Khamis, 23 Februari 2012

The Life in the Writing




Syed Hussein Alatas :
Seorang Sarjana dan penulis

THE LIFE IN THE WRITING - adalah
sebuah biografi pertama pernah dihasilkan
tentang seorang sarjana, penulis, intelektual,
politikus, sosiologis, pemikir dan guru yang
disegani dalam dunia ilmuan tanahair.

Beliau ialah Prof. Dr. Syed Hussein Alatas
(1928-2007). Prof. juga adalah abang kepada
seorang lagi Sarjana tersohor dan pengasas
ISTAC - Dr. Muhammad Naquib Alatas.

Buku ini lebih fokus tentang kehidupannya
sebagai seorang penulis - karyanya serta segala
berkait dengan dunia penulisannya. Ianya sebuah
naratif yang ringkas dan jelas.

Apatah lagi ianya ditulis oleh seorang yang cukup
rapat dan melihat segala gerak gerinya secara lebih
dekat dengan panggilan "abah".

Masturah Alatas ialah anak bongsu Prof. Syed Hussein,
bekas seorang jurnalis dan kini mengajar bahasa
Inggeris di Universiti Macerata, Itali. Beliau berhijrah
ke Rome pada 1992 mengikuti suaminya.

Masturah adalah pengarang buku "The Girl Who made it Snow in Singapore" dan beberapa cerita
pendek dalam bahasa Itali. Dan dia menjadi penulis Malaysia pertama menulis dan menerbit buku
dalam bahasa tersebut. Menurut Masturah, abahnya banyak mempengaruhi serta menjadi ikon dan
idola baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

Dalam buku ini diceritakan bagaimana abahnya menghasilkan tulisan atau karyanya dengan tulisan
tangan (longhand). Selepas selesai menulis tangan dia akan mengarahkan seseorang untuk menaip
untuknya. Kadang-kadang bila beliau menulis artikel untuk akhbar, beliau akan faks deraf tulisan
tangannya itu pada syarikat akhbar berkenaan.

Orang yang menaip dan akhbar yang menerima tulisannya itu tidak pernah komplen kerana tulisan
Prof. Syed Hussein sentiasa jelas dan bersih serta mudah dibaca. Cerita Masturah lagi, abahnya
bukan tidak pandai menaip, namun beliau lebih senang menulis dengan tangan. Mengenai penggunaan
komputer pula, Prof itu tidak menguasainya, walaupun ia memberi kelebihan padanya.

Di muka surat 49 dalam buku ini mengisahkan Prof. adalah orang pertama menghasilkan buku
bagi menyanggah dan mengkritik buku "The Malay Dilemma" karangan Dr. Mahathir Mohamad.
Buku tersebut telah diulang cetak sebanyak tiga kali dalam masa tiga tahun. Buku itu berjudul
"Siapa Yang Salah ?".

Dan tentunya bukunya yang paling berpengaruh dan popular ialah "The Myth Of The Lazy Native"
yang diterbitkan pada 1977. Sepuluh tahun kemudian buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia. Pada 1992 baru ia diterbitkan dalam bahasa Malaysia.

The Life in the Writing diterbitkan oleh Marshall Cavendish, mengandungi 152 halaman.







                                                    


Tiada ulasan:

Catat Ulasan