Jumaat, 9 September 2011

PEMBETULAN



ENTRI pada 8 Sept. 2011, bertajuk "Gaddafi
masih bersembunyi di Bani Walid", ada menyebut
pemimpin NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan
ialah Mustafa Abdul Jalil.

Sebenarnya, Pengerusi NTC ialah Mahmud Jibril.
Kesilapan tidak disengajakan.

Harap maaf.

Khamis, 8 September 2011

Gaddafi masih bersembunyi di Bani Walid



MUAMMAR Gaddafi serta dua anak lelakinya, Saadi dan
Saif Al Islam dikatakan telah melarikan diri melalui gurun
pasir menuju ke Nigers bersama 250 kenderaan berkonvoi.

Laporan ini dikeluarkan setelah bandar kelahirannya, Sirte,
telah ditawan sepenuhnya tentera pemberontak.

Bagaimanapun, berita ini dinafikan pihak berkuasa Nigeria
dan mengesahkan tiada pergerakkan konvoi menuju ke sempadannya.

Pihak tentera pemberontak percaya Gaddafi dan dua anaknya
masih berada di Libya. Ini dikuatkan lagi dengan perkembangan
terbaru, di mana Gaddafi telah membuat satu ucapan yang
disiarkan melalui radio di Syria.

Dalam ucapan itu, Gaddafi telah menyeru rakyat Libya
agar bangkit menentang imperialis barat dan menuduh
Majlis Peralihan Kebangsaan atau NTC (National Transtitional
Council) sebagai alat Amerika dan sekutunya.

NTC yang dipimpin oleh Mustafa Abdul Jalil pula
memberitahu pihak tentera pemberontak kini sedang
berunding dengan beberapa Ketua kabilah dan pengikut
Gaddafi yang setia agar menyerah diri.

Dalam rundingan itu mereka berkeyakinan Gaddafi
kini sedang bersembunyi di wilayah Bani Walid.

Menurut NTC, kini seluruh tentera pemberontak
sudah menghampiri Bani Walid dan hanya menunggu
arahan untuk masuk.

Jurucakap NTC mengesahkan rundingan masih berjalan
dengan pengikut setia Gaddafi di Bani Walid. Mereka
memberi tempoh sehingga Sabtu ini bagi rundingan
ini mencapai persetujuan.

Sekiranya rundingan gagal mencapai sesuatu hingga
Sabtu ini, pihak NTC mengesahkan mereka akan mengarahkan
tentera pemberontak memasuki dan menawan Bani Walid.

Agensi berita AlJazeera melaporkan kini NATO telah
pun melancarkan beberapa serangan udara di kawasan
strategik di Bani Walid.

Apakah Bani Walid akan menjadi kubu terakhir buat
Gaddafi dan dua anaknya ?

Bekas pemimpin Jamihiah Libya itu telah berulang kali
menegaskan bahawa beliau akan terus melawan sehingga
titis darahnya yang terakhir dan tidak akan menyerah diri.


























Rabu, 7 September 2011

Antara makanan dan kesihatan


SOMALIA adalah sebuah negara termiskin di dunia.
Dianggarkan hampir sejuta orang mati akibat kekurangan
makanan.

Yang paling banyak menjadi mangsanya ialah kanak-kanak.
Segala kemudahan infrastruktur negara itu hancur musnah
akibat konlflik politik dan perang saudara yang telah memakan
masa lebih 10 tahun.

Lebih menyedihkan segala bantuan makanan dan kemanusiaan
dari negara luar telah disekat oleh kumpulan militan yang
bersengketa iaitu Al Shabab.

Begitulah gambaran Somalia, bukan sahaja rakyatnya
tidak punya makanan untuk disuap, malah kedudukan
negaranya hancur musnah.

Berbagai pertubuhan antarabangsa telah merayu pada PBB
agar melakukan tindakan segera dalam membantu menyalurkan
bantuan makanan dan lain-lain keperluan bagi mengelak
berlakunya tragedi dahsyat dalam abad ini.

Berlainan pula dengan suasana di negara kita yang serba
mewah dengan segala macam jenis makanan dan masalah
pembazirannya. Di sini sisa-sisa makanan yang terbuang,
kalau dikumpulkan, boleh mencecah ber tan-tan banyaknya.

Di negara kita, makan dan makanan secara berlebihan sudah
menjadi "pembunuh secara senyap" berjuta penduduknya.

Buktinya, rakyat negara kita adalah pengidap penyakit buah
pinggang tertinggi di dunia. Dan angka ini terus meningkat
dari setahun ke setahun. Itu belum kira lagi dengan masalah
obesiti dan lemak di badan yang berlebihan.

Semuanya berpunca dari tabiat pemakanan dan ini tentunya
berkait dengan makan berlebih-lebihan, terutamanya kegunaan
gula dan garam, sesedap rasa !

Barangkali, di Somalia mereka "makan untuk hidup" dan kita
di sini "hidup untuk makan".

Kerana kebanyakan kita hidup untuk makan, maka ada yang
baru berusia 30an dan 40an sudah pun "boroi" dan badan ibarat
sebuah tempayan.

Saya tertarik dengan filosofi negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad,
84 tahun, yang mengamalkan tabiat makan sedikit dan berhenti sebelum
kenyang. Dan beliau tidak "boroi".

Manakala menurut cerita, Seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin,
76 tahun, yang kelihatan masih sihat dan kuat, tidak menyentuh ayam
dan daging dalam menunya. Beliau hanya makan ikan dan sayur.
Dia juga tidak "boroi".

Makan tidak boleh sebarang makan dan ikut selera nafsu.
Ada pepatah mengatakan, orang yang makan sedikit lebih
panjang usianya dari orang yang makan ikut nafsu !















Khairy : Pemimpin muda karismatik



KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah
menunjukkan keberaniannya dengan sanggup berdebat
dengan Mohamad Sabu dalam isu tragedi Bukit Kepong.

Cadangan debat ini datangnya dari Pas Kelantan. Khairy
dengan reaksi pantasnya menyahut cadangan debat itu.

Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas, menyarankan
agar soal debat ini diserahkan pada Ketua Pemuda Pas
kerana Khairy bertaraf peringkat Pemuda sedangkan dia
adalah Timbalan Presiden parti.

Sebelum ini Khairy pernah berdepan dengan Datuk Hussam Musa
di Balai Islam, Lundang dalam satu perdebatan yang
dihadiri ribuan penyokong Pas.

Malah Khairy juga ikut serta dalam perbahasan Siri Wacana
anjuran Karangkraf bersama Ketua Pemuda Pas. Beliau juga
begitu lantang di Parlimen dalam setiap perbahasan.

Sebenarnya Khairy ingin membuktikan bahawa beliau
adalah tokoh pemuda yang tidak boleh diketepikan pucuk
pimpinan begitu sahaja.

Walaupun dia menang di kerusi Parlimen Rembau dan Ketua
Pergerakkan Pemuda UMNO pusat ia tidak diberi sebarang
jawatan. Seolah beliau tidak diikthiraf dan dipinggirkan pucuk
pimpinan parti.

Berapa bulan dahulu dia menyuarakan betapa dia sanggup
menerima keputusan Presiden parti jika tidak terpilih
menjadi calon dalam PRU 13 ini.

Dan lebih mengejutkan, Khairy menyatakan pendirian yang
beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua
Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang.

Apakah semua langkah beliau ini sebagai satu ujian tentang
popularitinya dan satu tindakan politiknya untuk melangkah
lebih jauh dalam hieraki UMNO ?

Tetapi jelas Khairy ingin membersihkan rekodnya yang
telah dikambinghitamkan semasa mentuanya Tun Abdullah
Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Semasa Pak Lah, semua jari tertuding ke arahnya sebagai
punca segala masalah parti dan kerajaan. Antaranya, beliau
banyak mencampuri dan mempengaruhi segala keputusan
Pak Lah dalam soal parti dan kerajaan.

Khairy juga menjadi sasaran kritikan dari Tun Dr. Mahathir;
yang menggunakan istilah "budak di tingkat 4".

Bagaimanapun, bila Khairy menang dalam pertandingan jawatan
Ketua Pemuda UMNO dengan mengalahkan anak Dr. Mahathir,
Mukhriz, imejnya kembali pulih dan telah menutup mulut seteru
politiknya dalam UMNO.

Ada usaha untuk menyingkirkan Khairy dari arus pimpinan
pelapis UMNO. Namun ia tidak semudah yang dijangkakan.

Apatah lagi langkah politiknya yang licik dan penuh keberanian
menampilkan beliau sebagai tokoh pemuda berkarismatik dan
tidak boleh diketepikan begitu sahaja.











Selasa, 6 September 2011

Memoir Tun Dr. Mahathir



SAYA belum lagi membaca memoir Tun Dr. Mahathir -
"A Doctor in The House".

Cuma dapat mengetahui isi kandungannya melalui
beberapa ulasan tentang memoir itu di dalam akhbar-
akhbar tempatan.

Dr. Mahathir adalah seorang politikus yang sering
saya ikuti perkembangannya sejak 1981 lagi. Ia tahun
bermulanya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia
ke 4.

Tahun 1981 itu jugalah saya berangkat ke Medan, Sumatera Utara,
Indonesia, mengikuti kursus kewartawanan di sebuah akademi di situ.

Dalam tempoh di sana, saya berkesempatan menulis beberapa
rencana mengenai perkembangan politik tanahair dalam akhbar
harian WASPADA. Tulisan itu lebih berkisar pada perkembangan
semasa yang berlaku, terutamanya tentang Dr. Mahathir; Perdana Menteri
ke 4 yang masih baru bagi masyarakat Indonesia.

Bagi saya, Dr. Mahathir adalah tokoh yang luar biasa. Pemikirannya
jauh ke depan, cepat dalam tindakan dan punya sifat tegas dan berani.
Tempoh 22 tahun sepanjang menjadi Perdana Menteri membuktikan
segalanya. Gelaran Bapa Kemodenan padanya adalah sesuai dengan
jasa yang telah beliau taburkan.

Namun di kaca mata pembangkang beliau adalah seorang
diktaktor, Maha Zalim, Maha Firaun dan berbagai gelaran lagi
diberikan padanya; sebagai satu manifestasi kebencian terhadap
ketokohannya.

Apapun pandangan tentang Dr. Mahathir, sememangnya beliau bukan
sempurna dan mempunyai kelemahan sepanjang pentadbirannya.

Tetapi hakikatnya beliau memang seorang tokoh "extraordinary"
dan genius. Tok Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri mengakui
Dr. Mahathir adalah seorang yang bijak.

Pada saya, sebagai seorang mengamati perkembangannya, beliau
telah meletakkan satu "standard" yang tinggi semasa kepimpinannya.
Dan tahap standard itu belum lagi terisi oleh kepimpinan sesudahnya.

Seteru politiknya boleh memberi pelbagai sudut pandangan mengenai
ketokohannya. Banyak kelemahan dan kepincangan boleh dicungkil dan
didedahkan. Terpulang pada penilaian masing-masing.

Namun bagi saya, sebagai peminatnya, ada dua "kesalahan" besar
yang dilakukannya sepanjang kariernya.

                      Pertama : Beliau mengambil sikap berkecuali bila
                                      Anwar Ibrahim mencabar Tun Ghaffar Baba
                                      bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.
                      Kedua    : Memilih dan melantik Abdullah Ahmad Badawi
                                      sebagai penggantinya.

Saya tidak pasti, apakah hal ini ada disentuhnya dalam memoirnya,
"A Doctor in The House". Saya sendiri belum membacanya.



















Isnin, 5 September 2011

Onn Jaafar, Tunku dan Hussein

Tun Hussein dan Tunku


DALAM orang sibuk memberi berbagai pandangan dan
berhujah tentang kenyataan Mohamad Sabu perihal siapa
pejuang kemerdekaan sebenar dan siapa komunis, satu hakikat
sejarah yang tidak boleh dinafikan sesiapa ialah tentang tiga
tokoh UMNO mati sebagai bukan ahli UMNO.

Datuk Onn Jaafar meninggal dunia ketika beliau memimpin
Parti Negara. Manakala Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn
tidak menyertai UMNO (Baru) setelah UMNO lama diharamkan.

Onn Jaafar keluar dari UMNO setelah cadangannya untuk
membuka pintu pada kaum lain menyertai UMNO ditolak.
Justeru itu beliau merajuk dan menubuhkan Parti Negara bagi
meneruskan impiannya menjadikan partinya berbilang kaum.

Namun Parti Negara pimpinannya kalah teruk dalam pilihanraya.
Dia menghembuskan nafasnya terakhir bersama impiannya yang
tidak tercapai untuk mempunyai sebuah parti berbagai kaum.

Tunku dan Tun Hussein pula masih hidup ketika UMNO
diharamkan oleh mahkamah. Setelah UMNO diharamkan,
Tengku Razaleigh Hamzah dengan restu Tunku telah cuba
mendaftar parti baru - UMNO Malaysia.

Tetapi permohonan untuk menubuhkan parti baru itu
ditolak pendaftar pertubuhan. Sebaliknya, UMNO (Baru)
pimpinan Dr. Mahathir diterima dan diluluskan.

Ekoran itu Tunku, Hussein Onn dan Tengku Razalegh tidak
menyertai UMNO (Baru) sebaliknya mereka menubuhkan parti
Semangat 46 dengan Tengku Razaleigh sebagai Presidennya.

Dalam konteks ini, Tunku dan Tengku Razaleigh begitu aktif
dalam menggerakkan Semangat 46, termasuk Tunku yang terlibat
secara langsung dalam ceramah-ceramah politik anjuran parti 46.

Apakala Tun Hussein tidak begitu jelas penglibatannya, namun
beliau tidak menjadi ahli UMNO (Baru) sehingga akhir hayatnya.
Hanya yang jelas beliau memberi sokongan pada Tunku dan Tengku
Razaleigh dalam menyaingi parti UMNO(Baru) pimpinan Dr. Mahathir.

Tunku dan Tun Hussein Onn terus memberi sokongan pada Razaleigh
dan Semangat 46 hingga ke akhir hayatnya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir telah mengarahkan upacara pengebumian
kedua bekas tokoh UMNO dan Perdana Menteri itu dilakukan secara
penghormatan negara. Kerana Mahathir tetap mengikthiraf segala
jasa dan sumbangan mereka sebagai bekas Presiden UMNO dan
Perdana Menteri.

Seperti maklum Tengku Razaleigh telah kembali ke pangkuan
UMNO. Namun, Tunku dan Tun Hussein telebih dulu kembali
kerahmatullah sebelum sempat menyertai UMNO semula.
























Siapakah Mat Indera ?


KENYATAAN Mohamad Sabu tentang peristiwa Bukit Kepong
antara pihak polis dan komunis telah mendapat reaksi meluas
dan mempunyai impak besar, terutama pada orang melayu.

Apakah kenyataan Mat Sabu itu mempunyai kebenaran atau
tidak, hanya ahli sejarah sahaja dapat menentukan.

Namun kini isu ini telah didominasi oleh orang politik
sehingga ianya telah menjadi "political mileage" dan bahan
pukulan terhadap Mat Sabu dan partinya.

Walau apapun isu ini telah memberi kesan negatif pada
PAS dan Pakatan Rakyat.

UMNO tentunya meraih keuntungan dan berpeluang
memainkan isu ini dalam menyentuh sentimen orang melayu
yang keseluruhannya ibarat komunis itu adalah satu malapetaka.

Cuma yang menariknya dalam isu ini timbul nama Mat Indera;
yang mungkin banyak tidak diketahui sejarahnya, lebih-lebih
lagi generasi muda.

Para ahli sejarah negara perlu mengkaji dan mengupas siapa
sebenar Mat Indera ini yang dianggap Mat Sabu sebagai
pejuang kemerdekaan.

Sedangkan beliau bersama anggota komunis telah menyerang
balai polis Bukit Kepong dan telah mengorbankan anggota keselamatan.

Mat Sabu dan Pas telah membayar harga yang mahal dalam isu ini.
Apakah Mat Sabu betul atau tidak, sudah tidak penting lagi.
Yang penting "damage" telah berlaku terhadap diri dan partinya.

Komunis adalah satu perkataan yang amat sensitif dikalangan
orang melayu. UMNO telah mainkan isu ini sepenuhnya.















Sabtu, 3 September 2011

Anwar digesa bersumpah


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, telah membuat
gesaan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengangkat
sumpah sekiranya benar beliau tidak terlibat dalam kes liwat.

Menurut Dr. Mashitah, Datuk Seri Anwar perlu bersumpah
sebagaimana yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari yang
telah bersumpah sebanyak dua kali.

Gesaan banyak pihak agar Anwar bersumpah bukanlah baru,
malah telah banyak dibuat termasuk dari bekas Mufti Perlis,
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dan Mufti Perlis sekarang
Dr. Juanda.

Namun semua cabaran itu seolah dipandang sepi dan tidak
diendahkan Anwar. Malah Anwar juga telah mengambil sikap
tidak akan bersumpah di mahkamah semasa membela diri
dalam perbicaraannya.

Berbagai hujah dan alasan diberikan dalam mempertahankan
sikapnya yang tidak akan bersumpah. Antaranya, tidak ada
keperluan apa-apa untuknya bersumpah dan pendiriannya
bahawa mahkamah tidak akan memberi keadilan padanya
semasa perbicaraan.

Kalaulah alasan itu diterima, namun beliau sebagai orang
yang terpalit dengan isu sensitif ini perlu meyakinkan masyarakat
bahawa beliau tidak bersalah dengan melakukan sesuatu dan
bukan hanya berceramah dipentas politik.

Banyak tindakan yang boleh diambilnya bagi membuktikan
yang beliau benar-benar tidak terlibat dalam kes liwat sepertimana
yang dituduh.

Sekiranya beliau tidak yakin dengan mahkamah; kerana mahkamah
bukan berada dalam kawalannya, maka beliau harus mencari alternatif
lain yang tidak boleh dipengaruhi sesiapa. Tempat ini adalah masjid.

Beliau boleh pilih mana-mana masjid di negeri-negeri yang diperintah
Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Apa yang perlukan dilakukan hanyalah mengangkat sumpah setiap Jumaat
sebelum atau sesudah solat bagi membuktikan kebenaran dirinya difitnah.

Tindakan ini boleh dilakukan sekiranya beliau mahu. Tidak ada
masjid di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang akan mengkhianatinya.
Lagipun, tindakan ini mudah dan tidak perlu sebarang protokol kerana
ia boleh dilakukan secara spontan tanpa apa-apa upacara rasmi. Malah
tidak akan ada orang yang akan menghalangnya.

Jika susah sangat di negeri-negeri lain pilih sahaja Selangor yang
berada di bawah PKR. Dan tidak payah beri notis pada Pak Imam
setiap kali sembahyang Jumaat kerana angkat sumpah boleh dilakukan
secara spontan dengan berdiri dan memegang mikrofon.

Kalau ini dapat dilakukan oleh Datuk Seri Anwar, hanya dalam tempoh
tidak panjang, kerajaan Najib dan UMNO akan tumbang ! Orang ramai
akan lebih mempercayai dan meyakini sumpah yang dilakukan oleh beliau.

Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh UMNO dan kerajaan dengan
sumpahnya itu.

Langkah bersumpah ini adalah terbuka untuk Datuk Seri Anwar dalam
membersihkan imejnya yang tercalar teruk itu. Tetapi beliau tidak
melakukannya dan tidak berusaha mengambil kesempatan terbuka
ini demi membuktikan beliau tidak terlibat. Titik.





















Jumaat, 2 September 2011

PAS nak rebut 60 kerusi



PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam
kenyataannya dalam satu majlis hari raya di Kuala Trengganu
menegaskan bahawa PAS mensasarkan 60 kerusi parlimen
dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut Abdul Hadi lagi, pada pilihanraya umum lalu
PAS telah berjaya menambah kerusi parlimen dan mentadbir
tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Namun Perak
jatuh kembali ketangan Barisan Nasional setelah berlakunya
beberapa ADUN PKR melompat dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Pada pilihanraya umum (PRU) 13 ini beliau yakin PAS akan
mencapai sasaran 60 kerusi parlimen dengan merampas 25 kerusi
dari 75 kerusi yang ada pada UMNO.

Di parlimen keseluruhan kerusi adalah berjumlah 222 kerusi semuanya.
Sekiranya PAS berjaya memenangi 60 kerusi sebagaimana yang
disasarkannya, ke mana pula baki 162 kerusi akan pergi ?

Di segi common sensenya baki kerusi itu akan dimenangi parti
Barisan Nasional, DAP dan PKR. Berapa pula jumlah yang akan
dimenangi ketiga parti itu masing-masing ?

Kalau betul seperti kata Abdul Hadi, PAS akan rebut 25 kerusi
yang ada pada UMNO sekarang, bermakna UMNO akan hanya
mempunyai 50 kerusi sahaja. Ertinya, baki 110 lagi kerusi akan jatuh
pada DAP dan PKR.

Jadi atas 110 ia akan terbahagi sama ada 60-50 atau 70-40 atau
sebagainya antara DAP dan PKR.

Jika andaian ini berlaku, maka tidak ada satu parti pun akan
memperolehi majoriti di parlimen. Kecuali masing-masing parti
terpaksa bergabung dan "bertongkat" antara satu sama lain bagi
memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Dalam konteks ini, PAS yang memburu hanya 60 kerusi sebenarnya
lebih fokus untuk terus menjadi pembangkang dan bukannya
berhasrat menjadi kerajaan di Putrajaya.

Dengan hanya 60 kerusi dari 222 kerusi tidak ada apa yang
boleh dilakukannya. Tetapi PAS tetap akan menjadi "power broker"
antara Pakatan dan Barisan yang cukup penting.

Sekiranya PAS kekal dengan status quonya dalam Pakatan Rakyat,
akan timbul juga persoalan : apakah PAS mampu menjadi pemain
utama dan tidak tunduk pada DAP dan PKR ?

Untuk mengharap PAS bekerjasama dengan UMNO adalah
sesuatu yang mustahil buat masa ini. Kalau ada pun usaha dan
gerakan untuk menyatukan dua parti ini, pasti ianya akan
membawa perpecahan dalam parti Islam itu.

Pada analisisnya dalam PRU 13 ini, sama ada UMNO atau PAS
yang perlu sapu bersih kerusi majoriti melayu bagi menentukan
kedudukan yang lebih jelas. Jika kedua parti melayu ini menang
kerusi secara 50-50, maka timbullah suasana seperti yang disebut
tadi.

Dalam PRU 13 ini juga akan menjadi "do or die" buat UMNO
dan PAS bagi memenangi hati pengundi melayu. Orang melayu
kena buat pilihan.

Untuk rekod semasa era Tun Dr. Mahathir dari 1981-2003, UMNO
telah mencapai kejayaan 80 hingga 90 peratus kerusi yang ditandinginya.
Malah ada ketikanya kerusi yang dimenangi UMNO mampu menubuhkan
kerajaan pusat dengan majoriti mudah tanpa gabungan dari
parti-parti komponen lain.

Begitulah betapa kuat dan kukuhnya UMNO sebelum ini. Tetapi senario
kini sudah berubah. Ia bermula dengan era Tun Abdullah Ahmad Badawi
yang penuh dengan kelemahan kepimpinannya dan episod "lawak jenaka"
sepanjang pentadbirannya.

Apakah UMNO akan bangkit di bawah Najib ? Atau PAS akan
terus mengancam kedudukan UMNO dihati orang melayu ? Cuma
yang kurang jelasnya, apa yang PAS boleh buat dengan 60 kerusi ?
















Khamis, 1 September 2011

KOLUMNIS TERPILIH




The Lists :


Subky Latiff
A. Kadir Jasin
Mazlan Nordin
Zainuddin Maidin
A. Jalil Ali
Johan Jaafar
Karim Raslan
A. Shukur Harun
Ahmad Lutfi Othman
Mohd Sayuti Omar
Dinsman
Zin Mahmud
Tan Sri Abdullah Ahmad
Wan A. Hulaimi
Ridhuan Tee
Chamil Wariya
Mohd Rashidi Hassan
Dr. Chandra Muzaffar
S.M. Mohamad Idris
Umapagan Ampikaipakan
W. Scott Thompson
Mohd Asri Zainal Abidin
Kassim Ahmad
Ahmad A. Talib
Ahmad Idris
Tan Sri Sanusi Junid
Hishamuddin Rais
Pahrol Mohamad Juoi
Dr. Sidek Baba



KOLUMNIS KEHORMAT :

Goenawan Mohamad
Che Det


NOVELIS :

Pramoedya Ananta Toer
A. Samad Said


CERPENIS :

Fatimah Busu


PENYAIR :

A. Latiff Mohiden


PENGRITIK SASTERA :

Mohd Affandi Hassan


KARTUNIS :

Lat
Miki
Dee
Rossem
Zunar