Sabtu, 7 Julai 2012

Langkah Dr. Mahathir

Beri kesan pada pembangkang
ADALAH satu perkara biasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak disukai oleh para pemimpin dan penyokong parti pembangkang.

Berbagai persepsi dan sudut pandangan diberikan terhadap ketokohan negarawan ini. Dalam parti Umno sendiri ada pihak yang tidak menyukainya.

Contoh jelas ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam sehingga kini tidak pernah sehaluan dan sependapat dengannya dalam banyak perkara. Tun Musa bukanlah tokoh sebarangan. Beliau adalah bekas pemimpin no. 2 negara.

Semasa Dr. Mahathir buat keputusan keluar dari Umno sebagai bantahan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Badawi - Tun Musa telah menyambutnya dengan berkata, " sudah terkeluar duri dalam daging" dalam parti Umno. Ertinya, Tun Musa gembira dengan langkah Dr. Mahathir itu.

Tetapi ramai orang tidak dapat membaca langkah Dr. Mahathir yang berpandangan jauh itu. Kalau Tun Musa tidak dapat membacanya, apatah lagi para pemimpin pembangkang, terutama parti Pas.

Justeru langkah itulah memberi sedikit tekanan dan kesan terhadap kedudukan Tun Abdullah Badawi yang akhirnya terpaksa akur dan meletakkan jawatan sebagai PM. Keputusan Pak Lah berundur jelas tidak menggembirakan parti pembangkang, khususnya Pas.

Kerana parti pembangkang tahu sekiranya Pak Lah masih menjadi PM hingga kini, rancangan mereka untuk menawan Putrajaya menjadi lebih mudah. Ini lantaran terbukti kepimpinan Pak Lah yang tidak sampai dua penggal telah mendedahkan berbagai kelemahan dan kepincangan.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mempertahankan kedudukan Pak Lah ketika ia diserang hebat Dr. Mahathir. Agak aneh seorang pemimpin pembangkang mempertahankan PM dan Presiden Umno !

Itulah senario politik ketika itu sebenarnya. Dr. Mahathir bukanlah pemimpin dan politikus seperti Tun Musa Hitam. Beliau adalah ahli Umno tulen yang mempunyai jangkauan jauh yang tidak ada pada pemimpin lain.

Tindakan Dr. Mahathir telah menyelamatkan Umno dari terus diperlemahkan dan diperlekeh oleh parti pembangkang. Kini jelas dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, Umno telah kembali pulih dari keadaan yang dialami pada 2008.

Para pemimpin pembangkang terus mengutuk dan mengkritik Dr. Mahathir dengan berbagai tuduhan dan gelaran. Namun ia tidak memberi sebarang kesan. Yang nampak berkesan ialah tindakan Dr. Mahathir yang telah mempengaruhi kedudukan Pak Lah telah menyukarkan peluang pembangkang untuk menawan Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan