Sabtu, 27 Januari 2018

Tengku Razaleigh Hamzah Tidak Relevan

Semakin hampir Pru14, politikus veteran Tengku Razaleigh Hamzah semakin banyak mengulas dan memberi kenyataan bersabit isu-isu politik semasa.

Antaranya, keyakinan beliau BN akan memenangi Pru14 ini berdasarkan terdapat terlalu banyak parti pembangkang sedangkan BN hanya satu !

Beliau juga mengkritik kelemahan Putrajaya dalam beberapa tindakan yang memberi gambaran negatif imej kerajaan. Seperti langkah polis menyoal siasat Tun Dr Siti Hasmah, isteri Dr Mahathir berkaitan ucapannya dalam satu perhimpunan.

Tengku Razaleigh Hamzah

Tengku Razaleigh atau Ku Li, 81 tahun adalah wakil parlimen paling lama iaitu selama 45 tahun. Masih belum bersara dari dunia politik. Dan tidak pasti apakah masih akan dicalonkan dikubu kuatnya di Gua Musang dalam Pru14 nanti.

Ku Li juga adalah anak didik Tun Razak Hussein pada tahun 1970an sebagai salah seorang calon bakal Perdana Menteri.

Bertanding sebanyak dua kali jawatan Timbalan Presiden Umno menentang Tun Musa Hitam.  Namun tewas kedua-dua pertandingan tersebut.

Cuba bertanding Presiden Umno menentang Dr Mahathir. Tetapi kalah juga dengan majoriti 40 undi.

Kerana cita-citanya mahu menjadi Perdana Menteri, beliau cuba lagi sekali mahu bertanding jawatan Presiden parti semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi.  Cubaan itu juga gagal kerana beliau tidak layak bertanding akibat tidak cukup pencalonan dari Ketua-ketua Bahagian Umno.

Persoalannya, apakah Ku Li masih menyimpan hasrat mahu menjadi Perdana Menteri?

Apapun beliau belum membuat sebarang kenyataan mahu berundur atau bersara dari politik. Beliau masih melihat dan menunggu peluang terbuka di hadapannya.

Namun pada saya yang telah mengikuti jejak politiknya sejak 1981, saya menganggap Ku Li tidak lagi relevan dalam hieraki pimpinan Umno dan negara umumnya.

Sama ada Ku Li sokong Najib atau Mahathir, kehadiran beliau dalam dunia politik tidak memberi sebarang impak.

Sekiranya satu masa dahulu beliau adalah antara tokoh penting namun kini ia telah berlalu. Sudah tiba masa beliau terus bersara dari politik seperti bekas rakan saingannya Tun Musa Hitam.

Suasana politik kini memperlihatkan kehadiran Ku Li tidak memberi sebarang kesan atau impak besar pada Umno lebih-lebih lagi terhadap Pakatan Harapan. Beliau hanya layak sebagai penumpang sahaja. Bukan lagi mampu berada di hadapan atau menerajui sebarang kumpulan.

Ku Li bukan tokoh seperti Dr Mahathir yang jauh lebih tua darinya tetapi terus berpengaruh dan berkesan dalam sebarang tindakan dan ucapan-ucapannya. Orang tua itu yang kini 93 tahun masih tajam pemikiran, hujah dan lidah dalam menyampaikan sebarang mesejnya.

Ku Li boleh bersara dan ia tidak akan memberi sebarang kesan pada iklim politik negara.

Tetapi setiap langkah dan keputusan si tua 93 tahun itu akan menentukan suhu panas atau sejuk politik negara sebelum dan selepas Pru14.

Ku Li bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri namun tidak tercapai.

Si tua 93 tahun itu sudah menjadi PM ke 4 selama 22 tahun. Dan kini dicalonkan lagi buat kali kedua sebagai bakal PM ke 7.

Itu satu fakta membezakan antara dua tokoh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan