Jumaat, 31 Ogos 2018

Lokman Adam Mahu PRU Sekali Lagi??

Lokman Adam bekas pembantu Najib Razak menyatakan bahawa Umno akan kembali berkuasa sebelum Pru15 sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam masa terdekat ini.

Dia yakin Umno akan berkuasa semula di Putrajaya kerana rakyat katanya sudah mulai resah dan bosan dengan Pakatan Harapan (PH)  selepas 100 hari ia memerintah.

Antara keresahan rakyat itu menurut Lokman, banyak janji manifesto PH tidak dapat ditunaikan.

Saya sebenarnya pening lalat bila membaca kenyataan Lokman itu.  Dia baru sahaja kalah sebagai calon BN dalam PRK Sungai Kandis yang lalu. Dia juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Namun statementnya itu tidak mengambarkan dia sebagai pemimpin Umno yang masak pemikirannya. Agak sama level dengan seorang lagi pemimpin Umno, Jamal Ikan Bakar yang penuh kontroversi itu.

Lokman Adam

Pada Lokman saya ingin sarankan agar dia bangunlah dari tidur. Tidak usahlah bermimpi lagi.

Kerajaan PH baru sahaja menang Pru14 dan kini sedang dalam proses memulihkan negara yang rosak teruk peninggalan kerajaan BN dahulu.

PH memerintah belum pun sampai setahun. Kalau ya pun Lokman, tunggulah lima tahun lagi pada Pru15.

Saranan Lokman agar pilihanraya umum diadakan semula dalam masa terdekat ini tidak ubah seperti orang ketagih daun ketum.

Dia seperti tidak dapat menerima realiti dan kenyataan bahawa Umno sudah tidak berkuasa lagi.

Dan kelihatan dia begitu yakin sekiranya pilihanraya umum diadakan sekarang Umno akan kembali berkuasa dan mengharapkan Najib Razak kembali menjadi Perdana Menteri.

Alahai.. Lokman, tunggulah lima tahun lagi. Pru14 baru berlalu. Berapa kali kamu mahu Pru diadakan dalam setahun ??

Tolong pikiaq lah sikit. Jangan main kepala lutut saja. Hahaha....


Ahad, 5 Ogos 2018

Umno Kena Ubah...!!

Pakatan Harapan melalui calonnya dari parti PKR berjaya mempertahankan kerusi DUN Sg. Kandis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) menewaskan calon Umno dengan majoriti lebih lima ribu undi.

Seperti biasa dalam setiap PRK jumlah yang keluar mengundi menurun. Di Sg Kandis peratusnya tidak sampai 50 peratus.

Faktor utama tentunya negara baru sahaja melalui PRU tiga bulan yang lepas. Dan ini tentunya menimbulkan rasa jemu dan bosan sebilangan besar para pengundi. Suasana momentum juga menurun tidak seperti pada PRU14  lalu.

Yang paling terkesan ialah apa pun keputusan PRK ini tidak akan memberi sebarang impak pada kerajaan negeri dan pusat. Terutama di Selangor, di mana kerajaan PH mempunyai lebih majoriti dua pertiga.

Namun yang melucukan para pemimpin Umno telah membuat kenyataan bahawa peratus keluar mengundi merosot adalah mesej tanda tidak puas hati rakyat pada kerajaan PH.

Kerana kononnya kini dibawah PH kedudukan orang melayu dan agama Islam mula terancam.

Sebenarnya Umno masih lagi terbelit dengan sindrom penafian. Masih tidak sedar dan insaf di atas segala kelemahan yang menjadi faktor utama Umno hilang kuasa setelah lebih 60 tahun berkuasa.

Umno masih lagi belum insaf sejak kekalahan PRU14 lalu.  Tidak kelihatan ia memberi sebarang pengajaran dan hikmah pada para pemimpin dan ahli-ahlinya.

Sekiranya begini berterusan tidak mustahil Umno akan kekal menjadi pembangkang selamanya.

Di segi logik akal sekiranya rakyat protes dan tidak puas hati pada kerajaan PH mereka perlu membuang undi dalam peti undi bukannya dengan duduk di rumah dan enggan keluar mengundi.

Tetapi itulah logik para pemimpin Umno kerana mereka tidak boleh menerima kekalahan dan mengakui kelemahan diri.

Kalau beginilah cara berfikir Umno maka dalam dua lagi PRK di Balakong dan Seri Setia mereka akan ditewaskan dengan mudah oleh calon PH.

Umno mengharapkan bantuan parti Pas dalam mendapat sokongan para pengundi. Tetapi nampaknya bukan sahaja Pas tidak mampu membantu Umno, malah Allah pun tidak akan merubah nasib Umno.

Berubah lah Umno!!


Selasa, 24 Julai 2018

Terima kasih Wee Ka Siong...

Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam, berucap dalam dewan rakyat bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak mempunyai kuasa berbanding Menteri Ekonomi, Azmin Ali.

Wee menambah, Guan Eng boleh dianggap hanya sebagai penyimpan buku kira-kira sahaja. Ertinya, walaupun sebagai Menteri Kewangan - Guan Eng tidak mempunyai banyak kuasa.

Tidak seperti Azmin yang diberi kepercayaan oleh Tun Mahathir sebagai Menteri Ekonomi.  Hujahnya lagi banyak agensi terutama Khazanah Nasional yang dahulunya berada dibawah Kementerian Kewangan telah dipindahkan dibawah kuasa Menteri Ekonomi.


Wee Ka Siong

Yang terbaru pula, bila Tun Mahathir menjawab soalan dalam Parlimen daripada Zahid Hamidi berkaitan Kementerian Kewangan - Wee mempersoalkan kenapa Tun M menjawab bagi pihak Guan Eng dan bukan Guan Eng yang menjawab soalan tersebut.

Sekali lagi Wee seolah ingin membuktikan bahawa Guan Eng adalah seorang Menteri Kewangan yang tidak mempunyai taring dan berkuasa dalam kabinet.

Apa pun dakwaan Wee tersebut terhadap Guan Eng sebenarnya hanya terkena dimuka parti Umno yang menjadi rakan sekutu MCA dalam Barisan Nasional.

Kerana selama ini baik sebelum Pru14 dan selepasnya,  Umno setiap masa dan sepanjang hari membawa isu bahawa Tun M dan parti Bersatu adalah hanya alat tunggangan DAP dalam politik negara.

Umno seolah tiada isu lain lebih utama dan penting selain menuduh DAP lah yang sebenarnya berkuasa dalam kerajaan Pakatan Harapan dan bukannya Tun M atau parti Bersatu, Amanah atau parti PKR.


Lim Guan Eng

Tetapi dengan dakwaan Wee itu dalam Parlimen sayugia membuktikan dengan jelas bahawa tuduhan Umno yang DAP sebenarnya lebih berkuasa daripada Tun M dalam kerajaan PH adalah tidak benar sama sekali.

Tun M dan kerajaan PH sepatutnya berterima kasih kepada Timbalan Presiden MCA itu yang telah menjelaskan dan menjernihkan segala keraguan yang telah ditimbulkan Umno kini dan mungkin selamanya.  Kerana hanya isu itu sahaja yang ada pada Umno bagi memburukkan imej DAP demi survival Umno dikalangan para pengundi.

Pada para pemimpin Umno khasnya amatilah ucapan Wee Ka Siong itu dengan teliti. Segala tuduhan dan cemuhan terhadap DAP sudah pun dirungkaikan dengan terang benderang oleh orang nombor 2 MCA itu.


Selasa, 29 Mei 2018

Siapakah Calon Menteri Luar Negeri?

Kabinet Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir belum lagi melantik Menteri Luar Negeri di Wisma Putra.

Dr Mahathir sudah bagi bayangan akan melengkapkan kabinetnya secepat mungkin.

Sehingga kini tidak terbayang siapakah calon Menteri Luar itu ?

Namun Dr Mahathir adalah seorang yang berpengalaman luas dan kita yakin beliau akan memilih calon yang sesuai dan kompeten dalam menjalankan misi diplomasi negara di persada antarabangsa.

Sebelum ini sejak dari kabinet Tun Abdullah Badawi hingga ke kabinet Najib Razak, Menteri Luar kita agak kurang menonjol di arena antarabangsa.

Lebih-lebih lagi jawatan itu dipegang oleh Anifah Aman sejak Najib menjadi PM pada 2009.

Anifah agak kurang berjaya sebagai seorang diplomat negara. Personaliti dan perwatakkannya kurang menarik perhatian.

Tidak seperti ex Menteri-Menteri Luar sebelum ini seperti Syed Hamid Albar dan Rais Yatim.

Allahyarham Ghazali Shafie atau King Ghaz



Namun negara pernah melahirkan seorang diplomat dan ex Menteri Luar yang tiada tolok banding di dunia diplomasi antarabangsa. Dan sehingga kini tiada pengganti seperti Allahyarham.  Tokoh tersebut adalah Tan Sri Ghazali Shafie atau lebih dikenali sebagai King Ghaz.

Allahyarham menjadi Menteri Luar semasa dalam kabinet Dr Mahathir pada tahun 1980an.

Beliau adalah satu-satunya tokoh diplomasi yang hebat pernah dilahirkan negara sejak merdeka.

Mungkin negara tidak dapat mencari pengganti seperti King Ghaz dalam dunia diplomasi. Namun begitu kali ini kita harap Dr Mahathir dapat melantik seorang yang sesuai dan kompeten sebagai pemimpin yang membawa imej negara di dunia antarabangsa.

Semoga calon Menteri Luar ini tidaklah selemah Menteri kabinet Najib sebelum ini. 

Sabtu, 26 Mei 2018

Salahuddin Ayub Menteri Pertanian yang baru...

Tahniah kepada Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah yang dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau adalah seorang ahli politik yang mempunyai imej yang bersih dan lembut. Namun sekiranya diikuti sejarah penglibatannya dalam politik parti beliau adalah seorang yang cekal dan mempunyai prinsip yang tegas dan jelas dalam perjuangannya membela rakyat.

Jawatan Menteri Pertanian amatlah sesuai dengan perwatakan dan iltizamnya dalam memperjuang nasib rakyat terutama golongan petani yang memerlukan pemimpin yang mampu meningkatkan martabat sektor pertanian di negara ini.

Salahuddin Ayub

Mungkin Menteri Pertanian tidaklah sehebat dan glamor seperti Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan yang dikira sebagai antara kementerian paling kanan dan penting dalam kabinet.

Namun begitu kementerian Pertanian tetap penting dan menjadi medan ujian bagi seseorang pemimpin membuktikan kemampuannya mencari idea bagi membangun sektor pertanian negara yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar rakyat seperti petani, penoreh, nelayan dan sebagainya.

Sekiranya diimbas sebelum ini Menteri Pertanian pernah disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Allahyarham Datuk Seri Sanusi Junid dalam kabinet Dr Mahathir (1981-2003).

Kedua tokoh ini adalah pemimpin besar dan penting dalam politik negara. Mereka berdua diberi tugas memainkan peranan dalam sektor pertanian negara.

Anwar berada di kementerian Pertanian agak singkat. Manakala Almarhum Sanusi banyak memberi idea-idea menarik seperti kempen minum air koko, kelapa muda dan menanam padi atas bumbung.

Jelas sekali kedua tokoh ini berjaya memberi imej hebat dan menarik pada kementerian Pertanian yang selalu dianggap kementerian paling bawah dan kurang penting berbanding kementerian lain.

Justeru itu kali ini dengan Salahuddin sebagai Menteri Pertanian yang baru mampu melakukan perubahan dan kemajuan lebih hebat dari apa yang telah dilakukan oleh dua tokoh hebat sebelum ini. 

Ahad, 6 Mei 2018

Kenapa Rosmah Mansor ??

Datin Seri Rosmah Mansor menjelaskan bahawa dia tidak pernah mencampuri urusan suaminya Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Tugasnya hanyalah mengurus keluarga dan rumahtangga. Rosmah menafikan sekerasnya dia banyak mencampuri dan kontrol suaminya dalam urusan pentadbiran negara.

Dia rasa kesal di atas semua tuduhan fitnah terhadapnya di laman sosial dan menganggap semua tuduhan tersebut tidak benar.

Dalam sejarah negara inilah julung kali isteri PM terpaksa membuat kenyataan terbuka bagi membela dirinya dari segala tuduhan dan persepsi negatif orang ramai.


Sebelum ini ia tidak pernah berlaku sejak dari Tunku Abdul Rahman sebagai PM sehingga ke zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Para isteri PM terdahulu tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi isteri Najib Razak.

Mereka semua tidak begitu menonjol dikhalayak ramai dan sentiasa berada dalam suasana low profile.

Namun ini tidak berlaku ketika di zaman Najib.  Rosmah lebih menonjol dan menarik perhatian ramai.

Apakah Rosmah lebih pintar dan lincah dari isteri-isteri PM yang terdahulu? Lebih banyak mendapat publisiti dan sebagainya sehingga menimbulkan berbagai persepsi?

Ada pandangan menyatakan Rosmah adakala menjadikan dirinya sebagai liabiliti pada parti dan kerajaan. Apakah itu benar?

Jawaban ini hanya dapat dijawab oleh para cyber trooper kerajaan dan pendokongnya.

Tetapi kenapa Rosmah ? Kenapa tidak pada Syarifah Rodziah, Toh Puan Rahah, Tun Suhailah,  Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Jane Abdullah ?

Ternyata mereka semua diterima baik khalayak ramai dan terhindar dari segala kontroversi.

Sekali lagi kenapa Rosmah Mansor??? 

Sabtu, 5 Mei 2018

Najib Puji Pak Lah Sindir Dr Mahathir

Datuk Seri Najib Razak seringkali memuji dan mengangkat Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai contoh pemimpin Umno yang setia pada parti.

Tun Abdullah telah pun bersara dari politik dan beliau tidak lagi aktif bersuara atau pun memberi sebarang pandangan mengenai politik semasa negara.

Semua orang pun tahu apa reaksi dan komen Tun Abdullah atau Pak Lah bila pihak media bertanyakan soalan padanya mengenai isu semasa.  Kadang-kadang pihak media tanya soalan lain jawabannya pun lain.

Pak Lah dan Najib

Berbeza dengan beberapa pemimpin veteran yang lain seperti Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim. Mereka bertiga mempunyai fikiran yang kritikal dan hujah yang bernas dalam memberi komen dan ulasan.

Najib sendiri suatu masa pernah berkata dia lebih menghargai ahli parti yang kurang cerdik tapi setia pada parti daripada ahli yang cerdik tapi tidak setia.

Nampaknya itulah yang berlaku dalam parti Umno sekarang ini. Mereka yang cerdik seperti Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz telah pun keluar dari parti.

Dan yang terbaru, Daim, Rafidah dan Rais yang bersikap kritikal pada parti juga akan keluar dari parti.

Dalam konteks maksud ucapan Najib tadi ia telah benar berlaku.  Najib tidak perlu mereka yang cerdik tapi tidak setia. Dia mahu mereka yang kurang cerdik tapi setia.

Namun maksud setia bagi mereka yang telah keluar parti mungkin kesetiaan mereka adalah pada parti bukan pada individu.

Justeru itu seperti kata Dr Mahathir, Umno pimpinan Najib sekarang bukan lagi Umno yang asal tetapi adalah parti Najib!!

Dalam ertikata lain,  Umno hari ini adalah Umno untuk mempertahankan Najib.

Sikap Najib memuji Pak Lah sebagai pemimpin contoh dan teladan tidak memberi sebarang impak dan kesan.

Kerana sebahagian besar rakyat dapat menilai dan mampu membuat perbandingan kualiti ketokohan pemimpin seperti Pak Lah dengan tokoh-tokoh seperti Daim, Rafidah dan Rais.

Apa lagi mahu dibuat perbandingan dengan ketokohan Dr Mahathir yang boleh diibaratkan seperti langit dan bumi. 

Jumaat, 6 April 2018

Bagi Dalil Kenapa Najib Tidak Boleh Menang Dua Pertiga?

Cara Umno dan BN memulakan perang terhadap Pakatan Harapan sebelum tiupan serunai Pru14 adalah seperti gerakan tentera bersekutu diketuai Amerika menyerang Saddam Hussein di Iraq.

Persis itulah keadaannya apa yang berlaku dalam suasana politik semasa negara.


Dalam usaha menjatuhkan regim Saddam dan menakluki Iraq,  Amerika dan negara bersekutu telah melancarkan serangan udara bertubi-tubi secara konsisten terhadap bumi Iraq. Semua tempat strategik seluruh Iraq menjadi sasaran jet-jet pengebom dan peluru berpandu.

Setelah semua sasaran berjaya dimusnahkan dan dihancurkan, maka barulah gerakan darat bergerak masuk ke bumi Iraq.

Terbukti gerakan tentera bersekutu menceroboh dan menakluki bumi Iraq mengambil masa singkat dan tidak menghadapi banyak kesukaran untuk  menawan kota Baghdad.

Keadaan ini jugalah sama sedang berlaku senario perang Pru14 antara BN dan Pakatan Harapan.

Selesainya proses persempadanan semula kawasan pilihanraya, berkuatkuasanya RUU Anti Berita Tidak Benar dan yang terkini arahan RoS terhadap pembubaran parti PPBM (Bersatu) dan lain-lainnya yang berkaitan - maka secara umumnya BN telah pun berjaya mengekang dan melemahkan kedudukan PH sebelum masuk medan tempur.

Justeru telah cukup bersedia BN bagi menyerang dan menghapuskan PH ketika pihak pembangkang itu dalam keadaan diikat dan tidak mampu bergerak bebas.

Inilah politik!! Perang saraf bagi melemahkan pihak lawan atas nama demokrasi ! Gambar Dr Mahathir pun menjadi larangan dijadikan poster kempen semasa mengundi. Kerana gambar si tua 93 tahun itu mampu mempengaruhi tsunami para pengundi.

Pada BN dan pendekar Bugis, tolong bagi alasan dan dalil kenapa BN tidak boleh menang majoriti dua pertiga di Parlimen pada Pru14 ini?? 

Isnin, 2 April 2018

Imej Bugis Sudah Tercemar...

Tidak pernah ada Perdana Menteri Malaysia sejak Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, Dr Mahathir, Abdullah Badawi sehingga Najib Razak - seorang PM bercakap bodoh seperti PM sekarang yang mengaku dirinya "Pendekar Bugis".

Dahulu dia mengakui dia adalah pahlawan Bugis. Sehari dua ini semakin dekat Pru14, dia sebut pula dia sebagai pendekar!

Adoi lah... tak payah sebutlah pahlawan atau pendekar Bugis.  Semua itu tidak memberi kesan apa-apa pada negara dan rakyat.


Yang perlu adalah usaha dan tindakannya membela nasib rakyat dan paling utama memulihkan imej negara dan maruahnya sebagai pemimpin.

Tak guna sebagai pendekar sekiranya tidak berani bertindak terhadap Jho Low yang telah merosakkan nama negara kerana skandal 1MDB. Bukan sahaja negara malah nama Umno turut terpalit.

Cakap-cakap bodohnya terlalu banyak sekiranya hendak   disenaraikan. Rasanya malas nak sebut satu persatu.

Salah satunya yang terbaru adalah janjinya pada para pesawah seluruh negara sekiranya mereka mengundi BN pada Pru14 ini dan BN berjaya mempertahankan Putrajaya - malam itu juga dia mahu menaikkan bantuan khas para pesawah!

Nampak sangat dia dah tersepit dan mengharapkan undi daripada para pesawah.  Kenapa mahu tunggu selepas BN diistiharkan menang ?

Betullah seperti tuduhan Dr Mahathir, dia ini suka menaburkan wang untuk mendapat sokongan - Cash Is King.

Memang betul juga seperti kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz, pemimpin yang mengaku pendekar Bugis ini telah mencemar nama baik seluruh keturunan Bugis.

Isu derma 2.6 billion, 1MDB, dan ketelusan pengurusan dalam Felda, MARA dan Tabung Haji telah meletakkan kerajaan dibawah paras defisit.

Lagi pula gelaran pendekar Bugis itu kelihatan seperti kebudak-budakan dan bodoh kerana pendekar itu tidak sanggup bersemuka dan berdebat dengan pemimpin tua berusia 93 tahun.

Semakin banyak dia bercakap semakin nampak kurang cerdiknya.