Selasa, 25 Oktober 2011
Masa depan Libya
PEMIMPIN kerajaan sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil, menegaskan
bahawa Libya akan menjadi sebuah kerajaan Islam yang moderat. Beliau
menolak kemungkinan Libya mengambil pendirian melampau atau ektremis
agama dalam menentukan hala tuju Libya yang baru.
Setelah era Muammar Gaddafi berakhir selama 42 tahun kini Libya
menghadapi tugas dan cabaran amat besar bagi membangun kembali
negara dan menyatupadukan rakyat.
Apakah selepas ini Libya akan terus membangun dan aman ? Atau ianya
akan terus bergolak diantara puak-puak tertentu yang bersengketa seperti
mana berlaku di Afghanistan dan Iraq ?
Kalaulah Libya mengalami nasib yang sama dikedua negara Islam tersebut
maka sahlah campurtangan kuasa asing dalam usaha menjatuhkan rejim kuku
besi yang sedia ada tidak menjamin keamanan dan kemakmuran negara tersebut.
Seorang ahli Parlimen British dalam satu wawancara dengan agensi berita
baru-baru ini berkata bahawa bantuan dan peranan NATO dalam membantu
puak pemberontak Libya di dalam keadaan negara-negara barat sedang menghadapi
krisis ekonomi yang tenat harus "dibayar" balik segala kosnya - melalui perkongsian
kos ketenteraan secara bersama.
Menurutnya, kalau NATO sanggup membantu dalam keadaan ekonomi anggotanya
tenat, maka rakyat Libya tentunya boleh berkorban dengan "memberi balik" dalam
bentuk pemberian hasil minyak dan sebagainya.
Jika ini pendirian rasmi pakatan NATO maka apa sahaja kerajaan yang dibantunya
dimasa hadapan berdepan dengan risiko yang besar. Kerajaan yang akan ditubuhkan
di Libya nanti tidak boleh berkiblat selain dari barat atau NATO.
Sekiranya, kerajaan baru Libya mengambil pendekatan berkonfrontasi dengan
barat sebagaimana Iran, tidak mustahil Libya akan kembali bergolak dengan
pelbagai masalah yang akan ditimbulkan.
Kini soal isu siapa yang membunuh Gaddafi serta 50 orang pengikutnya yang
dibunuh secara kejam telah gesa diadakan satu siasatan oleh Badan Hak Asasi
Kemanusiaan untuk mencari siapa yang bertanggungjawab.
Pihak NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan dan puak-puak tertentu sudah
pasti tidak akan menyerahkan mereka yang bertanggungjawab dalam insiden
tersebut.
Dan ini tentunya akan menjadi punca bibit-bibit perpecahan dalam kerajaan
sementara dan anggota tentera pemberontak.
Khamis, 20 Oktober 2011
Gaddafi mati dalam pertempuran
ALJAZEERA mengesahkan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi
mati terbunuh dalam satu pertempuran ditempat kelahirannya, Sirte.
Sirte adalah satu-satunya wilayah yang dikuasai penyokong setia
Gaddafi setelah Bani Walid jatuh ketangan pihak tentera NTC (Majlis
Peralihan Kebangsaan).
Dengan wilayah Sirte dikuasai sepenuhnya oleh NTC, maka Libya
kini bebas sepenuhnya dari sisa-sisa penyokong Gaddafi yang disahkan
terbunuh dalam percubaannya meninggalkan bandar Sirte yang telah
dikepung.
Ada laporan menyatakan semasa Gaddafi ditawan beliau masih hidup.
Tidak dapat dipastikan apa yang berlaku selepas ditawan pemimpin
itu terkorban akibat mengalami kecederaan yang parah.
Sebelum ini banyak laporan menyatakan bahawa Gaddafi sedang
bersembunyi di kawasan gurun pasir bersempadan dengan Algeria.
Perihal pemimpin itu bersembunyi di wilayah Sirte - tempat kelahirannya
mengejutkan banyak pihak.
Pihak NATO sendiri sebelum ini mengesahkan bahawa mereka akan
mengesan kedudukan Gaddafi melalui satelit. Dan apa yang berlaku
menyebabkan kematian pemimpin tersebut adalah hasil serangan tentera
NATO terhadap konvoi pemimpin itu yang dikatakan sedang cuba
melarikan diri keluar dari Sirte.
Dengan terkorbannya Gaddafi, maka hasrat banyak pihak, terutama
NTC untuk membicarakannya di mahkamah terbuka sepanjang pemerintahannya
selama 40 tahun tidak tercapai.
Namun dengan tertangkapnya beberapa orang penting semasa pemerintahan
Gaddafi seperti Moussa Ibrahim - dapat membongkar segala rahsia
penting sepanjang 40 tahun kekuasaannya.
Semasa Gaddafi masih menguasai bandar Tripoli diawal kebangkitan
rakyat menentangnya; beliau telah berikrar akan menentang pihak
pemberontak hingga ke titisan darah terakhir dan tidak akan meninggalkan
Libya.
Muammar Gaddafi telah pun memenuhi hasrat dan ikrarnya.
Rabu, 19 Oktober 2011
Ganu kite memang nelang
SETELAH berjaya menyingkirkan juara tahun lalu Kelantan dalam
suku akhir Piala Malaysia, semalam Selangor pula ditumbangkan
di Shah Alam oleh Trengganu dengan jaringan 2-0 dalam separuh
akhir pertama.
Dengan kelebihan dua gol di tempat lawan, tugas pasukan Trengganu
Sabtu ini dilaman sendiri akan menjadi lebih mudah. Tidak keterlaluan
jika dikatakan sebelah kaki Penyu sudah pun berada di final 2011.
Tahun ini pasukan Penyu telah pun menjuarai Piala FA menewaskan
Kelantan dalam satu perlawanan menarik. Nampaknya, berdasarkan
persembahan anak buah Irfan Bakti ini peluangnya untuk merampas
Piala Malaysia tahun ini begitu cerah.
Apatah lagi barisan pemain Trengganu kali ini begitu sempurna
dengan Marzuki Yusof mengemudi di bahagian pertahanan, Joseph
Kalang Tee yang begitu agresif dibahagian tengah dan barisan
penyerang pula terdiri dari tiga serangkai yang berbisa; Ashaari Mohamad,
Abdul Hadi Yahaya dan Abdul Manaf Mamat.
Dengan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim yang sudah terbukti kebolehannya,
peluang Trengganu untuk mencatat sejarah dengan memenangi "double" -
Piala FA dan Piala Malaysia tahun ini terbuka luas.
Kelebihan dua gol ke atas Selangor pada Sabtu ini di Kuala Trengganu
hanya "miracle" sahaja mampu menyekat Penyu untuk ke final 2011 di
Shah Alam.
Dan lawannya di final hampir pasti ialah Negri Sembilan yang kini
sedang mendahului pasukan T-Team juga dengan kelebihan dua gol.
Piala FA sudah dalam dakapan. Kini giliran Piala Malaysia pula menanti.
Ganu kite memang nelang.
Selasa, 18 Oktober 2011
Sebongkah batu di Kuala Berang
SEMALAM sedang asyik memegang dan membelek-belek buku
dalam sebuah kedai buku yang bertimbun banyaknya hingga ke lantai,
saya terlihat senaskah buku berukuran kecil molek - di atasnya terpampang
Faisal Tehrani - menarik perhatian saya.
Ada dua faktor menggerakkan hati untuk mencapainya. Pertama; nama
pengarangnya dan kedua tajuknya, "Sebongkah Batu di Kuala Berang."
Faisal Tehrani, seorang pengarang muda yang kreatif dan berkelulusan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari UM, Ijazah Sastera
dari USM dan Doktor Falsafah dari UKM.
Beliau cukup kreatif dalam menghasilkan karya; cerpen, novel dan artikel
yang sering mencabar minda pembacanya. Saya tertarik dengan karya
Faisal kerana ia sarat dengan mesej dan pengetahuan serta stail
penyampaiannya yang serius.
Saya sebenarnya bukanlah seorang pembaca novel atau karya kreatif
yang tegar, namun setiap karya beliau menarik perhatian saya. Membaca
karya Faisal seolah mengunyah, menikmati segala isi kandungannya.
Sebongkah Batu di Kuala Berang adalah karyanya yang terbaru. Saya
belum lagi mula membacanya. Hanya pegang dan membelek-beleknya.
Biasanya saya akan membacanya secara perlahan sambil menikmati
segala bahan di dalamnya agar dapat dikunyah sepuasnya.
Yang pasti ada mesej tertentu yang hendak disampaikannya lewat
karya terbaru beliau ini.
Di sebalik pembebasan Gilad Shalit
PROSES pertukaran tahanan Palestin seramai 1027 orang dengan
seorang tentera Israel, Gilad Shalit sedang berjalan.
Di Israel sebahagian rakyatnya yang tidak bersetuju dengan perundingan
pembebasan ini telah membuat petisyen di mahkamah untuk menghalangnya
dari berkuatkuasa. Bagaimanapun, mahkamah Israel telah menolak
permohonan tersebut.
Kebanyakan rakyat Israel menganggap pertukaran ini sebagai tidak
adil. Bagi mereka, adil ialah satu lawan satu dan bukannya seribu.
Tetapi inilah harga yang perlu dibayar oleh rejim Israel bagi
menyelamatkan nyawa seorang tenteranya yang menjadi tawanan
Hamas semenjak 2006.
Rundingan pertukaran antara seorang tentera Israel dengan tahanan
Palestin bukanlah baru. Ia telah berlaku banyak kali sejak tahun 80an.
Kini masih terdapat 11,000 orang warga Palestin yang ditahan di penjara
Israel.
Bagi pejuang Hamas ini adalah satu-satunya cara bagi membebaskan
rakan-rakan mereka yang masih ditahan rejim itu. Rundingan demi
rundingan yang lalu tidak mencapai apa-apa kejayaan. Mereka tidak
menolak akan menggunakan kaedah yang sama iaitu dengan menawan
tentera Zionis itu bagi membebaskan rakyat Palestin pada masa hadapan.
Bagi rakyat Palestin pula yang tinggal di Gaza, wilayah yang dikuasai
Hamas, terpaksa membayar harga yang mahal disebabkan Gilad Shalit.
Kerana Shalit, Gaza telah diserang dan dibom saban waktu, malah dikenakan
berbagai sekatan hingga kehidupan di wilayah itu begitu perit dan sengsara.
Ada rakyat Palestin merintih kehidupan mereka menjadi sengsara semata-mata
kerana Gilad Shalit. Semasa Shalit menjadi tebusan pejuang Hamas, Israel
dipimpin oleh Ehud Olmet - yang telah mengambil tindakan ketenteraan
terhadap Hamas di Gaza.
Ramai yang terkorban dari operasi tentera Yahudi itu bagi menekan Hamas
agar membebaskan Shalit. Namun semuanya gagal sehinggalah Ehud Olmet
meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Israel.
Kejayaan rundingan Israel-Hamas di mana Mesir menjadi orang tengahnya
bagi melakukan pertukaran antara Shalit dan 1027 tahanan Palestin telah
mengembirakan kedua belah pihak terbabit.
Namun bagi setengah warga Israel yang mana anak dan keluarga mereka
menjadi mangsa serangan pejuang Hamas merasakan terancam dengan
bebasnya tahanan Palestin yang dikira terlibat dalam misi pejuang Hamas.
Begitu juga sebahagian rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa
tangkapan dan serangan dari operasi tentera rejim menyebabkan mereka
kehilangan ahli keluarga semata-mata kerana Gilad Shalit.
Apakah di masa hadapan akan ada lagi tentera Israel menjadi
tawanan pejuang Hamas dan seterusnya menjadi barang tawar
menawar bagi pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel ?
Ahad, 16 Oktober 2011
Kelantan akan bangkit lagi
DENGAN berakhirnya saingan Kelantan dalam Piala Malaysia
setelah kalah pada Trengganu 5-3 secara agreget, nasib masa depan
jurulatih Datuk M.Karathu menjadi perhatian.
Apakah beliau akan kekal sebagai jurulatih pada musim depan ?
Atau apakah KAFA akan mencari calon pengganti yang baru bagi
menghadapi saingan yang lebih sengit tahun depan ?
Walau apapun keputusannya, kegagalan Kelantan untuk mempertahankan
kejuaraannya pada tahun lepas tidak boleh dipikul oleh M.Karathu
seorang.
Semua pemain dan pegawai harus memikul tanggungjawab bersama
sebagai sebuah pasukan. Seperti kata Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa,
Kelantan tewas pada pasukan yang lebih baik.
Apa yang penting sekarang ialah fokus ke hadapan dan membuat
persiapan lebih rapi bagi mengembalikan kehebatan pasukan The Red
Warriors yang telah diiktiraf sebagai antara kelab terbaik di Asia dan
dunia.
Pencapaian dan pengiktirafan ini tidak boleh disia-siakan begitu
sahaja malah seharusnya menjadi pemangkin untuk melonjak
lebih jauh ke peringkat yang lebih tinggi.
Kelantan mempunyai segalanya, mungkin nasib tidak menyebelahi
mereka tahun ini. Namun apa pun Kelantan akan mewakili negara
dalam Kejohanan bolasepak AFC tidak lama lagi.
Di harap dalam kejohanan tersebut Kelantan akan bangkit dan
mencapai sesuatu sebagai penawar duka ekoran kegagalan
meneruskan dalam saingan Piala Malaysia.
Gomo Kelate Gomo !!
Amerika : Ekonomi dan perang
HUBUNGAN Amerika-Iran kembali tegang setelah kuasa besar
itu menuduh Iran terlibat dalam komplot cuba membunuh Duta
Arab Saudi di Washington.
Iran menafikan sekerasnya tuduhan tersebut dan menganggapnya
sebagai permainan kotor Amerika untuk mengenakannya dalam
bentuk berbagai tindakan bagi memencilkan Iran dalam dunia
antarabangsa.
Amerika sememangnya tidak berpuas hati dengan Iran yang kini
dalam proses membangun senjata nuklearnya. Berbagai langkah
telah diambil termasuk sekatan antarabangsa melalui PBB; namun
setakat ini kedudukan Iran tidak terjejas.
Lebih membimbangkan lagi ialah Arab Saudi yang merupakan
sekutu kuat Amerika. Hubungan Arab Saudi-Iran pula tidak pernah
harmonis dan sering menimbulkan saling mencurigai antara kedua
pihak.
Keadaan ini bertambah buruk dengan perkembangan yang berlaku
di Yemen dan Bahrain. Arab Saudi mempunyai hubungan yang rapat
dengan Ali Abdullah Saleh di Yemen dan pemerintah keluarga Di Raja
Bahrain.
Arab Saudi menuduh Iran cuba campurtangan dalam konflik yang
sedang bergolak sekarang. Di Bahrain, majoriti rakyatnya adalah
bermazhab Syiah. Manakala Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh,
adalah sekutu kuat Arab Saudi.
Sekiranya kedua kerajaan ini tumbang ekoran kebangkitan rakyatnya
yang menuntut perubahan; pengaruh Iran mungkin akan bertapak
di kedua negara tersebut. Dan inilah yang menjadi kebimbangan
Arab Saudi.
Jika ini berlaku maka tidak dapat dielakkan lagi yang Arab Saudi
juga akan menerima tempiasnya; tumbangnya pemerintah keluarga
Di raja.
Arab Saudi melalui sekutu kuatnya Amerika kini sedang mengikuti
kebangkitan pengaruh Iran di Timur Tengah. Amerika juga bimbang
jika kerajaan Arab Saudi kini tergugat kepentingan Amerika dan Israel
di rantau itu turut terjejas.
Jadi tuduhan bahawa Iran merancang melakukan pembunuhan Duta
Saudi di Washington itu mungkin ada kaitan dengan strategi kuasa
besar itu melakukan tindakan lebih keras terhadap Iran dan memencilkannya
dalam hubungan antarabangsa.
Seperti kata pegawai tertinggi tentera Amerika, pilihan untuk
menggunakan tentera terhadap Iran "masih terbuka" dan akan
ditentukan bila tiba masanya.
Apa yang menjadi tanda tanya : apakah Amerika bersedia untuk
ke kancah peperangan sekali lagi ? Dengan seluruh Eropah kini
dilanda tunjuk perasaan akibat kemelesetan ekonomi dan kegagalan
sistem kewangan dan perbankan barat; mereka menuntut dipulihkan
sistem ekonomi seluruh Eropah yang menuju keruntuhan.
Kini tunjuk perasaan bermula di Wall Street, New York dan telah
pun menular ke Rome, Sepanyol, London, malah Australia akibat
tidak berpuashati dengan sistem kewangan barat sekarang yang
lebih melindungi pihak bank dan korporat dari rakyat kelas bawah
dan menengah.
Barangkali, Amerika sedang mencari mangsa untuk dikambinghitamkan
bagi menutupi segala kelemahan yang dihadapi barat dan sekutunya.
Iran adalah sasarannya.
Sabtu, 15 Oktober 2011
Malaysia mesti bertindak tegas
INSIDEN segelintir rakyat Indonesia melontar batu, kayu dan
sebagainya ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
tidak boleh dipandang ringan begitu sahaja.
Mereka berdemonstrasi dan melempar kata-kata kesat kononnya
Malaysia telah mencerobohi sebuah wilayahnya di Kalimantan Barat.
Para penunjuk perasaan tidak ramai hanya sekitar 500 hingga 600 orang.
Apa yang jelas segala tuduhan itu tidak berasas dan tidak mempunyai
fakta. Mereka bertindak secara emosional dan tidak bertamaddun.
Sikap sedemikian lebih layak disamakan dengan orang yang tidak
mempunyai pendidikan asas yang cukup.
Para pemimpin Republik itu dan Menteri Pertahanannya sendiri
mengakui segala isu yang berbangkit tidak mempunyai asas dan
tidak benar.
Malah menurut Menteri Pertahanannya, laporan media tentang isu
ini telah memberi kesan psikologi terhadap Angkatan Bersenjata
Republik itu kerana mereka menjalani operasi bersama di sempadan
dengan Angkatan Tentera Malaysia di wilayah yang dipertikaikan.
Insiden sebegini kerap berlaku dan ini bukanlah kali pertama.
Dan seringkali Malaysia berada dipihak yang benar, manakala
Indonesia, terutamanya segelintir rakyatnya yang bersikap mengikut
perasaan dan bertindak sesuka hati.
Apakah punca sebenarnya ? Apakah ada anasir atau elemen yang
berniat jahat ingin merosakkan hubungan kedua negara serumpun ini ?
Namun apa pun Malaysia perlu bertindak tegas dalam soal ini; apa
yang sudah berlaku dan akan datang. Bukan mustahil kejadian seperti
ini akan berulang kali demi kali pada masa hadapan.
Ini adalah persoalan maruah negara dan kita bukan menjadi bahan
"buli" kepada sesetengah pihak di Republik itu. Pada dasarnya pihak
pemerintah Indonesia mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan
Malaysia dan mereka tidak sama sekali menyokong tindakan tidak
bertamaddun segelintir rakyatnya.
Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab pemerintah
Republik itu mesti bertindak dan menghukum mereka yang terlibat
dan bertanggungjawab terhadap insiden di Kedutaan Besar Malaysia
di Jakarta baru lalu.
Kerajaan Malaysia pula perlu mengambil tindakan politik terhadap
Indonesia sekiranya mereka yang terlibat tidak dibawa ke muka
pengadilan.
Malaysia tetap menghargai hubungan erat dengan jirannya yang
serumpun itu. Tetapi soal maruah tidak mungkin dikompromikan.
Titik.
Rabu, 12 Oktober 2011
Hubungan erat Russia-China
PEMIMPIN Russia, Valdimir Putin kini sedang membuat lawatan
ke China dalam usaha meningkatan hubungan diplomatik dan dagang
kedua negara.
Russia dipercayai telah membekalkan gas pada China berjumlah
kira-kira US Satu Thrillion. Urusan perdagangan lain pula mencecah
berbillion dollar setahun.
Hubungan Russia-China kini mempunyai signifikannya sendiri dalam
dunia kini lebih dikuasai barat yang dikemudi oleh Amerika Syarikat.
Ini termasuklah perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab.
Amerika begitu berang dengan langkah Russia dan China yang telah
menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang resolusi sekatan
terhadap Syria di PBB baru-baru ini.
Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain telah berusaha melakukan
sekatan antarabangsa terhadap Syria di atas tindakannya melayani
kebangkitan rakyatnya itu.
Apa yang berlaku di Syria dan Libya jelas tidak menyenangkan
Russia dan China kerana kedua negara itu mempunyai hubungan
dagang dan pelaburan yang besar di negara Arab tersebut.
Campur tangan dan peranan Amerika dan NATO di Libya telah
merugikan China kerana pelaburannya semasa era Gaddafi adalah
besar jumlahnya. Manakala Russia pula mempunyai kepentingan
di Syria.
Langkah Russia-China untuk meningkatkan lagi hubungan mereka
tidak lain adalah untuk mengimbangi kuasa dunia sekarang yang
lebih dikuasai Amerika Syarikat.
Ini adalah satu perkembangan yang sihat setelah perang dingin
tamat beberapa dekad yang lalu yang menjadikan Amerika terlalu
kuat dan tidak mempedulikan suara negara-negara kecil.
Setidak-tidaknya dengan munculnya kuasa baru, Amerika dan
sekutunya akan lebih berhati-hati dalam semua tindakannya
lebih-lebih lagi terhadap negara-negara sedang membangun.
Pengadil : Jangan jadi robot
BANYAK pihak tidak berpuashati dengan sikap pengadil yang
mengadili perlawanan bolasepak suku akhir antara Trengganu dan
Kelantan Isnin lalu yang menyaksikan lima kad merah dan 10 kad
kuning dikenakan pada para pemain.
Mungkin ini merupakan satu sejarah paling banyak kad dikeluarkan
dalam sesuatu perlawanan dalam Liga Malaysia.
Siapa yang bermain kasar atau pasukan mana yang mencetuskan
adegan panas ini tidak perlu diberi perhatian sangat. Kekasaran
dan sebagainya adalah satu kebiasaan dalam permainan bolasepak.
Pengadil sebagai orang penting di atas padang perlu bijak
menguasai suasana dan tidak terlalu "rigid" dalam membuat
sesuatu keputusan.
Dalam keadaan tertentu seorang pengadil perlu memberi
sedikit advantage pada para pemain dengan memberi teguran
lisan dan sebagainya. Pengadil mestilah cuba mengelak dari
sikap "gatal" mengeluarkan kad.
Kadang-kadang kekerapan tiupan wisel boleh mengganggu rentak
sesuatu perlawanan. Ia juga memberi kesan pada para penonton
yang ingin menyaksikan perlawanan berjalan lancar dan licin.
Ini bukannya bermakna pengadil itu perlu bertolak ansur
dengan pemain yang "robust". Tapi biarlah kad yang dikeluarkan
itu munasabah dengan apa yang berlaku.
Barangkali, FAM perlu mengambil langkah menanggani
masalah ini yang sering timbul dan mengecewakan banyak pihak.
Antaranya, badan itu boleh melancarkan kempen "Mesra Pengadil"
bila ia berada di atas padang.
Pengadil perlu lebih banyak berkomunikasi dengan 22 pemain
semasa perlawanan berlangsung. Dan tidak perlulah bertindak
seperti robot dan mesin.
Seseorang pengadil yang bijak dan berpengalaman mampu
mengawal suasana dan menjadi orang terpenting mengemudi
semua pemain ketika berada di padang. Dan bukannya menjadi
tukang pemanas hati pemain dan penonton.
Langgan:
Catatan (Atom)


.jpg)