Felda: masalah tanah, hutang beli saham, penyata akaun dan sebagainya. Semuanya belum selesai secara muktamad. Cuma Najib sekarang bagi banyak insentif berupa wang dan kemudahan yang bersifat sementara dan bukan penyelesaian secara total masalah yang dihadapi para peneroka itu.

Sekiranya kita amati perkembangan terkini kelihatan Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir berada dalam suasana rentak dan momentum yang cukup baik dalam persediaan menghadapi Pru14.

Road show dan ceramah berjalan licin ke seluruh pelosok tanahair.  Dan rakyat terutama di luar bandar mula buka mata dan faham betapa beratnya isu penyelewengan 1MDB.

Justeru itu Najib memang konfius dalam membuat keputusan!  Nak diadakan tahun ini banyak lagi isu belum selesai.  Nak diadakan awal tahun depan, Pakatan Harapan pulak semakin hari semakin kemas dan agresif menyerang!

Nampaknya Najib kena bertanya pada tok bomoh teropong ajaib yang selalu guna dua "butir" buah kelapa untuk melihat bilakah tarikh yang sesuai bagi mengadakan Pru14.








Rabu, 26 Julai 2017

PRU 14 : Rakyat Berkuasa Tukar Kerajaan

PM Najib Razak mengakui ada kelemahan pengurusan dalam 1MDB dan menuduh pembangkang sengaja memperbesarkan isu 1MDB bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Najib juga menyatakan kerajaan telah mengambil langkah menstrukturkan semula syarikat itu dan ia telah menampakkan hasil positif.

Najib berucap sedemikian semasa merasmikan satu majlis pelaburan di ibu negara yang dihadiri pelabur tempatan dan antarabangsa.

Setakat itu sahajalah penjelasan Najib dihadapan para pelabur dalam dan luar negeri. Dan tiada sesi soal jawab berkenaan isu yang telah menghantui kerajaan selama beberapa tahun lamanya. Semua pihak termasuk rakyat berada dalam gelap mengenai skandal 1MDB. Kecuali kesemua 191 Ketua Bahagian Umno yang kini menjadi tunjang kedudukan Najib sebagai PM dan Presiden parti.

Persoalannya kenapa Najib memilih majlis seperti itu untuk mempertahankan dirinya?  Kenapa dia tidak mengambil peluang disidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang?


Menurut berita,  Speaker Parlimen telah menolak hampir 30 soalan berkenaan 1MDB. Mengapa Najib tidak ambil peluang menjawab dan menjelaskan pada rakyat sekiranya dia telus dan tidak sembunyikan apa-apa berkaitan 1MDB.

Ini adalah sesuatu yang membingungkan.  Kalau bukan parlimen dimana lagi forum yang sesuai untuk bersoal jawab bagi mendapat jawaban dan penjelasan?

Sudah lah laporan Bank Negara, laporan SPRM dan laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB disekat dan diletak bawah Akta Rahsia Rasmi - cabaran Dr Mahathir untuk berdebat juga disambut penuh kesipuan.

Yang berani dilakukannya hanyalah siasat kes forex Bank Negara 30 tahun dahulu. Itu pun kerana ada kaitan dengan Dr Mahathir. Nampak sangat tujuan siasatan itu bermotif politik.

Tetapi ok lah.  Nak siasat,  siasat lah.  Namun siasat lah sama kes yang terbaru dan terkini (1MDB) yang bukan sahaja mendapat tumpuan negara jiran malah seluruh antero dunia.

Kenapa bezakan antara kes Bank Negara dan 1MDB? Dr Mahathir dah jelaskan dia bersedia untuk disiasat malah sanggup berdebat dengan Najib dalam semua isu.

Nampaknya Najib mahu rakyat meniru sikap kesemua 191 Ketua Bahagian Umno yang bersikap bisu dan pekak sahaja dalam isu 1MDB. Mereka semua seperti lurus bendul.

Apakah rakyat juga akan mengambil sikap bisu, pekak dan lurus bendul dalam skandal 1MDB ini?

Jangan sesiapa ambil mudah dan memandang rendah pada keupayaan berfikir rakyat seluruhnya apa lagi suasana tekanan ekonomi yang semakin menekan akibat kenaikan kos sara hidup.  Segalanya meningkat.  Sedangkan kualiti kehidupan semakin menurun sebahagian besar rakyat berpendapatan sederhana.  Ada laporan menyatakan majoriti rakyat pertengahan tidak pun mempunyai wang simpanan sebanyak RM1,000 ketika kecemasan!

Dan kerajaan bercakap berkenaan transformasi bla, bla.. bla.... namun hakikat kehidupan amat perit bagi rakyat dibawah sana.

Hanya Pru14 ini sahaja rakyat mampu mengambil peluang melakukan transformasi yang sebenarnya.



Sabtu, 22 Julai 2017

Dr Mahathir Lawan Najib Di Pekan?

TEMPOH PRU14 semakin hampir. Masa semakin suntuk dan mandat kerajaan di Parlimen akan tamat pada Jun 2018. Dengan ini memberi laluan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baru.

Apakah kerajaan BN pimpinan Najib Razak akan terus mengekalkan kuasa atau akan tertubuhnya kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan?

Najib sendiri tidak banyak pilihan sama ada mengadakan Pru14 tahun ini juga atau menunggu sehingga tamatnya tempoh mandat kerajaan ini sehingga Jun 2018.

Dr Mahathir

Pada PRU13 Najib membubarkan parlimen disaat akhir iaitu satu atau dua bulan sebelum tamat tempoh kerajaan yang dikuasainya.

Jangkamasa setahun dari sekarang bukanlah satu masa yang lama.  Sekiranya masih ada masalah bocor sana sini, butang skru yang longgar dan mana-mana lubang yang masih perlu dikambus diperingkat bawah maka ia boleh timbul suasana panik dan menekan lampu merah.

Namun apa pun dalam PRU14 ini Najib tidak boleh kalah.  Dia mesti pastikan kerajaan Umno -BN terus kekal berkuasa. Sekiranya dia kalah, dia tahu apa akan berlaku terhadap dirinya.

Skandal 1MDB, isu Scorpene dan lain-lain akan menghantuinya.  Sekiranya benar dia ada melakukan kesalahan sudah pasti mahkamah akan memutuskannya.

Ada ramalan mengatakan kemungkinan Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan iaitu Najib akan menjadi Presiden Umno terakhir menjadi Perdana Menteri.

Tetapi sekiranya Najib terus berkuasa yang pastinya ia adalah satu kemenangan dengan majoriti kecil.  Soal kemenangan majoriti dua pertiga adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

PM Najib Razak

Jumlah kerusi parlimen adalah 222 kerusi.  Adakah keputusannya 122 lawan 100 kerusi dengan kelebihan hanya 22 kerusi sahaja sama ada dipihak BN atau Pakatan Harapan?

Atau adakah Najib kekal berkuasa namun beberapa buah negeri selain Pulau Pinang dan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Harapan?

Inilah suasana yang tidak mustahil akan berlaku. Dan PRU14 kali ini boleh dikira sebagai ibu segala PRU.

Yang paling menariknya Najib bakal berdepan dengan tokoh pemimpin Pakatan Harapan yang berpengalaman selama 22 tahun dan berjaya memimpin parti memenangi pilihan raya umum sebanyak lima kali dengan majoriti dua pertiga secara konsisten sejak 1981.

Dan pengalaman ini amatlah bernilai buat Pakatan Harapan. Dalam pilihan raya selain strategi sudut serangan psikologi juga memainkan peranan.

Ini terbukti bila Dr Mahathir telah mula melepaskan pelurunya yang pertama bila menyatakan kemungkinan dia akan bertanding melawan Najib di Pekan.




Mahathir Cabar Najib. Zarkashi Kacau Daun!

DR Mahathir cabar Najib berdebat secara terbuka dalam program " Nothing To Hide 2.0" pada 13 Ogos ini.

Dalam debat tersebut Najib boleh tanya soalan pada Dr Mahathir.  Begitu juga sebaliknya.

Program "Nothing To Hide" yang pertama dulu dibatalkan saat akhir kerana Najib lari enggan hadir.  Polis bagi alasan faktor keselamatan.

Semua pihak tidak sabar menunggu program kali kedua bulan depan untuk melihat keberanian Najib yang mengaku dirinya keturunan pahlawan Bugis berdepan pahlawan Kutty dari Kerala, India.

Namun nampaknya geng Najib dah mula auta kelentong mencari alasan program ini dibatalkan lagi.

Puad Zarkashi

Mahathir cabar Najib!  Tetapi yang gatal dan berhingus Puad Zarkashi pula mahu ganti pahlawan Bugis dalam debat tersebut. Nampak sangat berdalih mahu rosakkan majlis!

Kalau Puad Zarkashi ganti Najib, tidak perlu Dr Mahathir berdebat dengannya buat habis air liur sahaja.  Lebih baik hantar Syed Saddiq baru padan dengannya.

Setiap kali cabaran Dr Mahathir terhadap Najib,  setiap kali para pembodek seperti Puad Zarkashi,  Salleh Keruak,  Rahman Dahlan dan rakan-rakan sewaktu dengannya mula sibuk kacau daun.

Sedangkan Najib sendiri terus bisu dan kesipuan.

Isu Forex Bank Negara dan 1MDB hanya dapat dijawab oleh Najib dan Dr Mahathir. Bukan Zarkashi!

Kedua pemimpin tersebut terlibat secara langsung dalam dua skandal terbesar negara yang melibatkan kerugian berbillion-billion.

Puad Zarkashi hanya layak debat soal BRIM, broom dan sebagainya.  Bukan isu besar seperti Bank Negara dan 1MDB.

Sekiranya dia mahu debat juga dua isu tersebut ia tidak akan selesai dan muktamad. Buang masa sahaja! 

Rabu, 19 Julai 2017

Jamal Yunos Bertanding Jawatan Ketua Pemuda Umno

SAYA hanya senyum kambing bila baca berita Ketua Umno Bahagian Sungai Besar,  Datuk Jamal Md Yunos mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda bagi menggantikan Khairy Jamaluddin yang tidak akan mempertahankan kedudukannya pada pemilihan Umno akan datang.

Siapa tidak kenal Jamal Yunos?  Dia juga dikenali sebagai Jamal Ikan Bakar. Ada juga orang menggelarnya Jamal Jamban kerana dia pemimpin Umno pertama dalam sejarah parti mengadakan sidang akhbar dalam jamban.  Hihi... boleh google jika mahu tahu ceritanya.

Datuk Jamal Md Yunos

Dia juga kepala gerakan Baju Merah yang kuat mempertahankan Umno dan Datuk Seri Najib dari serangan pihak pembangkang terutamanya dari gerakan Bersih yang berjuang agar pilihanraya di negara ini dijalankan secara bersih dan telus.

Apa sahaja langkah Bersih akan disusuli tindak balas Baju Merah dibawah pimpinan Jamal. Termasuklah mengadakan perhimpunan atau demo besar-besaran menyaingi kumpulan Bersih.  Counter attack lah dalam bahasa omputih.

Satu kejadian menarik melibatkan Jamal adalah dia pernah  saling provokasi dengan wakil rakyat PKR Zuraida Kamaruddin.  Sehingga hidungnya berdarah kena tumbuk.  Hihi..

Pada ketika kejadian dia berteriak menuduh, " Budak Zuraida pukul saya, budak Zuraida pukul saya", sambil darah menitis dari hidungnya.  Boleh google di You Tube untuk melihat video tersebut.

Tetapi selepas itu timbul cerita polis yang mengawal ditempat kejadian itu berlaku telah menumbuk dia.  Entah apa kesudahan kes itu selepas dia buat repot polis.


Begitu lah serba sikit cerita bakal calon Ketua Pemuda Umno Malaysia. Namun jangan pandang rendah orang yang bakal jadi Ketua Pemuda Umno.

Dalam sejarah hiraki parti jawatan Ketua Pemuda pusat adalah setaraf jawatan Naib Presiden Umno.  Ertinya, ia adalah jawatan barisan ketiga pimpinan parti selepas Timbalan Presiden.  Silap haribulan boleh naik pangkat Timbalan Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Sejarah Umno membuktikan jawatan tersebut adalah jawatan "testing ground" untuk melompat jawatan tertinggi parti.

Najib Razak adalah bekas Ketua Pemuda.  Begitu juga Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein.  Dan dimana kedudukan mereka bertiga sekarang?

Jawatan Ketua Pemuda adalah batu loncatan sekiranya kena gaya dan langkah aturnya.

Jadi kalau Jamal benar dan serius bertanding jawatan itu,  maka bukan mustahil dia bakal calon Timbalan Presiden seterusnya Presiden Umno pada satu hari nanti. Mungkin di zaman generasi TN50. Haha...

Saya tidak boleh bayangkan apa dan bagaimana rupa bentuk negara ini bila diterajui orang seperti Jamal Md Yunos ini??

Selasa, 18 Julai 2017

Pejuang Agama Bersembunyi Dimana?

Dimanakah para pejuang agamaku
Dimanakah para ustaz dan ustazahku
Dimanakah para agamawan ulama Islamku
Mengapakah kalian kaku dan bisu

Wanita tak tutup aurat
Kau lah nombor satu beri nasihat
Muslim ditangkap khalwat
Kau berceramah tanpa had

Dulu heboh kes liwat
Hukum hudud kena sebat
Apabila duit rakyat dirembat
Mengapa mulut kamu tutup rapat?
Sebelah mana kamu orang beragama?

Adakah Cash Is King yang menutup mata?
Yang nyata haram takut bersuara
Tidakkah takut kemurkaan Allah Yang Esa?

Yang nyata salah dihalal tanpa kira
Yang nyata pencuri dijadikan heronya
Yang nyata perosak negara diangkat darjatnya
Yang nyata pejuang agama bersembunyi dimana? 

Ahad, 16 Julai 2017

Beranikah Najib Sahut Cabaran Dr Mahathir?

DATUK Seri Najib Razak mencabar Dr Mahathir menjelaskan pendiriannya mengenai  Anwar Ibrahim yang pernah dituduhnya peliwat dan tidak layak menjadi Perdana Menteri (PM) pada tahun 1998.

Najib mencabar Dr Mahathir kerana negarawan itu kini menyokong sekiranya Anwar menjadi PM. Sikap ini adalah bertentangan dengan pendirian Dr Mahathir dahulu.

Cabaran Najib ini adalah tepat dan munasabah kerana semua pihak ingin tahu cerita dan pendirian sebenar Dr Mahathir dalam kes liwat Anwar itu.

Apakah ianya satu konspirasi politik atau kisah benar?


Saya kira Dr Mahathir tiada masalah dan halangan menyahut cabaran Najib itu. Beliau mampu menjawab dan menjelaskan isu Anwar itu pada umum.

Rasanya medan dan forum paling sesuai untuk tujuan ini tidak lain dari program "Nothing To Hide 2.0". Dr Mahathir telah pun mencabar Najib agar ikut serta hadir dalam program tersebut yang masih dalam peringkat cadangan.

Program ini adalah debat antara Najib dan Dr Mahathir.  Dan ia disusuli dengan sesi soal jawab para hadirin.

Dr Mahathir boleh jelaskan apa-apa soalan daripada Najib dan mereka yang hadir. Begitu juga Najib boleh jelaskan isu-isu nasional dan menjawab soalan para hadirin.

Najib jangan buat alasan enggan hadir atau ikut serta program tersebut seperti dia lari tempoh hari bila program pertama "Nothing To Hide" diadakan.  Dahulu Najib tidak hadir kerana alasan keselamatan.

Diharap kali ini program tersebut dapat diadakan dengan sempurna.  Kerana semua orang tidak sabar mahu dengar penjelasan Dr Mahathir dalam berbagai persoalan termasuk isu Anwar yang dicabar Najib tadi.

Begitu juga orang ramai begitu teruja mahu dengar penjelasan Najib mengenai tuduhan Dr Mahathir bahawa dia seorang pencuri dan penyamun dalam skandal 1MDB. Mereka juga ingin tahu apa hubungan seorang jutawan Cina,  Jho Low dengan keluarga Najib.

Najib cabar Mahathir pasal Anwar.  Mahathir cabar Najib pasal 1MDB dan Jho Low.

Sungguh cantik dan adil.

Masalahnya Mahathir telah pun bagi kesanggupan untuk hadir mencabar Najib.  Namun Najib belum beri gambaran apakah dia akan turut serta.

Soalan pada Najib, boleh atau tidak boleh?  Jawab Ya atau Tidak?

Najib jangan hanya berani cabar Mahathir bersabit isu Anwar.  Dia juga mesti berani sahut cabaran Mahathir untuk berdebat dalam program "Nothing To Hide 2.0".


Sabtu, 15 Julai 2017

Umno Panik Pakatan Mahathir - Anwar

DALAM kamus politik tiada musuh yang kekal dan sahabat yang abadi. Itulah yang berlaku pada dua tokoh politik negara: Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Bagi parti pembangkang bila dua tokoh ini bergabung dan melupakan kisah lampau dan hanya fokus menumbangkan Umno dan BN,  maka ianya satu peluang keemasan diluar jangkaan fikiran semua orang.

Ianya adalah satu gabungan kekuatan yang ditunggu-tunggu kerana keduanya mempunyai pengaruh dan pengikut masing-masing.  Satu pakatan yang ampuh dalam misi menjatuhkan kerajaan kleptokrasi dalam Pru14.

Bagi Umno ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan.  Walau apapun tanggapan negatif  Umno terhadap  gabungan Mahathir - Anwar itu ia tetap merungsingkan Umno. Kesan dan impaknya tetap bergegar diakar umbi seluruh lapisan rakyat.


Episod musuh politik yang boleh bertukar menjadi sekutu bukan baru berlaku.

Dalam sejarah Umno ia pernah berlaku pada Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Musa pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno mengalahkan Ku Li sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1981 dan 1984.

Dan mereka berdua adalah seteru politik yang ketat dalam sejarah Umno kerana berebut jawatan nombor 2 dalam parti.

Namun pada tahun 1987 mereka bergabung dan berpakat menentang Dr Mahathir pula. Selepas mereka gagal mengalahkan team Dr Mahathir,  maka wujud dan tertubuhlah parti serpihan Semangat 46.

Seperti Musa Hitam yang sanggup berpakat dengan musuh politiknya Ku Li kerana mahu menjatuhkan Dr Mahathir.

Begitu juga Dr Mahathir yang telah gagal berbagai cara melalui saluran parti bagi menumbangkan Najib, maka dia memilih bergabung dengan Anwar sebagai usaha terakhir.


Secara realistiknya jika Mahathir telah gagal menjatuhkan Najib dalam Umno,  maka kenapa tidak bersatu dengan Anwar bagi menguatkan lagi kekuatannya bagi mencapai matlamatnya.

Pada Pru13 dulu pembangkang diketuai Anwar berjaya memperolehi undi popular dan mengurangkan majoriti BN di parlimen.

Dan pada Pru14 nanti pengaruh Anwar ditambah dengan pengaruh Dr Mahathir sudah pasti memberi impak besar dan kegoncangan pada Umno - BN menghadapi Pru14 yang mesti diadakan selewat Jun 2018.

So,  siapa yang panik?  Siapa yang gelisah?

Musa Hitam dan Ku Li

Dr Mahathir Cabar Najib Dalam "Nothing To Hide 2.0"

DR Mahathir Mohamad telah mencabar PM Najib Razak berdepan dengannya dalam program "Nothing To Hide 2.0".

Tidak lama dulu para punahsihat Najib pernah menganjurkan program sama untuk Najib menjelaskan isu-isu semasa dan bersoal jawab dengan para hadirin dalam majlis tersebut yang juga dinamakan program "Nothing To Hide".

Bila sampai hari program itu diadakan Najib tidak hadir sedangkan persiapan telah diaturkan.  Ramai yang datang hadir.

Punahsihat Najib memberi alasan disaat akhir dengan alasan keselamatan.  Kerana ramai yang hadir yang boleh timbul kekacauan.

Namun yang sebenarnya Najib menarik diri kerana dimaklumkan Dr Mahathir ikut serta hadir dalam program itu.  Kabarnya Dr Mahathir ingin bertanya soalan pada Najib secara berdepan dalam isu-isu semasa ketika itu.

Jadi kecewa lah semua yang hadir untuk melihat Najib berdepan dengan Dr Mahathir.

Nothing To Hide bertukar menjadi Something To Hide...








Kali ini program itu mahu diadakan semula.  Apatah lagi Najib dan Dr Mahathir saling menuduh antara satu sama lain dengan berbagai tuduhan.

Mahathir memanggil Najib sebagai pencuri dan penyamun dalam skandal 1MDB. Dan Najib menuduh Mahathir menyebabkan Bank Negara rugi beratus billion 25 tahun dulu.

Najib juga kata Mahathir takut dan panik bila Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mula menyiasat kes Bank Negara itu.

Nah sekarang Mahathir sanggup dan bersedia berdepan dengan Najib dan disoal berkenaan semua tuduhan ke atas dirinya. Dan ini juga peluang Najib menjawab segala tohmahan termasuk tuduhan Mahathir yang dia seorang ketua pencuri dan penyamun.

Sanggup kah Najib berdepan dan bersemuka dengan Mahathir?  Mahathir sudah beri kesediaannya pada bila-bila masa.

Namun saya yakin 101 persen Najib tidak berani dan bersedia dalam program seumpama ini.  Tidak mungkin dan ia  tidak akan berlaku.  Kerana Najib yang pernah menggelar dirinya sebagai pahlawan Bugis sebenarnya tidak berani dan tidak berkemampuan berdiri dan berhujah mempertahankan diri dan partinya.

Dia hanya mampu mengharapkan menteri-menteri cap ayam dalam kabinetnya seperti Salleh Said Keruak,  Rahman Dahlan,  Noh Omar dan menteri-menteri yang sewaktu dengannya untuk membela dan menjawab bagi pihak dirinya.

Di sini pun sudah jelas Najib sudah tewas ! Cuma cantiknya kalau suasana ini dapat diterjemahkan dalam peti undi dalam Pru14 nanti.