Ahad, 7 Januari 2024

" Man On The Run "

 Saya baru menonton sebuah filem dokumentari bertajuk, " Man On The Run" di Netflix. Ia adalah sebuah filem yang baru diterbitkan dan ditayangkan sempena tahun baru 2024.

Filem ini mengisahkan modus operandi penyangak Jho Low yang menipu dan mencuri dana 1MDB lebih rm 2. 6 billion. Ianya telah mencatat sejarah sebagai salah satu skandal kewangan terbesar di dunia. 




Skandal ini juga telah menjadi faktor utama jatuhnya bekas PM Najib Razak dan tumbangnya kerajaan Umno dan BN setelah enam dekad berkuasa.

Saya sudah mengikuti dan mengulas skandal 1MDB sejak 2013 lagi. Menonton filem ini hanya menambahkan lagi kefahaman  menjadi lebih jelas sekitar Jho Low, Najib dan 1MDB.

Saya percaya ramai lagi rakyat negara ini tidak memahami sepenuhnya skandal 1MDB dan bagaimana Najib sebagai PM dimanipulasi oleh Jho Low. 

Pada babak awal filem ini dimulakan dengan adegan sekumpulan anak-anak muda bangsa melayu yang diinterbiu tidak kenal dan tidak tahu siapa itu Jho Low.

Begitu juga seorang bangsa Cina dan India yang pernah dengar 1MDB namun tidak ada pengetahuan mengenainya. 

Anak-anak muda tersebut terlalu muda dan tidak mengikuti perkembangan berita. 

Manakala dua orang bangsa Cina dan India itu mengatakan mereka terlalu sibuk kerja mencari rezeki dan tidak mengambil tahu. 

Filem ini yang mengambil masa sekitar satu jam boleh membantu kefahaman apa itu skandal 1MDB bagi mereka yang tidak mengikutinya secara dekat melalui pembacaan dan sebagainya.

Dalam filem ini  Najib yang diinterbiu mengatakan beliau tidak tahu menahu apa yang dilakukan Jho Low dan orang-orang disekelilingnya sehingga berlakunya penyelewengan dan penipuan  dana kewangan 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah dan menyalahkan orang-orang dibawahnya yang tidak jujur dan mempersoalkan kenapa dia seorang sahaja yang diheret ke mahkamah. 

Interbiu Najib dalam filem ini diadakan empat bulan sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah. 

Najib dipenjarakan bersabit kes SRC yang melibatkan rm 42 juta. Kini beliau masih menghadapi beberapa kes lagi di mahkamah berkait dengan 1MDB.

Dalam masa yang sama ada usaha terus berjalan bagi mendapatkan pengampunan untuk Najib daripada Yang Di Pertuan Agong. 

Namun berdasarkan Najib masih lagi menghadapi beberapa kes di mahkamah, usaha tersebut mungkin menghadapi jalan sukar. 

Kes ini sekiranya diikuti ia agak panjang dan berjela-jela dengan segala fakta dan angka serta dokumen-dokumen di dalam dan luar negara. 

Namun satu hakikat yang perlu diterima umum bahawa Najib ketika skandal 1MDB ini berlaku dari 2009 sehingga 2018, beliau adalah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB.

Ertinya, beliau adalah orang yang berkuasa penuh di atas segala apa yang berlaku. Tanda tangannya terdapat di merata-rata tempat dan dokumen. 

Beliau mesti bertanggungjawab. Hujah dan alasan beliau tidak tahu dan dimanipulasi tidak berbangkit. 

Apa yang menarik kenyataan Najib dalam interbiu filem ini, beliau menyatakan beliau tidaklah sebodoh itu dan mempunyai IQ yang rendah sehingga tidak mengetahui penipuan yang berlaku. 

Tetapi kenyataan dan pandangan umum begitulah nampaknya. 

Sayugia selain Najib dan Jho Low sebagai watak-watak penting dalam skandal ini - mereka adalah Rosmah Mansor dan Riza Aziz. 

Rosmah dan Riza adalah dua watak penting yang membuka laluan buat Jho Low menghampiri Najib sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. 

Riza Aziz adalah kenalan Jho Low dan anak tiri Najib. 

Pada yang berminat mengetahui lebih lanjut skandal 1MDB bolehlah menonton siri Netflix, " Man On The Run " .






Isnin, 1 Januari 2024

Saya belajar buat ulasan dalam Mingguan Malaysia

 Saya mulai terkenang kira-kira lebih 35 tahun dahulu dari tahun 1985 hingga 1988, saya mengasah bakat menulis dengan menghantar beberapa tulisan pada akhbar harian untuk disiar dan diterbitkan.

Antara akhbar tersebut adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. 



Saya mengambil jalan mudah bagi mencari bahan untuk ditulis dan membuat ulasan dengan mencari tajuk atau isu semasa yang saya faham sepenuhnya. Sekiranya kita tidak memahami sesuatu isu itu, bagaimana kita boleh menulis dan membuat ulasan ?

Justeru itu sukan bolasepak menjadi pilihan dan kegemaran saya. Lagi pun saya peminat bolasepak.

Saya ikuti perkembangan bolasepak tanahair dengan teliti dan penuh minat. Dan saya memahami sepenuhnya segala perkembangannya. 



Saya perhati setiap Ahad, akhbar Mingguan Malaysia mempunyai halaman tetap - kolum sukan dalam naskah sisipannya iaitu Pancaindera yang mengandungi pelbagai halaman dan topik. 

Lazimnya, setiap kolum ini ditulis oleh para wartawan di akhbar tersebut. Saya tidak pernah melihat dan membaca kolum-kolum tersebut ditulis oleh penulis-penulis luar atau para penyumbang. 

Jadi saya mencuba nasib dengan menghantar beberapa tulisan yang berbentuk ulasan tentang sesuatu tajuk.

Saya ulas tentang isu sukan bolasepak tanahair secara mudah dan ringkas. 



Dan agak terkejut dan tidak menyangka dalam masa seminggu atau dua minggu sahaja tulisan itu disiarkan. 

Oleh kerana cubaan pertama itu berjaya, saya tulis dan hantar lagi sehingga empat tulisan yang berikut diterbitkan. 

Ketika itu bahan tulisan ditaip langkau dua baris dan disertakan sepucuk surat pada Pengarang memohon pertimbangannya agar tulisan tersebut disiarkan. 

Lebih kurang sebulan selepas tulisan diterbitkan saya ada menerima bayaran melalui cek secara pos.

Selepas itu saya mula cuba mengulas tajuk dan isu lain pula selain dari bidang sukan. 



Isnin, 25 Disember 2023

Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariya Al Razi ( 854 CE - 925 CE )

 


" If the people of Islam are asked about the proof  for the soundness of their religion, they flare up, get angry and spill the blood of whoever confront them with this question, they forbid rational speculation, and strive to kill their adversaries . This is why truth became thoroughly silenced and concealed."

-- Al Razi, Physician, Chemist, Philosopher and important pioneer in the history of Medicine. 


Ahad, 24 Disember 2023

The Origin Of The Word AMEN

 The word " Amen " is often referenced as a derivative of the name of the Egyptian god "Amon". In reality, it is from the Aramaic/Syrian word, which translates to " So be it". Its first appearance was in Tanakh, used by Hebrew Jews, then by Christians in the New Testament, followed by Muslims.




Rabu, 20 September 2023

" Saya Yakin Tambun Peliwat "

 PMX Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan mahkamah melepaskan tanpa dibebaskan Zahid Hamidi dalam kes 47 pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa. 

Anwar menafikan dia mencampuri dan mempengaruhi kes Zahid Hamidi. 

Sebaliknya kata Anwar,  Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkuasa penuh membuat keputusan menghentikan kes perbicaraan Zahid Hamidi tersebut. 

Ertinya, Peguam Negara yang membuat keputusan dan bukan Perdana Menteri. 


Dr Radzi Jidin MP Putrajaya


Ok lah kita menerima hujah PMX Anwar dalam isu kes Zahid. Maknanya dia sebagai PM tidak campurtangan dalam kes mahkamah. Yang membuat keputusan adalah Peguam Negara. Peguam Negara berkuasa penuh. 

Sekiranya itu dijadikan kayu pengukur kita ingin bertanya: apakah dua kes liwat terhadap PMX pada 1998 dan 2008 adalah keputusan Peguam Negara?? 

Kerana menurut Anwar, Peguam Negara berkuasa penuh membuat keputusan dan pertuduhan. Namun dalam kes liwat tersebut Anwar telah menuduh kes tersebut adalah satu konspirasi politik untuk menjatuhkannya. 

Saya beri hujah ini berdasarkan logik yang Anwar nyatakan. 

Dalam dua kes liwatnya, Peguam Negara telah membuat pertuduhan. Dan dua orang Peguam Negara tersebut ialah Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dan Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Dan kes liwat pertama berlaku pada zaman Dr Mahathir. Kes kedua berlaku zaman Datuk Seri Najib Razak. Anwar menuduh keduanya adalah fitnah dan konspirasi politik. 

Kes pertama Anwar dipenjarakan enam tahun di atas kesalahan salah guna kuasa. Kes kedua pada masa Najib, Anwar dihukum penjara lima tahun di atas kesalahan liwat. 

Anwar tetap menegaskan semua pertuduhan adalah satu konspirasi politik jahat terhadapnya. 

Soalannnya: apakah berlaku konspirasi politik dalam dua tempoh masa dibawah dua orang Perdana Menteri? 

Kalau dikira logik jawaban Anwar dalam kes Zahid, maka Dr Mahathir dan Najib juga akan menjawab bahawa kes liwat Anwar dahulu adalah keputusan Peguam Negara. Peguam Negara berkuasa penuh. 

Seperti cabaran Anwar baru baru ini dalam parlimen tidak ada bukti dia mencampuri kes Zahid. Begitu juga sehingga kini tidak ada secebis pun bukti bahawa Dr Mahathir dan Najib mencampuri kedua kes liwat tersebut. 

Sekiranya ada bukti maka Dr Mahathir dan Najib mesti dibawa ke mahkamah untuk keadilan semua. 

Mereka lain yang dituduh terlibat dalam konspirasi jahat menjatuhkan Anwar masih hidup. Mereka juga perlu diheret ke mahkamah. Antara mereka selain Dr Mahathir dan Najib adalah seperti Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Umi Hafilda dan lain lain lagi yang masih hidup. 

Sehingga kini tidak ada siasatan atau bukti menunjukkan adanya konspirasi politik dalam kes liwat Anwar Ibrahim. 

Namun Anwar setelah menjadi PMX tidak menunjukjan kesungguhan beliau mahu mengheret mereka yang berkonspirasi menjatuhkannya. 

Sebaliknya dia sibuk menuduh macam macam terhadap Dr Mahathir dalam isu rasuah dan mengumpul harta. Namun apa yang berlaku sebaliknya - Dr Mahathir pula telah saman dan mengheret Anwar ke mahkamah di atas semua tuduhannya itu. 

Tetapi Anwar tidak pula mengheret Dr Mahathir di atas segala pertuduhan liwat yang dikatakan hasil konspirasi politik jahat mahu mencemar peribadinya. 

Begitu juga apa yang baru berlaku dalam parlimen semasa Anwar memberi penjelasan dan mempertahankan kes Zahid Hamidi telah berlaku pertelagahan dengan wakil rakyat Putrajaya, Radzi Jidin. 

Anwar sebagai wakil rakyat Tambun telah menuduh Radzi Jidin melakukan perbuatan rasuah tanpa memberi bukti. Maka berlaku cabar mencabar. Speaker pula berat sebelah cuba melindungi Tambun. Putrajaya hanya minta Tambun menarik balik tuduhan tersebut.  Jawaban Tambun dan Speaker pula berbelit belit. 

Akhirnya, Putrajaya membuat kenyataan, " Saya yakin Tambun peliwat".

Putrajaya dan semua MP pembangkang keluar dewan sebagai tanda protes terhadap Speaker yang tidak berlaku adil. Dan tindakan keluar dewan beramai ramai sebagai satu tindakan bermaruah ekoran Tambun menuduh Putrajaya tanpa bukti. 

Sebaliknya semasa Putrajaya berkata, "Saya yakin Tambun peliwat" Speaker dan Tambun hanya terdiam senyum. Mereka tidak berkata apa-apa. 

Tetapi Putrajaya diarah keluar dewan oleh Speaker kerana enggan duduk sebagai protes terhadap Tambun yang menuduhnya tanpa sebarang bukti. 

Yang peliknya bila Putrajaya menuduh Tambun peliwat,  Tambun boleh meneruskan ucapannya tanpa sebarang protes dan reaksi. 


Putrajaya mengulangi perkataan peliwat itu lebih tiga kali sehingga Speaker menutup suara mikrofon. Namun Speaker dan Tambun tidak pula mununtut perkataan tersebut ditarik balik. 



Selasa, 15 Ogos 2023

Ya Allah Selamatkan lah Umno

 Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dia sedar tentang gesaan perletakkan jawatannya sebagai Presiden parti. 

Namun katanya ini bukanlah kali pertama Presiden Umno digesa meletakkan jawatan. Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak juga sebelum ini didesak ahli ahli parti melepaskan jawatan. 

Abdullah Badawi meletakkan jawatan pada 2009. Dan Najib pada 2018.

Keduanya berundur akibat kekalahan Umno yang teruk pada Pru 2008 dan 2018. Ketika itu keduanya memegang jawatan Perdana Menteri.

Yang peliknya hujah Zahid berhenti setakat itu sahaja. Dia tidak sebut hanya dia seorang sahaja degil bodoh tidak mahu meletakkan jawatan. 

Kalau Badawi dan Najib sanggup meletakkan jawatan, kenapa tidak dia? 

Sedangkan prestasi Umno dalam Pru 15 dan Prn enam negeri itu lebih buruk dari apa yang dicapai oleh Badawi dan Najib. 

Umno pimpinan Zahid hanya dapat 26 kerusi parlimen dan 19 kerusi sahaja dalam Prn enam negeri. 

Pencapaian Umno bawah Zahid tidak sampai separuh dari apa yang dicapai oleh Badawi dan Najib. 

Yang bodohnya dia boleh beri hujah contoh masa Badawi dan Najib bagi mempertahankan kerusinya sebagai Presiden. 

Badawi dan Najib letak jawatan. Tetapi dia tidak. 

Sekarang siapa bodoh, siapa bangang? 

Ya Allah ya Tuhanku Engkau selamatkan lah parti Umno dari dipimpin oleh pemimpin yang bodoh lagi bangang. 

Amin. 

Isnin, 14 Ogos 2023

Antara Anwar, Muhyiddin dan Zahid

 Saya lebih suka Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri jika dibandingkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sebabnya mudah saya kira Anwar lebih berkarisma dan ada karakter sebagai PM.


PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim


Bagi saya Muhyiddin ada slow sikit. Namun Muhyiddin disokong majoriti orang melayu. Manakala Anwar disukai majoriti bukan melayu terutama kaum Cina. Ertinya, Anwar tidak mendapat sokongan penuh dikalangan orang melayu. 

Inilah kelemahan dan kekurangan Anwar jika dibandingkan dengan Muhyiddin. Yang paling jelas parti DAP berada dibelakang Anwar. Muhyiddin pula paling anti DAP. 

Muhyiddin menjadi PM ke 8 hanya mampu bertahan selama 17 bulan. Nampak jelas dia belum puas menjadi PM. Dan begitu berhasrat mahu menjadi PM buat kali kedua. 

Tetapi mungkin orang sudah lupa sebelum Pru 15, Muhyiddin menyatakan Pru15 adalah yang terakhir buatnya. Ertinya beliau tidak akan bertanding lagi menjadi calon pada masa hadapan. Tidak pasti apakah kenyataan Muhyiddin itu masih boleh dipakai atau hanya cakap cakap politik. 

Apa pun satu hal yang boleh diberi pujian pada Muhyiddin ialah sikap tegasnya semasa menjadi PM 8 - tidak melayan tuntutan Zahid Hamidi agar kesnya di mahkamah digugurkan. 

Muhyiddin menerima akibatnya bila Zahid sebagai Pengerusi BN menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. Justeru itulah Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan PM. 

Sedangkan pada awalnya Zahid memberi sokongan pada Muhyiddin sebagai PM 8 setelah berlakunya Langkah Sheraton. 

Bagi Zahid sokongan pada Muhyiddin tidak berbaloi. Kerana kesnya tidak ditarik balik dan digugurkan. 

Kini giliran Anwar pula diangkat menjadi PM ke 10 hasil peranan dan sokongan Zahid Hamidi. Tanpa peranan Zahid, Anwar tidak mungkin menjadi PM. 

Bagaimana dengan kes Zahid selepas Anwar menjadi PM ?

Anwar kuat retorik melawan rasuah. Namun kes Zahid di mahkamah kelihatan ada unsur unsur campurtangan politik. Contohnya kes acapkali ditangguh-tangguh. Timbalan Pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pihak pendakwaan digugurkan secara mengejut. Sedangkan beliau berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid. 

Ertinya, Raja Rozela adalah seorang peguam yang kompeten. Alasan dia bersara awal tidak boleh dipakai. Banyak lagi faktor faktor lain yang menimbulkan banyak soalan. Seperti kata pepatah Inggeris, " Justice must not only be done but seen to be done".

Begitu juga usaha Zahid menghantar representasi pada Peguam Negara agar kesnya digugurkan. Kini proses itu sedang berjalan menunggu keputusan. 

Soalannya,  apakah sikap sebenar Anwar dalam kes Zahid Hamidi? Di satu sudut Anwar kuat menentang rasuah. Sudut yang lain pula apa yang berlaku depan mata lain pula ceritanya - segala perkembangan yang berlaku sekitar kes Zahid. Ia kelihatan seperti akan berlaku mengikut apa yang dirancangkan. 

Inilah nampak ketara istimewanya hubungan baik Anwar dan Zahid. 

Muhyiddin tegas tidak campurtangan dalam kes Zahid. Apakah Anwar juga mengambil sikap begitu? 

Kalau Anwar bersikap tegas dan telus tidak campurtangan dalam kes Zahid - apakah Zahid akan bertindak seperti dia bertindak terhadap Muhyiddin?? 


Ahad, 13 Ogos 2023

" Tahniah" Ahmad Zahid Hamidi...

 "Tahniah" Presiden Umno, Tok Wali Ahmad Zahid Hamidi di atas kejayaan Umno memenangi 19 kerusi dari 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN di enam negeri. 

Umno dibawah pimpinan Tok Wali Zahid bukan sahaja ditampar muka oleh para pengundi melayu malah telah diludah ke muka. 

Saya menggunakan perkataan Tok Wali pada Zahid Hamidi kerana sebelum ini Zahid berkata calon-calon Umno yang akan dipilih bertanding dalam PRN ini mesti mempunyai ciri-ciri seorang Tok Wali. Keh.. keh... 

Jelas kaum melayu menolak Umno dalam PRN yang lalu. Umno gagal total. Kenapa? 

Pertama, ahli ahli Umno tidak pernah insaf dan tidak pernah belajar dari kekalahan. Sejak zaman Abdullah Badawi pada 2008 sehingga era Najib Razak pada 2013 dan 2018 , Umno tidak melakukan pembaharuan dan perubahan demi kebangkitan parti. 

Yang penting dan utama hanya personal dan kepentingan peribadi pemimpin. Sejak 2008 sehingga 2013 , Umno hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. Dari 2018 jadi parti pembangkang. Dan sekarang hanya menjadi penumpang dan tidak relevan lagi dikalangan orang melayu. 

Dibawah pimpinan Zahid Hamidi, Umno kini menghampiri menjadi sebuah parti pariah! 

Pun begitu Zahid Hamidi masih boleh terhegeh-hegeh tersenyum seperti orang tidak bermaruah mahu terus kekal memegang jawatan Presiden parti. 

Dia bukan sayangkan parti. Dia lebih pentingkan kedudukannya. Dia memperalatkan parti demi survival karier politiknya. 

Agendanya yang utama ialah menyelamatkan dirinya dari 47 pertuduhan rasuah di mahkamah. 


Zahid...handsome. Baru renovate mata...


Jangan khuatir kini semua dalam proses dibelakang tabir bagi melepaskan dan membebaskan dirinya dari semua pertuduhan. Ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Insya Allah berkat Tok Wali.

Tan Sri Idris Jusoh, veteran Umno adalah orang pertama selepas selesai PRN mendesak agar Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden Umno. Kemungkinan selepas ini momentum desakan tersebut akan semakin bertiup kencang. 

Namun saya bersetuju dengan pandangan Khairy Jamaluddin bahawa Zahid tidak akan letak jawatan. Dia akan terhegeh hegeh dan happy happy tebal muka sahaja seperti tidak ada apa yang berlaku. 

Sekiranya begitu ada bagusnya juga kerana dengan Zahid kekal sebagai Presiden Umno, Umno akan terus dibakulsampahkan oleh orang orang melayu. Bye bye Umno. 

Dan akan terpahat dalam sejarah Umno, parti terkubur tanpa batu nisan dibawah pimpinan Zahid Ponorogo. 

Umno boleh bangkit semula. Dengan syarat sepak keluar Zahid. Baru Umno boleh direformasikan. Kalau tidak macam itulah Umno sehingga PRU 16. Mampuih lah orang Umno. 

Orang Umno ada berani ? bagi memulakan desakan dan tekanan pada Zahid Hamidi demi kelangsungan hidup parti. 

Saya tidak nampak lagi siapa tokoh yang berani kehadapan secara terbuka menghadapi Zahid. 

Orang orang Umno sekarang tidak ada teloq... 




Khamis, 27 Julai 2023

Parti DAP Dikuasai Emperor

 DAP adalah sebuah parti politik Cina yang dikira paling disiplin dan bersatu sekiranya dibandingkan dengan parti-parti lain. Tidak pernah berlaku ahli-ahlinya yang keluar parti menubuhkan parti serpihan dan menyerang parti asalnya. 

Bukan seperti Umno dan Pas yang banyak melahirkan parti baru oleh bekas ahlinya bila timbul masalah dan perbezaan pendirian dalam parti. 

Parti PKR, Bersatu dan Pejuang ditubuhkan oleh bekas-bekas ahli Umno. Amanah pula adalah serpihan parti Pas. 

Begitu juga sebelum ini parti-parti seperti Berjasa, Hamim dan Semangat 46. Berjasa masih wujud. Semangat 46 telah dibubarkan.  Hamim entah apa cerita. 

Tan Sri Lee Lam Thye, bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP, keluar parti kerana perselisihan pendapat dengan bossnya Lim Kit Siang. 

Namun Lam Thye tidak menubuhkan parti baru. Malah tidak pernah mengecam atau memburukkan parti DAP sehingga sekarang. Lee Lam Thye keluar dari DAP 30 tahun dahulu. 

Selepas Lam Thye ada lagi yang keluar parti namun mereka tidak bising atau menubuhkan parti serpihan. Bahkan mereka tidak pernah memburukkan parti asal mereka setelah berada diluar. 

Tidak seperti ahli-ahli Umno dan Pas yang menubuhkan parti serpihan, malah ada yang keluar masuk seperti kedai kopi dan berkerat rotan bermusuh. 

Namun sehari dua ini ada timbul masalah dikalangan ahli DAP di Pulau Pinang menjelang PRN 12 Ogos ini. 

Masalahnya adalah ketidakpuasan hati beberapa wakil rakyat yang digugurkan dari menjadi calon dan digantikan dengan muka-muka baru. 

Antaranya P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri ll. Mereka telah mengadakan sidang akhbar menjelaskan secara terbuka disebalik keguguran mereka dari menjadi calon. 

Seorang daripada mereka menuduh wujudnya seorang "Emperor" atau maharaja dalam DAP. Dia lah yang memutuskan siapa yang akan menjadi calon. Dan pandangan serta keputusan ahli jawatankuasa parti negeri tidak dihiraukan. 

Siapakah emperor tersebut tidak disebut namanya. Namun semua orang tahu dia adalah Lim Guan Eng, Pengerusi DAP. Lim telah pun menjadi wakil rakyat di Pulau Pinang selama tiga penggal. 

Ada yang persoalkan kenapa Lim terus mempertahankan kerusinya di Air Putih?? Kenapa tidak diberikan peluang calon lain?


Lim Guan Eng ...The Emperor


Ada andaian mengatakan Lim Guan Eng mahu kembali menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang buat kali kedua.  Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana perlembagaan negeri hanya menghadkan Ketua Menteri setakat dua penggal sahaja. Lim sudah dua penggal menjadi KM Pulau Pinang. 

Justeru itu desas desus pucuk pimpinan DAP mahukan calon KM yang baru bagi menggantikan KM sekarang, Chow Kon Yeow. 

Chow dianggap kurang efektif. Tetapi idea ini mendapat banyak tentangan daripada kalangan pimpinan dan para ahli DAP Pulau Pinang. 

Oleh kerana majoriti DAP Pulau Pinang tidak bersetuju maka DAP pusat terpaksa menarik balik cadangan mahu calon KM yang baru. Dengan itu Chow Kon Yeow dikekalkan sebagai KM selepas PRN Ogos ini. 

Namun begitu majoriti ADUN yang menyokong Chow secara terbuka baru baru ini telah menjadi mangsa Emperor dengan tidak dipilih untuk kekal menjadi calon dalam PRN nanti. 

Mereka bukan sahaja berani membuat kenyataan dengan menuduh sikap emperor dalam parti bahkan telah membuat keputusan akan bertanding sebagai calon Bebas. 

Sekiranya ini berlaku ini sedikit sebanyak memberi kesan pada sokongan para pengundi dalam PRN. 

Apakah isu emperor atau maharaja ini akan berlalu begitu sahaja selepas selesai PRN?? Atau ia akan menjadi duri dalam daging pada DAP? 

Perlu diingat Pulau Pinang adalah kubu kuat DAP. Dan majoriti ahl parti adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Tetapi si Emperor bukan anak jati Pulau Pinang. 

Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan cermat oleh DAP pusat, kemungkinan masalah ini boleh mengheret ke arah perpecahan dalam parti. Lebih-lebih lagi Pulau Pinang adalah satu satunya negeri dikuasai DAP. 



 

 



Selasa, 27 Jun 2023

PRN Enam Negeri. Umno Kalah Teruk

 Pilihanraya Negeri (PRN) di enam negeri : Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Penang dan Negri Sembilan akan diadakan bulan Ogos ini. 

Apa pun keputusannya kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan tumbang. Itu adalah realitinya. 

Ini adalah pilihanraya negeri bukan pilihanraya umum yang menentukan kerajaan pusat. 

Namun sekiranya Perikatan Nasional (PN)  menang besar ia hanya memberi lebih tekanan dan cabaran pada kerajaan Anwar Ibrahim sehingga tempoh Pru ke 16 akan datang. 

PN pula tentunya semakin bersemangat mahu mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Tetapi mereka perlu menunggu Pru 16 lima tahun lagi. 

Tidak ada dalam sejarah keputusan PRN memberi kesan sehingga kerajaan pusat digulingkan. 

Apa lagi sekarang ada Akta Lompat parti. Dan Anwar mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen. 


Tok Wali Zahid Hamidi


Ditakdirkan sekiranya Presiden Umno Zahid Hamidi digulingkan dalam parti dan Umno yang mempunyai 26 kerusi parlimen keluar dari kerajaan perpaduan - Anwar masih lagi mempunyai simple majoriti dengan sokongan GPS dan GRS (Sabah, Sarawak). 

Kenapa saya bayangkan Zahid Hamidi mungkin digulingkan oleh ahli ahli parti sendiri? Ini kerana Umno dan Zahid adalah dianggap seperti virus dalam kerajaan perpaduan. 

Umno mempunyai masalah dalaman parti. Ia bagaikan retak menunggu belah. Sudah menjadi rahsia umum "silent majority" ahli ahli Umno tidak berpuas hati dengan pimpinan Zahid sebagai Presiden Umno. 

Umno bukan lagi parti keramat orang melayu seperti dekad dekad yang lalu. Umno kini di bawah dagu PKR dan DAP. 

Pemimpin DAP Tony Pua secara terang menggelar Umno parti korup. Begitulah rendahnya imej Umno kini. Ahli ahli Umno marah-marah dengan kenyataan Tony Pua. Presiden Umno,  Zahid Hamidi hanya tersengeh dan terhegeh-hegeh dengan menasihat ahli ahli Umno supaya tidak melayan Tony Pua. 

Nampaknya orang DAP pun tidak ada selera dengan Umno. Tetapi demi muslihat politik untuk terus berada dalam kerajaan pusat DAP terpaksa ambil sikap taqiyah terhadap Umno. 

DAP tidak mahu sejarah Langkah Sheraton berulang kembali dengan hanya berada sebagai kerajaan pusat selama 22 bulan sahaja. DAP mahu kekal di Putrajaya selama yang mungkin. 


Encik Tony Pua


Bagi ahli ahli Umno yang tidak dapat mengundi dan memilih presiden parti kerana keputusan MKT melarang adanya pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti - PRN Ogos ini adalah satu peluang dan kesempatan menghantar mesej yang jelas pada Zahid Hamidi. 

Hak mereka untuk mengundi dalam parti telah dirampas. Mereka tidak berpeluang memilih dan menentukan siapa yang layak memimpin parti. 

Jadi dalam PRN nanti mereka boleh sampaikan mesej ini dengan tidak mengundi calon calon Umno sebagai protes terhadap Zahid Hamidi. 

Dengan ini bila Umno kalah teruk di enam negeri tersebut ahli ahli Umno mampu mengandakan tekanan dan tuntutan agar Zahid melepaskan jawatan Presiden parti. 

Saya dapat merasakan Umno akan mengalami prestasi buruk dalam PRN nanti. Hanya keajaiban sahaja ia berlaku sebaliknya. 

Saya juga percaya Anwar sudah pun berunding dengan Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno bagi meneruskan tugas Zahid sebagai Presiden Umno sementara waktu bagi menjamin kestabilan kerajaan perpaduan. 

Bagi Zahid saya juga percaya beliau akan bersikap muka tebal bagi menerus dan mengekalkan semua jawatan yang dipikulnya. 

Kerana dia hanya pentingkan dirinya dan kedudukannya bukan kepentingan parti.