Timbalan yang setia
NAIB Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menganggap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sabar untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Ini ekoran kenyataan TPM itu bahawa PRU 13 sebaiknya diadakan tahun ini juga.
Pada Mahfuz dalam PRU ini Barisan Nasional tidak akan memperolehi majoriti dua pertiga.
Justeru itu episod 2008 akan berulang di mana Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur akibat BN kehilangan majoriti dua pertiga yang sering diperolehi dalam setiap pilihan raya sejak merdeka.
Ironinya, Tan Sri Muhyiddin adalah tokoh utama dalam kabinet mendesak Pak Lah bersara awal akibat kemerosotan Umno dan BN dalam PRU 12, 2008. Dalam konteks itu Mahfuz menjangka Muhyiddin akan melakukan perkara sama terhadap kepimpinan Najib sekiranya BN gagal kali ini.
Apakah Muhyiddin sanggup lakukan terhadap Najib ? Apa pun senario politik pada 2008 dan 2012 adalah jauh berbeza. Pada masa Pak Lah mengambil alih jawatan dari Tun Dr. Mahathir, beliau telah berjaya mendapat mandatnya yang pertama pada 2004 dengan kemenangan yang amat besar dan cemerlang buat BN.
Tetapi kekalahan dan malapetaka yang berlaku pada 2008 disebabkan banyak faktor termasuk dirinya sendiri sebagai PM. Pak Lah sendiri mengakui beliau adalah satu faktor kemerosotan prestasi BN pada 2008.
Bila Najib mengambil alih kepimpinan negara beliau telah mewarisi suasana politik Umno dan BN dalam kedudukan yang cukup parah. Banyak kelemahan dan kepincangan sebelum itu terpaksa diperbetulkan. Dan ini bukan satu tugas yang mudah. Banyak kerosakkan berlaku pada parti BN dan Umno, khususnya.
Setelah lebih tiga tahun menerajui parti dan negara, Najib telah berjaya melakukan apa yang terdaya membetulkan segala kelemahan dan kekurangan sejak tsunami 2008 itu. Pelan transformasi dan program SATU Malaysia berjalan dengan lancar dan berjaya.
Dengan hampirnya PRU 13 apakah ini semua akan diterjemahkan dalam peti undi ? Matlamat BN ialah untuk mendapatkan dua pertiga. Namun sekiranya tanpa dua pertiga BN terus berkuasa dengan kelebihan kerusi yang mencukupi untuk terus pertahankan Putrajaya adalah satu kejayaan.
Muhyiddin sebagai pemimpin rasional dan setia tentu dapat membezakan suasana sekarang dengan 2008. Hakikatnya, Umno tidak segagah semasa era Dr. Mahathir Mohamad. Muhyiddin tentunya tidak mahu mengulangi sejarah Umno - di mana dua bekas TPM dan Timbalan Presiden Umno mengalami krisis hubungan dengan pemimpin nombor satu negara seperti yang terjadi pada Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim di era Dr. Mahathir.
Sekiranya TPM itu mahu menjaga masa depan politiknya berpanjangan beliau perlu mengambil ikhtibar apa yang berlaku pada Tun Musa dan Anwar. Beliau perlu menjadi Timbalan yang setia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan