Khamis, 23 Februari 2012

The Life in the Writing




Syed Hussein Alatas :
Seorang Sarjana dan penulis

THE LIFE IN THE WRITING - adalah
sebuah biografi pertama pernah dihasilkan
tentang seorang sarjana, penulis, intelektual,
politikus, sosiologis, pemikir dan guru yang
disegani dalam dunia ilmuan tanahair.

Beliau ialah Prof. Dr. Syed Hussein Alatas
(1928-2007). Prof. juga adalah abang kepada
seorang lagi Sarjana tersohor dan pengasas
ISTAC - Dr. Muhammad Naquib Alatas.

Buku ini lebih fokus tentang kehidupannya
sebagai seorang penulis - karyanya serta segala
berkait dengan dunia penulisannya. Ianya sebuah
naratif yang ringkas dan jelas.

Apatah lagi ianya ditulis oleh seorang yang cukup
rapat dan melihat segala gerak gerinya secara lebih
dekat dengan panggilan "abah".

Masturah Alatas ialah anak bongsu Prof. Syed Hussein,
bekas seorang jurnalis dan kini mengajar bahasa
Inggeris di Universiti Macerata, Itali. Beliau berhijrah
ke Rome pada 1992 mengikuti suaminya.

Masturah adalah pengarang buku "The Girl Who made it Snow in Singapore" dan beberapa cerita
pendek dalam bahasa Itali. Dan dia menjadi penulis Malaysia pertama menulis dan menerbit buku
dalam bahasa tersebut. Menurut Masturah, abahnya banyak mempengaruhi serta menjadi ikon dan
idola baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

Dalam buku ini diceritakan bagaimana abahnya menghasilkan tulisan atau karyanya dengan tulisan
tangan (longhand). Selepas selesai menulis tangan dia akan mengarahkan seseorang untuk menaip
untuknya. Kadang-kadang bila beliau menulis artikel untuk akhbar, beliau akan faks deraf tulisan
tangannya itu pada syarikat akhbar berkenaan.

Orang yang menaip dan akhbar yang menerima tulisannya itu tidak pernah komplen kerana tulisan
Prof. Syed Hussein sentiasa jelas dan bersih serta mudah dibaca. Cerita Masturah lagi, abahnya
bukan tidak pandai menaip, namun beliau lebih senang menulis dengan tangan. Mengenai penggunaan
komputer pula, Prof itu tidak menguasainya, walaupun ia memberi kelebihan padanya.

Di muka surat 49 dalam buku ini mengisahkan Prof. adalah orang pertama menghasilkan buku
bagi menyanggah dan mengkritik buku "The Malay Dilemma" karangan Dr. Mahathir Mohamad.
Buku tersebut telah diulang cetak sebanyak tiga kali dalam masa tiga tahun. Buku itu berjudul
"Siapa Yang Salah ?".

Dan tentunya bukunya yang paling berpengaruh dan popular ialah "The Myth Of The Lazy Native"
yang diterbitkan pada 1977. Sepuluh tahun kemudian buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia. Pada 1992 baru ia diterbitkan dalam bahasa Malaysia.

The Life in the Writing diterbitkan oleh Marshall Cavendish, mengandungi 152 halaman.







                                                    


ISU DEBAT



KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh
mahukan perdebatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam waktu terdekat ini.

Seperti biasa dikalangan parti pembangkang menyokong penuh cadangan ini
dan inginkan ianya diadakan secepat mungkin. Bagi sesetengah pihak kerajaan
dan para ahli akademik pula tidak nampak keperluan dan kepentingannya.

Sekiranya debat ini menjadi kenyataan maka pihak pembangkang akan memperolehi
keuntungan dari segi politik dan publisiti. Najib dan kerajaan tidak akan dapat
apa-apa kelebihan.

Dalam perdebatan itu apakah yang mampu dihurai dan dijelaskan Najib dalam
masa yang terhad dan singkat ?  Anwar sebagai seorang yang cekap berpidato
tentunya mampu memutarbelit dan memanipulasi isu-isu untuk kepentingan diri
dan partinya.

Peluang debat seperti ini memang dinantikan Anwar kerana ia akan mendapat 
siaran yang meluas dan ini akan digunakan untuk memperbaiki imejnya yang terjejas
teruk.

Apa yang menarik lagi dengan perkembangan ini ialah Presiden Perkasa, Ibrahim Ali,
juga mahu tumpang sekaki dengan mencabar Anwar agar berdebat dengannya.
Menurut Ibrahim, Anwar tidak layak berdebat dengan PM lantaran isu-isu moral
yang menyelubungi dirinya.

Nampaknya, PM Najib tidak perlulah ambil pusing dengan isu debat ini kerana pada
tahun lepas Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri telah menolak cabaran berdebat dari
bekas anggota Dewan Ulama PAS Pusat, Prof. Madya Mohd Noor Deris dalam isu
kerjasama PAS dan DAP dari sudut Islam.

Mohd Noor Deris yang kini ahli UMNO telah mempertikai sikap dan pendirian Nik Aziz
yang lebih rela bekerjasama dengan DAP dari UMNO yang seagama. Nik Aziz telah
menolak cabaran debat itu di atas alasan Mohd Noor tidak mewakili pihak yang
menjalankan dasar parti. Ertinya, bagi Nik Aziz; Mohd Noor tidak setaraf dengannya.

Jadi, kalau Nik Aziz boleh menolak cabaran itu dengan alasan lawannya tidak setaraf,
maka Najib juga boleh memberi alasan yang sama dalam isu debat yang sedang hangat ini.






Rabu, 22 Februari 2012

Syria kian memuncak


SUASANA di Damsyik terus bergolak
dan pertempuran tentera Syria dengan
penunjuk perasaan semakin sengit. Jumlah
korban terus meningkat setiap hari.

Presiden Bashar Al Assad tidak menunjukkan
bahawa beliau akan bertolak ansur dan
berlembut dengan para penentangnya.

Bashar berulangkali menegaskan ada
unsur campurtangan asing yang cuba
memporak-perandakan negaranya.

Beliau juga berikrar akan melakukan
perubahan dan mengadakan pilihanraya
bagi memenuhi tuntutan para penunjuk
perasaan.

Syria adalah salah sebuah negara yang
cukup penting dari sudut politik di Timur
Tengah. Ia juga merupakan antara negara Arab yang mempunyai kekuatan dari segi ketenteraan
dan dicemburui rejim Israel.

Hubungan akrabnya dengan Hizbollah dan pengaruhnya di Lubnan tidak menyenangkan Amerika
dan sekutunya Israel. Selagi Bashar berkuasa ia tetap akan menjadi duri dalam daging dalam
percaturan politik Asia Barat. Apatah lagi Syria mempunyai hubungan erat dengan Iran; sebuah
lagi negara Islam yang menjadi ancaman pada Barat, terutamanya rejim Yahudi.

Kenyataan terbaru dari Washington bahawa Amerika akan mempertimbangkan kemungkinan
membantu dan mengirim senjata pada puak penentang kerajaan Bashar bagi menggulingkannya;
terbukti jelas sebagaimana tuduhan Damsyik itu.

Selain Iran, Syria adalah satu kuasa yang dibimbangi Israel tentang keselamatannya. Dengan
suasana bergolak berterusan di negara itu sekurang-kurangnya ia akan melemahkan sedikit
kekuatan Syria yang sedia ada. Bila Syria dalam keadaan lemah, ini tentunya akan melegakan
Israel dan ia hanya perlu menumpukan pada Iran; yang dituduhnya sedang membangun senjata
nuklear.

Iran yang kini menghadapi berbagai sekatan dan bersendirian hanya menunggu masa menjadi
lemah dan tidak berdaya. Syria tidak mungkin pulih seperti biasa dalam masa terdekat. Giliran
Iran pula menerima nasib yang sama seperti negara-negara Arab lainnya.

Mampukah Iran bertahan dan terus menjadi ancaman pada Barat ?

Isnin, 20 Februari 2012




Tagline Tok Guru Nik Aziz


" AMBO TAK TAHU "



"ITU DIA PUNYA PASAL "



Musim Anti Israel


POLITIK negara kini didominasi
dengan isu Israel.

Isu ini akan menjadi bahan yang
cukup menarik bagi parti politik
meraih undi menjelang PRU 13
yang hampir beberapa "meter"
sahaja lagi.

Dalam dunia ini siapakah yang
boleh memisahkan dengan pengaruh
Yahudi itu ?

Dari tempat kediaman kita hinggalah penggunaan segala kelengkapan hidup manusia moden;
semuanya ada kaitan dengan pengaruh dan unsur bangsa yang menganggap mereka sebagai
bangsa terpilih oleh Tuhan.

Lakaran kartun di atas adalah hasil karya kartunis dari Brazil, Carlos Latuff; seorang
kartunis yang bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui lukisan-
lukisannya.

"Israel No Criticism Allowed" memberi seribu tafsiran.

Khamis, 16 Februari 2012

Dr. Mahathir sebagai "jurujual" terhebat

DR.MAHATHIR Mohamad adalah antara pemimpin melayu yang terkemuka di dunia.
Beliau disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Selepas bersara beliau terus
diikhtiraf dari negara-negara luar di atas ketokohan dan sumbangannya sepanjang 22
tahun menerajui negara.

Penganugerahan Ijazah Kedoktoran dan undangan berucap di forum-forum antarabangsa
memperlihatkan kualiti beliau sebagai seorang negarawan - walaupun ada segelintir
orang-orang melayu mencemuh dan memusuhinya.

"Melayu mudah lupa" adalah antara sebutan keramat yang sering diperkatakan semua
orang. Apakah orang melayu sudah lupa ? Memang sukar untuk menafikan kepesatan
dan kemajuan negara yang dicapai hingga kini sekiranya tidak dikaitkan dengan peranan
dan misi Dr. Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri pada 1981 hingga 2003.

Lihat sahaja Putrajaya; sebagai satu projek dari ilhamnya dan sebagai pengasas pusat
pentadbiran moden yang menjadi lambang kemegahan negara. Kini Putrajaya menjadi
idaman parti pembangkang sehingga sanggup mengorbankan idealisme mereka semata-mata
ingin menawannya dalam pilihanraya umum. Sedangkan pada 1990an parti pembangkang
beria-ria untuk melelong Putrajaya jika mereka berkuasa kerana menganggapnya sebagai
satu projek Mahathir yang membazir wang rakyat.

Seorang penulis dari barat, Gerry Robert telah menulis satu rencana bertajuk "Learning
to sell like Dr.Mahathir" yang pernah disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada
28 Mac 1995, telah menulis dengan panjang lebar tentang kekagumannya terhadap ciri-ciri
dan kualiti yang ada pada Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin yang ada misi terhadap
bangsanya.

Beliau menganggap Dr.Mahathir sebagai seorang "jurujual terbaik" yang perlu dipelajari
semua jurujual yang ingin memperolehi kemahiran dalam bidang ini. Jurujual di sini bukanlah
bermaksud "jurujual" per se dan ditulis di kad perniagaan, tetapi ilmu kemahiran yang perlu
dipelajari tentang cara menjual.

Dr. Ken Blanchard, pengarang "The One Minute Manager" yang pernah bertemu dengan
Dr. Mahathir menyatakan beliau dapat banyak pengajaran semasa bertemu dengannya dan
menganggapnya sebagai jurujual terbaik pernah beliau kaji - walaupun Dr. Mahathir tidak
pernah menganggap dirinya sebagai seorang jurujual.

Gerry Robert dalam rencana itu lagi menulis bahawa beliau kagum dengan ciri-ciri dan tabiat
yang ada pada Dr. Mahathir dengan mencipta kualiti yang ada padanya berdasarkan akronim
namanya: 

M - Mission oriented (berorientasikan misi)
A - Achievers attitude (sikap seorang berjaya)
H - Heart (hati)
A - Advertise (mengiklankan)
T - Tenacity (ketabahan)
H - Healthy lifestyle (gaya hidup sihat)
I  -  Integrity  (integriti)
R - Results (hasil)

Orang barat dan luar lebih menghargai negarawan kita ini dari bangsanya sendiri.







Rabu, 15 Februari 2012

Masalah ibarat kopi pahit

USTAZ Badli Shah Alauddin, pendakwah dan
penceramah agama terkenal sehari dua ini ada
menyampaikan tazkirah pagi yang cukup menarik
dalam siaran radio IKIM.

Antara bahan ceramahnya berkisar tentang manusia
dan masalah. Semua manusia yang hidup pasti menghadapi
dan mempunyai berbagai masalah dalam mengharungi
kehidupan.

Ada masalah besar dan masalah kecil. Ada yang
berjaya mengatasinya dan tidak kurang juga yang
berputus asa dan kecewa dalam menempuhnya.

Bagaimana kita menguruskan masalah ? Kata Ustaz Badli,
masalah boleh diibaratkan seperti kopi pahit. Bila kita
membancuh kopi dalam cawan tentunya akan merasakan
kepahitan kopi.

Tetapi sekiranya kopi pahit yang kita bancuh itu dituangkan
ke dalam telaga; sudah tentu kepahitannya tidak ada lagi. Begitulah ibaratnya masalah yang di
hadapi dan dipikul oleh manusia. Ertinya, setiap manusia perlu menghadapi setiap masalah
dalam ruang lingkup yang lebih luas.

Kita tidak boleh memperbesarkan masalah. Kita harus berlapang dada dan mempunyai hati yang
berjiwa besar. Yang lebih penting kita perlu bersikap besar dari masalah itu sendiri.

Dia memberi contoh lagi; bila kita berada di dalam bilik air dan melihat seekor katak, sudah
tentu kita tidak selesa dan terganggu. Tetapi sekiranya katak itu berada di tempat yang luas dan
lapang kita tidak akan merasakan apa-apa.

Begitulah umpamanya bila kita berdepan dan menghadapi masalah. Kita perlu berfikir dan
bertindak dalam konteks lebih besar dan luas. Kita tidak boleh mengecilkan dan menyempitkan
diri kita.

Dalam nada sinis, Ustaz Badli menyarankan agar kita mengambil contoh "Ultraman". Semasa
Ultraman menjadi manusia biasa dia tidak dapat melawan raksaksa yang besar itu. Untuk menewaskan
makhluk besar itu dia perlu menjadi Ultraman yang sebesar makhluk ganas itu.

Jadi, bila-bila kita ada masalah besar, maka kita perlu lebih besar dari masalah tersebut. Dan
kalau perlu jadilah seperti Ultraman seperti kata Ustaz Badli tadi. 

Rakyat Bahrain bangkit lagi

PENUNJUK perasaan kembali berarak di bandar Manama, Bahrain menggesa diadakan perubahan terhadap kerajaan Al Khalifa.

Setahun lalu demonstrasi rakyat berjaya dipatahkan kerajaan dengan bantuan tentera dari Arab Saudi dan UAE.

Bahrain yang dipimpin pemerintah bermazhab Sunnah sedangkan majoriti penduduknya adalah Syiah.

Sebahagian besar rakyat dari golongan Syiah tidak berpuas hati di atas layanan kerajaan terhadap keperluan dan tuntutan mereka. Mereka berjuang melalui parti Al Wefaq dalam memperjuangkan nasib golongan mereka.

Suasana di Bahrain menular dari apa yang telah berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria. Dunia kini sedang memerhati sikap Amerika dan sekutunya dalam menangani kemelut kebangkitan rakyat di negara-negara Arab.

Bahrain merupakan sekutu Amerika paling penting dan strategik di Timur Tengah. Dengan bantuan berpuluh juta dollar dan menempatkan pangkalan ketenteraan di situ telah menimbulkan kebimbangan Amerika tentang masa depan Bahrain sebagai sekutunya.

Arab Saudi dan Qatar juga bimbang dengan pengaruh Iran yang kini cuba mengambil kesempatan melebarkan pengaruhnya. Suasana di Bahrain akan menguji sikap Amerika yang begitu vokal dalam menghadapi isu di Syria.

Apakah Amerika akan bersikap "double standard" dalam menghadapi kebangkitan rakyat di Bahrain ?
Apa yang pasti Amerika, Arab Saudi dan Qatar akan berusaha mengekalkan kerajaan Al Khalifa dari tumbang dan diambilalih oleh kerajaan yang pro Iran.

Mereka pasti akan menghalang Iran dari bertapak dan meluaskan pengaruhnya yang kini menjadi ancaman utama pada rejim Israel.

Syria dan Bahrain kini menghadapi masalah yang sama. PBB dan seluruh anggotanya bersepakat mengambil tindakan terhadap Syria. Tetapi apakah mereka akan bertindak sama terhadap Bahrain ?

Isnin, 13 Februari 2012

Roman Abramovich kecewa

ROMAN Abramovich, billionair dan pemilik kelab Chelsea begitu ingin melihat kelab miliknya menjadi sebuah pasukan berjaya di dunia seperti Barcelona dan Real Madrid.

Barca dan Real bukan sahaja pasukan kuat dan disegani, malah antara kelab yang memberi keuntungan pada pemiliknya dari segi saham dan tajaan.

Namun Chelsea kini agak tercicir dalam kedudukan tangga Liga Perdana Inggeris berbanding saingannya seperti Manchester City, United, Tottenham dan Arsenal. Kini ia berada ditangga kelima.

Pencapaian ini adalah antara yang terburuk dalam masa lapan tahun kebelakangan ini. Dan dalam masa yang sama lapan tahun dengan lapan pengurus silih berganti adalah suatu rekod yang mengecewakan.

Dari Claudio Raneiri, Mourinho, Avam Grant, Guus Hiddink, Carlo Anceloti, Philip Scolari dan kini Andre Villas Boas - Chelsea tidak mencatat kejayaan besar. Cuma semasa Jose Mourinho, Chelsea berjaya memenangi Juara Liga EPL dan sering berada di kedudukan dua pasukan teratas.

Hanya dibawah Mourinho pasukan Chelsea kelihatan memberi saingan dan cemerlang. Lain-lain pengurus tidak banyak membawa kejayaan. Dan buat masa ini Villas Boas sedang bergelut dengan prestasi pasukannya, lebih-lebih lagi kekalahannya yang terbaru pada Everton 0-2.

Sudah timbul cerita bahawa kedudukan Boas sebagai pengurus kini dalam bahaya; kemungkinan dipecat. Sekiranya ia benar maka sungguh malang nasib kelab ini untuk kesekian kalinya. Ada juga berita tidak rasmi menyatakan bahawa Mourinho akan kembali ke Stamford Bridge.

Apa yang tidak terjawab hingga kini ialah mengapa Mourinho meninggalkan Chelsea dahulu ? Apakah beliau dipecat oleh Abramovich ? Jika benar ia dipecat, maka Abramovich telah melakukan kesilapan besar dan turut bertanggungjawab dengan nasib Chelsea yang merudum.

Nampaknya, hanya Mourinho sahaja calon pengurus yang mampu dan berwibawa untuk membawa Chelsea ke arah kejayaan sebagaimana beliau lakukan di Inter Millan dan Real Madrid. Real kini berada ditangga teratas LA Liga mengatasi Barcelona dengan beza 10 mata; satu kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelum Mourinho menjadi pengurusnya.

Abramovich tidak punya banyak pilihan jika ia mahu menggantikan Villas Boas.





Ahad, 12 Februari 2012

Obinna Nwaneri buktikan

PEMAIN import Kelantan yang baru diambil -
Obinna Nwaneri dari Nigeria telah menunjukkan
permainan yang berkesan semasa menentang Sang
Penyu di Kota Bharu semalam.

The Red Warriors menang 2-1. Obinna yang bermain
di bahagian pertahanan telah berjaya mengekang
penyerang pasukan Trengganu, terutamanya pemain
importnya yang merbahaya, Francis Forkey Doe.

KAFA telah mengambil Obinna bagi menggantikan
tempat Denny Antwi yang disenaraikan untuk Kejohanan
AFC.

Keputusan mengambil Obinna adalah tepat kerana ia
telah memperkuatkan lagi benteng pertahanan The Red
Warriors sebagaimana telah disaksikan semasa pertemuan
dengan Terengganu itu.

Kehadiran Obinna yang juga bekas pemain kebangsaan
Nigeria telah memberi nafas baru pada pasukan setelah seorang lagi pemain import dari
Lebanon, Mohammad Ghaddar masih belum menemui rentak yang diharapkan.

Lebih malang lagi Ghaddar yang dimasukkan dalam masa lapan minit baki perlawanan
telah gagal menyempurnakan sepakan penalti bila dia dijatuhkan. Saat itu kedudukan
Kelantan sedang mengatasi Terengganu 2-0.

Nampaknya KAFA masih ingin memberi peluang dan menaruh kepercayaan pada Ghaddar
untuk membuktikan kelincahannya sebagai penjaring gol. Setakat ini dia masih lagi kemarau
gol. Dua gol jaringannya setakat ini adalah melalui sepakan penalti.

Lain pula dengan Obinna yang telah berjaya mempamerkan permainan yang berkesan dalam
mengawal penyerang import Terengganu, Forkey Doe yang sememangnya lincah dan digeruni.

Dalam perlawanan tersebut faktor kemenangan Kelantan ialah kejayaan barisan pertahanannya
mengunci segala pergerakkan bahagian serangan Penyu yang dibarisi Ashaari, Abdul Hadi, Manaf
dan terutama Forkey.