Isnin, 29 September 2014

Langkah Kajang ada ketelusan ?

PEMIMPIN Anugerah Tuhan merangkap Ketua Umum PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali mendedahkan pada rakyat segala tindakan yang tidak telus semasa Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; antaranya perjanjian perstrukturan industri air dan pembinaan Lebuh Raya Kidex.

Anwar mahu ia didedahkan pada umum kerana baginya tindakan Khalid itu tidak ada ketelusan dan ada kroni tertentu telah mengaut keuntungan.
Anwar Ibrahim

Bekas MB Tan Sri Khalid telah pun menyahut cabaran Anwar dengan melahirkan kesediaannya agar dilapor dan disiasat oleh SPRM segala urusannya semasa mentadbir negeri Selangor.

Sebelum ini Sultan Selangor telah memuji cara Tan Sri Khalid mentadbir. Begitu juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memuji bekas MB itu sebagai jujur dan amanah. Tetapi menurut Nik Aziz, apa boleh buat kerana Khalid telah pun dipecat dari PKR dengan itu ia tidak dapat dipertahankan lagi kedudukannya sebagai MB.

Kita tunggulah perkembangan seterusnya apa tindakan susulan Azmin dalam hal ini. Apa pun Khalid kelihatan tidak bimbang dengan saranan Anwar itu. Lagi pun Anwar mungkin masih dalam kemarahan ekoran tindakan Khalid memecatnya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Tindakan itu sedikit mencabar kewibawaannya sebagai Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR.

Kita juga tidak pasti apakah ini satu permulaan politik perang dingin antara Anwar dan Khalid ?

Tetapi jika Khalid mahu ambil tindak balas terhadap Anwar dan mahu bermain politik dengan bekas bossnya itu dia boleh mula persoalkan pada umum malah melaporkan pada SPRM mengenai tindakan Anwar merancang Langkah Kajang yang mengakibatkan diadakan satu pilihan raya kecil (PRK).

Kenapa bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh boleh sewenang-wenang meletakkan jawatan pada Januari 2014 semata-mata ingin memberi laluan pada Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ?
Lee Chin Cheh

Sedangkan Chin Cheh tidak sakit atau lumpuh, malah belum mati pun ! Mengapa semudah itu dia mengosongkan kerusi DUN Kajang ? Apakah ada unsur rasuah ? Adakah ada pihak-pihak yang berkepentingan dan mahu mengaut keuntungan ?

Rasanya banyak lagi persoalan yang belum terjawab dan ingin diketahui umum khususnya rakyat negeri Selangor disebalik perletakkan jawatan Lee Chin Cheh, seterusnya projek Langkah Kajang yang kesudahannya telah menjadi sate kajang setelah hampir sembilan bulan dalam keadaan klu-klek.

Apa yang paling pokoknya; apakah ada ketelusan disebalik projek Langkah Kajang itu ? Inilah persoalan yang ingin diketahui semua orang.

Pihak SPR pula perlu mengambil langkah agar kes seumpama ini tidak berulang sewenang-wenangnya pada masa akan datang. SPR tidak boleh membiarkan seseorang wakil rakyat yang baru terpilih mengosongkan kerusinya tanpa alasan yang munasabah. Apatah lagi wakil rakyat itu masih sihat segar bugar dan boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Tidak ada alasan langsung daripada Lee Chin Cheh ketika dia mengosongkan kerusi DUN Kajang pada Januari lalu. Dia tidak ada masalah dalam parti. Dia tidak dipecat atau sebagainya. Tiba-tiba dia letak  jawatan. Inikah persoalan ketelusan yang dikatakan Anwar mengenai Khalid tadi ?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan