Sabtu, 27 Jun 2020

Terkenang...


Dari kiri Hassan Shukri, Nik Aziz Nik Mat, Mustafa Ali, sebelahnya tidak pasti, dan yang hujung sekali bekas Presiden PAS, Asri Muda. Kesemuanya sudah meninggal dunia kecuali Datuk Mustafa Ali.

Foto lama di atas adalah sebahagian dari Ahli Jawatankuasa Agung parti PAS 1977.

Isnin, 22 Jun 2020

Dr Mahathir Kena Beri Laluan Pada Anwar Sebagai PM

Sebelum PRU14 Dr Mahathir sanggup ke mahkamah bertemu Anwar Ibrahim yang masih dalam penjara Sungai Buloh semata-mata ingin bekerjasama menjatuhkan rejim kleptokrasi.

Hasilnya mereka mengenepikan perbezaan pegangan politik mereka dan bersatu dalam satu pakatan bagi menghadapi PRU14.

Dan langkah dan tindakan mereka berdua berjaya sehingga mengejutkan dunia bila buat pertama kali dalam sejarah negara parti Umno hilang kuasa sebagai kerajaan pusat.

Namun kehebatan dan sanjungan dari dalam dan luar negeri pada kedua tokoh tersebut hanya dapat bertahan selama 22 bulan.

Kalau sebelum ini Mahathir dan Anwar dapat bekerjasama dan melupakan peristiwa pahit antara mereka kini suasananya sudah terbalik.

Kini mereka saling mencurigai dan sindir menyindir secara terbuka. Ini lah antara punca utama kerajaan yang ditubuhkan sesudah PRU14 tumbang begitu mudah. Dan tentunya banyak lagi faktor-faktor lain yang mempengaruhinya.

Sikap curiga dan saling tidak percaya antara mereka berdua membawa hingga ke hari ini yang menjadi batu penghalang usaha PH mengembalikan mandat rakyat pada PRU14 lalu.

Dr Mahathir juga melampau dalam hal ini. Dia boleh buat kenyataan terbuka bahawa Anwar gila hendak jadi Perdana Menteri. Dan sikapnya yang suka berdolak-dalik mengenai masa penyerahan kuasa pada Anwar. Sekejap dia kata selepas dua tahun. Sekejap tiga tahun. Sekejap dia kata soal tersebut terserah padanya. Dia berkuasa sepenuhnya menentukan bila ia akan berlaku.

Tidakkah ini menyinggung Anwar dan menimbulkan kemarahan para ahli PKR?

Dan hari ini Anwar secara terus terang dia tidak percayakan lagi Dr Mahathir.

Ini susulan cadangan dari DAP dan Amanah agar Dr Mahathir menjadi PM dan Anwar sebagai TPM dalam usaha mengambilalih Putrajaya dari Perikatan Nasional.

Saya kira dalam soal memecah kebuntuan siapa PM dan siapa TPM,  adalah munasabah Dr Mahathir memberi laluan pada Anwar sebagai PM. Itu pun sekiranya Dr Mahathir serius dan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Apa lagi yang dia mahu?  Pegang jawatan PM ke 4 selama 22 tahun. PM ke 7 selama 22 bulan. Selepas itu jadi interim PM lagi. Dah pulak letak jawatan pula sebagai PM ke 7.

Masih tidak cukupkah? Cadangan agar Dr Mahathir pegang jawatan selama 6 bulan kemudian serah pada Anwar memang tidak masuk akal.

Lebih masuk akal dan menasabah ialah Dr Mahathir perlu beri laluan dan sokongan penuh pada Anwar sebagai calon PM ke 9.

Itu sahaja penyelesaiannya bagi merungkai kekusutan hubungan Mahathir - Anwar demi mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14.

Semuanya terletak pada Dr Mahathir sekiranya dia ikhlas tidak mahu melihat rejim kleptokrasi kembali berkuasa.




Jumaat, 19 Jun 2020

Stuck In A Rut

Dibawah ini adalah ciplakan posting dari blog Syed Akbar Ali. 
Sekiranya ada pembaca yang tidak faham maksudnya maka kefahaman bahasa Inggeris anda adalah ditahap yang lemah. 

Jadi perlu berusaha mempelajari dan memahaminya. Jika tidak kita akan jadi seperti tajuk di atas,  " Stuck In A Rut ". Ertinya kita tersangkut dalam lumpur itu tidak dapat bergerak seperti dalam foto. Sedangkan orang lain terus bergerak langkah ke hadapan. 



Isu Adib Anggota Bomba Senyap Terus...


Memang betul tajuk berita tersebut di atas yang dipetik dari Malaysian Insight.

Semasa Umno dan Pas menjadi pembangkang mereka banyak mainkan isu agama dan bangsa bagi mendapat sokongan dan memburukkan kerajaan PH. 

Cara ini memang cukup berkesan dan mudah menarik perhatian dan simpati. 

Salah satu contohnya isu kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu. 

Banyak tuduhan dilemparkan pada bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan parti DAP sebagai dalang dan penghalang ketelusan dalam perbicaraan kes tersebut. 

Hari ini sudah lebih 100 hari mereka adalah sebahagian dari kerajaan yang berkuasa di Putrajaya. Namun kes Adib tidak pun kedengaran dan tidak sesiapa pun menekan dan mendesak agar keadilan ditegakkan. 

Tidak seperti sebelum mereka menjadi kerajaan, isu ahli bomba ini geger riuh seperti dunia nak kiamat !!

Kononnya hendak membela di atas gugurnya ahli bomba tersebut semasa menjalankan tugas. 

Sekarang dah ada kuasa percepatkanlah proses mencari keadilan dan siapa pembunuhnya?? 

Rabu, 17 Jun 2020

Anwar Ibrahim Tiada Pilihan


Dr Mahathir dan Anwar belum lagi sepakat siapakah menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa di Putrajaya. 

Ada cadangan Dr M menjadi PM selama enam bulan. Dan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. 

Bagi saya semua cadangan ini adalah karut marut. Soalnya apa rasionalnya Dr M memegang jawatan PM selama enam bulan? Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat itu? Nak sambung projek kereta terbang ke? 

Hari itu Dr M jadi PM selama 22 bulan pun tidak mencukupi. Dia mahu tambah jadi tiga tahun... bla.. bla.... Lepas Apec.. bla.. bla.. dan entah apa alasan lagi bagi melanjutkan masanya sebagai PM. 

Semua ini karut belaka. Sedangkan krisis politik kini semua berpunca daripada dia yang meletakkan jawatan sebagai PM ke 7.

Manakala Anwar pula selagi masih sanggup berada dibelakang bayang Mahathir selagi itulah dia akan dipermainkan. 

Anwar perlu tegas. Dia tidak lagi boleh membiarkan Dr M menari mengikut rentak yang dia suka. 

Sekiranya pendirian ini harus meletakkannya terus kekal sebagai Ketua Pembangkang ia perlu hadapinya dengan terbuka. Anwar tiada pilihan. Sama ada dia jadi PM atau Ketua Pembangkang. Ia adalah pilihan... 

Jika Anwar sanggup mengalah kesian kalinya pada Dr M dengan menerima cadangan sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka ia ibarat seperti dipatuk ular ketiga kalinya. 

Anwar tiada pilihan walau pun DAP dan Amanah mengambil tindakan tidak bersamanya lagi. 

Rabu, 27 Mei 2020

Subky Latiff : Kolumnis & Wartawan Veteran

Subky Latiff tidak perlu diperkenalkan dalam dunia persuratkhabaran dan penulisan politik. Dewasa dan membesar di Utusan Melayu diperingkat awal sebagai pemberita.

Utusan Melayu telah menjadi bagai satu institusi dan universiti melatih beliau menjadi matang sebagai seorang wartawan/pengarang sehinggalah ke hari ini.

Subky meninggalkan Utusan dan memilih haluannya sendiri kerana soal prinsip dan pegangan politiknya yang sering melawan arus.

Dia meletakkan jawatannya di Utusan ketika ia berada kedudukan yang selesa sebagai Pengarang akhbar dan menulis ruangan pojok Awang Selamat yang begitu berpengaruh dan popular.

Setelah meninggalkan Utusan, dia menerbitkan akhbarnya sendiri - Suara Rakyat dan Suara Merdeka. Namun usia akhbar tersebut tidak panjang kerana lesen KDNnya ditarik balik.

Selepas akhbar yang diasaskannya itu terkubur dia terus menulis sebagai wartawan tanpa akhbar.

Sehinggalah pada 1979 bekas tokoh Umno, Almarhum Tan Sri Khir Johari menerbitkan sebuah akhbar mingguan tabloid Watan dan melantik Subky sebagai Ketua Pengarangnya yang pertama.

Saya masih ingat Subky hampir setiap minggu muncul dalam ruangannya Fokus Pagi Jumaat - mengulas dan mengkritik isu-isu politik semasa.

Sudah menjadi pengetahuan umum setiap ulasan dan kritikannya cukup tajam dan mempunyai pengaruh terhadap suasana politik nasional waktu itu.

Apatah lagi Subky sebelum itu adalah satu-satunya wartawan politik yang mempelopori menerbitkan buku-buku politik seperti Suka Duka Politik Tun Razak, Krisis Timbalan Perdana Menteri, Siapa Ganti Asri?  dan banyak lagi.

Ulasan, analisis dan kritikan politiknya mendapat perhatian umum dan sering dinantikan para pembaca. Ia popular kerana stail penulisan yang kritis, tajam serta penuh sindiran.

Begitulah Subky yang kini terus tanpa henti menulis kolum sebagai satu profesyen yang paling dikuasainya sejak berada di Utusan. Kini Subky terus menulis dalam akhbar Harakah dan portal Harakahdaily. Sementelahan dia adalah ahli dan aktivis parti PAS yang tekun dan setia.

Saya sebagai pemerhati dan pembaca setiap tulisannya dengan penuh minat sejak 1979-1980 sehinggalah tahun 2020, cukup arif dengan stail penulisan dan pemikirannya.

Ia kira-kira sudah memakan masa hampir 40 tahun. Apakah pandangan dan kesimpulan yang saya boleh rumuskan setelah empat dekad terhadap Haji Ahmad Subki Haji Abdul Latif sebagai seorang wartawan veteran yang disegani??

Memang tidak siapa dapat nafikan keistimewaan dan bakat yang ada pada Subky yang selayaknya dianugerahkan sebagai Tokoh Wartawan Negara. Mungkin kerana pendirian politiknya selama ini telah menafikan dia dari memperolehi gelaran tersebut.

Namun bagi saya secara peribadi yang mengikuti dan memerhati perkembangannya sejak empat dekad lalu secara jujurnya mengakui penulisan dan pemikirannya kini tidaklah sehebat dan setajam dalam era 79 dan 80 an ketika dia menulis dalam mingguan Watan.

Terserlah kini hampir semua penulisannya terutama dalam Harakah tidak lagi kritikal dan setajam dulu. Semua penulisan dan ulasannya bertaraf biasa-biasa. Tiada apa kelainan dan pembaharuan.

Apakah ini faktor masa serta perubahan dan pembaharuan zaman? Atau apakah saya sendiri sebagai pembaca menjadi semakin kritikal dan memerlukan standard yang lebih tinggi?

Ibarat sebuah mesin atau enjin ia sudah kehabisan gas dan segala komponennya perlu diganti dan dibaikpulih.

Begitulah Subky. Ditambah dengan faktor usia yang kini mencecah 80 thn ia adalah sesuatu yang boleh difahami.

Saya kira Subky perlu mengalih fokus penulisannya dari isu politik pada tulisan berbentuk memoir dan sejarah pengalamannya sebagai wartawan dan politikus. Rasanya ia akan lebih menarik ramai pembaca. Kerana stail penulisannya yang bersahaja dan bijak bercerita. Ini terbukti dalam bukunya Anak Apak.

Penulisan begitu perlu diteruskan dalam setiap kolumnya. Ia lebih menarik dan berkesan jika dibandingkan dengan ulasan politik yang sedikit hambar.

Apapun kehormatan dan sanjungan saya terhadap beliau sebagai pengarang dan wartawan yang disegani tidak sedikit pun berkurang.



Jumaat, 17 April 2020

Covid 19 : Andainya PM Ke 7 Bertindak Lebih Awal

PM ke 7 Tun Dr Mahathir berkata China dan Korea Selatan berjaya mengatasi wabak Covid 19 kerana rakyat mereka lebih berdisiplin. Rakyat kedua negara tersebut patuh dan mengikuti segala arahan kerajaan yang diberikan.

Tambahnya lagi, berbeza dengan negara Amerika dan Eropah yang teruk diserang Covid 19 kerana mereka kurang disiplin. Itulah antara kenyataan Dr Mahathir dalam wawancara live dalam Facebook nya.

Begitulah stail PM ke 7 yang bijak menyalahkan orang lain dan menuding jari dalam segala perkara. Dia sahaja yang betul. Orang lain semua salah.

Namun begitu ada yang dia cakap itu betul. Tetapi bukan semuanya betul.

Sekiranya kita tidak lupa pada Januari 2020 ketika Dr M masih PM ke 7, wabak Covid 19 sedang menyerang hebat di China, terutamanya di Wuhan. Ketika itu virus sedang memuncak di wilayah tersebut dan di tempat-tempat lain belum lagi dijangkiti.

Disebabkan jumlah kematian yang tinggi di Wuhan, badan WHO telah mengeluarkan arahan pada semua negara agar menyekat kemasukan pelancong China.

Tetapi di Malaysia ketika itu masih terus menerima kemasukkan pelancong dari China tanpa apa-apa sekatan dan larangan.

Dilaporkan ramai pelancong China terus tiba di Langkawi dan Johor melalui Singapura.

Apabila pihak media bertanya pada PM ke 7 dalam isu ini dan larangan WHO itu, dia menjawab, " Tiada sekatan. Lagi pun takkan kita nak letak mereka dikandang lembu?"...

Tetapi terbukti kes pertama positif Covid 19 di Malaysia adalah bermula bila dikesan tiga pelancong China telah memasuki Johor dari Singapura.

Tidak pasti bagaimana tiga warga China tersebut boleh terlepas dari pihak berkuasa kedua negara.

Kita tidak berhasrat menyalahkan PM ke 7  dalam isu ini. Tetapi ini menunjukkan pihak berkuasa dibawah perintah PM ke 7 ketika itu tidak ambil serius larangan dan amaran yang dikeluarkan WHO. Depa mengambil sikap tidak apa. Termasuklah Menteri Pelancongan masa itu adalah Datuk KETAPI !!

Seandainya PM ke 7 yang lebih berdisiplin itu dan selalu menganggap dia sahaja yang betul dalam semua perkara mengambil tindakan cepat ekoran nasihat WHO itu - apakah Covid 19 di Malaysia dapat ditanggani lebih berkesan dari merebak ?

Tidak payah lah nak salahkan puak Tabligh semata-mata. Kerana mereka adalah kluster yang kedua.

Kluster yang lebih awal adalah para pelancong dari China.





Khamis, 26 Mac 2020

Covid-19 : Pak - Pak Menteri Bila Nak Berkorban?

Akibat virus Covid-19 seluruh dunia berkurung. Di negara kita arahan hanya duduk di rumah bermula 18 hingga 31 March. Dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Tidak pernah dalam sejarah peristiwa sebegini berlaku yang menyusahkan semua orang. Bukan sahaja ditakuti serangan virus itu boleh meragut nyawa malah kehidupan manusia seharian juga turut terganggu.

Syarikat kapal terbang mungkin bangkrap. Para pedagang impot ekspot hampir lumpuh. Apa lagi para peniaga kecil, pemandu teksi, nelayan, petani dan sebagainya hilang mata pencarian. Lebih mencengkam lagi seluruh sempadan negara ditutup bagi mencegah penularan Covid-19 yang membunuh itu.

Langkah kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pada rakyat bawahan disambut baik. Termasuk kelonggaran pada para peminjam bank. Bantuan tunai dan sebagainya.

Semoga segala bentuk bantuan ini akan menyeluruh lapisan masyarakat. Bimbang sekiranya ada golongan yang tercicir. Adalah pasti golongan rakyat bawahan yang kais pagi makan pagi yang perlu diutamakan. Mereka semua tiada simpanan. Jika tidak bekerja atau berniaga mereka tidak ada pendapatan.

Cuma apa yang terlintas dalam fikiran saya, kenapa sampai sekarang Pak-Pak Menteri yang berpuluh-puluh orang itu belum lagi bersuara sekurang-kurangnya mengambil initiatif bersedia memotong 10 peratus dari gaji mereka sebagai sumbangan pada rakyat yang memerlukan.

Seperti kita maklum gaji setiap seorang daripada mereka mencecah puluhan ribu sebulan. Elaun sebagai wakil rakyat sahaja berbelas ribu. Itu pun belum dikira elaun etc.

Sampai hati mereka masih membisu. Tidak ada perasaan langsung dan prihatin nasib rakyat. Bagi lah sedikit pengorbanan dan sumbangan pada rakyat yang telah mengundi dan memilih kita.

Lebih-lebih lagi pada Pak-Pak Menteri dan wakil rakyat yang berkopiah, berjubah dan berjanggut. Jangan hanya pandai berkata-kata, manis dibibir mulut... Jangan hanya pandai meminta derma daripada rakyat pada waktu senang. Bila susah semua menikus... menyorot diri.

Kepada yang menjadi menteri, sumbanglah dari gaji itu. Tidak terkesan pun. Elaun wakil rakyat pun lebih dari mewah.

Fikirkanlah nasib rakyat bawahan yang hanya perlu menyuap mulut isteri, anak-anak dan keluarga mereka. Bukannya mereka mahu kemewahan pun.

Berkorbanlah sedikit... Takkan nak tunggu hari raya Haji kut....

Rabu, 11 Mac 2020

Anwar Ibrahim PM Ke 9 ?

Ada buku politik bertajuk,  "Anwar Ibrahim PM Ke 8". Apakah selepas ini akan terbit buku baru, " Anwar Ibrahim PM Ke 9" ??

Saja tanya...