Selasa, 16 Jun 2015

Tanah TRX : Perdana Menteri Flip Flop Lagi ?

PADA awal Mei lalu kecoh bila Tabung Haji membeli sebidang tanah di projek Tun Razak Exchange (TRX) dari syarikat pelaburan kerajaan 1MDB. Harga yang dibeli pula dikatakan lebih 43 kali ganda dari harga yang dibeli 1MDB dari kerajaan pusat.

Apa yang menjadi bertambah kecoh ialah 1MDB kini penuh sarat dengan hutang RM42 billion. Jumlah faedah pinjaman bank yang perlu dibayar kira-kira RM 2 billion setahun. Masalah terbesarnya ialah ia tidak lagi mempunyai aliran tunai atau cash flow dalam menguruskan segala hutangnya.


Perdana Menteri sendiri mengakui memang 1MDB mempunyai masalah. Dan beliau meminta masa sehingga penghujung tahun ini bagi menyelesaikan segala kontroversi melibatkan syarikat itu di mana beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah dan ada kaitan dengan kementerian kewangan yang beliau sebagai menterinya.

Oleh kerana 1MDB ada masalah, pembelian tanah dari Tabung Haji itu dianggap sebagai bail out. Dan ini menimbulkan kemarahan orang ramai apatah lagi dengan harga yang berlipat ganda seolah-olah 1MDB mengaut keuntungan atas angin sahaja. Pun begitu dari penjualan tersebut tidak banyak membantu 1MDB dalam menghadapi masalah kewangan dan segala hutangnya.

Bagi meredakan kemarahan orang ramai Pengerusi Tabung Haji telah mengeluar kenyataan bahawa tanah TRX itu akan dijual kembali setelah ia mendapat nasihat Perdana Menteri. Pada ketika itu dikatakan penjualan akan dilakukan segera dalam masa satu atau dua minggu. Tetapi sehingga kini tanah itu belum lagi dijual.

Berita terkini di Parlimen sudah kedengaran ada wakil kerajaan meminta agar tanah tersebut tidak dijual atas faktor nilainya pada masa hadapan dan kedudukan strategik tanah itu.

Apa yang ingin dipersoalkan adalah penjualan balik tanah TRX itu adalah dari nasihat Perdana Menteri setelah ia mendapat cemuhan dari orang ramai terutama pelabur Tabung Haji. Apakah keputusan PM itu akan bertukar lagi ?

Kalau tanah itu tidak akan dijual bererti ia berlawanan dengan nasihat PM. Dalam konteks ini apakah pertimbangan PM ketika ia mengarahkan tanah itu dijual ? Apakah ia hanya untuk meredakan kemarahan orang ramai ?

Oleh kerana 1MDB kini confirm ada masalah hutang, PM perlu bertindak di atas keyakinannya dalam menyelesaikan masalah tersebut. Beliau tidak boleh mengambil sebarang keputusan hanya semata-mata ingin popular. Ertinya, keputusan mesti betul dan bukannya atas faktor tidak akan popular.

Tanah TRX itu akan menjadi perhatian. PM menasihatkan agar ia dijual setelah cara pembeliannya dipertikaikan. Dan sekarang ada suara mengatakan ia tidak perlu dijual.

PM menghadapi krisis keyakinan dalam caranya mengendalikan skandal 42 billion 1MDB. Sekali lagi ujiannya di atas tanah TRX itu - dijual atau tidak sebagaimana pendiriannya dahulu ?

Seorang pemimpin yang berkesan akan membuat keputusan tegas demi kepentingan rakyat dan negara. Bukan jenis yang flip-flop semata-mata ingin popular.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan