Ahad, 1 November 2015

DAP : Parti Disiplin Dan Kompeten

UMNO dan PAS tidak boleh pandang mudah kenyataan Professor Undang-Undang, Dr Abdul Aziz Bari bahawa kedua parti Melayu itu korup, bermasalah dan tidak berkesan. Menurutnya lagi, parti PKR pun lebih kurang sama.

Dr Aziz Bari adalah antara intelek melayu menyertai parti DAP. Sebelum ini tokoh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said telah pun menyertai parti itu yang majoriti ahlinya kaum Cina.

Dr Aziz Bari, Lim Kit Siang dan Samad Said

Bagi Dr Aziz dan juga Samad Said, penyertaan mereka menjadi ahli DAP kerana tertarik dengan disiplin, kompeten, good governance etc. yang menjadi fokus dan amalan parti itu sekian lama.

Halangan dan masalah terbesar DAP ialah imejnya yang dilihat sebagai sebuah parti cauvinis Cina. Justeru itu Dr Aziz menyarankan agar DAP meningkatkan usahanya untuk menarik lebih ramai kaum melayu menyertai parti itu. Yang paling utama mengikis imejnya sebagai hanya parti memperjuangkan kepentingan kaum Cina.

Tokoh seperti Aziz dan Pak Samad tidak lagi tertarik dengan perjuangan Umno yang dikatakan korup dan perkauman. Begitu juga PAS sebagai parti agama yang bermasalah dan tidak kompeten.

DAP yang menguasai kerajaan Pulau Pinang telah membuktikan ia mampu mentadbir sebuah kerajaan negeri dengan efisien, bersih dari korupsi dan kedudukan kewangannya yang surplus !

Umno dan PAS sebagai parti mewakili orang-orang melayu perlu memperbaiki imej mereka sebagai parti korup dan tidak berkesan pada pandangan seluruh masyarakat dan kaum di negara ini.

Sudah ada tanda-tanda kaum melayu terutama generasi muda mulai bosan dan tidak berminat lagi pada Umno dan PAS. Mereka mempunyai fikiran terbuka dan mulai tertarik dengan prinsip parti DAP yang sentiasa konsisten dalam memperjuangkan anti korupsi, disiplin, good governance etc. etc.

DAP adalah pancaran parti PAP di Singapura yang telah berjaya mentadbir kota Singa itu menjadi sebuah negara yang berdisiplin, maju, bersih dan berjaya dalam banyak bidang walau pun ia adalah sebuah negara kecil tanpa sumber-sumber asli. Hatta bekalan air dan pasir sekali pun.

Sekiranya Umno dan PAS tidak mahu berubah dan masih berdegil dengan tradisi lama pegangan mereka bukan mustahil satu hari DAP akan sampai di Putrajaya.

Namun usaha ini bukan mudah. Ia bergantung pada DAP memperbaiki imejnya dan menarik lebih ramai kaum melayu dengan memperluaskan keahliannya seluruh negara. Dan paling utama ia perlu membuktikan DAP adalah sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan semua kaum. Bukan lagi parti yang digambarkan sebagai parti cauvinis Cina !





Tiada ulasan:

Catat Ulasan