Jumaat, 19 Jun 2020

Stuck In A Rut

Dibawah ini adalah ciplakan posting dari blog Syed Akbar Ali. 
Sekiranya ada pembaca yang tidak faham maksudnya maka kefahaman bahasa Inggeris anda adalah ditahap yang lemah. 

Jadi perlu berusaha mempelajari dan memahaminya. Jika tidak kita akan jadi seperti tajuk di atas,  " Stuck In A Rut ". Ertinya kita tersangkut dalam lumpur itu tidak dapat bergerak seperti dalam foto. Sedangkan orang lain terus bergerak langkah ke hadapan. 



Isu Adib Anggota Bomba Senyap Terus...


Memang betul tajuk berita tersebut di atas yang dipetik dari Malaysian Insight.

Semasa Umno dan Pas menjadi pembangkang mereka banyak mainkan isu agama dan bangsa bagi mendapat sokongan dan memburukkan kerajaan PH. 

Cara ini memang cukup berkesan dan mudah menarik perhatian dan simpati. 

Salah satu contohnya isu kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu. 

Banyak tuduhan dilemparkan pada bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan parti DAP sebagai dalang dan penghalang ketelusan dalam perbicaraan kes tersebut. 

Hari ini sudah lebih 100 hari mereka adalah sebahagian dari kerajaan yang berkuasa di Putrajaya. Namun kes Adib tidak pun kedengaran dan tidak sesiapa pun menekan dan mendesak agar keadilan ditegakkan. 

Tidak seperti sebelum mereka menjadi kerajaan, isu ahli bomba ini geger riuh seperti dunia nak kiamat !!

Kononnya hendak membela di atas gugurnya ahli bomba tersebut semasa menjalankan tugas. 

Sekarang dah ada kuasa percepatkanlah proses mencari keadilan dan siapa pembunuhnya?? 

Rabu, 17 Jun 2020

Anwar Ibrahim Tiada Pilihan


Dr Mahathir dan Anwar belum lagi sepakat siapakah menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa di Putrajaya. 

Ada cadangan Dr M menjadi PM selama enam bulan. Dan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. 

Bagi saya semua cadangan ini adalah karut marut. Soalnya apa rasionalnya Dr M memegang jawatan PM selama enam bulan? Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat itu? Nak sambung projek kereta terbang ke? 

Hari itu Dr M jadi PM selama 22 bulan pun tidak mencukupi. Dia mahu tambah jadi tiga tahun... bla.. bla.... Lepas Apec.. bla.. bla.. dan entah apa alasan lagi bagi melanjutkan masanya sebagai PM. 

Semua ini karut belaka. Sedangkan krisis politik kini semua berpunca daripada dia yang meletakkan jawatan sebagai PM ke 7.

Manakala Anwar pula selagi masih sanggup berada dibelakang bayang Mahathir selagi itulah dia akan dipermainkan. 

Anwar perlu tegas. Dia tidak lagi boleh membiarkan Dr M menari mengikut rentak yang dia suka. 

Sekiranya pendirian ini harus meletakkannya terus kekal sebagai Ketua Pembangkang ia perlu hadapinya dengan terbuka. Anwar tiada pilihan. Sama ada dia jadi PM atau Ketua Pembangkang. Ia adalah pilihan... 

Jika Anwar sanggup mengalah kesian kalinya pada Dr M dengan menerima cadangan sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka ia ibarat seperti dipatuk ular ketiga kalinya. 

Anwar tiada pilihan walau pun DAP dan Amanah mengambil tindakan tidak bersamanya lagi. 

Rabu, 27 Mei 2020

Subky Latiff : Kolumnis & Wartawan Veteran

Subky Latiff tidak perlu diperkenalkan dalam dunia persuratkhabaran dan penulisan politik. Dewasa dan membesar di Utusan Melayu diperingkat awal sebagai pemberita.

Utusan Melayu telah menjadi bagai satu institusi dan universiti melatih beliau menjadi matang sebagai seorang wartawan/pengarang sehinggalah ke hari ini.

Subky meninggalkan Utusan dan memilih haluannya sendiri kerana soal prinsip dan pegangan politiknya yang sering melawan arus.

Dia meletakkan jawatannya di Utusan ketika ia berada kedudukan yang selesa sebagai Pengarang akhbar dan menulis ruangan pojok Awang Selamat yang begitu berpengaruh dan popular.

Setelah meninggalkan Utusan, dia menerbitkan akhbarnya sendiri - Suara Rakyat dan Suara Merdeka. Namun usia akhbar tersebut tidak panjang kerana lesen KDNnya ditarik balik.

Selepas akhbar yang diasaskannya itu terkubur dia terus menulis sebagai wartawan tanpa akhbar.

Sehinggalah pada 1979 bekas tokoh Umno, Almarhum Tan Sri Khir Johari menerbitkan sebuah akhbar mingguan tabloid Watan dan melantik Subky sebagai Ketua Pengarangnya yang pertama.

Saya masih ingat Subky hampir setiap minggu muncul dalam ruangannya Fokus Pagi Jumaat - mengulas dan mengkritik isu-isu politik semasa.

Sudah menjadi pengetahuan umum setiap ulasan dan kritikannya cukup tajam dan mempunyai pengaruh terhadap suasana politik nasional waktu itu.

Apatah lagi Subky sebelum itu adalah satu-satunya wartawan politik yang mempelopori menerbitkan buku-buku politik seperti Suka Duka Politik Tun Razak, Krisis Timbalan Perdana Menteri, Siapa Ganti Asri?  dan banyak lagi.

Ulasan, analisis dan kritikan politiknya mendapat perhatian umum dan sering dinantikan para pembaca. Ia popular kerana stail penulisan yang kritis, tajam serta penuh sindiran.

Begitulah Subky yang kini terus tanpa henti menulis kolum sebagai satu profesyen yang paling dikuasainya sejak berada di Utusan. Kini Subky terus menulis dalam akhbar Harakah dan portal Harakahdaily. Sementelahan dia adalah ahli dan aktivis parti PAS yang tekun dan setia.

Saya sebagai pemerhati dan pembaca setiap tulisannya dengan penuh minat sejak 1979-1980 sehinggalah tahun 2020, cukup arif dengan stail penulisan dan pemikirannya.

Ia kira-kira sudah memakan masa hampir 40 tahun. Apakah pandangan dan kesimpulan yang saya boleh rumuskan setelah empat dekad terhadap Haji Ahmad Subki Haji Abdul Latif sebagai seorang wartawan veteran yang disegani??

Memang tidak siapa dapat nafikan keistimewaan dan bakat yang ada pada Subky yang selayaknya dianugerahkan sebagai Tokoh Wartawan Negara. Mungkin kerana pendirian politiknya selama ini telah menafikan dia dari memperolehi gelaran tersebut.

Namun bagi saya secara peribadi yang mengikuti dan memerhati perkembangannya sejak empat dekad lalu secara jujurnya mengakui penulisan dan pemikirannya kini tidaklah sehebat dan setajam dalam era 79 dan 80 an ketika dia menulis dalam mingguan Watan.

Terserlah kini hampir semua penulisannya terutama dalam Harakah tidak lagi kritikal dan setajam dulu. Semua penulisan dan ulasannya bertaraf biasa-biasa. Tiada apa kelainan dan pembaharuan.

Apakah ini faktor masa serta perubahan dan pembaharuan zaman? Atau apakah saya sendiri sebagai pembaca menjadi semakin kritikal dan memerlukan standard yang lebih tinggi?

Ibarat sebuah mesin atau enjin ia sudah kehabisan gas dan segala komponennya perlu diganti dan dibaikpulih.

Begitulah Subky. Ditambah dengan faktor usia yang kini mencecah 80 thn ia adalah sesuatu yang boleh difahami.

Saya kira Subky perlu mengalih fokus penulisannya dari isu politik pada tulisan berbentuk memoir dan sejarah pengalamannya sebagai wartawan dan politikus. Rasanya ia akan lebih menarik ramai pembaca. Kerana stail penulisannya yang bersahaja dan bijak bercerita. Ini terbukti dalam bukunya Anak Apak.

Penulisan begitu perlu diteruskan dalam setiap kolumnya. Ia lebih menarik dan berkesan jika dibandingkan dengan ulasan politik yang sedikit hambar.

Apapun kehormatan dan sanjungan saya terhadap beliau sebagai pengarang dan wartawan yang disegani tidak sedikit pun berkurang.



Jumaat, 17 April 2020

Covid 19 : Andainya PM Ke 7 Bertindak Lebih Awal

PM ke 7 Tun Dr Mahathir berkata China dan Korea Selatan berjaya mengatasi wabak Covid 19 kerana rakyat mereka lebih berdisiplin. Rakyat kedua negara tersebut patuh dan mengikuti segala arahan kerajaan yang diberikan.

Tambahnya lagi, berbeza dengan negara Amerika dan Eropah yang teruk diserang Covid 19 kerana mereka kurang disiplin. Itulah antara kenyataan Dr Mahathir dalam wawancara live dalam Facebook nya.

Begitulah stail PM ke 7 yang bijak menyalahkan orang lain dan menuding jari dalam segala perkara. Dia sahaja yang betul. Orang lain semua salah.

Namun begitu ada yang dia cakap itu betul. Tetapi bukan semuanya betul.

Sekiranya kita tidak lupa pada Januari 2020 ketika Dr M masih PM ke 7, wabak Covid 19 sedang menyerang hebat di China, terutamanya di Wuhan. Ketika itu virus sedang memuncak di wilayah tersebut dan di tempat-tempat lain belum lagi dijangkiti.

Disebabkan jumlah kematian yang tinggi di Wuhan, badan WHO telah mengeluarkan arahan pada semua negara agar menyekat kemasukan pelancong China.

Tetapi di Malaysia ketika itu masih terus menerima kemasukkan pelancong dari China tanpa apa-apa sekatan dan larangan.

Dilaporkan ramai pelancong China terus tiba di Langkawi dan Johor melalui Singapura.

Apabila pihak media bertanya pada PM ke 7 dalam isu ini dan larangan WHO itu, dia menjawab, " Tiada sekatan. Lagi pun takkan kita nak letak mereka dikandang lembu?"...

Tetapi terbukti kes pertama positif Covid 19 di Malaysia adalah bermula bila dikesan tiga pelancong China telah memasuki Johor dari Singapura.

Tidak pasti bagaimana tiga warga China tersebut boleh terlepas dari pihak berkuasa kedua negara.

Kita tidak berhasrat menyalahkan PM ke 7  dalam isu ini. Tetapi ini menunjukkan pihak berkuasa dibawah perintah PM ke 7 ketika itu tidak ambil serius larangan dan amaran yang dikeluarkan WHO. Depa mengambil sikap tidak apa. Termasuklah Menteri Pelancongan masa itu adalah Datuk KETAPI !!

Seandainya PM ke 7 yang lebih berdisiplin itu dan selalu menganggap dia sahaja yang betul dalam semua perkara mengambil tindakan cepat ekoran nasihat WHO itu - apakah Covid 19 di Malaysia dapat ditanggani lebih berkesan dari merebak ?

Tidak payah lah nak salahkan puak Tabligh semata-mata. Kerana mereka adalah kluster yang kedua.

Kluster yang lebih awal adalah para pelancong dari China.





Khamis, 26 Mac 2020

Covid-19 : Pak - Pak Menteri Bila Nak Berkorban?

Akibat virus Covid-19 seluruh dunia berkurung. Di negara kita arahan hanya duduk di rumah bermula 18 hingga 31 March. Dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Tidak pernah dalam sejarah peristiwa sebegini berlaku yang menyusahkan semua orang. Bukan sahaja ditakuti serangan virus itu boleh meragut nyawa malah kehidupan manusia seharian juga turut terganggu.

Syarikat kapal terbang mungkin bangkrap. Para pedagang impot ekspot hampir lumpuh. Apa lagi para peniaga kecil, pemandu teksi, nelayan, petani dan sebagainya hilang mata pencarian. Lebih mencengkam lagi seluruh sempadan negara ditutup bagi mencegah penularan Covid-19 yang membunuh itu.

Langkah kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pada rakyat bawahan disambut baik. Termasuk kelonggaran pada para peminjam bank. Bantuan tunai dan sebagainya.

Semoga segala bentuk bantuan ini akan menyeluruh lapisan masyarakat. Bimbang sekiranya ada golongan yang tercicir. Adalah pasti golongan rakyat bawahan yang kais pagi makan pagi yang perlu diutamakan. Mereka semua tiada simpanan. Jika tidak bekerja atau berniaga mereka tidak ada pendapatan.

Cuma apa yang terlintas dalam fikiran saya, kenapa sampai sekarang Pak-Pak Menteri yang berpuluh-puluh orang itu belum lagi bersuara sekurang-kurangnya mengambil initiatif bersedia memotong 10 peratus dari gaji mereka sebagai sumbangan pada rakyat yang memerlukan.

Seperti kita maklum gaji setiap seorang daripada mereka mencecah puluhan ribu sebulan. Elaun sebagai wakil rakyat sahaja berbelas ribu. Itu pun belum dikira elaun etc.

Sampai hati mereka masih membisu. Tidak ada perasaan langsung dan prihatin nasib rakyat. Bagi lah sedikit pengorbanan dan sumbangan pada rakyat yang telah mengundi dan memilih kita.

Lebih-lebih lagi pada Pak-Pak Menteri dan wakil rakyat yang berkopiah, berjubah dan berjanggut. Jangan hanya pandai berkata-kata, manis dibibir mulut... Jangan hanya pandai meminta derma daripada rakyat pada waktu senang. Bila susah semua menikus... menyorot diri.

Kepada yang menjadi menteri, sumbanglah dari gaji itu. Tidak terkesan pun. Elaun wakil rakyat pun lebih dari mewah.

Fikirkanlah nasib rakyat bawahan yang hanya perlu menyuap mulut isteri, anak-anak dan keluarga mereka. Bukannya mereka mahu kemewahan pun.

Berkorbanlah sedikit... Takkan nak tunggu hari raya Haji kut....

Rabu, 11 Mac 2020

Anwar Ibrahim PM Ke 9 ?

Ada buku politik bertajuk,  "Anwar Ibrahim PM Ke 8". Apakah selepas ini akan terbit buku baru, " Anwar Ibrahim PM Ke 9" ??

Saja tanya... 

Selasa, 10 Mac 2020

Azmin Ali Dan Hamzah Zainuddin Pemimpin Kanan Muhyiddin

Dua orang arkitek atau perancang yang menghimpun semua wakil rakyat dari parti Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC di hotel Sheraton - tujuan menubuhkan Perikatan Nasional, telah pun dilantik jawatan kanan dan penting dalam kabinet Muhyiddin.

Mereka berdua ialah Hamzah Zainuddin (Bersatu) dan Azmin Ali (ex PKR kini ahli Bersatu).

Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN)  - satu jawatan berpengaruh dan power dalam kabinet.

Menteri KDN...Hamzah Zainuddin

Dari PM pertama hingga PM ke 7, jawatan Menteri KDN hanya diberikan pada pemimpin kanan dalam parti. Setiap PM tidak melantik sebarangan. Sama ada PM sendiri memegang jawatan tersebut atau diserahkan pada orang yang dipercayainya.

Misalnya, pada era Najib, dia pilih Zahid Hamidi. Masa PH bawah Mahathir, dia pilih Muhyiddin. Kerana Muhyiddin adalah
Presiden Bersatu.  Manakala Mahathir adalah Pengerusinya.

Zaman Tun Hussein Onn PM ke 3, dia memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Ertinya setiap PM akan melantik orang kepercayaannya sebagai Menteri KDN. Jabatan KDN amat penting kerana ia melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman negara.

Dr Mahathir sebagai PM ke 4 pernah memegang jawatan tersebut setelah timbalannya Musa Hitam meletakkan jawatan pada 1986.

Dalam konteks sekarang ini, Datuk Hamzah Zainuddin adalah orang kanan Muhyiddin selain daripada Azmin Ali sebagai Menteri Kanan.

Azmin Ali... Menteri Kanan

Kalau hendak dikira, Hamzah adalah bekas ahli Umno yang melompat masuk Bersatu. Dan dia tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti Umno dan parti barunya, Bersatu.

Namun kini dia adalah orang penting dalam kabinet Muhyiddin. Dan dia adalah penggerak dan perancang utama bersama Azmin dalam langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH dibawah Dr Mahathir.

Ironinya, Hamzah dan Azmin merupakan penyokong tegar Dr Mahathir dan mahu PM ke 4 dan ke 7 itu meneruskan tugasnya sebagai PM sehingga habis penggal. Mereka berdua adalah musuh ketat Anwar Ibrahim dan tidak rela Mahathir menyerahkan kuasa pada Anwar.

Sebab itu setelah Mahathir hilang sokongan dari Umno dan Pas, mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke 8 sebagai langkah menghalang laluan Anwar.

Hamzah mempunyai kes peribadi dengan Anwar di mahkamah lama dahulu. Kes tersebut telah pun diselesaikan diluar mahkamah.

Azmin pula tidak perlu dicerita lagi. Dia merupakan bekas orang kanan Anwar semasa era reformasi. Dan antara pengasas parti Keadilan.

Namun kini Hamzah dan Azmin merupakan tulang belakang PM ke 8.

Politik terus bergerak dan akan berubah setiap saat dan minit. Hari, minggu, bulan ia terus aktif.

Tiada siapa dapat menjangka perubahan dan apa perkembangan pada masa hadapan.

Dalam politik tiada musuh yang kekal dan sahabat yang abadi...






Khamis, 27 Februari 2020

Langkah Sheraton

Saya bukan seorang pemuja Anwar Ibrahim. Tetapi peristiwa di Sheraton - satu pakatan untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang yang digerakkan Azmin Ali telah menaikkan imej Anwar dari sudut politik.

Apa lagi terbukti langkah Sheraton itu menemui jalan buntu dan gagal. Malah telah memberi gambaran negatif pada Azmin dan Muhyiddin serta parti Bersatu khususnya.

Bukan itu sahaja ia juga telah mencemarkan imej Mahathir sebagai negarawan yang dihormati.

Usaha Azmin dan Muhyiddin telah memakan diri sendiri. Mahathir pula tersilap langkah dengan meletak jawatan PM dan pengerusi Bersatu.

Muhyiddin dan Azmin di Sheraton Hotel...mulakan langkah..

Tindakan Mahathir itu telah mengakibat keadaan negara kelam kabut dan tidak stabil. Rakyat bingung. Di bursa saham BSKL , RM 46 billion mengalir keluar sekelip mata !

Ironinya, Mahathir menerima perlantikan sebagai PM interim. Dan selepas itu pegang balik jawatan Pengerusi Bersatu. Memang pelik dan memalukan.

Sayugia, Mahathir perlu berundur terus dari semua jawatan politik. Saya kira ia sudah memadai dengan apa yang telah berlaku ekoran malam di Sheraton itu.

Cadangannya menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa parti politik nampak cantik namun ia memperlihatkan segala kuasa berpusat ditangannya. Ini tidak sihat dalam sistem demokrasi.

Pokoknya kenapa dia letak jawatan PM sehingga politik negara huru hara dan kemudian cuba berkuasa kembali itu menjadi tanda tanya.

Jelas sekarang yang apa berlaku itu telah menjejaskan imejnya, Azmin Ali, Muhyiddin dan parti Bersatu khasnya.

Bukankah sehari sebelum Sheraton itu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH telah sebulat suara bersetuju bahawa Mahathir akan terus jadi PM sehingga Sidang APEC November ini. Dan kemudian semua bersetuju menyerahkan pada Mahathir menentukan bila dia mahu serahkan kuasa pada Anwar Ibrahim.

Anwar juga menerima keputusan tersebut. Dan dia sanggup menunggu tempoh peralihan kuasa sebagai PM ke 8 diserahkan pada Mahathir.

Tup, tup.... esoknya Azmin dan Muhyiddin melancarkan langkah Sheraton yang menghimpun semua MP Umno dan Pas bagi menubuhkan gabungan baru dan mahu memintas Anwar Ibrahim.

Malangnya pakatan itu gagal. Ia bukan sahaja gagal malah mereka telah terjerat dengan jerat yang mereka pasang sendiri.

Mahathir, Muhyiddin dan Azmin ternyata tersilap langkah. Imej mereka juga telah tercalar dimata rakyat ekoran langkah pintu belakang itu.

Sekarang apa jadi?  Kerajaan runtuh. Semua hilang jawatan. Mahathir pula yang disokong majoriti ahli parlimen kini telah berkurangan sokongan dari sebelumnya.

Anwar Ibrahim mungkin sukar untuk menjadi PM ke 8. Namun apa yang berlaku semuanya berpunca dari Mahathir, Muhyiddin dan Azmin. Kini mereka bertiga menggigit jari.

Anwar pula kelihatan tenang dan seperti orang yang dikhianati.

Saya lihat apa yang berlaku ini telah merugikan masa depan politik Azmin dan Muhyiddin. Kerana mereka seperti watak pengkhianat dimata para pengundi.

Majlis PH telah sebulat suara menyokong dan menyerahkan pada Mahathir dalam isu peralihan kuasa.

Kenapalah mereka begitu rakus bertindak. Sekarang apa jadi?  Nasi dah jadi bubur.

Saya tidak fikir Azmin berani bertanding dan berdepan para pengundinya dalam Pru 15 nanti.