Ahad, 21 Januari 2018

RUU 355 : Pas Mahu Berperang Dengan Umno?

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pernah memberi peringatan parti Pas akan mengistiharkan perang terhadap Umno sekiranya parti itu tidak menyokong usul pindaan RUU 355 bagi mempertingkatkan Akta Mahkamah Syariah di Parlimen.

Sudah hampir tiga kali usul ini dibawa Presiden Pas, Hadi Awang untuk dipinda dan diluluskan.  Namun kesemuanya seperti hangat-hangat tahi ayam.

Umno menunjukkan sokongan terhadap Pas dalam meminda akta tersebut. Tetapi setiap kali cadangan itu dikemukakan di Parlimen maka setiap kali ada sahaja alasan dan halangan dari usul itu dibincang dan dibahaskan oleh semua ahli Parlimen untuk diluluskan.

Ia seolah seperti bola ditendang ke sana ke mari. Sehingga hari ini usul meminda Akta itu tergantung terkapai-kapai.

Tuan Speaker Umno pula memainkan peranan besar dalam menentukan usul ini berjaya dibahas dan diluluskan majoriti ahli.

Namun segalanya seperti satu sandiwara politik antara Umno sebagai pihak yang mempunyai kuasa dan Pas yang mencadangkan pindaan RUU 355 tersebut. Dan apakah yang berlaku pada RUU 355 kini?

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menjelaskan akta ini akan terus diperjuangkan selepas PRU14 setelah tiga kali gagal dibahas dan diluluskan.

Pas bergantung sepenuhnya pada sokongan Umno dalam meminda akta ini yang akan memberi laluan melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Apa pun segalanya seperti masuk angin keluar asap.  Semua yang berlaku di Parlimen berkaitan RUU 355 antara Pas dan Umno hanyalah retorik politik untuk kepentingan parti masing-masing.

Tidak ada apa yang berlaku. Dan pastinya RUU 355 ini hanya akan dibangkitkan semula selepas PRU14. Buat masa ini ia akan terus menjadi umpan pada orang-orang melayu bagi menarik sokongan terutamanya bagi parti Pas.

Maka kita teringat kata dua Mohd Amar pada Umno yang Pas akan memerangi Umno sekiranya parti itu mengagalkan usaha meminda RUU itu.

Malah apa yang berlaku kini adalah sebaliknya.  Pas bukan sahaja tidak memerangi Umno tetapi mereka pada hakikatnya bersama Umno dalam menghadapi Pakatan Harapan.

Mohd Amar sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan baru-baru ini telah menganggap PM Najib Razak sebagai Bapa Pembangunan Negeri Kelantan. Kerana bagi Pas,  Najib lebih banyak membantu Kelantan berbanding zaman Dr Mahathir sebagai PM.

Alahai Mohd Amar, di mana letak muka demo kata hendak memerangi Umno demi RUU 355 ?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan