Sabtu, 9 Mac 2013

Najib bermain dengan masa

PEMIMPIN Pakatan Rakyat (PR) sudah semakin letih menunggu Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU 13 diadakan. Andaian dan ramalan ini telah bermula sejak awal 2011 sehinggalah kini.

Datuk Seri Najib Razak
Semua ramalan sebelum ini oleh para penganalisis politik tidak tepat dan tersasar. Kini ia sudah hampir rapat dengan tarikh tamatnya mandat kerajaan ini pada 28 April 2013. Kini kita sudah berada dalam bulan March.  Ertinya, bulan depan adalah yang terakhir tempoh Parlimen dibubar atau ia terbubar dengan sendirinya.

Dengan tempohnya semakin hampir kemungkinan besar Datuk Seri Najib akan membiarkan tempoh mandat itu berakhir dengan sendirinya. Ini akan membolehkan pihak SPR menjalankan proses pilihan raya pada Mei hingga Jun.

Pakatan Rakyat yang telah melancarkan manifestonya tidak mampu lagi menunggu lebih lama. Ia seolah mahu PRU 13 diadakan segera. PR merasakan ini adalah suasana terbaik untuknya mengambilalih pemerintahan negara dari Barisan Nasional (BN).

Semakin lama menunggu tarikh keramat itu semakin hilang momentum dan mood para pemimpin dan penyokong akar umbi. Ia seperti enjin yang sedang panas dan dalam keadaan siap sedia untuk memecut.

PR menganggap Najib takut membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya secepat mungkin. Namun Najib dilihat bermain dengan masa. Ia juga satu langkah politik. Langkah yang bertujuan memperkemas seluruh jentera parti dan memastikan segala program 1 Malaysia sampai terus pada rakyat dengan jaya.

Najib tentunya mahukan kemenangan majoriti dua pertiga dan bukan seperti ramalan Anwar bahawa PR akan menang dengan majoriti 10 kerusi bagi menubuhkan kerajaan pusat. Najib pasti tidak mahu sejarah 2008 yang menimpa Tun Abdullah Badawi berulang terhadapnya.

Pada PRU 12 2008, kerajaan Tun Abdullah hilang majoriti 2/3 dan seterusnya menerima tekanan dalam parti supaya berundur dan meletakkan jawatan. Sekiranya ini berulang apakah alasan Najib untuk terus kekal memimpin parti ?

Inilah perkara yang menjadi perhitungan Najib sebelum menghadapi PRU 13. Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemenangan BN tanpa 2/3 tidak memberi makna.

BN belum lagi melancarkan manifestonya. Ini bermakna masih ada lagi beberapa kejutan yang mampu mempengaruhi mood dan selera para pengundi.

PR terus menunggu tarikh pembubaran. Dan Najib terus membiarkan semua pihak membuat andaian serta berteka-teki. Dia bermain dengan masa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan