Selasa, 15 Ogos 2017

KASI BALING. INI KALI LAH !!

ADA pandangan punca kekecohan forum "Nothing To Hide 2.0" kerana jawaban Dr Mahathir dalam isu Anwar Ibrahim dan kes Memali tidak memuaskan. Mereka dakwa Dr Mahathir tidak menjawab soalan.

Setiap orang berhak memberi pandangan dalam berbagai sudut.  Tetapi jelas sekiranya itu sebab dan puncanya kerusi boleh terbang dan suasana menjadi kacau dalam forum Nothing To Hide - kita ingin bertanya apakah jawaban Najib Razak dalam skandal penyelewengan 1MDB selama ini??  Apakah dia menjawab soalan tentang kegagalan 1MDB itu secara yang memuaskan?

Setakat ini isu 1MDB tidak dibenarkan dibahas dalam Parlimen.  Sesiapa yang menimbulkan isu ini akan menghadapi masalah.  Sekiranya si penanya itu berada dalam kerajaan atau di luar pasti akan dikenakan tindakan susulan.

Sekiranya dia orang Umno tindakan disiplin akan dikenakan. Sekiranya dia orang korporat maka pihak LHDN akan tiba melawat.

Baling kerusi dan suar dalam forum Nothing To Hide 2.0

Apabila Najib tidak pernah berikan jawaban yang memuaskan tentang skandal 1MDB, apakah ada orang baling kerusi padanya atau membuat kacau? Setakat ini belum ada lagi.  Sebab mereka di luar kerajaan dan orang awam masih rasional dan waras.

Tetapi jangan pandang sebelah mata sekiranya tiada reaksi balas seperti yang berlaku dalam forum Nothing To Hide itu. Dan jangan sangka tiada buaya dalam air yang tenang.

PRU14 semakin dekat dan tidak mungkin boleh di gostan. Apakah Najib mampu menghadapi PRU14 dengan isu 1MDB masih tergantung tanpa penyelesaian muktamad?

Kalau setakat pelan rasionalisasi 1MDB yang digemburkan itu belum memadai.  Apakah tindakan terhadap Jho Low yang menjadi arkitek dan dalang penyelewengan 1MDB itu? Yang lain-lain seperti Shahrol Helmi, Suboh Yassin,  Nik Arif Faisal dan lain-lain yang disebut dalam berbagai laporan termasuk laporan SPRM.

Kenapa tidak ada tindakan atau tangkapan sehingga kini terhadap mereka semua. Ini tentunya bagi orang awam memang jawaban yang tidak memuaskan. Hendak harapkan penjelasan dan jawaban Najib,  ibarat jauh panggang dari api. Memang tidak ada harapan.

Jadi tidak payah lah baling kerusi atau buat kacau kerana jawaban kurang memuaskan.  "Baling" sahaja setiap undi dalam peti undi dalam PRU14 nanti.

KASI BALING. INI KALI LAH!!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan