Sabtu, 15 Oktober 2011
Malaysia mesti bertindak tegas
INSIDEN segelintir rakyat Indonesia melontar batu, kayu dan
sebagainya ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
tidak boleh dipandang ringan begitu sahaja.
Mereka berdemonstrasi dan melempar kata-kata kesat kononnya
Malaysia telah mencerobohi sebuah wilayahnya di Kalimantan Barat.
Para penunjuk perasaan tidak ramai hanya sekitar 500 hingga 600 orang.
Apa yang jelas segala tuduhan itu tidak berasas dan tidak mempunyai
fakta. Mereka bertindak secara emosional dan tidak bertamaddun.
Sikap sedemikian lebih layak disamakan dengan orang yang tidak
mempunyai pendidikan asas yang cukup.
Para pemimpin Republik itu dan Menteri Pertahanannya sendiri
mengakui segala isu yang berbangkit tidak mempunyai asas dan
tidak benar.
Malah menurut Menteri Pertahanannya, laporan media tentang isu
ini telah memberi kesan psikologi terhadap Angkatan Bersenjata
Republik itu kerana mereka menjalani operasi bersama di sempadan
dengan Angkatan Tentera Malaysia di wilayah yang dipertikaikan.
Insiden sebegini kerap berlaku dan ini bukanlah kali pertama.
Dan seringkali Malaysia berada dipihak yang benar, manakala
Indonesia, terutamanya segelintir rakyatnya yang bersikap mengikut
perasaan dan bertindak sesuka hati.
Apakah punca sebenarnya ? Apakah ada anasir atau elemen yang
berniat jahat ingin merosakkan hubungan kedua negara serumpun ini ?
Namun apa pun Malaysia perlu bertindak tegas dalam soal ini; apa
yang sudah berlaku dan akan datang. Bukan mustahil kejadian seperti
ini akan berulang kali demi kali pada masa hadapan.
Ini adalah persoalan maruah negara dan kita bukan menjadi bahan
"buli" kepada sesetengah pihak di Republik itu. Pada dasarnya pihak
pemerintah Indonesia mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan
Malaysia dan mereka tidak sama sekali menyokong tindakan tidak
bertamaddun segelintir rakyatnya.
Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab pemerintah
Republik itu mesti bertindak dan menghukum mereka yang terlibat
dan bertanggungjawab terhadap insiden di Kedutaan Besar Malaysia
di Jakarta baru lalu.
Kerajaan Malaysia pula perlu mengambil tindakan politik terhadap
Indonesia sekiranya mereka yang terlibat tidak dibawa ke muka
pengadilan.
Malaysia tetap menghargai hubungan erat dengan jirannya yang
serumpun itu. Tetapi soal maruah tidak mungkin dikompromikan.
Titik.
Rabu, 12 Oktober 2011
Hubungan erat Russia-China
PEMIMPIN Russia, Valdimir Putin kini sedang membuat lawatan
ke China dalam usaha meningkatan hubungan diplomatik dan dagang
kedua negara.
Russia dipercayai telah membekalkan gas pada China berjumlah
kira-kira US Satu Thrillion. Urusan perdagangan lain pula mencecah
berbillion dollar setahun.
Hubungan Russia-China kini mempunyai signifikannya sendiri dalam
dunia kini lebih dikuasai barat yang dikemudi oleh Amerika Syarikat.
Ini termasuklah perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab.
Amerika begitu berang dengan langkah Russia dan China yang telah
menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang resolusi sekatan
terhadap Syria di PBB baru-baru ini.
Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain telah berusaha melakukan
sekatan antarabangsa terhadap Syria di atas tindakannya melayani
kebangkitan rakyatnya itu.
Apa yang berlaku di Syria dan Libya jelas tidak menyenangkan
Russia dan China kerana kedua negara itu mempunyai hubungan
dagang dan pelaburan yang besar di negara Arab tersebut.
Campur tangan dan peranan Amerika dan NATO di Libya telah
merugikan China kerana pelaburannya semasa era Gaddafi adalah
besar jumlahnya. Manakala Russia pula mempunyai kepentingan
di Syria.
Langkah Russia-China untuk meningkatkan lagi hubungan mereka
tidak lain adalah untuk mengimbangi kuasa dunia sekarang yang
lebih dikuasai Amerika Syarikat.
Ini adalah satu perkembangan yang sihat setelah perang dingin
tamat beberapa dekad yang lalu yang menjadikan Amerika terlalu
kuat dan tidak mempedulikan suara negara-negara kecil.
Setidak-tidaknya dengan munculnya kuasa baru, Amerika dan
sekutunya akan lebih berhati-hati dalam semua tindakannya
lebih-lebih lagi terhadap negara-negara sedang membangun.
Pengadil : Jangan jadi robot
BANYAK pihak tidak berpuashati dengan sikap pengadil yang
mengadili perlawanan bolasepak suku akhir antara Trengganu dan
Kelantan Isnin lalu yang menyaksikan lima kad merah dan 10 kad
kuning dikenakan pada para pemain.
Mungkin ini merupakan satu sejarah paling banyak kad dikeluarkan
dalam sesuatu perlawanan dalam Liga Malaysia.
Siapa yang bermain kasar atau pasukan mana yang mencetuskan
adegan panas ini tidak perlu diberi perhatian sangat. Kekasaran
dan sebagainya adalah satu kebiasaan dalam permainan bolasepak.
Pengadil sebagai orang penting di atas padang perlu bijak
menguasai suasana dan tidak terlalu "rigid" dalam membuat
sesuatu keputusan.
Dalam keadaan tertentu seorang pengadil perlu memberi
sedikit advantage pada para pemain dengan memberi teguran
lisan dan sebagainya. Pengadil mestilah cuba mengelak dari
sikap "gatal" mengeluarkan kad.
Kadang-kadang kekerapan tiupan wisel boleh mengganggu rentak
sesuatu perlawanan. Ia juga memberi kesan pada para penonton
yang ingin menyaksikan perlawanan berjalan lancar dan licin.
Ini bukannya bermakna pengadil itu perlu bertolak ansur
dengan pemain yang "robust". Tapi biarlah kad yang dikeluarkan
itu munasabah dengan apa yang berlaku.
Barangkali, FAM perlu mengambil langkah menanggani
masalah ini yang sering timbul dan mengecewakan banyak pihak.
Antaranya, badan itu boleh melancarkan kempen "Mesra Pengadil"
bila ia berada di atas padang.
Pengadil perlu lebih banyak berkomunikasi dengan 22 pemain
semasa perlawanan berlangsung. Dan tidak perlulah bertindak
seperti robot dan mesin.
Seseorang pengadil yang bijak dan berpengalaman mampu
mengawal suasana dan menjadi orang terpenting mengemudi
semua pemain ketika berada di padang. Dan bukannya menjadi
tukang pemanas hati pemain dan penonton.
Gilat Shalid dibebaskan
AKHIRNYA seorang tentera Israel, Gilat Shalid yang menjadi
tahanan para pejuang Hamas sejak 2006 akan dibebaskan dalam
masa terdekat.
Pembebasan Shalid adalah sebagai pertukaran dengan 1000 orang
Palestin yang dipenjarakan Israel. Mereka terdiri dari lelaki dan
wanita yang akan dibebaskan secara berperingkat.
Proses rundingan begitu perit dan mengambil masa yang lama
diantara dua pihak Israel-Palestin untuk mencapai titik persetujuan
ekoran Israel tidak pernah mengiktiraf Hamas sebagai wakil Palestin.
Rakyat Israel, terutama ibu bapanya memberi tekanan terhadap
kerajaannya agar mendapat pembebasan Shalid.
Rakyat Palestin pula terutamanya di Gaza yang dikuasai Hamas
terpaksa menghadapi kesengsaraan selama ini akibat tindakan rejim
Zionis itu yang mengenakan berbagai sekatan sebagai tekanan terhadap
Hamas.
Israel menuduh Hamas sebagai pertubuhan pengganas dan sebaliknya
pertubuhan itu tidak mengiktiraf kewujudan Israel.
Tetapi akhirnya mereka melalui perantara berjaya mencapai
persetujuan ini dengan masing-masing pihak memperolehi apa
yang dituntut.
Sebelum ini Israel menuntut agar Shalid dibebaskan tanpa syarat
dan menolak tuntutan Hamas agar membebaskan tahanan Palestin
di penjara Israel.
Namun akhirnya Israel terpaksa mengalah demi nyawa seorang
warganya. Bagi Hamas penahanan Shalid selama ini telah berjaya
mencapai apa yang dituntut selama ini - pembebasan tahanan warga
Palestin. Apa pun 1000 orang yang dibebaskan ini hanyalah sebahagian
kecil dari jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang masih dalam tahanan
rejim itu.
Kejayaan rundingan ini telah disambut meriah di Israel dan di Gaza
sebagai meraikan dan tanda kegembiraan kedua pihak.
Apa yang akan menjadi perhatian seterusnya ialah adakah ini akan
membuka lembaran baru hubungan Israel-Hamas ?
Sabtu, 8 Oktober 2011
Bajet pilihan raya umum
BAJET 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat
lalu dianggap sebagai satu bajet populis untuk memenangi
hati rakyat.
Ianya satu bajet yang menggembirakan semua pihak. Malah
ada yang mengganggapnya sebagai bajet terbaik sepanjang
54 tahun merdeka.
Tiga hari sebelum itu Pakatan Rakyat menerusi pemimpinnya,
Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah terlebih dulu membentangkan
bajet parti pembangkang; yang tidak kurang populisnya bagi
menawan hati rakyat.
Ibarat dalam perniagaan; rakyat menjadi pelanggan dan kerajaan
tidak ubah persis sebuah pasar raya. Berbagai tawaran dan diskaun
yang diberikan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Inilah yang dikatakan kompetitif dan persaingan yang akhirnya
memberi keuntungan pada para pelanggan. Tidak ada unsur
monopoli yang membolehkan satu pihak mengawal sesuatu
harga barangan.
Justeru ada pesaing, maka tawaran dan potongan harga sahaja
mampu menarik lebih ramai pembeli dan meningkatkan jumlah
jualan, seterusnya "survival" sesebuah perniagaan.
Dalam konteks negara, bajet adalah kaedah atau instrumen
menarik dan memikat hati rakyat memilih "pasar raya"
Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat ?
Bajet 2012 dengan segala rempah ratusnya; Yuran sekolah mansuh,
bantuan RM100, Sara 1 Malaysia, Baucar buku, Skim baru guru,
Tambahan bonus, RM3,ooo setiap bekas tentera, polis, balu dan duda,
dan entah apa lagi, sudah tentu menggembirakan semua orang.
Akhirnya yang untung adalah rakyat terbanyak. Inilah sebahagian
dari demokrasi dan persaingan sihat dan bebas.
Namun apakah kegembiraan ini dapat diterjemahkan
di dalam peti undi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti ?
Jumaat, 7 Oktober 2011
Belanjawan disebelah pagi
BELANJAWAN 2012 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat pukul tiga petang
di Parlimen.
Sejak dari dahulu lagi pembentangan bajet ini oleh Menteri
Kewangan semasa menterinya Tengku Razaleigh Hamzah hinggalah
ke era Najib Razak, ianya dibentangkan pada hari Jumaat dan
berlangsung sebelah petang.
Saya kira sudah sampai masa waktu pembentangan itu diubah
pada sebelah pagi. Maksudnya, awal pagi. Kerana yang
sudah lepas semasa pembentangan belanjawan ramai ahli
yang berhormat termasuk menteri terlena dan ada yang "berdengkur".
Biasanya waktu antara tengahari hingga tiga petang orang
mudah mengantuk. Berlainan pada waktu pagi suasana lebih
segar dan ceria.
Banyak acara-acara rasmi diadakan pada sebelah pagi.
Kenapa belanjawan diadakan sebelah petang dan kadang-kadang
meleret hingga ke hujung waktu Asar ?
Lebih menggelikan sebahagian Ahli YB yang tertidur semasa
pembentangan itu memberi komen semuanya bagus bila ditanya
pihak media tentang kandungan bajet tersebut.
Tentang hari pula; apakah harus belanjawan itu dibentangkan
pada hari Jumaat ? Hari lain tidak sesuaikah ?
Kalau ia berlangsung waktu pagi maka semua menteri dan
YB terpaksa bergegas ke masjid menunaikan solat Jumaat pada
tengahharinya. Begitu juga kalau bajet dibentangkan pada pukul
tiga petang, maka lepas solat Jumaat semua terpaksa bergegas
ke Parlimen. Kelam kabut juga.
Ada baiknya belanjawan diadakan pada hari selain Jumaat.
Dan masa yang paling sesuai ialah pada sebelah pagi. Barangkali,
tidak akan ada lagi yang terlena dan berdengkur !
Rabu, 5 Oktober 2011
Krisis ekonomi di barat
GREECE kini memerlukan bantuan dari Kesatuan Eropah,
terutamanya Jerman bagi membantunya mengatasi masalah
hutang dan keruntuhan ekonominya yang kini muflis.
![]() |
| Dr Mahathir Mohamad |
Pemimpin Greece mengakui apa yang berlaku ini adalah
ekoran dari kelemahan pengurusan ekonomi negaranya.
Rakyat terus menunjukkan perasaan akibat kehilangan
pekerjaan dan kesempitan hidup.
Di Amerika rakyat kelas pertengahan berdemontrasi
di Wall Street kerana tidak mempunyai pekerjaan dan
pendapatan menampung sara hidup.
Presiden Barack Obama mengakui masalah ekonomi
yang dihadapi Amerika dan kelembapan ekonominya
memberi kesan terhadap peluangnya untuk terus berada
di White House buat penggal kedua pada 2012.
Inilah permasalahan ekonomi yang dihadapi negara-
negara barat kini.
Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa berbicara
dalam Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF)
semalam menjelaskan semua masalah ini berpunca dari
sikap tamak dan penggunaan sistem perdagangan tidak
beretika yang diamalkan sektor kewangan di AS dan Eropah.
Sikap dan sistem yang diamalkan telah memakan diri
sekaligus menyebabkan dua blok itu berdepan masalah
hutang dan kelembapan ekonomi.
Antara sistem buruk itu adalah; institusi kewangan menyalurkan
pinjaman walaupun mereka tahu peminjam itu sebenarnya
tidak mampu membayar balik, menggunakan pasaran modal
untuk mengaut keuntungan cepat atau jualan singkat, dan
paling penting faktor riba yang mengambil kira faktor risiko
dalam setiap urusniaga.
Menurut Dr. Mahathir lagi, dalam sistem Islam, walaupun
keuntungannya agak lambat sedikit, namun rukun perniagaan
Islam tidak mengambil riba, tidak mengenakan kos tersembunyi
dan tidak membabitkan pengambilan risiko.
Justeru Dr. Mahathir menegaskan sistem ekonomi Islam
seharusnya menjadi alternatif dan menggesa agar negara
mengurangkan pergantungan pada barat dan lebih menumpukan
aktiviti perdagangan dengan negara Timur seperti China
dan sebagainya.
Isnin, 3 Oktober 2011
Politik kebendaan dalam UMNO
HAMPIR semua akhbar harian hari ini melaporkan
kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad betapa ahli-ahli
UMNO kini berjuang bukan kerana agama, bangsa dan
negara, tetapi lebih pada mengejar kedudukan, kontrak,
permit dan sebagainya.
Mereka menjadi ahli UMNO untuk mencari kekayaan
dan bukannya berjuang demi kepentingan parti. Bila ada
yang tidak terpilih menjadi calon dalam pilihanraya, mereka
akan bersikap mencantas dan menikam dari belakang
ahli parti sendiri.
Sikap seperti inilah yang akan menjadi "duri dalam daging"
pada UMNO bagi menghadapi parti lawan dalam setiap
pilihanraya. Selagi sikap ini tidak dikikis, peluang UMNO
untuk mencapai kemenangan adalah tipis.
Dr. Mahathir memberi contoh betapa pada masa dahulu
ahli-ahli parti sanggup bergolok bergadai demi kejayaan
parti tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dan
kepentingan diri, asalkan parti berjaya.
Sikap ahli parti yang terlalu kebendaan ini memang
sukar diubah lebih-lebih lagi sekiranya pemimpin
diperingkat tertinggi tidak menghentikan amalan politik
wang dalam mereka mencari pengaruh dan sokongan.
Dalam konteks politik wang ini ia perlu bermula
dari atas ke bawah dan bukan sebaliknya. Selagi ada
pemimpin tertinggi masih menggunakan wang untuk
melobi dan sebagainya, selagi itulah penyakit kronik
dalam parti tidak dapat dihapuskan.
Kes politik wang membabitkan Datuk Ali Rustam dan
Datuk Isa Samad yang dikenakan tindakan disiplin parti
satu masa dulu patut dijadikan iktibar.
Bila sebut politik wang tumpuan tidak seharusnya
ke arah ahli akar umbi sahaja malah pada para pemimpin
di atas kerana semuanya berpunca dari mereka.
Gejala politik wang ini bermula sejak 1981 lagi bila
Tun Musa Hitam bertanding melawan Tengku Razaleigh
Hamzah sebanyak dua kali bagi jawatan Timbalan Presiden
UMNO. Namun masalah politik wang pada masa itu tidaklah
seteruk hari ini.
Dipercayai amalan politik wang ini semakin kuat dan
rancak semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri
Kewangan merangkap Naib Presiden UMNO.
Kerana politik wanglah bekas Timbalan Presiden UMNO,
Tun Ghaffar Baba terpaksa akur dan menarik diri dari
mempertahankan jawatannya dengan memberi laluan pada
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dan politik wanglah banyak Ketua-ketua Bahagian UMNO
yang satu kem dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya
menyingkirkan mereka yang dianggap dari kem berlainan.
Amalan politik wang dalam UMNO sukar untuk dibanteras
kerana ia sudah menjadi amalan dan darah daging para
pemimpin teratas sejak dahulu lagi.
Ia boleh dihapuskan dengan bermula dari pemimpin
di atas bukannya dari bawah; di akar umbi.
Ahad, 2 Oktober 2011
Tan Sri Abdullah Ahmad : Politikus dan kolumnis
TAN SRI Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas sering
kali dalam kolumnya di Sinar Harian meluahkan perasaan
tidak puas hatinya bila dipecat dari Kumpulan The New Straits Times
Pada tahun tersebut beliau adalah Ketua pengarang Kumpulan
NST dan mempunyai kolumnya sendiri. Dia dipecat oleh
Perdana Menteri masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ekoran
satu tulisan Tan Sri Abdullah dalam akhbar itu yang telah
menyinggung kerajaan Arab Saudi.
Kebetulan masa itu Pak Lah baru sahaja mengambilalih
jawatan Perdana Menteri. Barangkali, Pak Lah mencari
alasan untuk menukar Dollah Kok Lanas yang dianggap
sebagai "orang Mahathir" di NST dengan orang yang
lebih rapat dengannya.
Dan orang itu ialah Kalimullah Hassan, bekas Setiausaha
Politik, Tun Ghaffar Baba.
Tan Sri Dollah merungut setelah dipecat dari NST kerana
ia telah kehilangan beberapa keistimewaan seperti pejabat,
seorang pembantu dan lain-lain.
Dalam kolumnya dia sering menyebut nama Pak Lah
yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengannya sebagai
Badawi sahaja. Dia tidak pernah mengungkapkan perkataan
Abdullah Ahmad (serupa namanya). Acap kali dia menggunakan
perkataan Badawi sebagai merujuk pada Pak Lah.
Dollah Ahmad adalah bekas Setiausaha Politik, Tun Abdul
Razak Hussein. Beliau pernah ditahan dibawah ISA di atas
tuduhan bersubahat dengan anasir komunis semasa era
Tun Hussein Onn.
Bila Tun Mahathir mengambilalih jawatan dari Hussein Onn
beliau dibebaskan dari tahanan. Dari situ bermulalah
setapak demi setapak beliau mengukuhkan kedudukan
dalam parti dan kerajaan.
Beliau dipilih menjadi wakil rakyat di Kok Lanas, Machang,
Kelantan dan kemuncaknya ialah Dr. Mahathir telah melantiknya
sebagai Wakil Khas di PBB menggantikan Tun Musa Hitam.
Semasa di New York beliau banyak menulis dalam kolumnya
di Utusan Malaysia dalam berbagai isu politik tanahair.
Sekembalinya ke tanahair beliau telah dilantik menjadi
orang kuat di New Straits Times (NST). Di NST beliau
telah melakukan berbagai pembaharuan; termasuk memberhentikan
kontrak tokoh wartawan negara A. Samad Ismail sebagai
penasihat editorial.
Banyak langkah dan perubahan yang dilakukannya
sepanjang di NST sebagai rancangan menyusun semula
organisasi tersebut. Beliau berjaya dalam mengembalikan
keuntungan pada NST yang sebelum itu mengalami kerugian.
Barangkali, beliau mengharapkan setelah Pak Lah
mengambilalih dari Dr. Mahathir beliau akan terus
diberi kepercayaan mengemudi NST seterusnya.
Namun Pak Lah seperti tidak lagi memerlukan khidmat
beliau dan menyingkirkannya dengan mengambil Kalimullah
Hassan sebagai penggantinya.
Dan Kalimullah pula setelah berkuasa di NST telah
mempunyai hubungan tegang dengan Dr. Mahathir. Semasa
Kalimullah menerajui NST beliau telah menghadkan segala
laporan dan berita tentang negarawan itu.
Dalam suasana tertentu Dr. Mahathir kelihatan telah
diboikot oleh kumpulan akhbar tersebut sepanjang
Pak Lah menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, setelah Pak Lah terpaksa meletak jawatan
sebagai Perdana Menteri, nasib Kalimullah Hassan di NST
pun tidak lama dan dia pun terpaksa meninggalkan media
korporat yang berpengaruh itu.
Dan Dollah Ahmad terus hidup sebagai orang pencen
dengan menulis di kolum tetapnya dalam akhbar Sinar Harian.
Kepentingan Mesir buat AS-Israel
SETELAH enam bulan berlakunya revolusi rakyat
di Mesir seolah tidak banyak perubahan yang berlaku.
Pemerintahan masih dikuasai pihak tentera dan saki baki
para penyokong rejim dahulu.
Rakyat kembali berarak dan berdemonstrasi di jalanraya
menuntut agar kuasa dialihkan pada pihak awam.
Pihak tentera telah menetapkan pilihanraya akan
diadakan November ini.
Tetapi kebanyakannya masih sangsi dengan pilihanraya
itu kerana bimbang berlakunya penipuan yang akan
memberikan kemenangan pada pihak pro rejim Hosni
Mubarak yang digulingkan.
Rakyat Mesir sangsi sistem pilihanraya yang akan
diadakan itu sama dengan sistem yang dahulu. Pilihanraya
yang lalu telah banyak berlaku penipuan dan tidak telus.
Ada bukti menunjukkan ada kuasa atau "tangan-tangan"
ghaib yang sedang memainkan peranan bagi memastikan
kerajaan baru Mesir kelak adalah sebuah kerajaan yang
tidak anti Amerika dan Israel.
Kedudukan Mesir adalah penting buat Amerika - Israel
dalam percaturan politik di Timur Tengah dan masalah
Palestin.
Sebuah kerajaan Mesir yang bebas dan tidak terikat
serta tunduk pada AS-Israel seperti mana di era Hosni
Mubarak adalah sesuatu yang digeruni negara Yahudi itu.
Kini Turki salah sebuah negara Islam yang mempunyai
hubungan dengan Israel telah menimbulkan masalah dan
konflik diplomatik dengan negara Yahudi itu.
Israel tidak mampu kehilangan bekas sekutu rapatnya
seperti Mesir dan Turki sekaligus demi menjaga kepentingannya
di rantau Timur Tengah.
Turki kini kelihatan lantang dengan Israel dalam isu-isu
kepentingan bersama. Mesir masih dalam proses peralihan
setelah tumbang rejim yang pro barat enam bulan dulu.
Bukan mustahil AS- Israel melalui "tangan-tangan' ghaib
sedang memainkan peranannya agar Mesir terus dikuasai
oleh mereka yang berpengaruh dan punyai kaitan dengan
rejim lama.
Langgan:
Catatan (Atom)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)