Isnin, 26 Mac 2012

Mangsa peperangan

Demi sebuah kebebasan

INILAH gambaran yang dapat dilihat di negara-negara Arab yang sedang dan telah bergolak yang telah menumbangkan sebahagian besar rejim berkuku besi. Dari Tunisia, Mesir, Libya, Yemen dan kini Syria; rakyat terbanyak terus berjuang menuntut kebebasan dan hak.

Semuanya perlu dibayar dengan harga yang mahal; tempat kediaman musnah, kemudahan asas dan pasarana hancur sama sekali sehingga menjejaskan kehidupan seharian. Lebih malang bukan sedikit menjadi mangsa serangan bom hingga menjadi cacat anggota badan seumur hidup.

Di Libya ada laporan menyatakan sebilangan rakyat yang menjadi mangsa perang dengan menjadi cacat tidak diberi perhatian sewajarnya dari pihak pemerintah yang baru mengambilalih. Ini tidak menghairankan kerana kerajaan yang baru masih lagi dalam kelam kabut dan ketidaktentuan.

Rumah dan bangunan milik mereka menjadi mangsa serangan jet-jet pejuang NATO. Sedangkan rumah-rumah mereka dibina berpuluh tahun dahulu. Kini mereka menuntut pampasan dari pihak yang bertanggungjawab di atas kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Berjuang dan menuntut kebebasan rupa-rupanya perlu dibayar dengan harga yang mahal. Bahkan lebih malang setelah rejim kuku besi tumbang kehidupan rakyat terus terhimpit dan sengsara. Pertelingkahan dan perselisehan antara puak terus menjadi duri dalam daging.

Piala FA : Suku akhir kedua

Terengganu hadapi tugas berat

ADA empat perlawanan suku akhir kedua Piala FA esok (Selasa) melibatkan lapan pasukan.

Hanya satu perlawanan menjadi tumpuan ramai iaitu pertemuan pasukan Lions XII menentang Terengganu di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Perlawanan pertama Sang Penyu berjaya menewaskan Lions 1-0. Dengan berbekal satu gol apakah Terengganu mampu bertahan dan menyingkirkan pasukan Singa itu seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala FA ?

Laluan tidak akan semudah itu dengan corak permainan Lions XII yang semakin meningkat akhir-akhir ini. Apatah lagi bermain dilaman sendiri. Kelebihan satu gol buat Terengganu tidak memberi sebarang impak besar pada perlawanan itu nanti.

Lions tentunya akan bermain secara menyerang habis-habisan untuk mendapatkan gol awal. Sekiranya Terengganu juga bermain taktik yang sama iaitu menyerang; kelebihan akan berpihak pada pasukan Lions. Oleh itu mereka perlu bermain dengan corak bertahan dan serang balas secara pantas.

Walaupun bermain secara bertahan mempunyai risikonya, Terengganu tidak mempunyai pilihan kerana pasukan Singa itu mempunyai kelebihan dari semua sudut. Dengan harapan penyerang seperti Francis Forkey Doe, Ashaari Mohamad dan Abdul Hadi mampu mencuri peluang dan tidak mensia-siakan bola yang terhidang dalam kotak penalti lawan.

Peluang adalah 50-50 buat kedua pasukan. Tetapi kelebihan masih ada pada Lions XII. Terengganu pula ini adalah misi hidup dan mati dalam mempertahankan kejuaraannya yang dimenangi tahun lepas.

Ahad, 25 Mac 2012

Profesor Diraja Ungku Aziz

Disiplin dalam pemakanan
MINGGUAN MALAYSIA telah mengadakan wawancara dengan Prof. Diraja Ungku Aziz sebanyak dua kali sebagaimana tersiar pada 19 Februari dan 18 Mac 2012.

Antara kandungan menarik cerita tentang Pak Ungku yang kini sudah pun menjangkau usia 90 tahun ialah betapa beliau masih cergas dan terus aktif menulis, membaca dan berfikir.

Tidak ramai orang yang seusia dengannya masih mampu menulis dan berfikir secara analitikal. Semuanya hasil dari tabiat dan disiplin dalam hidupnya dari soal makanan dan amalan kehidupan seharian.

Pak Ungku masih sihat dan kalau ada masalah cuma pendengarannya sahaja yang kurang. Ini adalah sesuai dengan keadaan usianya yang hampir seabad. Tidak ada masalah jantung atau kencing manis yang menjadi penyakit popular bagi yang lanjut usia.

Disiplinnya dalam soal makan dengan tidak pernah menjamah nasi lemak dan roti canai; makanan hampir wajib bagi kebanyakan rakyat negara ini adalah sesuatu yang sukar dilakukan ramai orang. Amalannya memakan bawang besar dan bawang putih secara mentah setiap hari banyak membantu meningkatkan tahap kesihatannya.

Adalah sesuatu yang menginsafkan sebagai orang yang berusia 90 tahun masih boleh menulis, membaca dan berfikir secara jelas dan tajam lebih-lebih lagi bebas dari segala penyakit zaman moden ini. Ini semua adalah dari ilmu pengetahuannya yang tinggi serta disiplin yang diamalkan dalam kehidupannya.

Orang-orang muda dan tua patut sekali menjadikan Pak Ungku sebagai ikon dan contoh dalam mengurus dan menjalani kehidupan seharian. Nilai-nilai positif dan amalan mendisiplinkan diri adalah sesuatu yang sukar diamalkan jika tidak bersungguh-sungguh dan konsisten.

Jumaat, 23 Mac 2012

Keajaiban Lionel Messi

Dengan jumlah jaringan gol sebanyak 234 Lionel Messi merupakan penjaring gol terbanyak dalam sejarah Liga Sepanyol.

Apakah Messi sebuah mesin atau datang dari planet lain ?

Kehebatannya penuh dengan keajaiban.

Catatan Tengah Malam

Lakaran dari Glenn McCoy...

Keratan akhbar

Kepentingan bahasa Inggeris


INI adalah keratan akhbar yang dipetik dari arkib perpustakaan Universiti Malaya. Rencana ini disiarkan dalam akhbar Watan, Ogos 1983. Ketika rencana ini ditulis saya berusia 21 tahun. Saya menyiapkannya dengan menggunakan mesin taip. Oleh kerana keratannya yang asal telah hilang dari simpanan, maka saya arkibkannya dalam blog ini sebagai kenangan.

Tan Sri Mazlan Nordin

Tokoh wartawan disegani

NEGARA kehilangan seorang wartawan veteran dan orang lama dalam dunia kewartawanan dan suratkhabar tanahair. Mazlan Nordin, 87 telah pun kembali ke rahmatullah dikediamannya.

Sepanjang hayatnya tidak ada pekerjaan lain yang diceburinya melainkan menulis dan dunia akhbar. Bermula sebagai pemberita pada tahun 50an di Utusan Melayu sehinggalah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang.

Selepas bersara sebagai Ketua Pengarang beliau terus berada di Utusan sebagai Pengarah Urusannya dari 1983 hingga 1987. Sebagai bekas wartawan beliau telah memenangi berbagai anugerah sepanjang penglibatan beliau dalam dunia persuratkhabaran. Antaranya, terpilih sebagai Tokoh Wartawan Negara oleh Institut Akhbar Malaysia pada 2001.

Dalam bidang penulisan Tan Sri Mazlan mempunyai kelebihan menulis dalam media berbahasa Inggeris. Beliau pernah menjadi kolumnis tetap The Sun, New Straits Times dan majalah Asiaweek.

Tugasnya paling kemuncak ialah sebagai penulis pojok dalam Utusan dan Mingguan di ruangan Awang Selamat dari tahun 70an hingga 80an. Beliau terus menulis di halaman Awang Selamat sehinggalah diambilalih oleh penggantinya Zainuddin Maidin.

Beliau terus menulis hingga ke akhir hayatnya melalui kolum tetapnya setiap Ahad di Mingguan Malaysia, disamping menjadi Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bahan penulisan dan isu yang sering digarapnya adalah bercorak sederhana; menggambarkan watak peribadinya yang sebenar.

Al Fatihah.

Khamis, 22 Mac 2012

Keputusan SPM

Antara kejayaan dan tidak putus asa

KEPUTUSAN SPM telah pun keluar dan keseluruhannya lebih baik dari tahun lepas.

Seperti biasa dalam dunia IT yang serba canggih ini para pelajar sekarang lebih pintar berbanding dengan suasana belajar 20 atau 30 tahun dahulu.

Sekarang para pelajar mendapat 10A atau 8A berlambak hingga boleh mencapai angka puluh dan ratus dalam sesebuah sekolah. Dapat banyak A sekarang ibarat "kacang".

Bagi mereka yang berjaya telah memberi kebanggaan dan kepuasan pada ibu bapa dan pelajar sendiri setelah berusaha dengan gigih. Kini mereka akan memasuki fasa baru dengan memasuki dunia universiti dan kolej atau IPTA yang berselerak di seluruh negara.

Kemudahan dan keselesaan untuk melanjutkan pelajaran pula semakin senang dengan berbagai bantuan dari kerajaan seperti biasiswa dan pinjaman Tabung Pendidikan. Segalanya tersedia untuk direbut dan diambil kesempatan manfaatnya.

Namun apa pula nasib dan haluan pada mereka yang gagal mendapat keputusan yang baik. Ada para pelajar yang mendapat markah D atau E dalam subjek tertentu. Ada yang memperolehi A dalam Bahasa Malaysia tetapi Bahasa Inggeris pula tersangkut dan sebagainya.

Ke manakah haluan kelompok pelajar seperti ini ? Sudah tentu perasaan kecewa menyelubungi mereka lebih-lebih lagi ibu bapa yang prihatin tentang masa depan anak-anak. Apakah sudah tidak ada masa depan dan dunia menjadi gelap gulita ?

Tentu sekali tidak. Dunia belum kiamat. Bak kata pepatah Inggeris, " It is not the end of the world". Dalam hal ini peranan ibu bapa penting membimbing dan menunjuk ajar ke jalan yang lebih positif.
Barangkali, anak-anak kita tidak bagus dalam akademik bukan bererti mereka tidak bagus dalam bidang-bidang lain.

Boleh jadi ia seorang yang mempunyai daya kreativiti tinggi dalam bidang seni atau pertukangan atau pembaikian elektronik dan enjin dan berbagai kemahiran yang memerlukan minat yang luarbiasa. Justeru ibubapa perlu memainkan peranan dengan memberi peluang dan menyalurkannya ke dalam bidang-bidang tersebut.

Kejayaan akademik bukan segalanya. Yang penting sikap tidak berputus asa untuk mencapai segala cita-cita dan menjadi manusia yang bermanfaat untuk semua. Banyak terbukti tokoh-tokoh yang berjaya di dalam dan luar negeri mencapai kejayaan dalam kehidupan sedangkan mereka tidak pernah menjejaki ke menara gading.

Kejayaan mereka adalah dari usaha, bakat dan tidak putus asa dalam mengejar impian mereka.

Selasa, 20 Mac 2012

Rafidah Aziz

Tidak akan bertanding pilihanraya

TAN SRI RAFIDAH AZIZ menyatakan beliau tidak akan menjadi calon dalam PRU 13 ini. Sebaliknya beliau ingin memberi peluang kepada calon yang lebih muda.

Sebagai bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Menteri Perdagangan dan Industri, beliau akan terus membantu dan memberi sumbangan pada negara menerusi peranan yang diberikan diluar kerajaan.

Ketokohan dan kepetahannya berhujah di forum-forum antarabangsa memang cukup dikenali negara serantau dan dunia. Beliau pernah digelar sebagai "wanita besi" dari pengamal media antarabangsa.

Semasa menjadi anggota kabinet Dr.Mahathir Mohamad, Rafidah pernah bertikam lidah dengan bekas Setiausaha Negara Amerika, Madeleine Albright dalam satu forum antarabangsa di Kuala Lumpur. Hujah dan pidatonya sering mendapat perhatian lebih-lebih lagi caranya yang spontan dan tajam.

Tan Sri Rafidah boleh dianggap sebagai pemimpin wanita melayu pertama yang lebih menonjol karismatiknya berbanding pemimpin wanita sebelum dan selepasnya. Malah dalam bidang ekonomi, dalam keadaan tertentu beliau kelihatan lebih luas pengetahuannya berbanding menteri-menteri lelaki lain.

Dalam sejarah negara hanya beliau Ketua Wanita yang diberi tugas sebagai Menteri Perdagangan dan Industri - satu portfolio yang dianggap penting dan kanan dalam kabinet. Lain-lain pemimpin wanita sebelum dan selepasnya diberi peranan menjaga hal ehwal wanita dan kebajikan sahaja.

Sebagai bekas pensyarah ekonomi di Universiti Malaya - sebelum menceburi politik - pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah salah seorang pelajar yang mengikuti kuliahnya.

Bekas-bekas Ketua Wanita UMNO dari Tan Sri Fatimah, Tan Sri Aishah Ghani, Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; kesemuanya mempunyai sejarah dan sumbangannya yang tersendiri. Rafidah lebih menonjol.

Isnin, 19 Mac 2012

Musim terburuk

Manchester United : Mesti memenangi Liga EPL

RED DEVILS berpesta gol dengan menewaskan Wolves 5-0 bagi mengukuhkan kedudukannya dalam carta Liga dengan diikuti rapat Manchester City.

Tidak ada apa lagi gelaran yang perlu dikejar setakat ini melainkan Liga domestik setelah ia tersingkir dalam semua kejuaraan musim ini.

Dari Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga; semuanya United telah disingkirkan diperingkat awal. Kini hanya tinggal peluang menjadi juara dan pendahulu Liga EPL.

Sekiranya harapan ini juga gagal, maka musim ini adalah yang terburuk pernah dialami United - tanpa sebarang trofi.

Pasukan yang mampu menghalang hasrat United ini ialah jirannya terdekat Manchester City dengan perbezaan empat mata. Apa sahaja boleh berlaku dipenghujung Liga dan kedudukan United belum terjamin.

Walau apa pun kesudahannya yang pasti kedudukan Sir Alex Ferguson sebagai Pengurus tidak akan terjejas. Ferguson terlalu kuat dan berpengaruh di Old Trafford dan akan terus kekal di situ untuk beberapa tahun lagi.