Sabtu, 26 Mei 2018

Salahuddin Ayub Menteri Pertanian yang baru...

Tahniah kepada Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah yang dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau adalah seorang ahli politik yang mempunyai imej yang bersih dan lembut. Namun sekiranya diikuti sejarah penglibatannya dalam politik parti beliau adalah seorang yang cekal dan mempunyai prinsip yang tegas dan jelas dalam perjuangannya membela rakyat.

Jawatan Menteri Pertanian amatlah sesuai dengan perwatakan dan iltizamnya dalam memperjuang nasib rakyat terutama golongan petani yang memerlukan pemimpin yang mampu meningkatkan martabat sektor pertanian di negara ini.

Salahuddin Ayub

Mungkin Menteri Pertanian tidaklah sehebat dan glamor seperti Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan yang dikira sebagai antara kementerian paling kanan dan penting dalam kabinet.

Namun begitu kementerian Pertanian tetap penting dan menjadi medan ujian bagi seseorang pemimpin membuktikan kemampuannya mencari idea bagi membangun sektor pertanian negara yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar rakyat seperti petani, penoreh, nelayan dan sebagainya.

Sekiranya diimbas sebelum ini Menteri Pertanian pernah disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Allahyarham Datuk Seri Sanusi Junid dalam kabinet Dr Mahathir (1981-2003).

Kedua tokoh ini adalah pemimpin besar dan penting dalam politik negara. Mereka berdua diberi tugas memainkan peranan dalam sektor pertanian negara.

Anwar berada di kementerian Pertanian agak singkat. Manakala Almarhum Sanusi banyak memberi idea-idea menarik seperti kempen minum air koko, kelapa muda dan menanam padi atas bumbung.

Jelas sekali kedua tokoh ini berjaya memberi imej hebat dan menarik pada kementerian Pertanian yang selalu dianggap kementerian paling bawah dan kurang penting berbanding kementerian lain.

Justeru itu kali ini dengan Salahuddin sebagai Menteri Pertanian yang baru mampu melakukan perubahan dan kemajuan lebih hebat dari apa yang telah dilakukan oleh dua tokoh hebat sebelum ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan