Sabtu, 11 Julai 2015

Pemimpin Dan Kesetiaan Para Penyokong

SUNGGUH menakjubkan kedudukan Perdana Menteri Najib Razak sedikit tidak tergugat dalam Umno dan kabinet berkaitan dengan isu 1MDB dan pertuduhan tentang transaksi sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya.

Malah Najib kelihatan seperti tiada apa yang besar berlaku terhadap dirinya dan imej parti. Semuanya berjalan seperti biasa. Najib seperti biasa terus berucap dalam upacara-upacara rasmi dan dalam masa yang sama menabur dana berjuta-juta di situ di sana ke mana dia pergi. Teringat kata-kata beliau kepada Dr Mahathir, 'Cash is King'.


Barangkali, kerana cash is king beliau masih terus mendapat sokongan kuat ahli-ahli Umno terutamanya para Ketua Bahagian dalam menghadapi apa yang dikatakan sebagai serangan peribadi bagi menjatuhkannya.

Walaupun segala serangan dan tuduhan terhadapnya adalah berat dan serius namun ia belum lagi terbukti secara sah disegi undang-undang. Pun begitu ia telah banyak merosakkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin. Secara mudah imej beliau sebagai PM telah tercalar dan punah teruk.

Kelemahan Najib dan para penasihatnya ialah mereka gagal menjawab secara 'point to point' segala tuduhan dan pendedahan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang begitu berani melakukan laporan mereka. Dan inilah pokok kredibiliti beliau terus dipersoalkan majoriti rakyat.

Dalam soal ketaatsetiaan para ahli Umno terhadap Najib bukanlah satu perkara yang aneh. Kerana itulah peranan para pengikut yang akan terus mempertahankan pemimpin mereka dalam apa cabaran yang melanda. Dan ini juga berlaku dalam parti-parti lain di negara ini.

Seperti contohnya apa yang berlaku terhadap bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang menghadapi kes skandal video seks tidak lama dulu. Kes itu jelas benar berlaku dan Dr Chua mengaku dia bersalah dan diperangkap musuh politiknya.

Namun begitu Dr Chua terus terpilih secara demokrasi oleh ahli MCA untuk memimpin parti. Skandal seksnya itu tidak menjejaskan sedikit pun peluang beliau menang dalam pertandingan jawatan Presiden MCA.

Begitu juga apa yang berlaku dalam parti agama yang memperjuangkan Isle dan hukum hudud. Ada pemimpin tertingginya terdedah dengan skandal 'spenda putih' yang viral dalam internet. Kononnya wanita yang terlibat dalam video itu adalah isterinya. Kes itu hilang begitu sahaja. Malah pemimpin tertinggi tersebut terus dilantik memegang jawatan penting dalam parti selepas penyusunan semula kabinet parti.

Dan paling kontroversi isu pemimpin 'Anugerah Tuhan' dengan terdedahnya video-video lucah berkaitan dirinya yang dianggap para penyokongnya sebagai rekaan dan palsu. Tetapi video-video tersebut disahkan oleh pihak berkuasa sebagai asli dan tulin setelah dihantar di luar negara untuk diuji kaji ketulinannya.

Semuanya tidak terpakai kerana para penyokong masih dan terus memberi sokongan padanya walaupun dia kini berada di penjara. Begitulah hebat dan setianya para penyokong kepada pemimpin mereka.

Dalam konteks ini baik Najib, Soi Lek, Spenda putih dan pemimpin anugerah Tuhan; walau apa pun cabaran menimpa mereka, para ahli parti dan penyokong akan tetap terus setia dibelakang mereka. Tidak akan ada yang menderhaka dan melintang arus. Hatta bukti sudah di depan mata !

Inilah fenomena baru dalam politik di Malaysia menuju ambang 2020.

Manusia sudah tidak dapat mengenal pasti yang mana satu baik dan buruk. Dan yang mana betul dan salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan