Isnin, 30 April 2012

Kesan himpunan Bersih

Anwar Ibrahim paling gembira
DATUK Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang paling gembira di dunia setelah apa yang berlaku di perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Sekiranya perhimpunan itu berjalan secara aman dan tidak ada insiden yang berlaku, maka ia tidak akan mendapat liputan dan publisiti meluas di dalam dan luar negara.

Setidak-tidaknya kini tercetus tuduh menuduh antara pihak polis dan para demonstrasi yang memulakan provokasi sehingga berlakunya aksi ganas dan serang menyerang mengakibatkan kecederaan kedua pihak.

 Kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak telah memberi kesan dan imej buruk pada kerajaan. Dan Anwar yang bermula sebagai pemimpin pelajar adalah seorang yang mahir dan pakar dalam soal tunjuk perasaan dan demonstrasi.

Sejak berada di luar kerajaan sehinggalah pada ketika beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah berjaya menggunakan kaedah berdemonstrasi sebagai tindak balas. Dengan kebolehannya berpidato beliau mampu mempengaruhi dan menguasai para pengikutnya.

Pada 2008 sebelum pilihanraya umum beliau adalah antara orang yang berperanan meletusnya tunjuk perasaan kumpulan Hindraf yang telah memberi impak besar terhadap kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dan kali ini beliau sekali lagi berjaya menimbulkan suasana yang sama sempena hampirnya PRU 13. Dengan kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan telah memberi sedikit momentum pada parti pembangkang sebelum pilihanraya umum.

Pihak kerajaan sentiasa mencari jalan mengekalkan suasana aman. Namun bagi pembangkang, terutamanya Anwar, sekiranya tiada kekecohan dan demonstrasi jalanan seolah tidak akan menguntungkan mereka. Bila ada berlaku insiden atau tragedi mereka boleh terus hidup dengan memanipulasi apa yang terjadi.

Secara mudahnya jika semuanya berjalan licin, aman dan tenteram tidak akan menyenangkan mereka. Mereka mahu lihat keadaan kacau dan bergolak dalam masyarakat supaya ia boleh memburukkan imej kerajaan.

Sebagai pengundi yang akan menentukan kerajaan yang dipilih nanti mestilah membuat pilihan sama ada memilih parti yang suka pada keamanan atau pemimpin yang gemar pada suasana kacau dan tidak tenteram supaya dapat menutup kelemahan mereka.

Ahad, 29 April 2012

A. Samad Said

Dari Sasegerawan Negara
hingga Sasegerawan Jalanan...



Unggun BerSHIT !

Demonstrasi jalanan

Kerajaan perlu lebih tegas
KUALA LUMPUR kembali aman dan seperti sediakala hari ini setelah berlaku demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang disokong parti-parti pembangkang kelmarin.

Seperti dijangka berlaku insiden yang tidak diingini antara pihak tunjuk rasa dan polis yang mengakibatkan kecederaan dan tangkapan. Malah berlaku kerosakkan pada harta benda dan kemudahan awam. Sampah sarap bertimbun di merata tempat.

Sehari sebelum demonstrasi itu pihak polis telah berjaya mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka - lokasi pilihan penganjur Bersih 3.0.

Justeru itu segala tindakan polis adalah melaksanakan larangan dan penguatkuasaan perintah mahkamah tersebut. Tetapi seperti biasa bila berlaku kekecohan pihak polis akan dipersalahkan. Anggota polis yang bertugas bukanlah batang kayu berdiri tanpa berbuat sesuatu. Apatah lagi bila mereka dicemuh dan dicabar dari para demonstrasi.

Kecederaan yang dialami beberapa anggota polis adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Negara mempunyai undang-undang yang perlu dihormati dan dilaksanakan. Sekiranya orang awam tidak lagi menghormati undang-undang, maka demokrasi akan bertukar menjadi anarki.

Bila anarki wujud tidak ada siapa yang akan selamat dan hidup aman di dalam negara. Oleh itu demokrasi perlulah digunakan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan kerana akibatnya amatlah buruk lebih-lebih lagi negara ini yang berbilang bangsa dan agama.

Demokrasi di Malaysia tentulah tidak sama dengan apa yang diamalkan di negara-negara barat dan maju. Kita mempunyai sistem demokrasi berdasarkan acuan kita sendiri. Apa yang baik diamalkan di barat belum pasti ianya sesuai di sini.

Tunjuk rasa dijalanan, mencabar pihak polis, merosakkan harta awam dan sebagainya bukanlah budaya masyarakat timur, terutama adab orang-orang melayu yang tidak sesekali bersikap kurang ajar. Budaya ini adalah budaya Kuning yang ditiru dari barat.

Sudah sampai masa kerajaan perlu bertegas dan tidak boleh berlembut dengan demonstrasi jalanan seperti ini berulang di masa akan datang. Oleh kerana kerajaan mengambil sikap lembut dan bertolak ansurlah maka ia ditafsirkan sebagai satu kelemahan di pihak kerajaan.

Kerajaan perlu berani dan tegas dalam hal ini walaupun ia boleh menjejaskan sedikit populariti kerajaan. Majoriti rakyat dan negara ini sudah tentu tidak mahu melihat suasana demonstrasi seperti ini akan menjadi satu acara tahunan.

Mereka yang berdemonstrasi adalah sebahagian kecil kumpulan masyarakat dalam negara. Bagaimana dengan sebahagian besar "silent majority" yang senyap dan tidak bersuara. Kepentingan mereka juga perlu diambil kira oleh kerajaan.

Jangan sampai kumpulan minoriti pula yang kelihatan lebih berkuasa dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Kerajaan mesti bertindak tegas sebelum terlambat.

Gambaran himpunan Bersih

Dari Bersih bertukar jadi BerSHIT !

                                          Kelihatan sebuah kenderaan polis remuk
 
Seorang anggota polis cedera

Jumaat, 27 April 2012

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PRU 13 : Penentu masa depan politiknya
PARTI pembangkang mengira PRU 13 ini merupakan pilihanraya terakhir buat Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa di Putrajaya.

Malah ada yang meramalkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi Presiden Umno pertama yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen nanti.

Dalam politik lebih-lebih lagi dekat dengan pilihanraya bermacam ramalan akan timbul terutamanya dari para ahli nujum Pak Belalang.

Apakah Najib akan menjadi Ketua pembangkang ? Atau Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri ke tujuh negara ? PRU 13 yang disebut sebagai ibu segala pilihanraya akan menjadi medan penentuan.

Bagi Anwar Ibrahim, PRU 13 adalah amat penting dalam menentukan masa depannya dalam politik tanahair.  Mahkamah keadilan telah pun membebaskannya dari tuduhan liwat. Kini giliran "mahkamah rakyat" pula membuat keputusan apakah beliau benar bersih dan bebas dari segala tuduhan liar bersabit isu peribadinya.

Sebelum ini Anwar sering mempertikai keadilan dan kebebasan mahkamah di negara ini. Beliau sering merujuk istilah "mahkamah rakyat" sebagai medan bagi mencari kebenaran dan keadilan. Nah, masanya sudah tiba mahkamah rakyat membuat pilihan dan keputusan bagi menentukan masa depan politiknya.

PRU 13 ini adalah yang terakhir buat Anwar; hidup atau mati. Sekiranya Pakatan Rakyat gagal menguasai Putrajaya, maka peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri akan berkubur begitu sahaja dan tidak mungkin ada harapan lagi pada masa hadapan.

Sebab itulah Anwar kini bertungkus lumus dan berhabis-habisan berkempen untuk memastikan peluang dalam PRU 13 ini tidak terlepas begitu sahaja. Dia tahu sekiranya dia gagal dalam pilihanraya kali ini, dia boleh melupakan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Tidak ada peluang dan harapan lagi untuknya pada PRU 14 ?

Soalnya, apakah beliau akan akur dengan keputusan rakyat dalam PRU 13 nanti ? Tidak akan timbul masalah jika dia berjaya menjadi Perdana Menteri kelak. Tetapi sekiranya BN terus berkuasa dan Pakatan Rakyat kalah teruk; bolehkah dia menerimanya ?

Justeru itu para pemimpin politik akan melakukan apa sahaja bagi menentukan kemenangan. Mereka bertindak seperti orang "desperate" atau istilah desperado iaitu sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai. Kerana mereka tahu dalam "pertarungan" kali ini akan menentukan hidup atau mati.

Jose Mourinho

Tangguh hasrat musim depan
REAL MADRID tersingkir di separuh akhir Champions League atau Piala Juara setelah tewas pada Bayern Munich 3-1 melalui tendangan penalti selepas 120 minit bertarung.

Bayern akan bertemu Chelsea di final di Stadium Alianz Arena, Jerman bulan depan.

Orang yang paling kecewa dengan kegagalan Real Madrid masuk ke final kejuaraan Eropah ini tentunya Jose Mourinho yang terkenal dengan gelaran "The Special One" dalam dunia bolasepak.

Sekiranya ditakdirkan Real berjaya melangkah ke final, Mourinho berpeluang mencatat sejarah sebagai pengurus yang berjaya membawa tiga pasukan berlainan menjuarai Piala berprestij itu. Sebelum beliau ke Stamford Bridge, Mourinho telah berjaya membawa kelab Porto dari Portugal menjuarai Piala Juara-Juara.

Kemudian setelah berjaya meletakkan Chelsea dipersada Liga EPL untuk beberapa musim mengatasi Manchester United, beliau berhijrah ke Serie A memimpin kelab Inter Millan. Di Inter beliau sekali lagi membuktikan kehebatan beliau dengan berjaya meletakkan Inter sebagai Juara Liga Serie A dan seterusnya memenangi Piala Juara-Juara dua tahun lalu dengan menewaskan Bayern Munich.

Setelah melakar sejarah di Itali beliau berhijrah pula ke Santiago Bernabeu bagi mengendalikan sebuah kelab paling mencabar di Eropah. Sepanjang berada di Real Madrid pencapaiannya tidak mengecewakan kerana hingga kini Real berada di tangga teratas La Liga mengatasi Barcelona. Dan mempunyai peluang besar menjuarai La Liga musim ini setelah ianya dikuasai Barcelona beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan tumpasnya Real di tangan Bayern dalam separuh akhir Piala Juara; hasrat dan impian Mourinho untuk mencatat "treble" dalam Champions League tidak kesampaian. Beliau perlu menunggu musim depan bagi memenuhi hasrat dan impiannya. Ironinya, pasukan yang memusnahkan harapannya ialah Bayern Munich - pasukan yang ditewaskannya semasa membantu Inter menjuarai Piala Juara dua tahun lalu.

Dalam perlawanan akhir antara Bayern Munich dan Chelsea bulan depan di Alianz Arena, Jose Mourinho telah pun memilih bekas pasukannya Chelsea sebagai pasukan pilihan menjuarai Champions League atau Piala Juara-Juara musim ini.





Rabu, 25 April 2012

Real Madrid lwn Bayern Munich

Bertemu Chelsea di final
SETELAH Barcelona tersingkir dari Piala Juara-Juara secara mengejut pada Chelsea dengan agreget 3-2 - apakah akan berlaku satu lagi kejutan pertemuan antara Real Madrid - Bayern Munich pagi ini ?

Pertemuan pertama di Jerman, Bayern mengatasi Real 2-1. Real Madrid hanya perlu menang satu gol kosong dalam pertemuan di Santiago Barnabeu hari ini bagi pusingan separuh akhir kedua.

Di peringkat kemuncak begini apa sahaja boleh berlaku. Tidak ada istilah pasukan pilihan atau "favourite". Perlawanan antara Barcelona dan Chelsea menjadi bukti betapa pasukan "underdog"seperti Chelsea mampu melakukan kejutan dengan menyingkirkan Barca; sebuah pasukan yang mempunyai stail permainan paling menarik di dunia.

Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho tentunya akan berhati-hati dengan apa yang menimpa terhadap Barcelona. Mourinho juga sudah pasti tidak akan melepaskan peluang membawa pasukannya ke final Piala Juara-Juara kali ini. Sekiranya beliau berjaya, beliau akan mencatat sejarah sebagai pengurus pertama di dunia membawa tiga pasukan berlainan di bawahnya ke puncak final. Mourinho telah berjaya membawa Porto dan Inter Millan menjuarai Piala Juara-Juara sebelum ini.

Dan mungkin impian paling bererti baginya ialah dapat bertemu dengan bekas pasukan bimbingannya, Chelsea di perlawanan akhir. Apakah Mourinho akan berjaya memenuhi impiannya ?

Apa yang pasti Bayern Munich tidak akan memberi laluan mudah buat Real dan Mourinho. Apakah Bayern akan mengulangi kejutan seperti Chelsea lakukan pada Barcelona ? Peluang adalah 50-50 untuk kedua pasukan. Yang pastinya bermain di Stadium Barnabeu tidak memberi kelebihan pada Real Madrid.

Liga Juara-Juara

Chelsea catat sejarah
PASUKAN pilihan Barcelona akhirnya tumbang ditempat sendiri bila seri 2-2 dengan Chelsea dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Juara-Juara.

Dalam perlawanan pertama di Stamford Bridge, Chelsea menang 1-0.

Pemain Barca yang paling sedih dengan kekalahan ini ialah penyerang Lionel Messi. Pada ketika Barca sedang mendahului 2-1 - mereka dihadiahkan sepakan penalti. Tendangan penalti Messi terkena palang gol yang sepatutnya memberi peluang pada mereka mendahului 3-1.

Dengan gagalnya sepakan penalti itu, permainan Barcelona bertambah tertekan. Ini tambah pula dengan Chelsea yang bermain 10 orang setelah John Terry dibuang padang. Barca hampir menguasai keseluruhan permainan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan Chelsea.

Prestasi Chelsea pula diluar jangkaan; bermain dengan 10 pemain mereka begitu disiplin dan fokus sepanjang perlawanan. Boleh dikatakan hampir semua pemain turun bertahan di kawasan kotak penalti. Dan ini menambah kesukaran para pemain Barca mencari ruang ke arah pintu gol.

Pada ketika kedudukan 2-1 dan perlawanan hampir tamat, Fernando Torres yang masuk menggantikan Didier Drogbha telah memusnahkan impian Barca dan penyokongnya dengan jaringan pada minit ke 90.

Kejayaan Chelsea ini adalah sesuatu yang dinantikan pemiliknya Roman Abramovich dan penyokongnya setelah kedudukan pasukan itu terumbang ambing dan gagal meraih sebarang kejayaan. Orang yang paling gembira tentunya, Roberto di Matteo, "Interim Manager" yang mengambilalih tugas Andre Villas Boas yang dipecat. Dengan kejayaan ini Roberto kemungkinan akan dilantik secara kekal sebagai pengurus Chelsea.

Begitu juga buat Fernando Torres yang mana prestasinya tidak menentu sebelum ini akan menyimpan kenangan manis sebagai penjaring gol kemenangan dan seterusnya mencatat sejarah buat Chelsea dalam Liga Juara-Juara. 

Isnin, 23 April 2012

Terkenang Suharto

Rakyat masih mengingatinya
PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semakin tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Masalah korupsi dalam pentadbiran kerajaan semakin parah dari pandangan umum.

Langkah kerajaan memotong subsidi dan menaikkan harga minyak telah membangkitkan lagi kemarahan rakyat yang telah pun marah dengan kepimpinan Susilo.

Susilo adalah Presiden ke enam republik itu selepas Megawati Sukarnoputeri. Pada mula pentadbirannya, Susilo begitu popular dan berjaya menarik sokongan sebahagian besar rakyat. Kini popularitinya semakin menurun akibat masalah rasuah yang masih menyelubungi kerajaan pimpinannya.

Selepas Suharto jatuh di era reformasi dan kebangkitan rakyat republik itu telah mengalami banyak pembaharuan dan perubahan. Tidak dinafikan banyak berlaku pembaikan. Namun kebanyakan rakyat kini terkenang kembali zaman Suharto. Walaupun semasa beliau sebagai Presiden imejnya dianggap sebagai seorang diktaktor, namun beliau berjaya mengangkat martabat dan maruah Indonesia di mata dunia. Beliau juga berjaya mengekalkan kestabilan negara dan disegani kuasa-kuasa luar.

B.J. Habibi, penggantinya tidak dapat bertahan lama dan tidak berkemampuan mengekalkan imej dan reputasi Indonesia seperti masa Suharto. Timor Timur yang menjadi sebahagian wilayah Indonesia terpaksa dilepaskan. Habibi tunduk pada tekanan antarabangsa agar diadakan pungutan suara bagi menentukan masa depan wilayah itu.

Selepas Habibi muncul Abdurrahman Wahid, pemimpin Nahdatul Ulama menjadi calon Presiden. Abdurrahman yang cacat penglihatan jelas tidak mampu membawa Indonesia ke tahap lebih tinggi sebagaimana harapan besar rakyat. Beliau hanya mencatat sejarah sebagai Presiden Indonesia yang paling banyak dan kerap ke luar negara; walaupun jangka masa pemerintahannya singkat.

Setelah Abdurrahman digantikan dengan Naib Presiden, Megawati Sukarnoputeri, Indonesia terus kehilangan punca mencari seorang pemimpin yang karismatik dan kuat. Megawati juga gagal seperti Habibi dan Abdurrahman.

Maka muncul Susilo Bambang yang kelihatan menyakinkan dan penuh harapan. Pada awalnya Susilo tidak mengecewakan dan memberi harapan seluruh rakyat republik itu yang memerlukan seorang Presiden sekuat Sukarno dan Suharto.

Namun masalah korupsi yang tenat dan sukar diperangi dalam pentadbirannya telah memberi imej negatif terhadap Susilo di mata rakyat terbanyak. Dengan lain-lain masalah dalaman dan reputasi Indonesia di arena antarabangsa tidak sehebat zaman Suharto. Rakyat kini mula mempersoalkan dan mempertikaikan kredibiliti Susilo sebagai Presiden.

Mereka mula bercakap dan mengenang zaman Suharto yang dianggap lebih baik berbanding zaman sesudahnya. Suharto tidak sempurna dan banyak kelemahan, namun para penggantinya tidak sehebat Suharto dalam mentadbir dan menerajui republik itu.

Suharto bukan sahaja dikenang rakyatnya, tetapi juga turut dirasai jiran serumpunnya, Malaysia. Di bawah Suharto kedua negara serumpun telah menjalin hubungan begitu erat dan akrab ibarat "cubit peha kanan sakit peha kiri." Kini hubungan kedua negara mengalami pasang surut yang tidak menentu bukan seperti era beliau yang harmoni dan konsisten.

Malaysia juga terhutang budi dengan Suharto yang memainkan peranan penting menamatkan konfrontasi terhadap negara ini satu masa dahulu.

   

Ahad, 22 April 2012

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir

Bukan tokoh penting
LANGKAHNYA keluar dari Umno tidak memberi kesan besar pada parti. Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir bukan pemimpin besar dalam parti dan negara.

Dalam Umno jawatan paling tinggi dipegangnya hanya Ahli Majlis Tertinggi. Dia bukan pemimpin Pemuda Umno dan tidak pernah bertanding pun untuk jawatan Naib Presiden.

Bukan kerana dia tidak ingin bertanding dalam jawatan tertinggi itu, tetapi sebenarnya dia tidak layak. Ertinya, Tan Sri Kadir bukanlah pemimpin parti yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan penting parti.

Dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad dia dilantik menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dia adalah Menteri Penerangan. Itulah sahaja dua jawatan tertinggi yang dipegangnya sepanjang berada dalam kerajaan.

Semasa Umno berpecah dua kumpulan antara Team A dan Team B; Tan Sri Kadir berada di dalam Team B bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam menentang Dr. Mahathir dan Ghafar Baba yang mengetuai Team A.

Kali ini dia bersama Tengku Razaleigh lagi dalam pertubuhan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) sebuah badan yang separuh hidup dan separuh mati. Dalam Amanah Tan Sri Kadir adalah Timbalan pada Tengku Razaleigh yang memegang jawatan Pengerusinya.

Yang menariknya, Timbalan sudah pun keluar dari Umno tetapi Pengerusinya belum lagi ! Seorang di dalam dan seorang lagi di luar; walaupun nada mereka berdua adalah sama terhadap Umno.

Dalam politik Tengku Razaleigh lebih berpengaruh dari Kadir. Setakat Kadir yang keluar Umno ia tidak memberi kesan apa-apa pada parti. Dia kini boleh mengecam apa saja tentang Umno - parti yang telah memberi nikmat padanya sepanjang karier sebagai ahli politik.