Ahad, 23 Jun 2013

Husam kena gastrik dan demam

DATUK Husam Musa yang ditahan polis dibawah Akta Hasutan kini direman selama dua hari. Ini mungkin pengalamannya yang pertama terpaksa tidur dan bermalam dilokap.

Polis menahannya gara-gara "fatwa" yang dikeluarkannya baru-baru ini bahawa mereka yang terkorban dalam menyertai himpunan Blackout adalah tergolong dalam mati syahid.
Husam diiringi polis

Para Peguambela Husam kini gagal membebaskannya dari lokap polis. Mereka merungut anak guamnya kini tidak berapa sihat kerana demam dan gastrik.

Seperti maklum sebelum ini tidak pernah dilaporkan Husam tidak sihat atau ada penyakit. Beliau bebas bergerak berceramah ke seluruh negara. Dan khabarnya dia baru pulang bercuti dari mengerjakan umrah serta melawat Jordan dan sempadan Syria.

Selepas pulang dari bercuti Husam telah berucap di perhimpunan Blackout di Ketereh di mana dia telah mengeluarkan kenyataan soal mati syahid itu.

Nampaknya, belum sempat dia ikut serta Blackout di Padang Merbok dan memenuhi saranannya pada para pemuda kemungkinan memperolehi syahid sekiranya terkorban - dia berada dilokap polis.

Dia belum lagi berjihad dan hanya baru ditahan polis selama dua hari dia sudah diserang demam dan gastrik ! Bukan saya yang cakap. Peguambelanya kata Husam demam dan gastrik !

Alahai Husam.....


Soalan objektif

PILIH hanya satu jawaban yang betul.

Siapakah dia seperti gambar di bawah ?

Perhatian : Pilih jawaban yang BETUL hanya satu bukan SALAH satu.

A) Husam Jamnapari

B) Husam Pantalon

C) Husam Kambing

D) Husam Al Syahid

E) Husam Misai Kontot

Jawaban lebih dari satu dikira kosong markah.

Jumaat, 21 Jun 2013

Presiden Iran yang baru - Hassan Rouhani


Kartunis: Stavro Jabra, berasal dari Lebanon.



Ikhtibar insiden di Turki

INI adalah gambaran suasana pihak keselamatan dan polis Turki menghadapi para demonstran di Taman Gezi baru-baru ini. Rakyat Turki bangkit membantah keputusan kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan untuk merobohkan taman itu bagi memberi laluan membangunkan kondo, pasar raya dan laluan pejalan kaki.

Erdogan telah mengarahkan polis bertindak terhadap penunjuk perasaan setelah beliau hilang sabar dengan kerenah demonstran itu.




Hasilnya beberapa penunjuk perasaan terkorban dan cedera. Erdogan adalah seorang pemimpin yang disanjungi di kalangan negara-negara Islam. Beliau juga menjadi idola dan ikutan pada para pemimpin dan pengikut parti Pas termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi Erdogan mengecam keras para penunjuk perasaan di kalangan rakyatnya. Dan dia telah bertindak keras menghapuskannya.

Semoga Najib, Zahid dan pihak polis dapat belajar dan ambil ikhtibar dari apa yang berlaku di Turki itu. Dan paling penting bagaimana Erdogan dan polis Turki bertindak menghadapi para penunjuk perasaan yang membantah keputusan kerajaan.

Esok (Sabtu) parti pembangkang akan meneruskan himpunan haram Black 505 di Padang Merbok, walau pun pihak polis telah menasihatkan agar ia tidak diteruskan. Pihak penganjur jelas tidak endah dan menghiraukan arahan polis dan meremehkan undang-undang.

Oleh itu pihak keselamatan mesti bertindak apa yang terkandung dalam undang-undang dan melakukan apa yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan awam.

Himpunan Black 505 tidak ada permit

PAKATAN Rakyat akan meneruskan progam Black 505 di Padang Merbok, Sabtu ini walau pun pihak polis telah memberi amaran ia tidak mempunyai permit. Ertinya, himpunan itu adalah haram dan menyalahi undang-undang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan program itu akan diteruskan tanpa mengira halangan yang akan berlaku. Semua pemimpin pembangkang, terutama yang menang dalam PRU13 lalu sama ada wakil DUN atau Parlimen digesa hadir dalam perhimpunan itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana pemimpin yang tidak hadir adalah pengkhianat ! Manakala pada para penyokong yang hadir beramai-ramai, sekiranya mereka terkorban dalam perhimpunan ini akan dianggap sebagai syahid.

Lain pula dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berkata himpunan Black 505 ini adalah anjuran parti PKR dan bukannya datang dari Pakatan Rakyat. Karpal tidak mengesahkan sama ada dia akan hadir atau tidak.

Ada desas-desus timbul ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang terpilih menjadi YB takut untuk hadir pada Sabtu ini kerana bimbang akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Mengikut undang-undang mana-mana wakil rakyat yang didapati bersalah oleh mahkamah dan didenda melebihi RM 2,000 secara otomatis gugur sebagai wakil DUN atau Parlimen dan tidak boleh bertanding.

Himpunan Black Sabtu ini telah disahkan oleh polis tidak mempunyai permit dan menyalahi undang-undang. Justeru selepas himpunan itu ia terdedah pada tindakan undang-undang pada sesiapa yang terlibat.

Jika tersilap haribulan rakyat akan menghadapi banyak lagi pilihan raya kecil, terutamanya di kawasan-kawasan milik Pakatan Rakyat dalam bulan-bulan mendatang.

Selepas hari Sabtu nanti kita boleh lihat siapakah antara pemimpin pembangkang yang takut akan hilang kedudukannya sebagai YB. La...la...laa...

Rabu, 19 Jun 2013

Ku Li bukan calon alternatif

TENGKU Razaleigh Hamzah disebut sebagai calon pilihan bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Datuk Seri Najib Razak dalam waktu terdekat. Ada dua cara Ku Li boleh menjadi Perdana Menteri; Pertama-melalui undi tidak percaya pada Najib pada sidang parlimen yang akan bermula tidak lama lagi. Kedua-melalui pertandingan jawatan Presiden Umno akhir tahun ini.

Kedua kaedah ini hanya akan berjaya dan menjadi kenyataan sekiranya Ku Li mendapat sokongan besar dari para ahli parlimen dan majoriti ahli Umno seluruh bahagian.
Tengku Razaleigh

Tetapi persoalannya apakah Ku Li akan mendapat sokongan secukupnya bagi menjadikannya satu kenyataan. Kedudukan Najib sebagai penyandang jawatan Presiden parti dan Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah untuk digugat.

Apa lagi mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad setakat ini tidak memberi mesej jelas agar Najib ditumbangkan. Ertinya, Najib masih mendapat sokongan dari Dr Mahathir.

Dengan desas-desus Ku Li berminat mengambil alih jawatan yang dipegang Najib, sudah pasti Dr Mahathir akan memainkan peranan mempertahankan Najib dalam parti dan kerajaan. Antara Ku Li dan Najib tentunya negarawan itu akan menolak Ku Li yang pernah mencabarnya bagi jawatan Presiden.

Walaupun telah bersara Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh dan aura bagi mempengaruhi para pemimpin dan ahli Umno dalam menentukan trend pemilihan pucuk pimpinan dan ahli majlis tertinggi. Dalam hal ini Ku Li tidak akan mampu menyaingi pengaruh Dr Mahathir di samping Najib sekali gus.

Ku Li boleh mencuba di parlimen dan di perhimpunan Umno, namun ia tidak akan semudah yang digambarkan. Tetapi tindakan Ku Li ini tidak memberi sebarang risiko terhadap dirinya. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Lagi pun ini adalah percubaan ketiganya mengintai jawatan Presiden sebelum ini semasa Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Dengan Dr Mahathir dia tewas. Dengan Pak Lah dia tidak layak bertanding kerana tidak cukup syarat kuota ketika itu.

Persoalan pokok yang paling penting perlu dijawab pada mereka yang ingin melihat perubahan jawatan Perdana Menteri ialah; apakah Ku Li lebih baik dan lebih kuat kepimpinannya berbanding Najib ? Dibimbangi Ku Li lebih teruk dan lebih lemah dari Najib tidak boleh diketepikan.

Berdasarkan sejarah Umno dan Ku Li tidak ada apa yang istimewa dan besar tentang tokoh dari istana ini. Apa yang pasti ketokohan Ku Li tidak sehebat Tun Musa Hitam, apatah lagi dengan Dr Mahathir.

Oleh itu pemilihan Ku Li sebagai alternatif pada Najib perlu diperhalusi dengan teliti. Jangan jadi seperti lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Rosmah tanding Ketua Wanita Umno ?

ISU isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan reda. Selagi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, isterinya Rosmah akan terus diperhati dari perkara paling kecil sehingga perkara yang lebih besar.

Dari stail rambutnya, pakaian dan cara dia berjalan ia akan menjadi bahan bualan dan kritikan orang ramai. Seolah sudah tidak ada yang kena apa sahaja berkaitan dengan Rosmah.
Datin Seri Rosmah Mansor

Lebih menambahkan masalah lagi sikap Rosmah yang begitu aktif dan tidak boleh duduk diam. Beliau adalah antara isteri Perdana Menteri negara ini sejak Tunku Abdul Rahman yang sama ligat dengan Perdana Menteri.

Banyak program kebajikan datang dari ilhamnya. Banyak juga beliau terlibat dengan badan-badan NGO. Dia pula petah bercakap. Tidak nampak dia kekok atau janggal dalam setiap penampilannya depan umum.

Ini kerana latarbelakangnya sebagai bekas seorang pegawai bank dan mempunyai ijazah universiti. Kebanyakan isteri Perdana Menteri sebelum ini tidak begitu menonjol dan agak low profile. Begitu juga semasa era Dr Mahathir Mohamad, isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidaklah menyaingi populariti suaminya.

Tetapi Rosmah berlainan sedikit. Dia ada kebolehan dan kepintaran. Dan dia pergunakan kelebihannya itu sepenuhnya selagi peluang itu terhidang. Dalam sejarah negara belum pernah gelaran First Lady digunakan oleh isteri Perdana Menteri. Namun kini gelaran itu sudah sinonim dengan Rosmah.

Yang masalahnya ialah publisiti dan penonjolan Rosmah di media tv dan akhbar selama ini agak terlebih dan over sehingga boleh menimbulkan rasa muak dan bosan di kalangan umum. Bukan sedikit faktor Rosmah telah mempengaruhi mood para pengundi dalam PRU13 lalu.

Blogger terkenal Datuk Kadir Jasin pernah menulis dalam blognya menyarankan agar Rosmah bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno. Katanya ini sebagai langkah menutup segala kritikan dan cemuhan orang terhadapnya.

Ia juga sebagai menguji popularitinya selama ini. Dan paling penting dia memang layak bertanding jawatan itu memandangkan kebolehan dan kepintaran yang ada padanya.

Saranan Datuk Kadir itu memang munasabah. Ia bukan sahaja boleh menghapuskan semua tohmahan dan kritikan umum terhadap dirinya, malah dapat memulihkan imej suaminya Najib yang kena tempias dari imej negatif yang dilemparkan padanya terutama parti pembangkang.

Sekarang orang sibuk bercakap kemungkinan jawatan Presiden Umno akan ditentang dalam Perhimpunan Agung Umno akhir tahun ini. Apakah Rosmah tidak bercadang bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno ?

Husam kurang cerdik

NASIB Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa selepas PRU13 cukup mendung. Dia bukan sahaja kalah di Putrajaya, malah hilang kerusi empuknya selama ini di Kelantan. Angan-angan nak jadi Menteri Besar atau TMB melayang begitu sahaja. Bahkan jawatan sebagai Exco pun boleh tercicir.

Sebelum ini dia begitu gah dengan kuasa yang ada padanya sebagai orang paling kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Kini semuanya hilang sekelip mata. Dia sudah tiada kuasa dan hanya menjadi wakil rakyat biasa DUN Salor.

Biasanya orang yang selalu berada di atas akan mengambil masa menyesuaikan diri bila sudah tidak berjawatan dan duduk di bawah. Apa lagi Husam seorang yang ego dan bercita-cita tinggi. Dia memerlukan masa untuk duduk hanya sebagai wakil rakyat dalam Dewan Negeri.

Justeru itu sikapnya yang tidak menghadirkan diri pada upacara angkat sumpah sebagai wakil rakyat dan acara-acara rasmi kerajaan negeri boleh difahami. Dia boleh beri apa sahaja alasan tidak hadir. Namun hakikatnya, kalau dia hadir sekali pun kedudukannya dari sudut protokol ialah berada di sudut-sudut tepi atau belakang lain-lain kenamaan.

Semua orang mengira Husam adalah seorang yang cerdik dan banyak idea. Malah lebih cerdik dari MB Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Nik Amar Nik Abdullah. Oleh kerana dia terlampau cerdiklah banyak pihak menggelarnya sebagai Husam Pantalon dan Husam Batu Nisan. Banyak projek ideanya tidak menjadi dan hanya tinggal batu nisan dan batu asas.

Secara kebetulan pula nasib Husam kini terjadi setelah Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatan sebagai MB. Ada orang berpendapat cerdik dan kepintaran Husam selama ini kerana Nik Aziz banyak memberi peluang padanya dalam urusan pentadbiran negeri.

Nik Aziz pula diketahui tidak begitu cekap dalam masalah pentadbiran dan urusan kewangan serta ekonomi negeri. Justeru orang tua itu telah menyerahkan bulat-bulat pada Husam yang telah menjadi Setiausaha Politiknya sejak 1990 lagi.

Dan Husam telah menggunakan kesempatan itu sepenuhnya dengan menunjukkan kebolehannya. Nik Aziz menaruh kepercayaan pada Husam bukan atas faktor dia mempunyai kebolehan luar biasa tetapi lebih pada hubungannya yang rapat dan mahu memberi peluang padanya menjadi pemimpin masa depan.

Selama Husam menjadi orang kanan Nik Aziz, TMB ketika itu Datuk Ahmad Yakob dan beberapa pemimpin negeri lain tidak menonjol dan tenggelam dek publisiti meluas terhadap Husam. Sabit sahaja pentadbiran kerajaan negeri, semuanya Husam dan segalanya Husam !

Apakah perasaan Ahmad Yakob dan Nik Amar ketika itu ? Apakah Nik Aziz berlaku adil pada mereka ? Tidakkah layanan istimewa Nik Aziz pada Husam telah membuatnya menjadi besar kepala ? Sehingga dia merasakan dirinya sebagai pemimpin besar ?

Selepas PRU13, Husam ibarat ayam kehilangan ibu. Sekiranya selama ini orang menganggap dia seorang yang cerdik kali ini kecerdikannya akan diuji. Terbaru Husam telah mengeluarkan 'fatwa' nya bahawa mereka yang terkorban dalam menjayakan perhimpunan Black 505 akan tergolong dalam mati syahid.

Inilh kecerdikkan Husam sebagai pemimpin dan orang politik selama ini. Yang lebih cerdik ada pemimpin yang sudah tak laku gadai telah menyarankan agar Husam menjadi Presiden Pas menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kononnya dengan Husam sebagai Presiden Pas, parti itu akan menjadi kuat.

Pemimpin yang memberi cadangan itu pun jenis golongan cerdik juga. Kerana terlampau cerdik juga dia kini sudah tidak mempunyai parti. Dia dan Husam adalah 2x5 cerdik. Kalau sesebuah parti itu dipimpin oleh jenis cerdik kedua pemimpin ini, maka tunggulah saat kehancurannya.

Ahad, 2 Jun 2013

Tidak ada calon selain Najib

DI kalangan pro Umno timbul persoalan tentang kredibiliti anggota dan para penasihat Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ada pendapat mengira Najib dikelilingi para penasihatnya yang tidak berkualiti.

Isu ini timbul selepas PRU13 selesai berkaitan dengan keputusan Najib dalam beberapa perkara yang dianggap mengalah dan mundur ke belakang. Memang Najib membuat sebarang keputusan tetapi adakah beliau banyak dipengaruhi para penasihatnya ?

Apa pun sudah kedengaran ketidakpuasan hati dengan stail kepimpinan Najib, terutamanya beberapa langkahnya bagi memulihkan imej Barisan Nasional dan kerajaan. Sudah ada yang mengatakan dia lembik dan terlalu mengambil hati kaum Cina yang telah jelas menolak BN.

Sebelum ini gelaran lembik diberikan pada Tun Abdullah Badawi sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan pada 2009. Pak Lah juga banyak dikaitkan dengan kelemahan para penasihatnya yang mengakibatkan tsunami politik 2008.

Pernah seorang menteri dalam kabinet Pak Lah iaitu bekas Presiden Gerakan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik menggesa agar semua penasihat Pak Lah dipecat ekoran kelemahan mereka sehingga BN hilang majoriti dua pertiga pada PRU12, 2008. Lim menyatakan pandanganya secara terbuka dalam media.

Nampaknya masalah yang dihadapi Pak Lah berjangkit pula pada Najib kali ini. Sehinggakan ada suara nakal mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Najib sebagai Presiden Umno dan menjadi Perdana Menteri ke 7 !

Ini membayangkan betapa kecewanya mereka dengan tahap prestasi Najib sebagai pemimpin. Sudah terbukti selepas Dr Mahathir bersara pada 2003 pencapaian Umno dan kerajaan mulai merosot. Pak Lah dan Najib gagal meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang dirintis Dr Mahathir selama 22 tahun.

Dalam konteks politik pembangkang ia anggap sebagai "Mahathirisme". Ianya adalah sesuatu yang menakutkan pembangkang. Stail kepimpinan Dr Mahathir dikira zalim dan tertutup. Parti pembangkang tidak punya ruang seperti yang dinikmati semasa Pak Lah dan diteruskan Najib.

Kononnya kerajaan lebih terbuka dan demokratik di era Pak Lah dan Najib berbanding semasa Dr Mahathir. Akta ISA dan segala undang-undang yang dikira kejam dimansuhkan. Sekarang apa kesudahannya ? Parti pembangkang seperti ibarat beri betis nak buntut !

Justeru itulah para pendokong pro Umno mulai pertikai Najib yang kelihatan tidak tegas dan banyak gostan dalam menghadapi pembangkang dan para pengundi kaum Cina. Mereka mahu Najib lebih tegas dan berani mengambil langkah dan fokus pada Umno serta bangsa melayu yang telah memberi sokongan besar padanya di PRU13 lalu.

Mahathirisme adalah sesuatu yang menakutkan pembangkang jika ia berulang. Ia tidak menguntungkan politik pembangkang dan adalah satu malapetaka. Namun bagi para penyokong Umno terhakisnya Mahathirisme selama ini bermula sejak 2003, pimpinan Umno dan kerajaan ibarat seperti pondan.

Tetapi seperti yang disuarakan Dr Mahathir baru-baru ini, Umno tidak ada pilihan dan alternatif. Tidak nampak siapa calon selain Najib !


Sabtu, 1 Jun 2013

Anwar patut salahkan diri sendiri

DR MAHATHIR MOHAMAD pernah mengakui antara kesilapannya terbesar sepanjang karier politiknya adalah memilih Anwar Ibrahim sebagai calon penggantinya. Sejak mula Anwar masuk Umno dan terus bertanding jawatan Ketua Pemuda menewaskan penyandang jawatan Datuk Hj.Suhaimi Kamarudin dengan majoriti 10 undi - adalah hasil sokongan Dr Mahathir.

Selepas kejayaan itu Anwar yang baru setahun jagung menjadi ahli Umno terus meluncur seperti roket mendaki tangga hieraki pimpinan parti hingga Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden.
Hari bersejarah Anwar masuk Umno

Dalam kabinet kerajaan beliau terus diberi tempat bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan kemuncaknya Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Semua itu berlaku di atas kehendak dan kuasa Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Dan ini adalah beberapa faktor Tun Musa Hitam ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, dari awal lagi meletakkan jawatan kerana tersinggung dengan sikap Dr Mahathir mempersiapkan Anwar sebagai calon penggantinya.

Begitu juga selepas Tun Musa letak jawatan dan Allahyarham Tun Ghafar Baba mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir terus melayan Anwar seperti anak emasnya. Sehingga sampai ke satu tahap Anwar kelihatan lebih berkuasa dan lebih berpengaruh dari Tun Ghafar.

Keadaan menjadi bertambah rumit dan samar-samar bila Dr Mahathir sendiri tidak pernah memberi sebarang petunjuk yang beliau mahu Tun Ghafar sebagai penggantinya. Apatah lagi faktor usia Tun Ghafar dengannya adalah lebih kurang sama. Khabar angin bertiup kencang ketika itu bahawa Tun Ghafar adalah TPM sementara.

Berdasarkan perkembangan itulah dan ditambah dengan strategi licik Anwar di seluruh Bahagian Umno negeri melancarkan gerak menjatuhkan Tun Ghafar. Lebih buruk lagi Dr Mahathir bersikap mendiamkan diri dan tidak menyatakan pendiriannya secara terbuka. Dr Mahathir tidak menyatakan sokongannya terhadap Tun Ghafar dan dalam masa yang sama beliau tidak pun menghalang Anwar dari mencabar Tun Ghafar.

Alasan yang pernah diberikan Dr Mahathir dalam situasi itu ialah beliau tidak dapat menghalang kemahuan majoriti ahli Umno.

Demikianlah sikap dan pendirian Dr Mahathir terhadap Anwar yang dianggapnya sebagai pemimpin yang mempunyai imej Islam dan warak. Dan tentulah baginya hanya Anwar satu-satunya calon Perdana Menteri selepasnya.

Harapan dan kepercayaan Dr Mahathir terhadap Anwar terlalu tinggi sehingga beliau sanggup mengenepikan sahabat dan rakan setianya, Tan Sri Sanusi Junid yang tidak sebulu dengan Anwar. Ertinya, beliau lebih percaya pada Anwar dari Sanusi.

Sanusi yang dibantu Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menjelajah ke seluruh Bahagian Umno berkempen menentang hasrat Anwar mencabar Tun Ghafar. Namun gagal dek tidak termampu melawan gelombang Anwar ketika itu yang begitu kencang.

Tetapi dengan sokongan dan kepercayaan Dr Mahathir terhadap Anwar sebegitu rupa tetapi akhirnya Anwar gagal juga menjadi Perdana Menteri. Anwar gagal bukan kerana Dr Mahathir atau lain-lain faktor yang sering diluahkannya.

Anwar gagal berpunca dari dirinya sendiri. Bukan kerana konspirasi atau fitnah. Bukan kerana Mahathir zalim dan sebagainya. Dan juga bukan kerana kerajaan korup dan mengamalkan nepostism.

Laluannya ke kerusi Perdana Menteri terbentang luas ketika Dr Mahathir sudah bersiap mengundurkan diri. Tetapi Anwar telah mensia-siakannya dengan tindakan gopoh dan tidak sabar untuk mengambil alih kuasa dengan merancang secara teratur bagi menjatuhkan Dr Mahathir.

Selain masalah peribadinya dan rancangannya untuk menumbangkan Dr Mahathir itulah menjadi penyebab utama beliau tersingkir dari Umno dan kerajaan. Dr Mahathir seolah baru tersedar selama ini bahawa beliau tersalah pilih dan Anwar bukan calon yang sesuai sebagai penggantinya.

Kini Anwar terus mengidam kerusi Perdana Menteri yang terlepas dari tangannya 15 tahun dahulu. Seperti kata Tun Daim Zainuddin, Anwar akan terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri hingga ke saat kematiannya.

Kegagalannya menjadi Perdana Menteri bukanlah disebabkan orang lain tetapi berpunca dari dirinya sendiri.