Dr Mahathir Mohamad, 97 tahun tidak patut dan tidak perlu bertanding lagi dalam Pru 15 ini. Negarawan itu telah menyatakan akan mempertahankan kerusinya di Langkawi.
Dari seorang negarawan yang disegani dan dihormati ketika menjadi PM selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 - kini imejnya semakin tercalar teruk terutamanya kesan dari tempoh 22 bulan beliau menjadi PM kerajaan Pakatan Harapan.
Banyak kesilapan dan kelemahan terlihat sepanjang tempoh 22 bulan tersebut. Salah satunya projek kereta terbang yang membazir dan tidak masuk akal. Dan banyak lagi tindakan dan keputusannya sebagai PM telah mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat pada Pru 14, 2018.
Kesilapan terbesarnya adalah tindakannya meletakkan jawatan sebagai PM secara mengejut dengan tidak berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam PH. Dan ini merupakan satu pengkhianatan pada kerajaan PH yang disertai PKR, Amanah dan DAP.
Dr Mahathir |
Dr Mahathir sepatutnya berbincang dan membantu dalam proses peralihan mencari pengganti.
Namun tindakannya secara mengejut telah membuka ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan mengisi ruang yang telah terbuka hasil pengunduran diri beliau sebagai PM.
Hingga kini tidak ada pemimpin pun yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15.
Ini kerana kredibilitinya sebagai pemimpin telah terjejas teruk kesan sikap dan tindakannya dari mula hinggalah masa beliau meletakkan jawatan sebagai PM kali kedua.
Dr Mahathir kini mengetuai Gerakan Tanah Air seperti seorang pengemis meminta kerjasama dengan Anwar (PKR) dan Muhyiddin (Bersatu) bagi menumbangkan Umno dalam Pru 15. Namun Anwar dan Muhyiddin menolak secara terang tidak akan bekerjasama lagi. Sungguh sedih dan memalukan.
Begitulah teruknya defisit keyakinan orang pada Dr Mahathir.
Apakah Dr Mahathir dengan partinya Pejuang dalam GTA akan memberi impak dalam Pru15 nanti?
Saya lebih cenderung merasakan negarawan itu bersama parti gagasannya akan gagal total. Rakyat tidak akan tertarik untuk memberi sokongan.
Apatah lagi dalam usia 97 tahun ia adalah suatu khayalan dan tidak berpijak pada realiti semasa.
Adalah lebih baik dan terhormat Dr Mahathir tidak lagi terlibat dalam Pru15 ini dan berundur secara terhormat. Agar imejnya sebagai negarawan tidak semakin buruk dan tercalar kesan dari penglibatannya dalam kemelut politik semasa. Cukuplah. Berilah peluang pada generasi muda mengisi kekosongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan