Rabu, 15 Jun 2011

Tony Blair baca Quran setiap hari

DALAM semua akhbar harian tempatan hari ini ( 15 Jun ) hanya Berita Harian dan Kosmo memetik laporan dari akhbar Britain, Daily Mail, tentang bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair mengaku yang beliau membaca kitab Al Quran setiap hari sebagai aktivitinya.

Tony Blair merupakan seorang yang cukup berpengaruh di dunia semasa menjawat sebagai Perdana Menteri Britain. Beliau dan George W. Bush adalah arkitek dan perancang utama pihak pakatan barat menakluk Iraq dan menghancurkan rejim Saddam Hussein.

Dengan hanya alasan Saddam Hussein menyembunyikan senjata nuklear, Blair dan Bush telah berjaya menakluk dan menghancurkan Iraq bagaikan padang jarak padang tekukur. Hingga kini Iraq terus bergolak bermandikan darah dan berantakan.

Saddam Hussein telah mati ditali gantung dan Iraq amat sukar untuk pulih seperti sediakala. Yang anehnya, senjata nuklear yang menjadi alasan dan punca tentera barat menceroboh  bumi Iraq tidak ditemui hingga kini.

Blair, setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Britain, telah dilantik oleh PBB menjadi utusan damai Timur Tengah mewakili Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta Russia.

Menurut sumber itu lagi, sebagai utusan damai Timur Tengah, Blair telah membaca kitab Al Quran sebagai satu aktiviti bagi membantu beliau agar lebih memahami umat Islam dan pergolakan di Asia Barat itu.

Dan kesan dari pembacaan itu beliau mendapati dirinya lebih memahami mengenai iman dan Al Quran sebagai kitab yang memberikan perintah yang jelas dan panduan yang berguna. Beliau juga menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban.

"Kitab Al Quran itu memberi arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,"katanya.

Aneh dan takjub, dari seorang yang amat memusuhi dan membenci Islam, kini menjadi penelaah kitab suci itu yang tekun. Walaupun tujuan membaca kitab tersebut hanya untuk membantu dan memahami tugasnya sebagai diplomat Asia Barat, ianya telah mendorong beliau lebih memahami isi kandungannya serta agama Islam yang dipandang sebagai pengganas.

Berita tentang Tony Blair ini mengingatkan kembali kisah Sayidina Umar Al Khatab. Sebelum memeluk Islam, Umar merupakan seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau pernah mengugut akan memancung leher Nabi s.a.w. Ancaman ini diberikan kerana beliau begitu benci dan marah terhadap baginda.

Tetapi takdir Allah s.w.t dengan hanya alunan merdu suara adiknya membaca Al Quran, hati Umar menjadi lembut dan tertarik dengan agama yang dibawa baginda s.a.w.

Apakah Blair akan mengikut jejak Umar Al Khattab ? Kuasa Allah s.w.t tiada siapa yang tahu. KUNFAYAKUN !

Adik ipar Blair telah pun memeluk Islam dengan hanya terlibat dengan kerja-kerja amal di bumi Palestin. Kini beliau menjadi salah seorang sukarelawan Palestin yang tegar. Apakah tiba giliran Tony Blair pula unuk memeluk agama suci ini ?

Manusia boleh meramal, tetapi hanya Allah dapat menentukan suratan takdirnya.

Barangkali, hidayah Blair belum sampai, namun sekurang-kurangnya beliau telah membaca dan memahami isi kandungan Al Quran yang tidak pernah disentuhnya dahulu.

Bapa saudara Nabi, Abu Talib tidak mendapat hidayah hingga nafasnya terakhir. Semuanya adalah kudrat dan iradatNya.

Selasa, 14 Jun 2011

Masalah peniaga Pasar MPKB Kelantan

LEBIH 300 peniaga kecil di Pasar MPKB telah menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap layanan kerajaan negeri dalam menangani masalah mereka.

Pasar MPKB
Masalah para peniaga Pasar MPKB ini telah berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian yang memuaskan kedua pihak. Mereka semuanya diarah berpindah ke tapak baru - Bazar Tok Guru kerana tempat perniagaan sekarang - Pasar Lama MPKB- telah pun diserahkan kepada pihak swasta untuk dimajukan.

Kebanyakan para peniaga tidak berpuas hati dengan Bazar Tok Guru yang dianggap sempit dan tidak selesa bagi menjalankan perniagaan mereka. Mereka juga menuduh kerajaan negeri telah memungkiri janji semasa diawal pembinaan Bazar tersebut; termasuk harga dan keluasan lot.

Para peniaga yang berniaga di Pasar MPKB ini boleh dikatakan 100 peratus terdiri dari orang-orang melayu. Sebahagian besar mereka telah berniaga begitu lama berpuluh tahun dan ada yang secara turun-temurun lagi. Di sinilah tempat mereka mencari rezeki dan termasuk dalam golongan peniaga kecil.

Di tingkat atas menempatkan beratus peniaga kain dan di bawahnya kedai kopi. Kedudukan pasar ini begitu strategik kerana ia terletak ditengah pusat bandar dikelilingi stesen bas dan stesen teksi. Ia menjadi tumpuan para pelancong dan tempatan.

Kedudukan Bazar Tok Guru pula agak terkeluar sedikit dari zon tumpuan orang ramai. Walaupun bangunannya kelihatan gah dan cantik, tetapi kemungkinan dari segi strategik ia tidak sama dengan Pasar Lama MPKB.

Inilah barangkali beberapa faktor menyebabkan para peniaga ini begitu liat untuk berpindah. Namun atas alasan apa pun mereka sudah tidak ada pilihan kerana Pasar Lama MPKB telah pun dijual kepada pihak swasta.

Di sudut undang-undang kerajaan negeri tidak akan kalah. Cuma yang menimbulkan masalah sekarang ialah bagaimana kerajaan negeri menangani dan memenuhi permintaan para peniaga yang tidak berpuas hati. Sekiranya ia tidak diselesaikan dengan memuaskan semua pihak ia boleh menjejaskan nama parti dan kerajaan yang memerintah.

Ini pun sehingga kini imej kerajaan negeri telah terjejas dengan isu ini lebih-lebih lagi timbul pula masalah lot-lot kedai di Bazar Tok Guru telah pun diberikan kepada kroni-kroni tertentu. Mereka mendesak kerajaan negeri melakukan pengundian semula dalam pembagian lot-lot kedai tersebut.

Kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam menyelesaikan masalah para peniaga ini. Kerana mereka ini mewakili kelas atas pertengahan dan merupakan sebahagian besar nadi usahawan dan perekonomian orang-orang melayu di Kelantan. Di Pasar Lama inilah merupakan pusat perniagaan dan belibelah tumpuan dalam dan luar negeri.

Jika keadaan perniagaan dan ekonomi mereka terjejas, maka ia akan memberi kesan secara keseluruhan terhadap kegiatan ekonomi orang-orang melayu di negeri ini.

Apa yang berlaku terhadap Pasar Buluh Kubu tidak harus berulang. Pasar Buluh Kubu, suatu masa dulu merupakan tempat membeli-belah paling maju dalam bandar Kota Bharu. Tetapi kini para peniaga disitu seperti "hidup segan mati tidak mahu" kerana para pelancong dan orang ramai tidak lagi berkunjung ke situ lantaran pelan bandar dan sistem trafik yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran tidak mesra orang ramai bagi memudahkan para pengunjung.

Kebanyakan peniaga di Pasar Buluh Kubu dahulunya begitu mewah, tetapi kini hendak bayar sewa kedai pun tidak lepas. Mereka suatu masa dulu pernah mengesa kerajaan negeri agar membantu mereka mengembalikan semula suasana Pasar Buluh Kubu seperti dahulu.

Baik peniaga di Pasar MPKB dan Pasar Buluh Kubu mereka semua adalah majoriti orang-orang melayu Kelantan yang terlibat dalam bidang ekonomi bangsa. Kerajaan negeri perlu serius mencari jalan penyelesaian terhadap nasib masa depan mereka.

Berpolitik secara berlebih-lebihan tidak memberi sebarang makna, sekiranya nasib para peniaga yang terdiri dari bangsa melayu dan Islam tidak terbela.


-Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 24-30 Jun 2011.

.












Isnin, 13 Jun 2011

Dr Hassan Ali digugurkan

PESURUHJAYA PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Mohamad Ali digugurkan dan diganti dengan Dr. Abdul Rani Osman sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru dalam satu rombakan melibatkan empat negeri yang lain.

Dr. Hassan Ali merupakan bekas Naib Presiden PAS dan kini ialah salah seorang exco kanan kerajaan negeri Selangor. Beliau terpilih menduduki AJK pusat di muktamar baru-baru ini.

Dengan tidak memegang lagi jawatan sebagai Pesuruhjaya Negeri, apakah jawatan exco kerajaan yang disandang sekarang memberi kesan dan implikasinya ?

Dr. Hassan Ali pernah didesas-desuskan sebagai berminat dan bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Beliau juga adalah salah seorang tokoh yang begitu berminat bekerjasama dengan UMNO dalam isu kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz pernah memberi kata dua kepadanya agar keluar PAS dan sertai UMNO sekiranya beliau masih terlibat dalam isu kerajaan perpaduan.

Dr. Hassan Ali walaupun mempunyai imej agama, tetapi beliau lebih kelihatan sebagai seorang opportunis dalam parti. Semasa beliau menyandang jawatan Naib Presiden PAS, beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut pada penggal kedua kerana popularitinya agak menurun dikalangan ahli parti.

Beliau yang terkenal dengan 'Summer Camp" dan seminar-seminar motivasi hingga kini, merupakan seorang usahawan dan mempunyai cita-cita politik yang besar. Dengan gugurnya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, apakah cita-cita politiknya akan terbantut ?

Dr. Hassan Ali sebelum menceburi bidang politik merupakan seorang pakar motivasi yang berjaya. Rasanya bidang politik tidak sesuai baginya jika dibandingkan dengan bidang motivasi dan usahawan.

Mustafa Ali kekal Setiausaha Agung PAS

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung PAS dan menamakan beberapa AJK tambahan dalam mesyuarat pertama kepimpinan baru parti itu setelah muktamar selesai minggu lalu.

Setelah dikejutkan dengan pemilihan tertinggi parti dengan kalahnya semua calon dari golongan ulama, ramai pemerhati menanti perlantikan Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2011-2013.

Datuk Mustafa Ali
Kerusi Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah disapu bersih dari golongan profesional. Calon-calon berimej ulama telah tewas dalam semua jawatan kecuali beberapa orang yang terpilih menduduki Ahli Jawatankuasa Pusat.

Justeru itu gambaran selepas muktamar ialah calon-calon profesional telah mendominasi jawatan-jawatan penting parti berbanding calon berimej ulama. Kedudukan calon ulama yang tewas seperti Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad menjadi perhatian.

Dengan terpilihnya Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan yang baru dan perlantikan Nasharudin dan Idris Ahmad sebagai AJK pusat memberi sedikit imbangan antara ulama dan profesional dalam menentukan dasar-dasar parti.

Lebih-lebih lagi kekalnya Datuk Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung, kerana beliau dianggap sebagai "Presidents Men".  Mustafa Ali adalah orang yang memain peranan penting dalam isu kerajaan perpaduan yang mendapat kecaman hebat dari Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dengan perlantikan AJK sesi 2011-2013 ini membuktikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih mempunyai pengaruh dan kuasa penentu dan tidak tunduk dengan Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang terdiri dari kem profesional.

Golongan profesional tentunya lebih cenderung untuk mengambil calon mereka menjawat sebagai Setiausaha Agung yang baru. Tetapi dengan kekalnya Mustafa Ali dan Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan,  kuasa dan pengaruh Presiden dapat diimbangkan dari "serangan" kem profesional.

Pemilihan AJK yang baru adalah hak mutlak presiden. Dan Abdul Hadi telah pun menggunakan kuasa itu dengan sepenuhnya. Sekiranya jawatan-jawatan tadi diisi dari golongan profesional, maka orang akan melihat bahawa Presiden telah tunduk dengan tekanan dari Timbalan serta tiga Naibnya yang secara kebetulan bukan dari golongan ulama.

Pandangan seperti ini mungkin ditolak oleh parti. Namun hakikatnya selepas muktamar yang lalu ramai ahli kecewa dengan kegagalan calon ulama mendapat tempat. Seolah-olah Abdul Hadi, sebagai Presiden sendirian dikelilingi tokoh-tokoh profesional.

Itupun dalam mesyuarat cawangan Bukit Bintang, ahli telah mencadangkan jawatan Presiden dipertandingkan. Tetapi usul ini tidak mendapat sambutan kerana keseluruhan ahli masih lagi ingin menjaga imej presiden dari tercemar.

Abdul Hadi sedar akan hal ini dan sekiranya beliau tidak memperkemas kedudukannya dari sekarang bukan mustahil dua tahun lagi pada muktamar akan datang ada calon yang akan menentangnya bagi jawatan Presiden.

Sekarang pun baik dalam dan luar parti ramai yang mempersoalkan kepimpinan beliau yang dianggap tidak berkesan. Langkah beliau memilih dan melantik AJK baru, terutamanya Setiausaha Agung, adalah sebagai persediaan awal mengukuhkan kedudukannya dan paling penting bagi menghadapi saingan dari kem profesional bagi jawatan Presiden.

Tidak boleh dinafikan Datuk Mustafa Ali, Tuan Ibrahim, Nasharudin dan Ustaz Idris Ahmad yang baru dilantik menduduki AJK Pusat yang baru adalah merupakan calon-calon "The Presidents Men"..

Jangan tuding jari

EKORAN kekalahan Kelantan ditangan Trengganu dalam final Piala FA sudah timbul berbagai cemuhan dan tuduhan sebagai "kambing hitam" menjadi punca kegagalan pasukan The Red Warriors merampas piala tersebut.

Mereka yang dipersalahkan ialah pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin, pemain yang telah menjaringkan gol sendiri dalam minit terakhir perlawanan dan jurulatih M.Karathu, yang dituduh silap strategi dalam pemilihan para pemain.

Seperti biasa dalam apa saja jenis sukan, bila mengalami kekalahan seolah-olah perlu mencari sesuatu untuk dikambinghitamkan. Dalam konteks ini, dari pihak pengurusan hingga para pemain Kelantan, mereka seharusnya pandang kehadapan dan tidak perlu lagi menoleh kebelakang.

Kelantan sekarang memiliki segalanya dan tumpuan harus ditumpukan pada dua baki perlawanan Liga Super. Sekiranya mereka berjaya mengutip mata penuh, mereka akan dinobatkan sebagai juara Liga Super dan memberi fokus sepenuhnya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Kekalahan dengan Sang Penyu sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi lebih kuat dari para pemain untuk mencatat satu lagi sejarah dalam waktu terdekat ini. Memang moral para pemain kini berada ditahap yang cukup rendah akibat kekalahan Sabtu lalu.

M.Karathu telah pun berjanji akan meniup kembali semangat dan motivasi pemain bagi meneruskan cabaran yang sedang menanti di hadapan mereka. Pada kedudukkan sekarang, Piala Liga Super dan Piala Malaysia boleh dikira masih berada dalam jangkauan Kelantan. Cuma para pemain perlu fokus 100 peratus dan berjuang tanpa kenal putus asa bila berada di atas padang.

Semangat para pemain penyu yang tidak putus asa dan terus fokus walaupun permainan berbaki beberapa minit sahaja, sedangkan mereka ketinggalan 0-1 patut dijadikan contoh.

Mohd Daudsu telah pun meminta maaf diatas kesilapannya yang tidak disengaja itu. Jurulatih M.Karathu pula berjanji akan menebus kembali kekecewaan para penyokong Kelantan dengan memenangi Piala Liga Super dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia.

Kejayaan sesebuah pasukan adalah secara kolektif. Dan bila menemui kegagalan dan kekecewaan juga seharusnya dipikul bersama bukannya menuding jari dan mencari kesalahan pihak tertentu.

.

Ahad, 12 Jun 2011

Trengganu berhak julang Piala FA

TRENGGANU memusnahkan impian Kelantan dengan menewaskan jirannya itu dalam final Piala FA 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Semangat tinggi, komited dan tidak putus asa adalah faktor yang memisahkan antara kedua pasukan tersebut untuk dinobatkan sebagai juara. Pasukan penyu telah mempamerkan persembahan yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Trengganu walaupun ketinggalan 0-1 sehingga minit ke 90 tidak patah semangat, malah terus mengasak ke kubu Kelantan yang sedikit selesa dan leka dengan perlawanan yang berbaki beberapa minit dalam masa tambahan. Usaha pasukan penyu berhasil hanya empat minit perlawanan akan berakhir melalui kesilapan pertahanan Kelantan untuk menyamakan kedudukkan 1-1.

Ketika Kelantan mendahului 1-0 sehingga minit akhir pasukan The Red Warriors itu kelihatan sudah meletakkan sebelah kakinya sebagai juara. Tetapi segalanya musnah akibat kelekaan barisan pertahanan sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Menurut jurulatih Kelantan, M.Karathu, gol penyamaan Trengganu telah "demoralised" seluruh pemainnya dan pemain-pemain Trengganu pula semakin bersemangat.

Bagi bekas jurulatih Kelantan dan kebangsaan, B.Satianathan, permainan separuh masa pertama tidak menarik dan hambar. Dalam separuh masa kedua baru ada gerakan dan persembahan yang menarik dari pemain-pemain kedua pasukan.

Menurut Sathia lagi, kedua pasukan banyak bermain bola tinggi dan hantaran jauh dan sepatutnya mereka banyak menggunakan hantaran-hantaran pendek dan mengamalkan penguasaan bola atau "ball possesion". Katanya lagi, dengan bermain bola tinggi dan hantaran jauh pemain cepat letih, sedangkan bola hantaran pendek para pemain tidak perlu banyak berlari. Ertinya, pemain yang bekerja atau bola yang bekerja..

Inilah kesilapan Kelantan ketika mereka mendahului sehingga ke minit akhir. Sepatutnya mereka lebih banyak menguasai bola dan menyimpannya. Tapi itulah bolasepak dengan mengatasi pihak lawan dengan hanya satu gol belum memadai. Hanya satu atau dua minit perlawanan akan berakhir boleh merubah segalanya, apatah lagi para pemain hilang tumpuan dan leka.

Kepada Trengganu, tahniah kerana berjaya menjuarai Piala FA buat kali kedua. Manakala Kelantan, mereka perlu bangkit dan menebus kekecewaan dengan merampas Piala Liga Super yang berbaki dua lagi perlawanan dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia yang dimilikinya musim lepas.

Hanya dengan menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia sahaja dapat mengubati para penyokong The Red Warriors yang berduka dengan kekalahan semalam..

Sabtu, 11 Jun 2011

Bryan Robson letak jawatan

BEKAS Ketua pasukan Manchester United dan England, Bryan Robson, telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Thailand setelah 21 bulan memikul jawatan tersebut. Robson memberi alasan kesihatan dan menegaskan beliau tidak akan kembali lagi dalam bidang pengurusan dan jurulatih.

Sepanjang berada di Thailand tugas beliau boleh dianggap gagal mencapai apa-apa kejayaan. Thailand sebelum ini adalah "gergasi" ASEAN dalam acara bolasepak. Kini kedudukkan negeri gajah putih itu jatuh 15 anaktangga dalam rangking FIFA ke tangga 120 di dunia. Mereka gagal mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA dan tidak layak ke pusingan akhir Asian Cup buat pertama kali dalam masa 23 tahun.

Ada sumber menyatakan pengunduran Robson berkait rapat dengan prestasi Thailand dan hubungan dinginnya dengan Presiden FA Thailand, Worawi Makudi. Bryan Robson juga membayangkan beliau akan kembali ke Manchester United sebagai "duta" sepenuh masa di kelab tersebut.

Penolong jurulatih kepada Robson, Steve Darby, juga telah mengambil langkah yang sama meletakkan jawatan. Steve Darby adalah bekas jurulatih Johor dan Perak dalam Liga Malaysia sebelum berhijrah ke Bangkok.

Khabar angin bertiup kencang yang beliau akan kembali ke Malaysia menjadi jurulatih pada pasukan negeri musim depan. Desas-desus mengatakan Selangor berminat untuk mendapat khidmat beliau. Tetapi ini banyak bergantung kepada prestasi K.Devan dan Selangor yang masih memburu Piala Liga dan Piala Malaysia yang kini berada dipenghujung musim ini.

Apa yang berlaku pada Bryan Robson dan pasukan kebangsaan Thailand patut menjadi teladan pada FAM. Sehebat mana sekali pun jurulatih import bukan jaminan kejayaan sesebuah pasukan. Semasa pasukan kebangsaan Thailand berada dipuncak kejayaan ia banyak dikendalikan oleh jurulatih tempatan.

FAM sendiri telah mengalaminya beberapa tahun dahulu. Siapa tidak lupa dengan nama-nama seperti Richard Bates, Frank Lord, Allan Harris, Bartalan Biski dan paling popular jurulatih Claude Le Roy dari Perancis. Antara mereka ada yang telah berkhidmat dalam masa yang lama dan setengahnya pula dalam waktu yang singkat.

Memang tidak dinafikan kehadiran mereka sedikit sebanyak telah memberi impak pada pasukan kebangsaan. Namun, secara keseluruhannya sumbangan mereka terhadap prestasi pasukan kebangsaan agak minimal. Dan ini tidak setimpal dengan gaji mereka yang mencecah berpuluh ribu sebulan.

Langkah FAM melantik Datuk K.Rajagopal dan Ong Kim Swee melatih pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda adalah tepat dan kena pada masanya. Dan kini telah pun membuahkan hasil dengan pencapaian dan prestasi mereka yang membanggakan.

Kita tidak perlu lagi pada jurulatih asing memandangkan kini kita mempunyai banyak jurulatih tempatan yang berkualiti. Sekadar beberapa contoh seperti B.Satianathan, Wan Jamak Hassan, M.Karathu, Irfan Bakti, Abdul Rahman Ibrahim dan lain-lain. Mereka semua layak dan teruji kebolehan mereka.

Kita juga patut mengambil contoh dengan apa yang menimpa pasukan England. Adalah sesuatu yang menghairankan sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu Liga yang popular di dunia, England masih memerlukan khidmat jurulatih luar bagi pasukan kebangsaannya.

Kalau dulu Sven Goran Ericson, dari Sweeden, dan kini Frank Capello, dari Itali. Tetapi prestasi England sama ada di kejohanan Piala Dunia atau Piala Eropah cukup mengecewakan seluruh peminatnya. Seolah-olah sudah tidak ada lagi jurulatih berbangsa Inggeris yang layak memangku jawatan tersebut.

Henry Rednapp, David Moyess, Allan Marcayde dan lain-lain sekadar contoh tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Capello.

FAM dan negara tidak perlu mengikut jejak mereka dalam membangun bolasepak negara. Apa yang ada sekarang sudah cantik dan perlu dikekalkan. Jangan nasib yang menimpa Thailand menular ke negara kita pula.

Khamis, 9 Jun 2011

Bolasepak : Peluang Kelantan catat sejarah

KELANTAN akan bertemu Trengganu dalam final Piala FA Sabtu ini di Stadium Bukit Jalil. Kedua pasukan telah pun bertemu Isnin lalu dalam perlawanan Liga Super di Kuala Trengganu, di mana Kelantan menang 3-0.

Pasukan Trengganu sudah pasti akan menebus kembali kekalahan mereka Isnin lalu. Menurut jurulatih Trengganu, Irfan Bakti, kekalahan baru-baru ini bukanlah disebabkan Kelantan kuat, tetapi akibat banyak kesilapan dilakukan oleh para pemainnya.

Pada final Piala FA ini pasukan penyu itu berazam memperbaiki segala kelemahan dan yakin dapat mengatasi The Red Warriors. Keyakinan ini bertambah dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Ashaari Shamsudin, yang tidak bermain Isnin lalu akibat digantung permainan kerana menerima kad kuning.

Manakala Kelantan yang telah pun memiliki Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih tidak akan melepaskan peluang keemasan ini merangkul satu lagi piala yang tidak pernah mereka menangi - Piala FA. Sekiranya impian ini tercapai, maka Kelantan akan mencatat sejarah dengan memenangi tiga piala dalam masa yang singkat.

Itu belum kira lagi Piala Liga, di mana Kelantan berada ditangga teratas dan hanya memerlukan memenangi tiga lagi baki perlawanan untuk mengesahkan sebagai juara Liga. Peluang sebegini bukannya mudah untuk dicapai dan ia tidak boleh dipersiakan.

Kalau para pemain Kelantan fokus dan mempunyai mental yang kuat kejayaan untuk merangkul empat piala berprestij  sekaligus bukanlah satu misi yang mustahil. Tetapi jika mereka terlalu yakin dan "complacent" mereka akan menerima padah.

Trengganu adalah sebuah pasukan yang mampu membuat kejutan, apatah lagi mereka berazam membalas "dendam" kekalahan mereka dilaman sendiri Isnin lalu. Dan lebih bermakna lagi, mereka berazam untuk merangkul Piala FA untuk dihadiahkan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena ulangtahun keputeraan baginda pada 4 Jun lalu dan menyambut kepulangan ke Trengganu selepas tempoh perkhidmatan baginda berakhir hujung tahun ini.

Kelantan pula mahu mencatat sejarahnya tersendiri dengan merebut Piala FA dan Piala Liga, sebagai memenuhi koleksinya selepas berjaya merampas Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Dan peluang ini tidak harus dilepaskan begitu saja. Kerana peluang sebegini tidak selalunya datang.

Apapun kita mengharapkan final pada Sabtu ini kedua pasukan akan mempamerkan satu perlawanan yang menarik dan menghiburkan. Juga tidak kurang penting kedua pasukan akan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan permainan yang bersih dari kekasaran.

Para penyokong kedua pasukan juga mestilah berdisiplin dan bersopan agar tidak berlaku insiden yang boleh mencemar imej negeri masing-masing.

Segala bunga api dan mercun tidak perlulah dibawa masuk ke dalam stadium.

Rabu, 8 Jun 2011

Hadi Awang enggan jadi PM

DATUK Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU ke 13 nanti. Beliau boleh menerima sesiapa saja memegang jawatan no 1 negara itu.

Keenganan Abdul Hadi itu memberi laluan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mengisi jawatan tersebut. Kit Siang sudah tentu akan menolaknya kerana realitinya majoriti penduduk negara ini terdiri dari bangsa melayu. Maka calon Perdana Menteri dari pembangkang hanyalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itupun akan menjadi kenyataan sekiranya Anwar bebas dari segala tuduhan dan kesnya di mahkamah nanti. Kalau beliau disabitkan bersalah, siapa pula calon sandaran Pakatan Rakyat ?

Ini bukan soal main-main dan isu ini adalah serius kerana masa depan negara dan keselamatan rakyatnya banyak bergantung pada kerusi nombor satu negara itu. Kerusi PM bukan boleh main tangkap muat saja.

Katakanlah Anwar Ibrahim akan bebas dari segala tuduhan terhadapnya dan dibebaskan oleh mahkamah. Apakah ini satu jaminan bahawa negara akan selamat sekiranya beliau menjawat jawatan PM ?

Semua orang tahu semasa perbicaraannya di mahkamah beliau diwakili oleh peguambela Karpal Singh dan P.Cumaraswamy. Karpal ialah Pengerusi DAP dan Cumaraswamy pula adalah bekas Presiden Majlis Peguam yang tidak pernah sebulu dengan kerajaan. Dan keduanya adalah tokoh yang tidak pernah simpati dengan orang melayu dan Islam.

Dengan menjadi peguambela pada Anwar begitu lama, maka tentunya banyak rahsia dan kelemahan Anwar berada dalam pengetahuan mereka. Ini akan menjadikan Anwar seorang Perdana Menteri yang tidak bebas dari pengaruh luar. Anwar tidak mungkin dapat membuat sebarang keputusan melibatkan kepentingan negara secara bebas dan terhindar dari ugutan atau anasir berbahaya yang boleh mengancam keselamatan negara.

Anwar dan pengikutnya tentu akan menafikan andaian ini sekeraskerasnya. Tetapi kenyataan dan hakikat yang kelihatan tidak mudah diketepikan begitu saja. Jawatan PM bukan kedudukan untuk berbulan madu atau memenuhi nafsu politik demi kepentingan tertentu. Ianya adalah amanah bangsa dan agama yang mesti dipikul dengan jujur dan murni, jauh dari sifat dendam dan dengki. Malah bukan menjadi medan melayani agenda peribadi.

Anehnya, PAS telah menolak dari awal lagi jawatan tersebut. PAS kelihatan begitu tegas dan keras bila berdepan dengan UMNO. Tetapi ia menikus bila berhadapan dengan DAP dan Anwar Ibrahim.

Orang-orang melayu mesti berhati-hati dengan permainan politik pembangkang ini. Konsep negara Islam telah pun bertukar menjadi negara kebajikan- satu pengubahsuaian bagi menurut kehendak DAP dan PKR.

PAS tuduh UMNO sekular. Tapi menyalin kulit Islam ke kebajikan lebih sekular.

Siapa Setiausaha Agung PAS yang baru ?

SELESAI Muktamar PAS ke 57 lalu bermakna semua jawatan yang dilantik bagi sesi 2009-2011 terlucut dengan sendirinya. Jawatan-jawatan berkenaan ialah setiausaha agung, ketua penerangan, bendahari dan pemilihan enam anggota jawatankuasa pusat sebagai tambahan kepada 12 kerusi yang terpilih.

Jawatan yang menjadi tumpuan sekarang ialah Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan, yang merupakan jawatan kanan dan penting kepada Presiden parti dalam mengurus perjalanan parti. Kedua jawatan tersebut disandang Datuk Mustapha Ali dan Ustaz Idris Ahmad.
Dato MustaphaAli

Kebiasaannya perlantikan dua jawatan penting ini ditentukan oleh Presiden parti. Datuk Mustapha Ali sudah diketahui merupakan tokoh paling rapat dengan Datuk Seri Abdul Hadi, tambahan pula asal dari negeri yang sama Trengganu. Manakala Ustaz Idris Ahmad adalah calon dari kem ulama yang tewas pada jawatan Naib Presiden yang lalu.

Persoalannya, adakah mereka berdua akan dikekalkan ? Jika Haji Hadi ingin mengekalkan dua tokoh tersebut, tidakkah ini akan ditentang oleh tiga Naib Presiden yang baru ?

Apa yang pasti Datuk Husam Musa tidak dapat menerima Datuk Mustapha Ali sebagai Setiausaha Agung. Bagi Sallahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun secara andaiannya, mereka juga menolak Cikgu Pa.

Di sini kita akan melihat adakah kuasa Presiden lebih "dominan" atau dia terpaksa tunduk dengan Timbalan Presiden yang baru bersama dengan tiga Naib Presiden yang datang dari kem profesional.

Sekiranya Datuk Mustapha Ali dikekalkan ia menunjukkan "kuku" Haji Hadi Awang masih tajam. Tetapi ini rasanya hampir mustahil berlaku. Sebelum Mustapha Ali jawatan Setiausaha Agung dipegang oleh Datuk Kamaruddin Jaafar. Sepanjang Kamaruddin memegang jawatan tersebut, beliau telah menunjukkan prestasi yang baik dan tidak menimbulkan kontroversi dalam parti.

Berbeza dengan Cikgu Pa diselubungi dengan isu panas berkaitan kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan UMNO. Dan beliau juga dikecam hebat secara terbuka oleh Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam isu berkaitan. Cikgu Pa juga diketahui tidak begitu "ngam' dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perlantikan Setiausaha Agung parti cukup penting dan memberi kesan dan pengaruh yang cukup besar pada keseluruhan organisasi parti dan halatujunya. Tidak mungkin sikap dan pendirian politiknya bertentangan dengan sebahagian besar kepimpinan tertinggi.

Kuasa melantiknya berada ditangan Presiden secara mutlak. Tetapi apakah Presiden mampu menolak pandangan Timbalan dan Naib-Naibnya yang baru terpilih secara demokrasi ?

Semua orang sedang memerhatikan. Apakah Datuk Seri Abdul Hadi benar-benar seorang Presiden yang mempunyai kuasa atau beliau sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan dalam PAS yang menolak kepimpinan ulamak.

Bakal Setiausaha Agung yang baru ini jika dipilih dikalangan profesional, maka lengkap dan sempurnalah agenda golongan profesional untuk menguasai parti. Dan Haji Hadi bakal terpinggir keseorangan.