Sabtu, 4 Mac 2023

Tan Sri Lee San Choon Dalam Kenangan

 Tan Sri Lee San Choon, 87 tahun telah pun meninggal dunia. Beliau adalah bekas Presiden MCA ke 4 selepas Tun Tan Siew Sin. 

Lee telah melibatkan diri dalam politik sejak 1959. Dan beliau adalah antara Presiden MCA yang berjaya membangunkan parti. 

Beliau telah berkhidmat dalam kabinet sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn sehinggalah ke zaman Dr Mahathir. 

Lee telah mengundur diri dari politik pada tahun 1983 dengan meletakkan semua jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden MCA dan ahli Parlimen Seremban. 

Semasa Lee meletakkan semua jawatan politiknya (1983) beliau tidak memberi sebarang alasan diatas keputusan dan tindakannya itu. 

Sedangkan ketika itu MCA baru sahaja berjaya meraih kejayaan (PRU 1982) dengan memenangi banyak kerusi yang dikuasai DAP. 




Umum bertanya kenapa Lee tiba-tiba meletakkan semua jawatan politik yang dipegangnya? MCA tidak berhadapan masalah atau sebarang skandal. Malah parti MCA berada dipuncak kejayaan dan dalam keadaan kukuh. 

Tidak siapa pun mengetahui puncanya. Lee sendiri tidak memberi bayangan sebab musabab tindakannya itu. 

Namun pada tahun 2000 dalam satu wawancara dengan majalah Asiaweek, Lee mendedahkan ada pemimpin Umno menikamnya dari belakang. Tidak pula Lee menjelaskan dengan terperinci kenyataannya tersebut. 

Bagaimanapun, saya sebagai seorang yang minat mengikuti perkembangan politik sejak 1981 lagi sudah dapat mengetahui apa puncanya. 

Ceritanya begini. Pada 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 4 menggantikan Tun Hussein Onn. Lee adalah menteri kabinet Tun Hussein.

Dr Mahathir membubarkan parlimen bagi memberi laluan PRU pada 1982 bagi mendapat mandat rakyat selaku PM ke 4.

Suasana ketika itu memperlihatkan Dr Mahathir dan parti Barisan Nasional begitu popular dan mendapat sokongan rakyat. 

Lee pula sebagai pemimpin kaum Cina menerima cabaran hebat dari pemimpin DAP, Lim Kit Siang bagi menentukan siapa menjadi pilihan untuk mewakili kaum Cina di negara ini. Cabarannya, MCA atau DAP?? 

Lee San Choon menyahut cabaran DAP dengan berani dan mengorbankan dirinya dengan bertanding di kubu kuat DAP iaitu Seremban dengan bertanding melawan Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin. Seremban adalah kawasan majoriti Cina dan kubu kuat DAP. 

Lee tidak bertanding di kawasan selamat. Beliau bertanding di Seremban bagi memberi peluang pada kaum Cina membuat pilihan sama ada MCA atau DAP sebagai parti utama mewakili kaum Cina di negara ini. 

Keputusannya Lee San Choon menang menewaskan Chen Man Hin dengan majoriti 845 undi. Jumlah pengundi lebih kurang 46,000. Satu kemenangan tipis buat Lee.  Namun ia satu kemenangan yang memberi impak besar pada MCA mahu pun DAP. 

Pertama, Seremban kubu kuat DAP. Kedua Lee menentang Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin. 

Ia adalah satu kejayaan dan kemenangan manis buat Lee San Choon sebagai Presiden MCA dan sebagai pemimpin mewakili kaum Cina. Sekurang kurangnya pengorbanan Lee bertanding di Seremban berbaloi. Dan ia juga satu tamparan hebat buat DAP. 

Namun kejayaan itu seperti tidak dihargai Umno, terutama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. 

Kerana selepas kejayaan MCA merampas banyak kerusi DAP dalam PRU 1982 itu, Lee San Choon telah membuat beberapa tuntutan pada Dr Mahathir sebagai PM sebagai imbalan diatas kejayaan dan pengorbanan MCA dalam menentang parti DAP dikalangan para pengundi Cina. 

Antara tuntutan Lee pada Dr Mahathir adalah penambahan beberapa jawatan dalam kabinet dan beberapa tuntutan yang lain. Bagi Lee tuntutan ini adalah adil dan wajar diatas kejayaan dan sumbangan MCA dalam Barisan Nasional. 

Namun Dr Mahathir selepas kejayaan BN dalam PRU 1982 itu tidak melayan sedikit pun segala tuntutan tersebut. Malah beliau terus mempertahankan status quo yang ada pada MCA. 

Ia kelihatan seolah olah Dr Mahathir tidak menghargai pengorbanan dan kerja keras MCA dalam menyaingi DAP bagi menarik sokongan para pengundi kaum Cina. 

Selepas PRU 1982 - tidak sampai setahun, Lee San Choon mengambil langkah politik sebagai mesej pada Dr Mahathir dengan meletakkan semua jawatannya sebagai tanda protes. 

Lee meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden MCA dan ahli parlimen Seremban. 

Ertinya Lee ingin sampaikan pada Dr Mahathir bahawa beliau akan pulangkan kerusi parlimen Seremban kembali pada DAP. 

Dan ternyata itulah yang berlaku. Setelah Lee mengosongkan kerusi parlimen Seremban maka berlaku lah satu pilihan raya kecil. 

Dalam pilihan raya kecil itu DAP berjaya merampas kembali Seremban sebagai kubu kuatnya. 

Seremban hingga ke hari ini terus kekal sebagai kawasan dan kubu kuat DAP. 

Itulah Lee San Choon. Seorang pemimpin dan politikus Cina yang disegani. Dan beliau akan terus diingati. 




Ahad, 26 Februari 2023

Ismail Sabri Yaakob Lambat Buat Keputusan

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno. 

Keputusan ini dikira agak terlewat diambil Ismail Sabri. Ia sepatutnya membuat kenyataan ini beberapa bulan dahulu. 

Umum tahu Ismail Sabri bukan dianggap penyokong kuat Presiden parti Zahid Hamidi.

Malah semasa Ismail Sabri menjadi PM ke 9 beliau kelihatan dibuli oleh Zahid. 


Ismail Sabri Yaakob


Zahid adalah orang utama menekan Ismail agar parlimen dibubarkan secepat mungkin. 

Ternyata tekanan Zahid berjaya dan Ismail terpaksa mengalah. 

Kini Ismail seperti kain buruk yang tidak dihargai. 

Sekiranya Ismail tidak mengalah dengan tekanan Zahid Hamidi, beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri pada saat ini. 

Malah kini bukan sahaja Ismail Sabri menjadi PM paling singkat iaitu selama 14 bulan dalam sejarah bahkan para pemimpin yang sehaluan dengannya seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein dipecat dan digantung sebagai ahli Umno. 

Jelas selepas parlimen dibubar, Ismail hilang jawatan PM dan beberapa pemimpin Umno dipecat dan digantung. 

Maka sah lah Ismail telah dibuli dan dipermainkan Zahid Hamidi dan kuncu kuncunya sebelum dan selepas parlimen dibubarkan. 

Ismail Sabri secara terbuka menyatakan kecewanya terhadap apa yang berlaku lebih lebih lagi keputusan parti menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan. 

Ismail Sabri adalah PM ke 9 merangkap Naib Presiden Umno. 

Adalah tidak munasabah beliau bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden. 

Jawatan yang sesuai bagi Ismail Sabri adalah jawatan Presiden Umno. 

Sebagai bekas PM, Ismail Sabri tidak boleh bertanding jawatan Naib Presiden. Ia tidak kena pada tempatnya dan tidak betul serta tidak munasabah. Ertinya ia tidak logik. 

Maka keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden adalah tepat. Cuma kesilapan Ismail Sabri ialah beliau lambat membuat keputusan tersebut. 

Sepatutnya sebagai seorang politikus dan bekas PM sebaik sahaja Umno mengambil tindakan terhadap Khairy, Hisham dan beberapa pemimpin utama parti beliau seharusnya mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden dengan segera. 

Ini sebagai tindak balas dan langkah politik berdasarkan situasi politik ketika itu. Juga sebagai tamparan pada Zahid Hamidi sebagai Presiden yang mencantas para pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya. 

Namun Ismail Sabri tidak mengambil langkah yang bersifat tindak balas atau respons terhadap apa yang berlaku dalam parti. 

Saya kira inilah kelemahan ketara Ismail Sabri sebagai politikus dan bekas PM. 

Sekiranya Ismail bertindak meletakkan jawatan dalam parti beberapa bulan terdahulu ia pasti memberi tamparan hebat pada Zahid dan parti secara umumnya. 

Namun semua itu tidak berlaku. Justeru itu saya kira Ismail Sabri tidak layak menjadi Presiden Umno. Dan tidak mungkin akan menjadi PM buat kali kedua. 

Saya kira Ismail Sabri perlu terus bersara dari politik. Kecuali beliau mahu ikut jejak Dr Mahathir yang semakin hanyut dan tidak tahu bila perlu berhenti dan bersara dari politik. 




Ahad, 15 Januari 2023

Umno Tidak Insaf

 Para perwakilan Umno masih bebal dan tidak pernah insaf dengan apa yang menimpa Umno sejak tiga Pru dari 2008 hingga Pru 15  pada 2022.

Mereka tidak pernah belajar dan tidak akan ambil iktibar kekalahan yang menimpa mereka. 

Sebelum 2008 Umno sentiasa menang hampir atau melebihi 100 kerusi Parlimen. Tetapi sejak 2008 kerusi yang dimenangi mulai merosot. 




Dari 100 kerusi menurun hingga 76 kerusi. Pada Pru 14 Umno hanya menang 54 kerusi. Dan pada Pru 15 yang lalu ia terus merosot sehingga hanya menang 26 kerusi sahaja. 

Namun Umno dibawah Zahid Hamidi memang "hebat", walaupun hanya menang 26 kerusi dari 222 kerusi parlimen ia masih berada dalam kerajaan dan tidak sebagai pembangkang. 

Yang paling hebat lagi Sang Presiden parti yang menghadapi dua kes mahkamah diatas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Terima kasih pada brader Anwar Ibrahim!! 

Sejak kekalahan yang memalukan pada Pru 15 sehingga hari ini belum kelihatan Umno dari Sang Presiden sehingga ahli-ahli parti insaf diatas "kemaluan" yang menimpa parti. 

Mereka masih dalam bersorak sorai seolah parti mereka masih hebat dan seperti tidak ada apa yang berlaku. 

Belum ada apa-apa langkah, tindakan atau strategi yang dilakukan bagi memulihkan imej parti yang buruk itu. Tidak ada. 

Kerana mungkin mereka masih selesa dengan habuan berbagai jawatan kabinet setelah berjaya membantu menubuhkan kerajaan. 

Dan yang paling hebat lagi ialah tamatnya persidangan Umno baru-baru ini dengan resolusi memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Ertinya Sang Presiden terus kekal untuk tiga tahun lagi. 

Cantik...!!! 


Sang Presiden


Ironinya Si Sang Presiden adalah orang yang paling bernafsu mahukan Pru15 diadakan secepat mungkin. Alasannya mahu kuasa dikembalikan pada rakyat bagi menubuhkan kerajaan baru. 

Namun bila terkena batang hidungnya dalam soal parti - dia tidak berani menghadapi ahli-ahli parti bagi menentukan nasibnya sebagai Presiden. 

Ahli-ahli parti berhak memilih siapa yang layak memimpin mereka. Itu dikatakan demokrasi. 

Namun Sang Presiden pilih untuk kekal jawatan secara tidak demokratik. 

Ahli-ahli parti tidak insaf. Tidak belajar dari apa yang terjadi. Meski pun tumbang tersungkur berkali kali. Mereka bebal. Pemimpin mereka pun bebal. 

Apakah Umno akan bangkit? 

Sang Presiden kini adalah beban dan liabiliti pada Umno dengan dua kes mahkamah yang dihadapi. Satu kes Yayasan Akal Budi. Satu lagi kes permit visa pekerja asing. Kes kedua mahkamah telah bebaskan Sang Presiden. Namun pihak AG telah membuat rayuan dan kes ini akan bersambung dalam masa terdekat. 

Kepada Sang Presiden semoga selamat dalam menghadapi kedua perbicaraan tersebut. 

Kepada Brader Anwar Ibrahim semoga bersedia memilih calon Timbalan Perdana Menteri yang baharu? 

Selasa, 13 Disember 2022

Kes Zahid Hamidi Akan Digugurkan?

 Zahid Hamidi  setelah menjadi Timbalan Perdana Menteri kini menghadapi dua misi penting bagi menjamin masa depannya terus kekal sebagai pemimpin politik.

Pertama, mengekalkan kedudukkannya sebagai Presiden Umno sekiranya ada pertandingan merebut jawatan parti. Kedua, beliau mesti menang kes rasuahnya yang sedang berjalan sekarang.

Sekiranya Zahid berjaya mengatasi dua masalah besar ini kedudukkannya sebagai TPM dan masa depan politiknya akan semakin kukuh.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti dalam masa enam bulan dari sekarang setelah ditangguh dua kali.


Ahmad Zahid Hamidi


Kini sudah ada gerakkan dari bawah agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada pertandingan. Ertinya kedua penyandang jawatan tersebut dikekalkan.

Jika pelan pro Zahid berjalan lancar maka ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah berlaku. Kerana sesuatu yang aneh bila parti kalah teruk dalam pilihanraya pemimpinnya terus kekal dan tidak meletakkan jawatan.

Umno dibawah pimpinan Zahid hanya menang 26 kerusi dari 222 kerusi parlimen dalam Pru 15. Ini adalah prestasi dan pencapaian paling buruk dalam sejarah pilihanraya Umno.

Bukan sedikit suara-suara ahli parti menggesa Zahid supaya melepaskan jawatannya.

Namun begitu apa yang berlaku adalah sebaliknya. Zahid telah bertindak dengan tegas menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 dengan membawa Umno menjadi sebahagian dari kerajaan. Dan sebagai imbalannya beliau dilantik TPM.

Jadi prestasi Zahid bukan diukur pada pencapaian Umno dalam Pru 15 tetapi peranannya yang besar yang memungkinkan Umno menjadi kerajaan bukan pembangkang.

Dan pencapaian peribadinya yang terbesar adalah dilantik sebagai TPM walaupun partinya Umno ditolak para pengundi.

Inilah istimewa dan uniknya Zahid Hamidi dalam konteks situasi politik negara selepas Pru 15.

Apalagi dengan jawatan TPM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kuku Zahid semakin tajam bagi menguasai Umno dan terus kekal sebagai Presidennya

Anwar Ibrahim telah memainkan peranannya bagi memastikan kedudukan Zahid dalam Umno tidak tergugat. Kerana Umno kini adalah kerabat paling kuat dalam kerajaan selain DAP.

Tetapi bagaimana pula kes mahkamah Zahid Hamidi? Apakah akan ada representasi agar kes itu digugurkan??

Atau Zahid akan berusaha keras agar beliau menang dalam kes tersebut. Justeru membersihkan namanya dan memulihkan kembali imejnya di mata umum. 

Walau apapun yang berlaku sekiranya Mahkamah memutuskan Zahid bersalah diatas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, Anwar sebagai PM perlu tegas memecatnya sebagai TPM. 

Jelas kini Zahid mampu mengatasi cabaran dan tentangan dalam Umno. 

Tetapi apakah beliau akan berjaya menghadapi kesnya di mahkamah? 

Kita tunggu dan lihat. 


Jumaat, 2 Disember 2022

Kabinet : Anwar Ibrahim Perkuatkan Kedudukkannya

 Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan kabinetnya yang mengambil masa lebih seminggu dari hari dia dilantik sebagai PM ke 10.

Seperti yang diramal umum Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri bersama Fadilah Yusof wakil dari GPS.

Bagi saya secara umumnya kabinet Anwar ini lebih baik jika dibandingkan dengan kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri sebelum ini.


Anwar Ibrahim


Namun begitu saya rumuskan kabinet Anwar ini lebih terarah pada memperkuat kedudukannya dalam partinya PKR dan jawatannya sebagai PM dari sabotaj dan ancaman dari musuh-musuh politiknya yang sukar diramal.

Sebagai contoh Anwar sendiri memegang porfolio Kewangan -  suatu perkara yang bercanggah dengan beliau ucapkan sebelum ini bahawa beliau tidak akan menjawat Menteri Kewangan.

Bahkan banyak pandangan umum tidak bersetuju beliau menguasai kementerian Kewangan. Kerana beliau adalah PM. Ini membuatkan beliau kelihatan terlalu berkuasa.

Apa yang berlaku pada Najib Razak sebagai PM merangkap Menteri Kewangan tidak berulang. Perlu ada pengasingan tugas dan kuasa. Tidaklah kelihatan PM terlampau berkuasa.

Namun keputusan Anwar ini boleh difahami dari konteks politik semasa. Betul Anwar bukan Najib. Portfolio Kewangan penting disudut strategi politiknya baik dalam dan luar parti bagi menjamin kedudukannya tidak diganggu gugat mana-mana pihak. 

Begitu juga langkah Anwar melantik Saifuddin Nasution sebagai Menteri Dalam Negeri. Kementerian ini sungguh "power". Dan Anwar serahkan pada orang yang beliau percaya dan yakin. 

Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR. Beliau tewas pada Rafizi dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR. Saifuddin juga tewas di parlimen Kulim Bandar Baharu dalam Pru 15 baru baru ini. Namun Anwar mengangkat Saifuddin seperti dia mengangkat Zahid Hamidi. Tidak siapa boleh nafi Saifuddin adalah orang paling kanan Anwar bukan Rafizi!! 

Tetapi Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR dilantik Menteri Ekonomi. Ekonomi penting namun Menteri Dalam Negeri sangat berpengaruh. 

Kalau dikira sejarah dahulu Menteri Dalam  Negeri dipegang oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Apalagi Saifuddin sekarang bukan ahli parlimen. Dia akan dilantik Senator. 

Saya tidak mahu ramalkan hubungan Anwar dan Rafizi pada masa hadapan. Tetapi yang jelas Anwar lebih selesa dengan Saifuddin. 

Lain-lain lantikkan boleh dikira keseluruhannya kabinet Anwar ditunjangi oleh para pemimpin PKR. Kewangan, Ekonomi, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi diterajui semua Menteri PKR. Khalas! Anwar sudah kontrol situasi. 

Mulai hari ini selain tugas berat Anwar memulihkan ekonomi dan mengangkat martabat bangsa beliau harus bersedia menghadapi golongan anti Zahid Hamidi dalam Umno dan partinya sendiri PKR. 

Kerana dalam PKR benih itu sudah ada iaitu  antara Anwar/Saifuddin vs blok pro Rafizi Ramli. 

 


Khamis, 1 Disember 2022

Zahid Hamidi Dari Seorang Yang Dicemuh Kini Menjadi Wira

 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pru 15 adalah seorang pemimpin yang dianggap liabiliti pada parti kerana kesnya di mahkamah dan stail kepimpinannya yang memecahbelahkan Umno menjadi beberapa puak.

Sebelum Pru 15 lagi ada suara mahukan dia meletakkan jawatan Presiden Umno. Umumnya menganggap Zahid adalah seorang pemimpin yang lemah. 

Tanggapan dan persepsi umum terhadap Zahid sebelum ini tidak silap malah tepat sekali bila keputusan Pru 15 diketahui. 

Umno dan BN dibawah pimpinannya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihanraya umum sejak merdeka. 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah - Umno hanya menang 26 kerusi parlimen. Campur dengan empat lagi kerusi parti komponen BN berjumlah 30.

Bayangkan selepas sahaja keputusan Pru 15 diketahui desakan dan tekanan begitu memuncak agar Zahid letak jawatan. 

Ketika itu suasana tidak memihak pada Zahid. Umumnya mengira kali ini Zahid tidak ada pilihan melainkan berundur. 

Pada Pru 2018 Najib Razak terpaksa meletakkan jawatan Presiden Umno setelah tewas mengejut pada Pakatan Harapan. Sedangkan ketika itu Umno menang lebih 50 kerusi. Inikan Zahid hanya menang 26 kerusi untuk Umno. Ertinya pencapaian Zahid lebih teruk daripada Najib. Namun Najib letak jawatan. 

Kini Zahid tidak letak jawatan malah kelihatan semakin kembali kuat kedudukannya. Ini sesuatu yang diluar jangkaan para pemerhati politik. 

Ini semua berpunca dari mainan politiknya yang licik sehingga meletakkan Umno sebagai king maker dalam menentukan siapa PM ke 10 diantara Anwar dan Muhyiddin. 

Justeru tindakan cepatnya dengan menarik balik SD 10 wakil rakyat BN dari menyokong Muhyiddin - tercetusnya idea kerajaan perpaduan. 

Muhyiddin menolak idea kerajaan perpaduan. Dan kerana 10 SD wakil BN itu Muhyiddin kecundang disaat akhir. 

Dan yang paling terkesan adalah Umno walaupun hanya menang 26 kerusi dan dikira ditolak oleh rakyat namun berjaya menjadi sebahagian dari kerajaan pusat. Umno tidak jadi pembangkang. 

Anwar Ibrahim sebagai PM ke 10 tidak dapat menafikan peranan dan tindakan Zahid sebagai faktor utama beliau terpilih sebagai PM. 

Sehingga saat ini begitu kuat andaian bahawa Zahid akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar tidak punya pilihan yang banyak. 

Kerana Zahid dengan jawatan TPM akan memperkuat kedudukannya sebagai Presiden Umno yang akan menghadapi pemilihan parti enam bulan lagi. 

Tanpa jawatan kabinet Zahid sukar mempertahankan jawatannya. Anwar sudah tentu menghargai peranan Zahid dan ingin terus mendapat sokongan daripada Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Sekiranya Zahid gagal pertahankan jawatan Presiden dan diganti dengan calon yang pro Muhyiddin, maka ini akan menyusahkan Anwar kemudian hari. 

Nampaknya Zahid yang sebelum ini ditohmah berbagai gelaran seperti Zahid Komedi, Zahid Ponorogo dan sebagainya namun kini dia kelihatan hebat dan dicemburui musuh-musuh politiknya. 

Apa yang pasti sekarang Zahid Hamidi tidak akan letak jawatan sehingga pada hari pemilihan parti enam bulan lagi. 




Isnin, 28 November 2022

Zahid Hamidi Dilantik Timbalan Perdana Menteri??

 Nampaknya PM ke 10 Anwar Ibrahim, tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa melantik Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Zahid masih berdepan dengan kes mahkamah namun peranan dan tindakan cepatnya telah membantu Anwar dipilih sebagai PM. Dan sekaligus sekali lagi Zahid berjaya menyekat peluang Muhyiddin. Dia juga dahulu yang menjatuhkan Muhyiddin sebagai PM ke 8 dengan menarik balik sokongan. 

Tindakannya disaat- saat akhir baru-baru ini dengan menarik balik SD 10 wakil BN dari menyokong Muhyiddin menyebabkan Agong menyarankan agar  ditubuhkan kerajaan perpaduan kerana antara Anwar dan Muhyiddin tidak ada majoriti.

Sekiranya tanpa tindakan Zahid tentunya Muhyiddin sudah pun terpilih menjadi PM ke 10. Namun dengan penarikkan balik 10 SD itu Muhyiddin tidak cukup majoriti. 

Sudah ramai memberi pandangan agar Anwar tidak mengambil mereka yang menghadapi kes di mahkamah berada dalam kabinet. 

Tetapi Anwar sudah pun memberi bayangan bahawa selagi mahkamah tidak memutuskan seseorang itu bersalah maka hal itu masih boleh dipertimbangkan. Kecuali mahkamah telah menjatuhkan hukuman. 

Dengan ini peluang Zahid menjadi TPM adalah besar. Apa lagi peranannya yang besar membantu Anwar terpilih sebagai PM. 

Anwar tentunya memerlukan sokongan Zahid dan BN secara konsisten pada jangka masa yang lebih panjang. Dan ini memerlukan sesuatu yang boleh memperkuat kedudukan Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Umno akan menghadapi pemilihan parti dalam masa enam bulan lagi. Apakah Zahid dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti?? 

Sekiranya Zahid gagal dan tokoh lain mengambil alih pimpinan parti: adakah Umno/BN akan terus menyokong Anwar?? Inilah persoalan yang mesti  diambil kira oleh Anwar dalam memilih wakil Umno sebagai TPM. 

Jika Zahid dipilih sebagai TPM sudah tentu ianya dapat memperkuat kedudukan dan pengaruhnya dalam parti. Sekiranya dia tidak ada jawatan dalam kabinet ini menyukarkannya bergerak dan mempengaruhi para perwakilan parti. 

Justeru Zahid sebagai TPM merangkap Presiden Umno tentunya lebih memperteguh kedudukan Anwar sebagai PM. Kerana keputusan Pru 15 lalu jelas BN dengan 30 kerusi telah menjadi "King Maker" dalam menentukan parti mana menguasai Putrajaya. 

Dengan senario begitu saya tidak jangka Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden Umno akan dilantik sebagai TPM. Banyak desas desus mengatakan Tok Mat akan dipilih. 

Namun apa pun boleh berlaku. Lebih-lebih lagi adanya kautim antara Anwar, Zahid dan Tok Mat dalam mencari jalan terbaik bagi mempertahankan kerjasama PKR-BN. 




Ahad, 6 November 2022

Tengku Razaleigh Masih Berimpian Jadi PM

 Tengku Razaleigh Hamzah 85 tahun,  orang lama dalam Umno masih terus bertanding dalam Pru 15 ini dengan mempertahankan kerusinya di Gua Musang. Kerusi parlimen itu ditandinginya hampir lima dekad. 

Pada era 80 an semasa Umno diharamkan, Ku Li terus kekal dan menang di Gua Musang di atas tiket Parti Semangat 46.

Begitu lah kuatnya pengaruh Ku Li di Gua Musang. Dia menang walau pun menentang calon Umno ketika itu. 

Dan pada Pru 15 ini, Ku Li tetap akan menang dengan mudah walau pun terdapat tiga lagi calon lain yang bertanding . Gua Musang dan Ku Li sudah sinonim dan sebati. 

Sebelum ini Ku Li telah menyatakan beliau tidak akan bertanding lagi dalam Pru15. Alasannya dia sudah terlalu lama di Parlimen dan ingin memberi peluang pada orang baru menjadi calon. 

Nampaknya Ku Li telah mengubah fikirannya. Kenapa? Apa alasannya? 


Ku Li


Seperti yang diketahui umum Ku Li mempunyai cita-cita terpendam yang tidak kesampaian sejak 1980 an untuk menjadi Perdana Menteri. Sejak zaman Tun Hussein Onn lagi. 

Namun Dr Mahathir menjadi pilihan Tun Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Ku Li tewas pada Tun Musa Hitam sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. 

Ku Li juga tewas pada Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno. 

Ku Li cuba lagi pada era Abdullah Badawi, tetapi gagal kerana tidak mendapat cukup pencalonan bagi membolehkannya bertanding menentang Badawi. 

Akhir sekali Ku Li tewas pada Zahid Hamidi dalam jawatan Presiden Umno yang ditandingi tiga penjuru - calon ketiga adalah Khairy Jamaluddin. Ku Li mendapat undi paling sedikit daripada tiga calon tersebut. 

Pada ketika kerajaan Muhyiddin tumbang Ku Li mencalonkan dirinya sebagai pengganti. Namun beliau tidak mendapat sokongan dari partinya sendiri - Umno. 

Begitulah Ku Li yang masih menyimpan cita-cita menjadi Perdana Menteri. Tetapi ini sukar berlaku kerana Ku Li tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti. 

Kecuali berlaku insiden parlimen tergantung dan tidak ada parti yang mempunyai kerusi majoriti di parlimen. Justeru SPB Agong boleh menggunakan budi  bicaranya memilih seorang calon yang disokong majoriti ahli parlimen untuk mengisi jawatan PM. 

Apa pun ini mungkin tidak berlaku kerana setiap parti akan berpakat menyokong calon pilihan parti mereka masing-masing. 

Keputusan Ku Li untuk terus mempertahankan kerusinya tidak lain hanya mengharap tuah akan menyebelahinya bagi memenuhi impiannya yang begitu lama. 

Baginya kalau Dr Mahathir boleh menjadi PM kali kedua dalam usia 90 an - kenapa tidak dia. 

 

Jumaat, 4 November 2022

Dr Mahathir Sudah Sampai Masa Bersara

 Dr Mahathir Mohamad, 97 tahun tidak patut dan tidak perlu bertanding lagi dalam Pru 15 ini.  Negarawan itu telah menyatakan akan mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Dari seorang negarawan yang disegani dan dihormati ketika menjadi PM selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 - kini imejnya semakin  tercalar teruk terutamanya kesan dari tempoh 22 bulan beliau menjadi PM kerajaan Pakatan Harapan. 

Banyak kesilapan dan kelemahan terlihat sepanjang tempoh 22 bulan tersebut. Salah satunya projek kereta terbang yang membazir dan tidak masuk akal. Dan banyak lagi tindakan dan keputusannya sebagai PM telah mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat pada Pru 14, 2018.

Kesilapan terbesarnya adalah tindakannya meletakkan jawatan sebagai PM secara mengejut dengan tidak berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam PH. Dan ini merupakan satu pengkhianatan pada kerajaan PH yang disertai PKR, Amanah dan DAP. 


Dr Mahathir


Dr Mahathir sepatutnya berbincang dan membantu dalam proses peralihan mencari pengganti.

Namun tindakannya secara mengejut telah membuka ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan mengisi ruang yang telah terbuka hasil pengunduran diri beliau sebagai PM. 

Hingga kini tidak ada pemimpin pun yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15.

Ini kerana kredibilitinya sebagai pemimpin telah terjejas teruk kesan sikap dan tindakannya dari mula hinggalah masa beliau meletakkan jawatan sebagai PM kali kedua. 

Dr Mahathir kini mengetuai Gerakan Tanah Air seperti seorang pengemis meminta kerjasama dengan Anwar (PKR) dan Muhyiddin (Bersatu) bagi menumbangkan Umno dalam Pru 15. Namun Anwar dan Muhyiddin menolak secara terang tidak akan bekerjasama lagi. Sungguh sedih dan memalukan. 

Begitulah teruknya defisit keyakinan orang pada Dr Mahathir. 

Apakah Dr Mahathir dengan partinya Pejuang dalam GTA akan memberi impak dalam Pru15 nanti? 

Saya lebih cenderung merasakan negarawan itu bersama parti gagasannya akan gagal total. Rakyat tidak akan tertarik untuk memberi sokongan. 

Apatah lagi dalam usia 97 tahun ia adalah suatu khayalan dan tidak berpijak pada realiti semasa. 

Adalah lebih baik dan terhormat Dr Mahathir tidak lagi terlibat dalam Pru15 ini dan berundur secara terhormat. Agar imejnya sebagai negarawan tidak semakin buruk dan tercalar kesan dari penglibatannya dalam kemelut politik semasa. Cukuplah. Berilah peluang pada generasi muda mengisi kekosongan.